Amalan beragama di dalam Islam dapat dilihat di dalam pelbagai bentuk. Sebahagian ibadat menfokuskan pada ucapan dan lidah seperti doa, zikir, berdakwah mengajak ke arah kebaikan, menyuruh melaksanakan tuntutan agama, melarang kemungkaran, mengajar orang, membimbing ke arah kebenaran dan lain-lain.

Sebahagian ibadat yang lain pula menfokuskan perbuatan tubuh seperti solat. Demikian juga sebahagian lain menfokuskan kepada harta seperti zakat. Ada juga yang menggabungkan kedua-duanya seperti haji dan jihad membela agama Allah di medan perang.

Di antara kepelbagaian tersebut, terdapat ibadat yang tidak bersifat perbuatan tubuh badan serta kata-kata, tetapi ia menfokuskan kepada menahan diri dan mencegah sahaja. Itulah puasa. Ia melarang daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa bermula daripada masuk waktu subuh sehingga masuk waktu maghrib.

Ibadah Yang Positif

Apabila melihat sifat berpuasa yang bertindak melarang diri daripada makan dan minum, sebahagian besar manusia melihat ia sebahagi sesuatu yang negetafi. Tetapi sebenarnya ia bersifat positif jika difikir dengan tenang. Dengan berpuasa, umat Islam telah menetapkan niat meninggalka seluruh larangan Allah serta berusaha tidak menuruti nafsu semata-mata. Ia adalah jalan mendekatkan diri kepada Allah Taala. Justeru itu ia menjadi amalan yang dilakukan atas kehendak sendiri yang sangat berat di atas timbangan mizan dan qabul. 

Berpuasa bukanlah perkara baru di atas muka bumi ini. Ia telah dikenali sejak berzaman lagi. Manusia telah mengenali bentuk dan caranya tetapi ia berbeza daripada sudut praktis. Majoriti manusia telah mengetahui bahawa puasa itu meninggalkan makan dan minum. Bahkan di hospital juga mereka memberi arahan “Puasa” kepada orang yang mahu dibedah.

Allah berfirman: 

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sepertimana telah diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu. Moga-moga kamu bertaqwa.

(Al-Baqarah: 183)

Namun begitu, puasa umat Islam tidak sama seperti puasa-puasa lain. Ia mempunyai ciri-cirinya yang khusus. 

Bulan Berpuasa

Ketinggian serta kebesaran puasa di dalam agama ini dapat dilihat apabila Allah Taala telah memilih satu bulan yang diwajibkan untuk berpuasa. Ia adalah bulan yang paling mulia berbanding bulan-bulan yang lain. Ia adalah bulan wahyu pertama diturunkan. Ia adalah bulan Ramadhan. 

Al-Quran diturunkan pada bulan ini. Syeikh Sofiyurrahman al-Mubarakfuri di dalam al-Rahiq al-Makhtum menyatakan bahawa ia berlaku pada 21 Ramadhan bersamaan bertepatan dengan tarikh 10 Ogos 610 M. Umur Nabi Muhammad ketika itu tepat 40 tahun 6 bulan 12 hari berdasarkan perkiraan bulan. Sedangkan, jika memakai kiraan matahari, maka umur baginda waktu itu ialah 39 tahun 3 bulan 22 hari.

Allah berfirman:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ ...

Bulan Ramadhan ialah bulan al-Quran diturunkan yang menjadi petunjuk kepada manusia serta keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan atara benar dan salah. Apabila kamu melihat datangnya bulan berkenaan, maka berpuasalah. Namun bagi sesiapa yang sakit atau bermusafir, mereka hanya perlu menggantikan pada hari yang lain. Allah sentiasa berkehendak kepada kemudahan dan tidak bertujuan menyusahkan..

(Al-Baqarah: 185)

Demikianlah agama kita memuliakan puasa dengan menjadikan ia diwajibkan pada bulan keagungan wahyu. Ia seolah-olah memberi isyarat kepada umat Islam bahawa; Puasa dimuliakan dengan kemuliaan bulan al-Quran diturunkan, al-Quran yang menjadi panduan umat Islam. Al-Quran mesti dibaca di bulan Ramadhan. Ia juga wajib dihayati kerana ia adalah wahyu ilahi.