Syarat-syarat al-Qiyas (Penyamaan)

Al-Qiyas mempunyai beberapa syarat seperti berikut:
 1. Tidak boleh bercanggahan dengan dalil yang lebih kuat daripadanya. Sekiranya al-Qiyas menyalahi nas, al-Ijma' dan kata-kata sahabat (di sisi mereka yang menganggapnya hujah), ianya adalah tertolak dan dinamakan Qiyas Fasid al-I'tibar (rosak pengiktirafannya). Contohnya: al-Qiyas yang mengatakan bahawa adalah sah seseorang wanita itu mengahwinkan dirinya tanpa wali berdasarkan kepada sahnya dia menjual beli hartanya tanpa wali. Ini merupakan al-Qiyas yang rosak pengiktirafannya kerana ianya bercanggahan dengan nas iaitu sabda Rasulullah s.a.w.:
 لاَ نِكَاحَ إِلاَّ بِوَلِيٍّ.
 Maksudnya: Tiada nikah kecuali dengan wali.
 2. Hukum asal mestilah sabit dengan nas atau al-Ijma'. Sekiranya hukum asal sabit dengan al-Qiyas lain, tidak boleh dibuat al-Qiyas lain berdasarkan asal itu. Akan tetapi boleh dibuat al-Qiyas kepada asal yang pertama kerana merujuk kepadanya adalah lebih utama. Juga kerana kemungkinan tidak sah diqiyaskan cabang kepada asal kedua. Juga kerana membuat al-Qiyas kepada cabang kemudian diqiyaskan pula cabang itu kepada asal merupakan pemanjangan yang tidak berfaedah. Contohnya dikatakan bahawa riba terdapat dalam urusan jagung kerana diqiyaskan kepada beras. Riba terdapat juga dalam urusan beras kerana diqiyaskan kepada gandum. Al-Qiyas seperti ini tidak sah. Sebaliknya hendaklah terus dinyatakan bahawa riba terdapat dalam urusan jagung kerana diqiyaskan kepada gandum, supaya al-Qiyas dilakukan terus kepada asal yang sabit dengan nas.

3. Hukum asal mestilah mempunyai sebab yang diketahui supaya dapat dikumpulkan antara asal dengan cabang dalam sebab itu. Sekiranya hukum asal berunsur ibadah semata-mata, tidak sah dibuat alQiyas ke atasnya. Contohnya dikatakan bahawa daging burung unta membatalkan wuduk kerana diqiyaskan kepada daging unta disebabkan kedua-duanya ada persamaan. Al-Qiyas ini tidak sah kerana hukum asal tidak mempunyai sebab yang diketahui, sebaliknya ianya berunsur ibadah di sisi kebanyakan ulama'.

4. Sebab mestilah merupakan erti yang berkaitan dengan hukum, yang dapat diketahui pengiktirafannya daripada kaedah Syara', seperti mabuk dalam khamr (arak). Sekiranya erti tersebut merupakan suatu sifat yang kebetulan, yang tidak mempunyai munasabah dengan hukum, tidak sah dijadikannya sebab kepada hukum, seperti warna hitam atau putih. Contohnya ialah hadith Ibnu Abbas bahawa selepas Barirah dibebaskan, beliau telah diberi pilihan ke atas suaminya. Ibnu Abbas berkata:
 كَانَ زَوْجُ بَرِيرَةَ عَبْدًا أَسْوَدَ.[4]
 Maksudnya: “Dan suaminya adalah seorang hamba hitam”.

Sifat hitam yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas merupakan satu sifat yang kebetulan dan tidak mempunyai kaitan dengan hukum. Jadi, seorang hamba perempuan yang dibebaskan tetap diberi pilihan ke atas suaminya yang masih hamba walaupun dia berkulit putih. Dia juga tetap tidak diberi pilihan ke atas suaminya sekiranya suaminya merdeka dan berkulit hitam.

5. Sebab mestilah wujud di dalam cabang sebagaimana ianya wujud di dalam asal, seperti menyakiti dalam memukul kedua ibu bapa yang diqiyaskan kepada menyebut "uf". Sekiranya sebab itu tidak wujud dalam cabang, tidak sah al-Qiyas tersebut. Contohnya dikatakan bahawa sebab pengharaman riba dalam gandum ialah kerana ianya tergolong dalam perkara yang ditimbang. Kemudian diqiyaskan kepadanya pengharaman riba dalam epal. Al-Qiyas ini tidak sah kerana sebabnya tidak wujud dalam cabang kerana epal bukanlah tergolong dalam perkara yang ditimbang.
 


Jenis-jenis al-Qiyas (Penyamaan)

Al-Qiyas terbahagi kepada dua iaitu jelas dan tersembunyi, seperti berikut:

1- Al-Qiyas al-Jali (Jelas) ialah al--Qiyas yang sebabnya sabit dengan nas atau al-Ijma' atau sebabnya amat jelas dan pasti kerana tiada perbezaan antara asal dan cabangnya.

Contoh bagi al-Qiyas yang sebabnya sabit dengan nas ialah larangan bersuci dengan darah kering yang najis diqiyaskan kepada larangan bersuci dengan tahi binatang. Sebab hukum asal sabit dengan nas di mana Ibnu Mas’ud telah datang kepada Nabi s.a.w. dengan membawa dua ketul batu dan tahi binatang supaya digunakan oleh Baginda s.a.w. untuk bersuci. Baginda s.a.w. mengambil dua ketul batu itu dan melemparkan tahi binatang itu seraya berkata:

هَذَا رِكْسٌ.[5]
Maksudnya: “Ini riks (najis).”

Contoh bagi al-Qiyas yang sebabnya sabit dengan al-Ijma' ialah Nabi s.a.w. telah melarang seseorang Qadi daripada menghukum dalam keadaan marah.[6] Qiyas larangan Qadi menghukum dalam keadaan menahan air kecil kepada larangan menghukum dalam keadaan marah adalah merupakan al-Qiyas yang jelas kerana sebab bagi asalnya iaitu fikiran terganggu dan hati tidak tenteram telah sabit dengan al-Ijma'.

Contoh bagi al-Qiyas yang pasti kerana tiada perbezaan antara asal dan cabang ialah larangan memusnahkan harta anak yatim dengan dipakai. Ini diqiyaskan kepada larangan memusnahkan harta anak yatim dengan dimakan, kerana adalah jelas bahawa tiada perbezaan antara kedua-duanya.

2. Al-Qiyas al-Khafi (Tersembunyi): ialah al-Qiyas yang sebabnya sabit dengan al-Istinbat dan tidak dapat dipastikan ketiadaan perbezaan antara asal dan cabang.

Contohnya: Pengharaman riba dalam al-ashnaan[7] diqiyaskan kepada pengharaman riba dalam gandum kerana sebabnya ialah kedua-duanya tergolong dalam perkara yang ditimbang. Sebab ini tidak terdapat dalam nas, ijmak dan bukan sebab yang pasti kerana tiada perbezaan antara asal dan cabang. Ini kerana ada kemungkinan dibezakan antara dua benda tersebut bahawa gandum tergolong dalam makanan manakala al-ashnaan tidak.


Qiyas al-Syabah (Penyamaan seiras)

Terdapat satu  jenis al-Qiyas yang dinamakan Qiyas al-Syabah (penyamaan seiras). Maksudnya ialah terdapat satu cabang yang berada di antara dua asal yang berbeza hukum di mana cabang tersebut mempunyai iras dengan setiap satu daripada kedua-dua asal tersebut. Di sini cabang ini digolongkan kepada asal yang paling banyak iras dengannya.

Contohnya: seorang hamba; adakah dia mempunyai hak memiliki iaitu dengan diqiyaskan kepada orang merdeka, atau adakah dia tidak mempunyai hak memiliki iaitu dengan diqiyaskan kepada binatang? Apabila kita melihat kepada dua asal ini iaitu orang merdeka dan binatang, kita dapati hamba tadi berada di tengah. Dari sudut sifatnya sebagai manusia yang berakal, diberi balasan pahala dan balasan dosa, diberi hak bernikah dan menceraikan; dia menyerupai manusia. Dari sudut sifatnya dijual beli, boleh digadai, diwakafkan, dihadiahkan, diwarisi dan boleh diuruskan seperti harta; dia menyerupai binatang. Sebenarnya kita dapati hamba itu dari sudut urusan kehartaan lebih menyerupai binatang. Dengan ini dia digolongkan kepada binatang. Jenis al-Qiyas ini adalah lemah kerana tidak terdapat sebab yang sesuai kecuali bahawa cabangnya seiras dengan salah satu asal dalam kebanyakan hukum-hukum di samping terdapat asal lain yang merebut keirasannya.


Qiyas al-‘Aks (Penyamaan dari sudut berlawanan)

Terdapat satu  jenis al-Qiyas yang dinamakan Qiyas al-‘Aks (penyamaan dari sudut berlawanan). Maksudnya ialah penetapan lawan kepada hukum asal untuk cabang kerana wujudnya lawan kepada sebab hukum asal dalam cabang itu.

Contohnya ialah hadith berikut:

وَفِي بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ. قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَأتِي أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرٌ؟

قَالَ  أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِي حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ فِيهَا وِزْرٌ فَكَذَلِكَ

إِذَا وَضَعَهَا فِي الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرًا.[8]

Maksudnya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda “Dan di dalam urusan kemaluan seseorang kamu ada sedekah.” Sahabat berkata “Wahai Rasulullah, adakah sekiranya seseorang dari kami mendatangi syahwatnya, dia akan memperoleh pahala?” Jawab Baginda “Tidakkah kamu memerhatikan sekiranya dia meletakkannya di dalam urusan yang haram, bukankah dia memperoleh dosa; begitulah halnya sekiranya dia meletakkannya di dalam urusan yang halal, pasti dia memperoleh pahala.”

Di dalam hadith ini, Rasulullah s.a.w. telah menetapkan bagi cabang iaitu persetubuhan yang halal, satu hukum yang merupakan lawan kepada hukum asal iaitu persetubuhan yang haram kerana wujudnya lawan kepada sebab hukum asal dalam cabang. Baginda telah menetapkan pahala bagi cabang kerana ianya adalah persetubuhan halal sebagaimana Baginda s.a.w. menetapkan dosa bagi asal kerana ianya adalah persetubuhan haram.


Kandungan


[1] Sahih Muslim, Kitab al-Shiyam, Bab Qadha' al-Shiyam 'an al-mayyit, No. 1938.
[2] Sahih al-Bukhari, Kitab al-Talaq, Bab Iza 'uridha bi nafy al-walad, No. 4893.
[3] Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Nikah, Bab Ma ja' la nikah illa bi wali, No. 1020. Hadith sahih, lihat Saih al-Jami' oleh al-Albani, No. 7556, 7557 dan 7558, juga Sahih Sunan al-Tirmizi oleh al-Albani, No. 1101. (penterjemah)
[4] Sahih al-Bukhari, Kitab al-Thalaq, Bab Khiyar al-amah taht al-'abd, No. 4874.
[5] Sahih al-Bukhari, Kitab al-Wudhu', Bab La yustanja bi rauts, No. 152.
[6] Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ahkam, Bab Hal yaqdi al-qadhi aw yufti wa huwa ghadhban, No.6625.
[7]  al-Ashnaan ialah sejenis tumbuhan wangi yang dikeringkan dan dihiris untuk dijadikan bahan pembersih (seperti serbuk sabun).
[8] Sahih Muslim, Kitab al-Zakah, Bab Bayan anna ism al-shadaqah yaqa' 'ala kull nau', No. 1674.