Header Ads

Book an appointment with SetMore

Menilai Semula KPI Ramadhan


Secara ringkasnya KPI adalah satu kaedah untuk mengukur prestasi seseorang atau sesebuah organisasi. Disebut dalam bahasa Inggeris sebagai Key Performance Indicator.

Apabila istilah ini dikaitkan dengan Ramadhan, maka kita memahami bahawa kita mahu mengukur prestasi diri kita di dalam bulan Ramadhan ini. Ia juga boleh disangkut kepada program-program masjid di bulan Ramadhan.

Tujuan Berpuasa

Sebelum kita melihat kepada nilai-nilai ukuran, kita mestilah memastikan tujuan KPI itu terlebih dahulu. Jika tujuan ini tepat, maka KPI yang dihasilkan mesti menatijahkan keputusan yang cemerlang.

Allah Taala berfirman:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sepertimana telah diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu. Moga-moga kamu bertaqwa.

(Al-Baqarah: 183)

Dengan berpuasa, umat Islam telah menetapkan niat meninggalkan seluruh larangan Allah serta berusaha tidak menuruti nafsu semata-mata. Ia adalah jalan mendekatkan diri kepada Allah Taala. Justeru itu ia menjadi amalan yang dilakukan atas kehendak sendiri yang sangat berat di atas timbangan mizan dan qabul.

Di dalam ayat berkenaan, Allah menyatakan bahawa dianatara tujuan pensyariatan puasa ialah meningkatkan nilai ketaqwaan. Maka, setiap perbuatan kita di bulan puasa ini hendaklah meningkatkan nilai berkenaan. Jika tidak, maka puasa kita hanya sekadar taat dengan lapar dan dahaga sahaja sedangkan tujuan puasa tidak tercapai.

Dikatakan bahawa Saidina Ali RA pernah berkata:

 التقوى هي الخوف من الجليل والعمل بالتنزيل والقناعة بالقليل والاستعداد ليوم الرحيل

Taqwa ialah takut kepada Al-Jalil (Allah), beramal dengan wahyu yang diturunkan (Al-Quran), merasa cukup dengan apa yang ada, serta bersiap sedia menghadapi hari akhirat.[1]

Pengukur

Apabila kita telah mengetahui bahawa diantara tujuan terbesar puasa ialah ketaqwaan, maka kita perlu meletakkan pengukur bagi ketaqwaan ini secara umum. Di sini, saya hanya mahu meletakkan beberapa pengukur asas sahaja sebagai permulaan perbahasan.

1. Takut melakukan perkara dosa

Sebahagian ulama menyatakan bahawa dosa itu semua besar apabila seseorang Muslim melihat kepada siapa dia melakukan dosa berkenaan. Dosa yang dilakukkan tidak merujuk kepada sesiapapun melainkan kepada pencipta Manusia, iaitu Allah.

Apabila berpuasa, umat Islam hendaklah berhenti melakukan dosa. Justeru itu, Allah Taala menyebutkan di dalam hadis Qudsi:

وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ، وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَصْخَبْ، فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ، فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ "

Puasa adalah pelindung. Apabila seseorang dari kamu berpuasa, maka janganlah kamu berkata kotor (mencarut) pada hari itu, dan jangan pula kamu berteriak (bergaduh). Sekiranya dia dikeji oleh seseorang atau diajak berkelahi, maka katalah: Sesungguhnya aku orang yang sedang berpuasa.

(HR al-Bukhari: 1904)

Daripada hadis berkenaan, Allah mahu mendidik kita di dalam bulan Ramadhan ini supaya tidak melakukan perbuatan dosa sama ada ia kecil ataupun besar. Kerana sifat puasa itu adalah pelindung daripada melakukan perbuatan dosa.

Justeru, sebagai pengukur kita mestilah menilai tahap ketahanan kita terhadap perbuatan dosa. Kita mesti menjawab persoalan berikut:

1- Adakah aku masih lagi berkata kotor sesama umat Islam?
2- Adakah aku masih lagi suka menjatuhkan maruah sesama umat Islam?
3- Adakah aku masih lagi tidak ada kebencian terhadap dosa?

Hasil terbaik bagi pengukur ini ialah jawapan berikut:

1- Ketika berpuasa, aku sentiasa sedar bahawa sifat puasa adalah pelindung. Maka aku berlindung daripada segala perbuatan dosa sama ada ia kecil atau besar. Apabila orang ramai mengeluarkan kata kotor, aku tidak melakukannya. Aku hanya berkata “Aku sedang berpuasa”.

2- Aku tidak suka menjatuhkan maruah sesama umat Islam kerana ia dosa yang besar. Aku bimbang termasuk dalam kalangan orang berdosa. Bimbang diazab oleh Allah. Sedangkan aku membaca surah al-Nisa, ayat 56. Allah berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُمْ بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا

56. Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. dan (ingatlah) Sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

(Al-Nisa: 56)

Menjatuhkan maruah sesama umat Islam adalah haram. Malangnya, ia sangat mudah dilakukan di dunia sosial tanpa sempadan hari ini.

3. Di dalam hati aku sentiasa tertanam benci melakukan dosa. Kerana dosa itu adalah maksiat. Maksiat adalah derhaka. Derhaka kepada Allah lebih besar daripada semua jenis istilah derhaka yang ada di muka bumi ini.

2. Menambahkan ilmu pengetahuan

Taqwa akan mendidik manusia kepada melaksanakan perintah Allah berdasarkan wahyu al-Quran dan al-Hadis. Maka, bagi melaksanakan tuntutan al-Quran dalan al-Hadis, umat Islam hendaklah menuntut ilmu. Akhirnya, umat Islam akan dapat membaca ayat Tuhan lalu memahaminya.

Allah berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 185:


شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Bulan Ramadhan ialah bulan al-Quran diturunkan yang menjadi petunjuk kepada manusia serta keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan atara benar dan salah.

(Al-Baqarah: 185)

Bukan sekadar membaca ayat-ayat al-Quran, umat Islam hendaklah memahami ayat-ayat berkenaan. Setelah itu barulah ayat-ayat al-Quran berperanan menjadi petunjuk kepada manusia.

3. Menambahkan kefahaman dalam amalan

Setiap perintah yang Allah berikan mempunyai tujuan utama. Tujuan yang paling tinggi adalah mentaati perintah Allah. Seorang yang berpuasa telah meninggalkan makan dan minumnya. Dia membiarkan dirinya lapar dan dahaga sedangkan di koceknya mempunyai wang untuk membeli dan menjamah makanan, di rumahnya penuh lauk-pauk yang boleh dimasak bila-bila masa sahaja. Tetapi dia meninggalkannya hanya semata-mata kerana Tuhannya berkata: كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ  Telah diwajibkan kepada kamu berpuasa!

Hamba itu berpuasa kerana menuruti perintah Tuhannya tanpa berkata apa-apa. Apa yang dia mahu sampaikan hanyalah ruang ibadat dan ketaatan sahaja. Setelah dia faham bahawa sifat puasa adalah begitu, maka dia hendaklahmemastikan amalan-amalan ibadat yang lain juga hendaklah difahami begitu.

4. Bersyukur dengan pemberian Tuhan.

Mengeluarkan zakat serta bersedekah adalah amalan sinonim pada bulan Ramadhan. Apabila kita telah mengeluarkan zakat, maka kita hendaklah menyedari tentang maksud daripada zakat berkenaan.

Allah berfirman di dalam surah al-Taubah, ayat 103:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا

Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak Yang buruk);

(Al-Taubah: 103)

Difahami dengan jelas bahawa pemberian zakat adalah bertujuan membersihkan jiwa daripada sifat kedekut, tamak dan pentingkan diri sendiri. Ia membentuk akhlak mulia dalam masyarakat umat Islam. Setiap orang dibela sehingga akhirnya terlaksanalah perumpamaan Nabi SAW:

إِنَّ المُؤْمِنَ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا

Seorang mukmin dengan mukmin yang lain seumpama binaan yang saling menguatkan antara satu sama lain.

(HR al-Bukhari: 481)

5. Menyangkut diri dengan akhirat.

Nabi SAW berkata:

لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا: إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ، وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ

Orang berpuasa mempunyai dua kegembiraan: Apabila dia berbuka, dia gembira. Serta apabila dia bertemu dengan tuhannya, dia juga gembira dengan puasanya.

(HR al-Bukhari: 1904)

Di dunia ini, agama mengiktiraf kita sebagai manusia yang perlukan makan dan minum. Maka apabila kita boleh makan dan minum, maka tidak salah bagi kita untuk bergembira kerana ia adalah tabiat seorang manusia. Tetapi, tidak terhenti di situ sahaja, agama menghubungkan kita dengan hari akhirat dengan menyatakan orang yang berpuasa akan merasa gembira bertemu Allah di akhirat nanti.

Kesimpulan:

Apabila perkara yang telah disebutkan berjaya difahami, maka sempurnalah KPI Ramadhan kita secara asasnya. Namun, ia bukan sekadar KPI. Tetapi KPI yang dapat menentukan kesungguhan kita bertaqwa di bulan-bulan yang lain.

Tidak patut bagi kita melengkapkan KPI pada bulan Ramadhan, tetapi kita mengabaikannya pada bulan-bulan yang lain. Seolah-olah benar dakwaan sebahagian orang bahawa bulan Ramadhan ini ialah pesta ibadah, tetapi apabila berakhir pesta itu setiap orang balik ke rumah masing-masing dan tidur sahaja.

WallahuAlam.




[1] Rujuk Kausār al-Ma`ani oleh Muhammad al-Khaḍir al-Syanqiṭi. Muassasah al-Risalah, Beirut. 1995.

No comments

Powered by Blogger.