Header Ads

Book an appointment with SetMore

Ilmu Hadis Untuk Semua

Ilmu Hadis ialah pengetahuan yang menyatakan tentang hakikat sesuatu perkara yang berkaitan dengan berita yang disampaikan kepada kita. Apabila merujuk kepada Ilmu Hadis secara khusus, ia bermaksud memastikan kebenaran sesuatu berita yang disandarkan kepada Rasulullah SAW dalam semua aspek. 

Pada zaman ini kita tidak sempat berjumpa Nabi SAW, kebenaran sesuatu hadis hanya dapat diketahui melalui kajian-kajian mengenai periwayat hadith dan kaedah yang digunakannya dalam meriwayatkan hadith. Tujuannya adalah untuk  mengetahui dan menilai kedudukan perawi dan matan hadis. Melalui kaedah ini, seseorang itu dapat mengetahui kedudukan sesebuah hadis supaya dapat berhujah di dalam bab akidah, syariat, mahupun sosial.

 KEPENTINGAN ILMU HADIS

Ilmu hadis merupakan salah satu ilmu syariat yang wajib dipelajari. Semua hukum- hukum syarak berpandukan hadis. Sesiapa yang tidak mempelajari ilmu hadis, dia akan terjerumus dalam kesilapan. Antara kepentingannya: 

  1. Ulama dan pelajar ilmu Tafsir al-Quran mampu mentafsirkan ayat-ayat al-Quran berpandukan hadis. 
  2. Ulama dan pelajar ilmu Fiqah mampu mensabitkan hukum apabila memahami ilmu hadis. Jika tidak, hukum yang keluar akan banyak menggunakan panduan akal dan nafsu semata-mata. 
  3. Ulama dan pelajar Usul mampu membina pelbagai kaedah bagi memahami hukum-hukum agama. Ia terbina dengan memahami hadis dan konteknya.
  4. Ulama dan pelajar Sirah dapat memastikan ketulinan berita yang disandarkan kepada Nabi SAW untuk menjadi teladan sepanjang zaman.
  5. Dengan mempelajari ilmu hadis, akal yang waras akan menolak sebarang pemalsuan dan fakta daif yang tidak boleh dijadikan sandaran hukum. 
  6. Golongan yang mempelajari ilmu hadis sama sekali tidak akan memperkatakan tentang hukum-hakam syarak tanpa ilmu pengetahuan yang sahih. Apa yang tidak sampai kepada mereka, mereka berdiam diri. Mereka sanggup meninggalkan amalan yang bercanggah dengan hadis sahih setelah menemuinya. Malah, mereka sanggup membatalkan segala pendapat mereka sama ada ketika hidup atau selepas mati jika menyanggahi hadis sahih. 


Antara punca perselisihan pendapat yang kian menular dan tidak dapat dibendung adalah kerana umat Islam sudah tidak prihatin terhadap kepentingan mempelajari ilmu hadis. Wallahu-A`lam.



No comments

Powered by Blogger.