Header Ads

Book an appointment with SetMore

Al-Rahiq AL-Makhtum: SEKSAAN SEMAKIN KUAT SERTA CUBAAN MENGAMBIL TINDAKAN TERHADAP RASULULLAH SAW


Apabila helah orang musyrikun itu tidak berhasil, serta cubaan menangkap kempali para muhajirin gagal, mereka menjadi sangat marah. Kemarahan itu sangat berbeza sekali. Lalu mereka meningkatkan usaha menyeksa umat Islam yang masih berbaki di Mekah. Mereka juga telah menaikkan tangan terhadap Rasulullah SAW. Jelas sekali apa yang mereka lakukan itu adalah cubaan untuk mengambil tindakan terhadap Rasulullah SAW supaya fitnah tersebar, dalam sangkaan mereka.
Daripada sudut umat Islam pula, kalangan yang berbaki di Mekah sangat sedikit sekali. Mereka itu sama ada orang yang mulia atau dilindungi. Justeru itu mereka menyembunyikan keislaman mereka serta menjauhi diri daripada musuh semampu yang mungkin. Sekalipun begitu, mereka tetap tidak selamat daripada disakiti, diseksa, serta dizalimi.
Manakala Rasulullah SAW sendiri pula terus bersolat dan beribadah kepada Allah di hadapan para musuh. Baginda berdakwah sama ada secara senyap-senyap atau terang-terangan. Tiada sebarang halangan yang dapat mematahkan usaha baginda. Itlah manifestasi yang telah dilaksanakan Rasulullah SAW sejak baginda diperintahkan oleh Allah supaya menyebarkan risalah, firman Allah:
فَاصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَأَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِينَ
Oleh itu, sampaikanlah secara terus terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.
(Al-Hijr: 94)
…………..
Di dalam kitab-kitab al-Sunnah dan sirah telah menunjukkan kepada kita tentang hubungan apa yang kita sebutkan dengan apa yang benar-benar berlaku:
Suatu hari Utaibah bin Abu Lahab mendatangi Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Aku mengingkari ayat
وَالنَّجْمِ إِذَا هَوَى
Demi bintang ketika ia menjunam,
(Al-Najm: 1)
dan
ثُمَّ دَنَا فَتَدَلَّى
Kemudian mendekat lalu ia menjuntai sedikit demi sedikit’.
(Al-Najm: 8)
 Dia kemudian menyakiti baginda secara fizikal, mengoyak jubah baginda serta meludahi wajah baginda. Mujur ludahannya tidak terkena baginda. Ketika itulah nabi mendoakannya,
اللهُمَّ سَلِّطْ عَلَيْهِ كَلْبًا مِنْ كِلَابِكَ
 “Ya Allah, biarkanlah dia dilahap oleh seekor binatang buas ciptaan-Mu.”
Doa baginda benar-benar dikabulkan oleh Allah. Suatu hari Utaibah bermusafir bersama beberapa orang Quraisy sehingga mereka singgah di sebuah tempat di Syam yang dipanggil dengan nama Zarqa’. Pada malam itu, seekor singa mengelilingi mereka. Dengan panik Utaibah berkata,
“Celaka betul saudaraku itu! Demi Allah, singa ini akan memakanku seperti doa Muhammad terhadapku. Muhammad betul-betul akan membunuhku padahal dia di Mekah sementara aku di Syam.”
Dalam waktu yang singkat, singa itu telah menceroboh masuk ke tengah-tengah mereka, lalu menyambar kepala Utaibah dan membunuhnya.[1][2]
Selain kejahatan di atas, Uqbah bin Abu Muaith juga pernah memijak leher Rasulullah s.a.w. yang mulia ketika baginda sedang bersujud hingga kedua-dua mata baginda nyaris-nyaris terkeluar.[3]
Antara bukti yang menerangkan bahawa para pembesar Quraisy ingin membunuh nabi adalah riwayat yang dinyatakan dengan panjang oleh Ibnu Ishaq daripada Abdullah bin Amru bin al-As, katanya, “
“Aku pernah menghampiri orang Quraisy yang sedang berkumpul di hijr (bayangan Kaabah yang terbentuk di tanah sehingga teduh). Mereka sedang membincangkan tentang Rasulullah s.a.w.. Mereka berkata,
مَا رَأَيْنَا مِثْلَ مَا صَبَرْنَا عَلَيْهِ مِنْ هَذَا الرَّجُلِ لَقَدْ صَبَرْنَا مِنْهُ عَلَى أَمْرٍ عَظِيمٍ
‘Belum pernah kita sabar seperti kesabaran kita terhadap urusan yang dibawa oleh orang ini (Muhammad). Kita telah bersabar terhadapnya atas suatu urusan yang besar.’
Ketika mereka sedang bercakap-cakap seperti itu, tiba-tiba Rasulullah s.a.w.muncul. Baginda datang berjalan kaki hingga sampai di tempat Hajar Aswad lalu mengusapnya dengan tangan baginda. Baginda kemudian melakukan tawaf mengelilingi Kaabah hingga bertembung dengan mereka. Ketika itulah mereka menyindir baginda dengan beberapa perkataan. Aku mengetahuinya daripada wajah Rasulullah s.a.w.. Ketika baginda bertemu dengan mereka untuk kali keduanya, mereka kembali menyindir sama seperti tadi. Kali ini aku mengetahuinya daripada wajah Rasulullah s.a.w.. Kemudian baginda bertemu dengan mereka untuk kali ketiganya dan mereka masih melakukan sindiran yang sama. Untuk kali ini, Rasulullah s.a.w. berhenti, lalu berkata,
أَتَسْمَعُونَ يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ أَمَا وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَقَدْ جِئْتُكُمْ بِالذَّبْحِ
‘Hai orang Quraisy, dengarkanlah! Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, aku telah membawa satu sembelihan untuk kamu.’
Pernyataan baginda ini betul-betul mencabar mereka. Seakan-akan ada burung jatuh di kepala mereka. Hinggalah orang yang paling keras antara mereka pun mahu menyanjung baginda dengan ungkapan terakhir yang boleh dia dapat, iaitu,
انْصَرِفْ يَا أَبَا الْقَاسِمِ، فَوَاللَّهِ مَا كُنْتَ جَهُولًا
‘Pergilah, Abu Qasim! Demi Allah, kamu ternyata tidak bodoh.’
Pada keesokan harinya, mereka berkumpul lagi seperti sebelumnya. Mereka membincangkan segala hal tentang Rasulullah s.a.w., lalu baginda tiba-tiba muncul. Mereka serentak melompat mengelilingi baginda. Kulihat salah seorang daripada mereka menggenggam jubah baginda. Ketika itulah Abu Bakar datang mendekat. Dia menangis dan berkata, ‘Adakah kamu akan membunuh seseorang yang berkata bahawa Tuhannya adalah Allah?’ Mereka kemudian pergi meninggalkan baginda.”
Ibnu Amru berkata, “Itulah perlakuan paling keras yang pernah kusaksikan daripada orang Quraisy terhadap baginda.”[4]
Dalam riwayat yang dibawakan oleh Imam al-Bukhari daripada Urwah bin al-Zubair, disebutkan bahawa Urwah menyatakan, “Aku pernah bertanya Ibnu Amru bin Ash begini, ‘Katakanlah padaku, apakah tindakan paling kuat yang pernah dilakukan oleh orang Musyrik terhadap nabi?’
Dia menjawab, ‘Ketika nabi sedang solat di hijr, tiba-tiba Uqbah bin Abu Muaith datang. Dia melingkarkan pakaiannya ke leher Rasulullah s.a.w. dan menariknya dengan kuat. Tiba-tiba Abu Bakar datang, lalu mencengkam bahu Uqbah. Abu Bakar menyentak Uqbah hingga terlepas daripada nabi. Abu Bakar lalu berkata,
أَتَقْتُلُونَ رَجُلًا أَنْ يَقُولَ رَبِّيَ اللَّهُ؟
‘Adakah kamu akan membunuh seseorang yang berkata bahawa Tuhannya adalah Allah?’.”[5]
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Asma’dituturkan, “Suatu hari Shuraikh datang kepada Abu Bakar lalu berkata, ‘Hampirilah sahabatmu!’ Abu Bakar keluar dari rumah dengan membawa empat orang pengawal. Dia menghampiri orang Quraisy dan berkata, ‘Adakah kamu akan membunuh seseorang yang berkata bahawa Tuhannya adalah Allah?’ Maka orang Quraisy mengalihkan perhatian mereka daripada Rasulullah s.a.w. kepada Abu Bakar. Akhirnya, Abu Bakar pulang ke rumah dan kami mendapati para pengawalnya juga turut pulang.”[6]



[1] Abu al-A‘la al-Maududy, Tafhim al-Quran, jil VI, hlm. 522 dan Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hlm. 135.
[2] (Nota Kuliah) Kisah ini terdapat di dalam sumber hadis. Ia dapat di lihat di dalam rekod Imam Al-Hakim di dalam al-Mustadrak. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih dan dipersetujui oleh al-Zahabi.
[3]Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hlm. 113.
[4]Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 289-290.
[5]Sahih al-Bukhari, bab tentang seksaan daripada orang-orang Musyrik Mekah yang menimpa nabi dan sahabatnya, jil I, hlm. 544.
[6]Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hlm. 113.

No comments

Powered by Blogger.