Kelahiran Insan Termulia 


Penghulu para nabi, Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan daripada kelompok Bani Hasyim di Mekah pada hari Isnin, 9 Rabiul Awal pada tahun terjadinya Peristiwa Gajah atau setelah berlalu 40 tahun pemerintahan Kisra Anusyirwan di Parsi. Itu bererti bertepatan dengan tarikh 20 atau 22 April tahun 571 M, sebagaimana disimpulkan oleh ulama ternama Muhammad Sulaiman al-Mansyurfuri.

Tetapi kenyataan ini tidak dipersetujui oleh semua ulama. Saya menyatakannya kerana menukilkan kata-kata Syeikh Sofiyurrahman al-Mubarakfuri. Saya cenderung dengan pendapat beliau. 

Khilaf Tarikh


  • Kata Ibnu Kathir:Baginda dilahirkan pada 2 Rabi’ul Awwal. Pendapat ini disebut oleh Ibn Abd Al-Barr dalam kitab ‘Al-Isti’ab’ dan diriwayatkan oleh Al-Waqidi.
  • Al-Humaidi pula menghikayatkan daripada Ibn Hazm bahawa tarikh kelahiran Baginda saw adalah pada 8 Rabi’ul Awwal.
  • Dikatakan bahawa tarikh kelahiran Baginda saw adalah pada 12 Rabi’ul Awwal sebagaimana yang di riwayatkan pleh Ibn Ishaq dan di riwayatkan oleh Abi Syaibah dalam Musannafnya daripada Jabir dan Ibn Abbas ra. Kata mereka berdua: (( Rasulullah saw dilahirkan pada tahun Gajah, hari Isnin 12 Rabi’ul Awwal. Pada nya juga Baginda dibangkitkan  menjadi nabi dan padanya Baginda diMikrajkan ke langit, padanya Baginda wafat dan padanya Baginda saw wafat.))  kata Ibnu Kathir: Inilah pendapat yang jumhur di kalangan ulama’. Wallahu a’lam.
  • Dikatakan bahawa tarikh kelahiran Baginda saw adalah pada 17 Rabi’ul Awwal. Pendapat ini dinaqalkan oleh Ibnu Dihyah, daripada sebahagaian golongan Syiah.
  • Dikatakan bahawa tarikh kelahiran Baginda saw adalah pada 22 Rabi’ul Awwal sebagaimana dinaqalkan oleh Ibnu Dihayah, daripada catatan al-Wazir Abi Rafi’.


Masyarakat kita secara umumnya telah menerima pendapat bahawa tarikh kelahiran Nabi Muhammad terjadi pada 12 Rabi` al-Awwal. Sehingga sebahagian besar negeri-negeri di Malaysia menjadikan ulang tahun hari berkenaan sebagai cuti “Maulidur Rasul”. Namun, tarikh berkenaan kelihatan bercanggah daripada sudut fakta sejarah, hadis serta kajian falak.  

Pendapat yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad dilahirkan pada 12 Rabiul Awwal itu walaupun popular tetapi ia berasaskan riwayat yang lemah kerana ia berpunca daripada Ibnu Ishaq seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya. 

Pendirian kita jelas terhadap riwayat Ibn Ishaq sepertimana yang telah saya nukilkan di dalam buku “Asas Ilmu Hadis Untuk Pelajar Sirah Nabi”:

Para ulama berbeza pendapat tentang status Muhammad bin Ishaq di dalam hadis. Pendapat yang paling baik ialah Muhammad dikenali dengan sikap Tadlis (menyembunyikan perawi), justeru itu beliau tidak boleh bersendirian di dalam meriwayatkan hadis. Sebagai penuntut ilmu kita hendaklah mencari riwayat daripada jalur ulama hadis yang lain yang lebih sahih daripada beliau. Jika Muhammad bin Ishaq bersendirian dalam meriwayatkannya, maka riwayat itu tidak diterima. 

Dalam isu ini, tidak ada hadis sahih yang menyebutkan tentang tarikh Nabi Muhammad dilahirkan. Justeru itu, harus bagi kita mengambil manfaat daripada usaha-usaha lain seperti kajian sejarah dan falak.

Seorang ahli falak bernama Mahmud Pasha cuba menentukan tarikh gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman Nabi s.a.w. hingga ke zaman beliau. Berdasarkan kajian beliau, hari Isnin tidak mungkin bertepatan dengan 12 Rabiul Awwal mengikut perkiraan bagaimana sekalipun bahkan hari Isnin pada bulan berkenaan (Rabiul Awwal) jatuh pada 9 haribulan. Beliau mengemukakan beberapa alasan untuk menyokong hasil kajiannya. Antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh Mahmud Pasya ialah:

Di dalam Sahih al-Bukhari disebut ketika anak Rasulullah saw iaitu Ibrahim wafat, telah berlaku gerhana matahari iaitu pada tahun ke 10 Hijrah dan Nabi Muhammad s.a.w. ketika itu berusia 63 tahun.

Imam al-Bukhari dengan sanadnya merekodkan bahawa Al-Mughirah bin Ṣyuʿbah berkata: Telah berlaku gerhana matahari ketika hari kematian Ibrāḥīm, lalu orang ramai berkata: Berlaku gerhana kerana kematian Ibrāḥīm! Lantas Rasulullah SAW berkata: 

Gerhana matahari dan bulan merupakan dua tanda kebesaran Allah! Ia tidak menjadi gerhana kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Apabila kamu melihat kedua-duanya, maka mohonlah kepada Allah dan berdoalah sehingga ia berlalu.

(HR al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari: 1060)

Berdasarkan kaedah kiraan falak, diketahui bahawa gerhana matahari yang berlaku pada tahun 10H itu adalah bertepatan dengan 7 Januari 632M pukul 8.30 pagi.

Berdasarkan kepada kiraan ini, sekiranya kita undurkan 63 tahun ke belakang mengikut tahun qamariah, maka kelahiran Nabi saw jatuh pada tahun 571M. Berdasarkan kira-kira yang telah dibuat beliau, 1 Rabiul Awwal menepati 12 April 571M.

Perselisihan pendapat berlaku tentang tarikh kelahiran Nabi s.a.w. walau bagaimanapun begitu semua pihak telah sepakat mengatakan ia berlaku pada hari Isnin bulan Rabiul Awwal tersebut. Tetapi Mahmud Pasya mendapati hari Isnin jatuh pada 9hb. Rabiul Awwal bersamaan 20 April 571M. Ini menguatkan lagi pendapat ulama-ulama muktabar yang telah disebutkan di atas.

Sepakat Hari


Imam Muslim dengan sanadnya merekodkan bahawa Abu Qatādah al-Anṣāry menyatakan bahawa Nabi Muhammad ditanya tentang puasa pada hari Isnin, lalu baginda menjawab:

Ia adalah hari aku dilahirkan serta hari aku dibangkitkan – atau diturunkan wahyu kepadaku.

(HR Muslim di dalam Sahih Muslim: 197)

Di antara penulis sirah mutaakhir yang menyokong pendapat ini ialah Syeikh Muhammad Al Khudhori Bik di dalam “Nurul Yaqin” (hal. 6), Safiyyuul Rahman Al Mubarakpuri di dalam “Ar Rahiqul Makhtum” (halaman 54), `Allamah Sibli Nu’mani di dalam “Siratun Nabi” (jilid 1 hal. 176), Maulana Abdul Kalam Azad di dalam “Rasul Rahmat” (hal. 37) dan lain-lain.

Sepakat Tahun


Daripada sudut tahun, ulama hampir bersepakat bahawa ia berlaku pada tahun berlakunya peristiwa serangan tentera bergajah. Ibn al-Qayyim berkata: 

Tiada khilaf bahawa Nabi Muhammad dilahirkan di perkarangan Kaabah serta pada tahun Gajah.

Dr. Akram menyatakan bahawa riwayat-riwayat yang kuat telah menunjukkan bahawa Nabi Muhammad dilahirkan pada tahun berlakunya peristiwa bergajah. Beliau menyatakan di dalam nota kaki sebagai rujukan: 

Rujuk al-Hākim: al-Mustadrak jilid 2, halaman 603 dengan isnad yang bersambung kepada Ibn ʿAbbās. Di dalamnya terdapat kecacatan Tadlis Abi Ishaq al-Sabiʿie. – beliau telah melakukan ʿanʿanah. 

Demikian juga sila rujuk Sirah Ibn Hisyām jilid 2, halaman 155 dengan sanad kepada Qais bin Makhramah. Di dalamnya terdapat perawi bernama al-Muṭṭalib bin Abdullah bin Qais bin Makhramah – beliau ialah perawi maqbul yang memerlukan mutābaʿah bagi menguatkannya. Kedua-dua riwayat ini saling menguatkan antara satu sama lain lalu ia membawa kepada Hasan Li Ghairihi.

Faedah daripada Perbezaan Pendapat Ulama


Apabila kita telah memahami bahawa para ulama sejak dari dahulu lagi telah berbeza pendapat tentang tarikh kelahiran Rasulullah SAW, demikian kerana tidak ditemui kenyataan berkeaan daripada para sahabat Nabi Muhammad. 

Ini menunjukkan bahawa para sahabat Nabi tidak begitu mengambil penting tentang tarikh kelahiran Rasulullah SAW. Berkemungkinan ia tidak berkaitan dengan wahyu dan risalah Islam yang disampaikan. Hal demikian berlaku juga berkemungkinan mereka tidak merayakan hari berkenaan sekalipun mereka adalah orang yang paling cintakan Nabi Muhammad. 

Hal ini demikian lebih jelas apabila hadis yang mengaitkan Nabi Muhammad dengan kisah lalunya dikaitkan dengan ibadah dan risalah. Justeru itu Nabi Muhammad mengaitkan puasa beliau pada hari Isnin dengan hari beliau dilahirkan. 

Apabila jelas hadis berkenaan, maka orang yang cintakan Nabi serta bersungguh-sungguh menyintainya akan menyintai puasa pada hari Isnin. 

Allah lebih tahu.

Peristiwa Ketika Kelahiran 

Kisah 1: Aminah tidak merasa dirinya mengandung. 


Diberitakan kepada kami oleh Muhammad bin Umar bin Wāqid al-Aslamī, katanya: Diceritakan kepada kami oleh Ali bin Yazid bin Abdullah bin Wahb bin Zamʿah, daripada ayahnya daripada ibu saudaranya, katanya: Kami mendengar cerita bahawa ketika ibu Rasulullah SAW iaitu Aminah binti Wahb mengandung, dia berkata:

Ketika aku mengandung, aku tidak merasa sebarang keberatan sepertimana yang biasa dialami oleh orang perempuan. Tetapi aku beringkar-ingkar kerana haid aku tidak datang berkemungkinan ia pergi dan mungkin akan kembali. Sehinggalah datang satu tanda ketika aku dalam keadaan jaga dan tidur. Ia berkata: Adakah engkau sedar bahawa engkau sebenarnya sedang menangdung? Seolah-olah aku menjawab: Aku tidak tahu. Lantas ia berkata: Engkau sedang mengandungkan seorang penghulu dan nabi bagi umat ini. Ia akan berlaku pada hari Isnin. Sejak itu aku baru yakin bahawa sedang mengandung. Tetapi fikiranku terganggu sehingga hampir kepada hari melahirkan. Datanglah tanda tadi lalu berkata: Katakanlah: Aku meminta perlindungan al-Wāhid al-Ṣamad (yang satu dan tempat bergantung hajat) daripada segala kejahatan orang-orang yang dengki. Lalu aku menyebutkan doa itu dan menceritakannya kepada wanita-wanita lain
(HR Ibn Saad, Tabaqat al-Kubra: jld 1, hlm 78 & 79)

Kisah ini mempunyai kecacatan yang jelas daripada sudut sanad hadis. Ia diriwayatkan daripada jalan al-Waqidi. Para ulama telah menyatakan bahawa riwayat al-Waqidi tidak diterima jika tidak dikuatkan oleh mana-mana riwayat yang lain. 

  1. Muhammad b. Ibrahim b. ‘Adi (w.194H): Hadis-hadisnya tidak terjaga dan bala [masalah] datang daripadanya.
  2. Abu ‘Abd Allah Muhammad b. Idris al-Shafi‘i (w.204H): Buku-buku karya al-Waqidi adalah dusta.
  3. ‘Ali b. al-Madini (w.231H): al-Waqidi telah mereka-reka hadis.
  4. Yahya b. Ma‘in (w.233H): Hadis beliau tidak dicatatkan [diriwayatkan].  
  5. Ahmad b. Muhammad b. Hanbal (w.241H): Beliau adalah seorang pendusta dan memutarbelitkan hadis-hadis.
  6. Al-Bukhari (w.256H): Matruk [Hadis-hadis beliau tidak diambil].
  7. Al-Nawawi (w.676H): Hadis-hadis al-Waqidi telah disepakati bersifat lemah.
  8. Al-Zahabi (w.748H): Aku tidak mencatatkan riwayat hidupnya di sini kerana para ulama telah bersepakat meninggalkan hadisnya


Justeru riwayat ini ditolak kerana ia berada dalam status Dhoif berat. Tidak boleh berhujah dengannya serta tidak boleh disampaikan melainkan dengan tujuan untuk menyatakan kedhoifannya.

Kisah 2: Aminah Bermimpi Dinamakan Nabi Muhammad 


Abu Nuʿaim dengan sanadnya merekodkan dengan sanadnya bahawa Ibn Buraidah bercerita tentang satu kisah yang diambil daripada bapanya: Kata bapanya: 

Aminah binti Wahb, ibu Nabi Muhammad SAW bermimpi: Dikatakan kepadanya: “Engkau mengandungkan sebaik-baik manusia dan penghulu semesta alam. Apabila engkau telah melahirkannya, berilah namanya Ahmad atau Muhammad. Gantungkan ini kepadanya.”Apabila terjaga, Aminah melihat helaian emas yang tertulis: 

(Direkodkan oleh Abu Nu`aim di dalam Dalail Nubuwah: 78)

Muhammad bin Yusuf al-Syami di dalam Subul al-Huda wa al-Rasyad menyatakan: Kisah ini direkodkan oleh Abu Nuaim dengan sanad yang sangat meragukan (Wahin Jiddan). Aku menyatakan di sini dengan tujuan memberi peringatan kerana ia popular di dalam kitab-kitab yang menyebutkan kelahiran Nabi Muhammad. 

Sebahagian orang cuba untuk beralasan dengan pandangan al-Zahabi yang menyatakan hadis ini dinilai Jayyid (baik) oleh al-Zahabi. Tetapi perkara itu dibidas oleh Dr. Akram kerana  di dalam riwayat hadis ini terdapat seorang perawi bernama Jahm bin Abi Jahm yang dinilai Dhoif oleh Imam al-Zahabi sendiri. 

Kisah 3: : Lahir dalam Keadaan Sujud


Dikatakan bahawa Hasān bin ʿAṭiyyah menyatakan: 

Ketika dilahirkan, Rasulullah  berada (dalam keadaan sujud) berteleku pada kedua-dua tangan dan lututnya, manakala pandangannya mengadah ke langit. 

(HR Ibn Sad di dalam Tabaqat al-Kubra: Jil: 1, hlm: 103)

Dr. Akram Dhiya` menyatakan: 

Sanadnya Dhoif. Sebahagian hadis lain nampak cuba menguatkannya tetapi ia tidak dapat kerana ia mengandungi riwayat-riwayat al-Waqidi. Al-Waqidi itu matruk (ditinggalkan hadisnya). Demikian juga hadis-hadis mursal yang dinyatakan tidak boleh menguatkan kerana ia daripada tabiin-tabiin pada peringkat keempat (Al-Tabaqah al-Rābiʿah) – mereka itu ialah Hasān bin ʿAtiyyah, Ishāq bin Abdullah dan yang sesudah mereka seperti Daud bin Abi Hind, kerana berkemungkinan ia datang daripada sumber yang sama.

Kisah 4: Terkejutnya Orang Mekah


Abu Nuʿaim merekodkan: Dikatakan bahawa Ibn ʿAbbās bercerita: 

Pada zaman Jahiliyyah, apabila seseorang dilahirkan pada waktu malam, mereka akan meletakkannya di bawah suatu bekas. Mereka tidak melihatnya sehinggalah tiba waktu pagi. Apabila Rasulullah SAW dilahirkan, mereka meletakkannya di bawah Burmah (sebuah periuk yang terbuat daripada batu). Apabila sudah pagi, mereka pergi ke tempat berkenaan. Tiba-tiba mereka dapati Burmah itu terbelah dua. Mereka melihat pandangan Nabi Muhammad mengarah ke langit. Mereka terkejut dengan peristiwa berkenaan. 

(Direkodkan oleh Abu Nu`aim, Dalail Nubuwah: Jil 1, hlm: 172)

Hadis ini adalah hadis Muʿḍal kerana di dalam sanadnya terdapat perawi bernama Abdullah bin Solih yang merupakan seorang yang jujur tetapi banyak melakukan kesilapan. Diriwayatkan juga oleh al-Baihaqi di dalam al-Dalail dengan hadis Mursal Abu al-Hakam al-Tanūkhi – beliau ialah seorang Tabiin yang Majhul.

Kisah 5: Peristiwa-Peristiwa Ajaib


Direkodkan oleh Ibn Jarir al-Tabari, Abu Nuaim dan al-Baihaqi daripada riwayat Makhzum bin Hani, daripada bapanya. Beliau bercerita: 

Pada malam kelahiran Nabi Muhammad, tiang-tiang istana Kisra telah bergegar dan menyebabkan 14 tiangnya telah roboh. Pada ketika itu juga terpadam api ibadat Parsi sedangkan ia tidak pernah padam selama 1000 tahun, demikian juga telah kering sungai Sāwah... 

Imam al-Zahabi menyatakan bahawa hadis ini Munkar lagi Gharib. Ibn Kasir pula menyatakan: Hadis ini tidak ada asal satupun daripada buku-buku agama Islam yang dipercayai. Aku tidak melihat kewujudan asal bagi sanadnya.

Syeikh Sofiyurrahman di dalam al-Rahiq al-Makhtum memberi alasan: 

Riwayat ini disampaikan oleh Baihaqi. Riwayat seperti itu diriwayatkan oleh Al-Tabrani dan lain-lain. Tetapi ia tidak mempunyai Isnad yang sabit, serta ia tidak mempunyai rekod sejarah dalam masyarakat berkenaan sedangkan dakwaan kewujudannya sangat kuat. 

Kisah 6: Suara Jin


Terdapat suara-suara bisikan jin pada malam kelahiran Nabi Muhammad serta menyatakan berita gembira tentangnya.  Serta hancurnya berhala-berhala Mekah.

Di dalam sanadnya terdapat dua (2) orang yang suka memalsukan hadis; iaitu Abdullah bin Muhammad al-Balwi dan Imarah bin Zaid.

Kisah 7: Mimpi Mubizan


Mubizan bermimpi tentang sekawanan kuda arab yang melintasi Sungai Tigris (Dajlah) dan bertebaran di negara Parsi.

Demikian juga hadis yang menyatakan bahawa terdapat seorang Yahudi membawa berita kelahiran Nabi Muhammad pada malam beliau dilahirkan. 

Berita yang dibawa oleh seorang paderi bernama ʿīṣā yang menyatakan Nabi Muhammad dilahirkan dalam keadaan songsang dan Al-Abbas melihat Nabi Muhammad sedang berdialog dengan bulan juga tidak sahih.

Benarkah Keluar Cahaya daripada Kemaluan  Aminah ketika Melahirkan Nabi Muhammad? 


Ibnu Saad meriwayatkan bahawa ibu baginda iaitu Aminah berkata,

“Ketika aku melahirkannya, daripada kemaluanku memancarlah cahaya yang menerangi istana-istana Syam.” 

Imam Ahmad juga meriwayatkan daripada Irbadh bin Sariyah pernyataan yang tidak jauh berbeza. Riwayat ini dihasankan bahkan disahihkan oleh beberapa orang ulama hadis. Namun, sebahagian riwayat menyebutkan bahawa peristiwa itu berlaku di dalam mimpi.

Imam al-Tabrani dengan sanadnya menyebutkan bahawa Nabi Muhammad bersabda:

Ibu Rasulullah melihat di dalam mimpinya bahawa keluar cahaya daripada dua kakinya yang menerangi istana-istana Syam. 

(HR al-Tabrani di dalam al-Mu`jam al-Kabir: 835)

Al-Albani menyatakan riwayat ini Hasan.  Ramai juga ulama yang sependapat dengan beliau seperti Dr. Akram Dhiya’ al-Umari.

Saya menyimpulkan kemungkinan besar peristiwa ini benar-benar berlaku tetapi di dalam mimpi ibu Nabi Muhammad. 

Rasulullah Dilahirkan dengan telah Berkhitan? 


Secara umumnya ulama mempunyai 3 pendapat berhubung isu ini: 

Pendapat Pertama: Nabi saw dilahirkan dalam keadaan sudah berkhitan dan sudah terputus tali pusatnya. 


Hujah: Hadis al-Tabarani

Imam al-Ṭabarani dengan sanadnya merekodkan: Diceritakan kepada kami oleh Muhammad bin Ahmad bin al-Farj al-Uballi al-Muaddib, katanya: Diceritakan kepada kami oleh Sufyan bin Muhammad al-Fazāri al-Miṣṣiṣi, katanya: Diceritakan kepada kami oleh Husyaim daripada Yunus bin Ubaid, daripada al-Hasan, daripada Anas bin Malik, katanya: Rasulullah SAW bersabda: 

Antara kemuliaanku ialah aku dilahirkan dalam keadaan sudah berkhitan dan tiada siapa pun melihat kemaluanku.

(HR al-Ṭabarani di dalam Mu`jam al-Awsaṭ. Bil 6148)

Ulasan:

Hadis ini terlalu lemah (daif jiddan) kerana terdapat perawi hadis yg bernama Sufyan bin Muhammad al-Fazāri al-Miṣṣiṣi. Berikut komentar jaguh-jaguh hadis terhadap kedudukan beliau dalam periwayatan hadis:

Ibn Hibban berkata: Tidak halal berhujah dengan hadis riwayatnya. 

(Rujuk: Kitab al-Majruhin, jld. 1, hlm. 395)

Ibn Adiyy berkata: Dia seorang pencuri hadis, melakukan taswiah (menggugurkan perawi lemah) dalam sanad hadis dan sebahagian hadis riwayatnya palsu.

(Rujuk: al-Kamil fi al-Dhu’afa’, jld. 3, hlm. 419)

Justeru itu, riwayat ini tidak kukuh untuk menyatakan bahawa Nabi SAW lahir dalam keadaan telah berkhitan. 

Pendapat Kedua: Nabi dikhitankan oleh Abdul Mutalib


Hujah: Hadis Yahya bin Ayub

Yahya bin Ayub berkata: Diceritakan kepada kami oleh Muhammad bin Abi al-Sari al-Asqalani, diceritakan kepada kami oleh al-Walid bin Muslim, daripada Syuaib bin Abi Hamzah, daripada Ata’ al-Khurāsāni, daripada Ikrimah, daripada Ibn Abbas, katanya:

Abdul Muttalib mengkhitankan Nabi pada hari ketujuh kelahirannya, dan dia menyediakan makanan (kenduri) dan menamakannya Muhammad.

Ulasan:

Hadis ini daif disebabkan mempunyai dua illah (kecacatan):

Ia riwayatkan Muhammad bin Abi al-Sariyy. Beliau daif pada Abu Hatim dan Ibn Adiyy. Ibn Hajar menyatakan beliau soduq tetapi mempunyai kesilapan. Barangkali hadis ini antara kesilapan beliau.

(Rujuk: al-Jarh wa Ta’dil, jld. 8, hlm. 105)

Hadis ini tidak diriwayatkan dengan jalur lain. Maknanya beliau bertafarrud dalam meriwayatkan hadis ini. 

(Rujuk: al-Tamhid, jld. 21, hlm. 61)

Justeru itu, hadis ini tidak boleh dibuat hujah kerana tiada jalur yang dapat membantunya. Bahkan berdasarkan kajian ringkas saya, hadis ini tidak ditemui di dalam kitab-kitab hadis utama seperti al-Bukhari, Muslim, Ibn Majah, Abu Daud, dan lain-lain.

Pendapat Ketiga: jibril Mengkhitankan Rasulullah pada Waktu Dibelah Dada.


Hujah: Hadis Ikrimah

Imam al-Ṭabarani dengan sanadnya merekodkan: Diceritakan kepada kami oleh Muhammad bin Abdullah al-Haḍrami, katanya: Diceritakan kepada kami oleh Abdul Rahman bin Uyainah al-Basri, katanya: Diceritakan kepada kami oleh Ali bin Muhammad al-Salami Abu al-Hasan al-Madāini, katanya: Diceritakan kepada kami oleh Maslamah bin Muhārib bin Muslim bin Ziyād, daripada bapanya, daripada Abi Bakrah, katanya:

Jibril mengkhitankan Nabi saw ketika menyuci jantungnya.

(HR al-Ṭabarani di dalam Al-Mu`jam al-Awsaṭ: Bil: 5821)

Ulasan:

Hadis ini daif kerana terdapat perawi yang bernama Abdul Rahman bin ‘Uyaynah al-Basri, Maslamah bin Muharib al-Ziyadi dan ayahnya (Muharib) adalah perawi yang tidak dikenali. 

(Rujuk: Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah, jld. 13, hlm. 578)

Kesimpulannya, tiada hadis yang  sahih atau hasan berhubung perkara ini. Jadi, tidak seharusnya kita mengaitkan kisah ini kepada baginda. 

Dahulu, di kelas pengajian Sirah saya, ada sebahagian anak murid yang bertegas menyatakan khitan adalah tanda kesucian Nabi Muhammad SAW. Tetapi saya buktikan bahawa ia bukanlah tanda mukjizat Nabi Muhammad SAW. 

  • Terdapat orang bukan Islam bahkan jahat seperti Ibn Sayyad yang merupakan seorang yahudi dan disangka dajjal oleh para sahabat telah dilahirkan dalam keadaan buta mata sebelah dan telah berkhitan serta terputus tali pusatnya.


Ibn Hajar al-Asqalani dengan sanadnya menyatakan: Ahmad bin Mani` berkata: Diceritakan kepada kami oleh Abu Nu`aim, Diceritakan kepada kami oleh Sufyān, daripada Abul Malik bin Umair, daripada Abu Salamah, daripada Ummu Salamah, katanya: 

Ibn Ṣayyād dilahirkan oleh ibunya dalam keadaan terputus tali pusat, buta sebelah mata, serta telah berkhitan.

(HR Ibn Hajar di dalam Al-Muṭalib al-Aliyyah: 4514)

Al-Busiri berpendapat bahawa perawi hadis ini tsiqah. al-Albani menilainya sahih. 

(Rujuk: Ithaf al-Khiarah, jld. 8, hlm. 124, Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah, jld. 13, hlm. 586)

Diceritakan bahawa salah seorang Maharaja Rom juga dilahirkan dalam keadaan sudah berkhitan dan dia dikutuk oleh Imru’ al-Qais. 

(Rujuk: Tuhfatul Maudud, hlm. 205)

Ibn al-Qayyim berpandangan bahawa Nabi saw dikhitankan seperti bayi-bayi arab yang lain. Maka tiada riwayat yang sahih dalam isu ini kerana berkemungkinan amalan khitan ini amalan biasa yang tidak perlu untuk diceritakan. 

(Rujuk: Zad al-M’aad, jld. 1, hlm. 80)

Syeikh Sofiyurrahman cenderung menyatakan bahawa Nabi Muhammad dikhatankan oleh datuknya sepertimana kebiasaan yang dilakukan oleh orang Arab.

Kesimpulan Kajian


Setelah dinyatakan pelbagai riwayat tentang isu kelahiran Nabi Muhammad, saya menyimpulkan bahawa Nabi Muhammad dilahirkan seperti manusia biasa, dikhatankan seperti manusia biasa serta diuruskan seperti manusia biasa dalam adat masyarakat Arab ketika itu. Ini disebabkan dakwaan keajaiban berkenaan tidak mempunyai hujah yang kukuh. 

Jika ada pengkaji berjaya membuktikan kesahihan keajaiban-keajaiban yang dinyatakan, maka saya dengan senang hati akan menerimanya.

Isu selepas kelahiran tidak dinyatakan di sini. Untuk mendalami secara lanjut kisah-kisah Nabi Muhammad sebelum dilantik sebagai rasul, anda boleh dapatkan buku saya berjudul "Muhammad: 40 Tahun Sebelum Dilantik Sebagai Rasul" yang akan terbit pada Februari 2017. 

Allah lebih tahu.