Header Ads

test

Fiqh al-Manhaji al-Syafii: Syarat Sah Solat

Pengertian Al-Syarṭ

Al-Ṣyarṭ bermaksud sesuatu perkara yang wujud disebabkan kebergantungan kepada perkara yang lain sedangkan ia bukanlah  sebahagian daripadanya.

Contohnya: Tumbuh-tumbuhan. Tumbuh-tumbuhan hanya akan wujud apabila ada hujan. Sedangkan telah diketahui bahawa hujan bukanlah sebahagian daripada tumbuh-tumbuhan. Justeru itu, hujan telah menjadi syarat kepada kewujudan pokok. 

Sekarang pula, apakah syarat sahnya solat? Al-Imam al-Syāfiʿie merumuskan ia kepada empat perkara: 

(1) Bersuci (Al-Ṭaḥārah)

Telah diketahui sebelum ini di dalam bab Al-Ṭahārah bahawa ia terbahagi kepada empat bahagian: Setiap perkara berkenaan hendaklah lengkap supaya menjadikan solat itu sah. Perkara-perkara tersebut ialah:

(a) Suci anggota badan daripada hadas. 

Tidak sah solat bagi orang yang berhadas, sama ada hadis kecil – iaitu keadaan tanpa wuduk, atau hadas besar seperti al-Janābah. Hal ini berdasarkan kepada sabda baginda Nabi Muhammad SAW di dalam hadis yang sahih:

لَا تُقْبَلُ صَلَاةٌ بِغَيْرِ طُهُورٍ

Solat tidak diterima tanpa bersuci.

(HR Muslim: 224)

(b) Tubuh badan bersih daripada sebarang najis

Anda telah mengenali najis dan jenis-jenisnya pada bab al- Ṭaḥārah juga sebelum ini. Dalil bagi perkara berkenaan ialah sabda Nabi Muhammad SAW terhadap dua orang yang diseksa di dalam kubur mereka. Nabi bersabda:

أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لاَ يَستَبْرِئُ مِنَ البَوْلِ

Seorang daripada mereka tidak bersuci dengan baik daripada kencing.

(HR al-Bukhāri: 215, Muslim: 292) di dalam riwayat yang lain menyebutka “Lā Yastatiru – tidak menutup”, riwayat yang lain pula menyatakan “Lā Yastanzihu – tidak membersihkannya”. Semua riwayat berkenaan sahih dengan membawa makna: Tidak menjauhinya dan tidak mengelakkannya. 

Demikian juga keadaan semua najis yang seumpama kencing. Rasulullah SAW berkata kepada Fāṭimah bin Abi Hubāiṣy: 

فَإِذَا أَقْبَلَتِ الحَيْضَةُ فَاتْرُكِي الصَّلاَةَ، فَإِذَا ذَهَبَ قَدْرُهَا، فَاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّي

Apabila engkau didatangi haid, maka tinggalkanlah solat. Apabila selesai tempohnya, maka basuhlah darah itu dan solatlah. 

(HR Al-Bukhāri: 266, Muslim: 333)

(c) Suci pakaian daripada najis.

Tidak sekadar tubuh badan sahaja yang bersih daripada najis, tetapi pakaian juga orang yang bersolat juga hendaklah suci daripadanya. Hal ini berdasarkan firman Allah:

4. dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.

(Al-Mudassir: 4)

Diriwayatkan juga oleh Abu Daud (365) daripada Abu Hurairah yang menyatakan: Khāulah binti Yasār datang menemui Nabi Muhammad, lalu berkata: 

Wahai Rasulullah! Aku tidak mempunyai melainkan satu pakaian sahaja. Sedangkan aku didatangi haid dan terkena padanya. Bagaimanakah yang sepatutnya aku lakukan? 
Nabi Muhammad menjawab: 

إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ، ثُمَّ صَلِّي فِيهِ

Apabila engkau telah bersih, basuhlah pakaian itu kemudian solatlah dengannya.

Fatimah bertanya lagi: Bagaimana pula jika darah itu tidak keluar? 

Nabi Muhammad menjawab: 

يَكْفِيكِ غَسْلُ الدَّمِ وَلَا يَضُرُّكِ أَثَرُه

Memadailah bagi kamu untuk membasuh darah tersebut dan tidak mengapa jika kesannya masih ada. 

(d) Suci tempat daripada najis.

Tempat yang dimaksudkan ialah tempat yang digunakan untuk bersolat. Seseorang yang mahu bersolat akan berada di situ termasuk tempat pijak sehingga tempat sujud yang bersentuhan dengan tubuh badannya ketika solat. 

Manakala tempat yang tidak menyentuh badan, maka tidak memudaratkan sekalipun tempat itu bernajis seperti ruang pada dada ketika rukuk dan sujud.

Dalil bagi syarat ini ialah suruhan Nabi Muhammad supaya dicurahkan air kepada tempat yang terkena air kencing al-A`rabi di dalam masjid. (HR al-Bukhāri: 217). Demikian juga Diqiaskan tempat solat dengan pakaian kerana kedua-duanya bersentuhan dengan badan.

(2) Mengetahui Masuk Waktu Solat

Anda telah ketahui bahawa setiap solat wajib mempunyai waktu-waktu tertentu. Maka wajib anda melakukan pada waktu itu.

Walau bagaimanapun, bersolat dalam waktunya sahaja belum memadai malah orang yang bersolat mesti mengetahui waktunya sebelum melakukan solat berkenaan. Oleh itu, tidak sah solat seseorang yang tidak mengetahui masuk waktunya walaupun ternyata kemudiannya solat yang dilakukannya itu berbetulan pada waktu yang disyariatkan. 

·         Cara Mengetahui Masuk Waktu

Diketahui masuk waktu solat dengan tiga cara berikut: 

(1)Al-ʿIlmu al-Yaqīnī (Mengetahui dengan yakin). 

Iaitu berpegang kepada dalil yang nyata seperti melihat matahari yang terbenam ketika berada di atas laut. 

(2)Al-Ijtihād

Berpegang kepada dalil yang zanni yang memberi petunjuk tidak langsung seperti baying-bayang atau dengan mengukur amalan dan lamanya. 

(3)Al-Taqlīd

Sekiranya tidak mungkin mengetahui masuk waktu dengan yakin atau ijtiḥād, seperti tidak tahu waktu-waktu solat dan dalilnya, dia hendaklah bertaqlid sama ada kepada orang yang mengetahuinya melalui dalil-dalil yang nyata atau kepada seorang mujtahid yang berpegang kepada dalil zanni. 

·         Hukum Solat di Luar Waktu

Apabila telah jelas seseorang itu bersolat sebelum masuk waktu, makasolat itu dianggap batal dan wajib mengulanginya. Sama ada dia berpegang kepada ilmu yakin, ijtihad atau taqlid. 

(3) Menutup Aurat

Ini ialah syarat ketiga daripada syarat-syarat sah solat. Syarat ini hanya dapat difahami dengan mengetahui perkara berikut: 

(a) Pengertian Aurat

Aurat daripada segi syarak bermaksud: Semua anggota yang diwajibkan untuk ditutup atau diharamkan untuk dilihat. 

(b)Batasan Aurat di dalam solat

Batasan bagi lelaki: Di antara pusat sehingga lutut[1], maka wajib untuk tidak memperlihatkannya ktika solat. 

Batasan bagi wanita: Semua anggota tubuh kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan. Wajib untuk tidak memperlihatkan kecuali yang telah dinyatakan. 

Firman Allah: 

… Pakailah pakaian kamu Yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang)…

(Al-Aʿraf: 31)

Ibn Abbas memberi ulasan: Maksud ayat tersebut adalah untuk menerangkan perihal pakaian ketika bersolat. 

Demikian juga diriwayatkan oleh al-Tirmizi (277) – beliau menghasankannya, daripada Aisyah katanya: Rasulullah bersabda: 

لاَ تُقْبَلُ صَلاَةُ الحَائِضِ إِلاَّ بِخِمَارٍ

Tidak diterima solat perempuan yang telah didatangi haid (baligh) melainkan dengan menutup kepalanya. 

[Al-Hāiḍ: Seorang yang telah baligh, disebut begitu kerana dia telah sampai umur haid. Al-Khimār: Sesuatu yang digunakan oleh wanita bagi menutupi kepalanya – apabila wajib menutupi kepala maka menutupi seluruh badan adalah lebih utama.]

(c) Batasan Aurat di Luar Solat

Batasan aurat Lelaki:

Di dalam apa juga keadaan dan kepada mahram perempuannya ialah bahagian di antara pusat sehingga lutut. 

Sementara aurat lelaki terhadap wanita ajnabiyyah (luar) pula ialah solain daripada muka dan kedua-dua tapak tangan mengikut pendapat muktamad[2]. Dengan maksud tidak boleh bagi wanita ajnabiyyah untuk melihat kepada lelaki ajnabiyyah selain daripada muka lelaki dan tangannya. Sekiranya dilihat dengan pandangan penuh syahwat, maka ia tetap haram sekalipun hanya melihat muka sahaja. 

Allah berfirman: 

31. dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; …

(Al-Nur: 31)

Batasan Aurat Wanita: 

Batasan aurat perempuan Islam sesama wanita muslimah ialah antara pusat sehingga lultutnya. Manakala apabila bersama wanita kafir ialah seluruh tubuh kecuali anggota yang biasa kelihatan kerana keperluan tugas seperti kerja-kerja di rumah dan sebagainya.[3]

Sementara itu aurat perempuan terhadap lelaki mahram ialah bahagian badan di antara pusat dan lutut iaitu harus menampakkan selurruh tubuhnya dengan syarat aman daripada fitnah. Sekiranya tidak maka tidak harus baginya untuk menampakkannya. 

Allah berfirman: 

…; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; …

(Al-Nur: 31)

Perkataan al-Zīnah (perhiasan) di dalam ayat di atas bermaksud tempat perhiasan tersebut iaitu bahagian anggota atas pusat dan bawah lutut.

[Buʿulatiḥinna: Suami-suami mereka. Nisāiḥinna: Wanita muslimah]

Aurat perempuan terhadap lelaki yang bukan mahram pula ialah keseluruhan tubuh wanita itu adalah aurat. Maka tidak boleh dia mendedahkannya melainkan dalam keadaan wujud keuzuran. Begitu juga sebaliknya, orang lelaki ajnabi itu tidak boleh melihat keseluruhan tubuh badan wanita ajnabiyyah jika ia terdedah. 

Allah berfirman: 

30. Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka;…

(Al-Nur: 30)

Diriwayatkan oleh al-Bukhari (365), daripada Aisyah, katanya: 

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي الفَجْرَ، فَيَشْهَدُ مَعَهُ نِسَاءٌ مِنَ المُؤْمِنَاتِ مُتَلَفِّعَاتٍ فِي مُرُوطِهِنَّ، ثُمَّ يَرْجِعْنَ إِلَى بُيُوتِهِنَّ مَا يَعْرِفُهُنَّ أَحَدٌ

Rasulullah SAW bersolat subuh, beberapa orang wanita yang menutup seluruh tubuh badannya juga bersolat bersama-sama baginda. Selepas itu mereka balik ke rumah mereka, sedangkan kami tidak mengenali mereka seorangpun. 

(Mutalaffiʿāt: Mutalaffifāt bi Aksiyatiḥinna. Al-Lifāʿ: Pakaian yang menutupi seluruh tubuhnya.)

Keadaan yang harus mendedahkan aurat dan melihatnya dengan sebab-sebab dimaafkan (Uzur)

1- Ketika meminang perempuan dengan tujuan bernikah, harus melihat muka dan kedua-dua tapak tangan sebagaimana yang akan dijelaskan di dalam bab nikah.

2- Untuk menjadi saksi atau berurusan. Harus melihat wajahnya secara khusus. Sekiranya ada keperluan yang menuntut untuk mengenali wanita itu serta tidak akan dikenali melainkan dengan melihatnya. 

3- Dengan tujuan merawat dan berubat. Harus mendedahkan aurat dan melihatnya dengan kadar keperluan sahaja. 

Diriwayatkan oleh Muslim (2206) daripada Jabir bin Abdullah katanya: 

Ummu Salamah meminta izin Rasulullah SAW untuk berbekam lalu Nabi SAW pun menyuruh Abu Ṭaibah untuk membekamnya.

(4) Menghadap Kiblat

Ini ialah syarat ke empat daripada syarat-syarat sah solat.

Dalil Kewajipan:

Dalil bagi syarat ini sangat jelas daripada firman Allah:


150. dan dari mana sahaja Engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haraam (Kaabah); …

(Al-Baqarah: 150)

Demikian juga hadis yang diriwayat oleh al-Bukhāri (5897) dan Muslim (397) ketika baginda Nabi Muhammad mengajarkan kepada orang tentang tatacara solat;

«إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَأَسْبِغِ الوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ القِبْلَةَ فَكَبِّرْ

Apabila engkau hendak solat, berwuduklah dengan sempurna, kemudian menghadaplah kiblat dan bertakbir.

Maksud “Masjid” di dalam ayat al-Quran di atas serta maksud Qiblat di dalam hadis ialah Ka`bah.

Sejarah Pensyariatan

Diriwayatkan oleh al-Bukhāri (390) dan Muslim (525) daripada riwayat al-Barā’ bin ʿAzīb, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى نَحْوَ بَيْتِ المَقْدِسِ، سِتَّةَ عَشَرَ أَوْ سَبْعَةَ عَشَرَ شَهْرًا، وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحِبُّ أَنْ يُوَجَّهَ إِلَى الكَعْبَةِ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ: {قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ} [البقرة: 144]، فَتَوَجَّهَ نَحْوَ الكَعْبَةِ

Rasulullah bersolat menghadap baitul Maqdis selama 16 atau 17 bulan, dan Rasulullah SAW ingin dihadapkan ke Kaabah. Lalu Allah menurunkan ayat yang bermaksud: (Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang memandang ke langit). Lalu baginda pun menghadap Kaabah.

Justeru itu, dinyatakan bahawa sejarah pensyariatan kiblat kea rah kaabah bermula sejak awal hijrah nabi ke Madinah.

Cara Penentuan Arah Kiblat

Orang yang dekat sehingga mampu melihat kaabah dan orang yang jauh sehingga tidak mampu melihat kaabah, kedua-duanya wajib menghadap kiblat.

Orang yang bersolat berdekatan Kaabah hendaklah menghadap ‘ain’ Kaabah itu dengan yakin.
Manakala orang yang jauh pula wajib menggunakan petunjuk-petunjuk Zanni yang menunjukkannya sekiranya dia tidak mampu mendapatkan bukti yang pasti dan tepat.

Bagaimana Bersolat

Bilangan Rakaat:

ApabilaAllah mewajibkan umat Islam untuk bersolat lima waktu, Allah telah mengutuskan Jibril kepada Nabi Muhammad untuk menerangkan waktu mula dan akhir. Dijelaskan juga bilangan rakaat berkenaan. Ianya seperti berikut:

·         Solat Fajar: Dua (2) Rakaat dengan dua kali berdiri dan tasyahud akhir.
·         Solat Zohor: Empat (4) Rakaat dengan dua kali tasyahhud. Tasyahud pertama ketika dua rakaat pertama manakala tasyahud kedua ketika akhir solat.
·         Solat Asar: Empat Rakaat seperti solat Zohor
·         Solat Maghrib: Tiga rakaat dengan dua tasyahud. Tasyahud pertama ketika dua rakaat pertama manakala tasyahud kedua ketika akhir solat.
·         Solat Isya’: Empat rakaat seperti solat zohor dan Asar.


__________ Nota Kaki _______

[1] Nabi SAW bersabda:


فَإِنَّ مَا تَحْتَ السُّرَّةِ إِلَى رُكْبَتِهِ مِنَ الْعَوْرَةِ
Di bawah pusat sehingga lututnya itu adalah aurat.
(HR. Ahmad 2/187, Al Baihaqi 2/229. Syaikh Syu’aib Al Arnauth menyatakan sanad hadits ini hasan)
[2] Dalilnya ialah riwayat daripada Ummu Salamah, katanya: Aku berada bersama-sama Rasulullah. Ketika itu ada juga Maimunah. Kemudian datanglah Ibn Ummi Maktum, ketika itu telah diperintahkan kepada kami untuk berhijāb. Lantas Nabi bersabda: “Berhijablah kamu berdua daripadanya”. Lantas kami bertanya: Wahai Rasulullah, bukankah dia seorang yang buta tidak dapat melihat dan tidak mengenali kami? Lantas baginda menjawab: Adakah anda berdua juga buta? Bukankah anda berdua dapat melihatnya? (HR Abu daud (4112), al-Tirmizi (2778) beliau menyatakan hasan Sahih).
[3] Soalan : Adakah dikira aurat jika sejenis tetapi berlainan agama? Contoh, perempuan Buddha gunting rambut perempuan Islam dalam kedai yang tertutup.
▶ Jawapan : Tidak aurat menurut satu pendapat ulama.
▶ Fakta :
Ulama berbeza pendapat dalam menentukan Aurat wanita Islam apabila bersama orang bukan Islam.
◆ Pendapat Pertama : Tidak Aurat.
- Hujah : Sama jenis. Sepertimana lelaki bukan islam tidak dilarang melihat lelaki Islam, demikian juga wanita.
- Pendapat ini dipegang oleh ulama Mazhab Hanbali dan Sebahagian Mazhab Syafiie.
- Menurut Imam Fakhrurazi, “Inilah pandangan yang lebih mudah bagi manusia hari ini, kerana hampir tidak mungkin untuk para Muslimah hari ini berhijab tatkala berhadapan wanita-wanita bukan Islam."
◆ Pendapat Kedua : Aurat.
- Hujah : Surah An-Nur, ayat 31 tidak memberi pengecualian kepada wanita bukan Islam. Demikian juga apa yang dilakukan oleh Saidina Umar R.A. apabila beliau melarang wanita kristien dan Yahudi (Kitabiyat) dari masuk ke tempat mandi bersama wanita Islam.
- Pendapat ini dipegang oleh majoriti ulama dalam Mazhab Hanafi, Maliki, dan pendapat Al-Asah dari Mazhab Syafiie.
◆ Kesimpulan Syeikh Abdul Aziz bin Baz RH :
"Tidak wajib berhijab di hadapan wanita yang bukan Islam. (Hukum) mereka itu sama seperti wanita lain pada pendapat yang lebih tepat berbanding dua pendapat ulama."


No comments

Powered by Blogger.