Header Ads

Book an appointment with SetMore

Terjemahan al-Rahiq al-Makhtum: Muqaddimah Peringkat Ketiga - Dakwah di Luar Mekah

Kunjungan Dakwah ke Taif



Pada bulan Syawal tahun kesepuluh kenabian, bertepatan dengan akhir Mei atau awal Jun tahun 619 M, Nabi Muhammad pergi ke Taif yang jauhnya kira-kira 60 batu dari kota Mekah. Baginda menempuhnya dengan berjalan kaki, sama ada ketika datang mahupun pergi. Baginda didampingi oleh pembantunya, Zaid bin Harisah. Setiap kali baginda bertemu dengan suatu kabilah di sepanjang perjalanan, baginda mendakwahi mereka untuk memeluk Islam. Namun begitu, tiada satu kabilah pun yang menyambut seruan baginda.

Setelah sampai di Taif, baginda menemui tiga orang bersaudara yang merupakan pembesar kaum Tsaqif, iaitu Abdul Yalail, Mas‘ud dan Hubaib. Mereka adalah anak Amru bin Umair al-Tsaqafy. Baginda duduk bersama mereka lalu mendakwahi mereka untuk beriman kepada Allah dan membela Islam.

Salah seorang daripada mereka berkata, “Semestinya Allah telah mengoyak kain penutup Kaabah jika memang Allah mengutusmu.” Salah seorang yang lain berkata, “Adakah Allah tidak boleh mendapatkan orang lain selain kamu?” Orang yang ketiga pula berkata, “Demi Allah, aku tidak akan bercakap denganmu untuk selamanya. Sebab, jika kamu memang benar seorang rasul, pasti kamu lebih mampu menolong dirimu sendiri daripada dibantu oleh kata-kataku. Namun begitu, jika ternyata kamu berdusta atas nama Allah, maka tidak layak aku bercakap denganmu.”

Rasulullah s.a.w. bangkit dari tempat duduknya lalu berkata kepada mereka, “Baiklah, jika memang itu kehendak kamu tetapi aku minta kamu biarkan aku di sini.”

Rasulullah s.a.w. bermukim di Taif selama sepuluh hari. Baginda bercakap dengan semua pembesar Taif. Sampailah mereka semua berkata, “Keluarlah kamu dari Negeri kami!” Mereka menghasut seluruh rakyat Taif untuk mengusir baginda. Sehinggakan, tatkala baginda bergerak keluar dari Taif, baginda diekori oleh rakyat jelata Taif yang bersorak dan menyumpah-nyumpah baginda.

Rakyat Taif menekan Rasulullah s.a.w.. Mereka melempari baginda dengan batu sambil melontarkan kata-kata kesat dengan tidak henti-henti. Mereka melempar tepat pada lutut baginda, sehingga kedua-dua selipar baginda menjadi merah disebabkan terkena darah. Sementara itu, Zaid bin Harisah berusaha sekuat tenaga melindungi baginda sehingga kepalanya berdarah.

Rakyat Taif terus mendesak Rasulullah s.a.w. sehingga baginda terdorong untuk masuk ke perkarangan rumah milik dua orang anak Rabiah, iaitu Utbah dan Syaibah, yang letaknya sejauh 3 batu dari Taif. Selepas itu, barulah orang Taif pulang meninggalkan baginda.

Bernaung Di Bawah Pohon Anggur

Setelah mereka pergi, Rasulullah s.a.w. menghampiri sebuah pohon anggur yang rimbun. Baginda duduk di bawah naungannya dengan menyandarkan diri pada tembok. Setelah beberapa ketika baginda duduk dan mula berasa selamat, baginda memanjatkan sebuah doa yang masyhur, yang menerangkan betapa hati baginda dipenuhi dengan rasa duka dan sedih akibat perlakuan keras yang baginda alami, lebih-lebih lagi menghadapi kenyataan tidak ada seorang pun orang Taif yang mahu beriman.

Doa baginda seperti ini,

«اللهُمَّ إِلَيْكَ أَشْكُو ضَعْفَ قُوَّتِي، وَقِلَّةَ حِيلَتِي، وَهَوَانِي عَلَى النَّاسِ أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ، أَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ، إِلَى مَنْ تَكِلُنِي؟، إِلَى عَدُوٍّ يَتَجَهَّمُنِي، أَمْ إِلَى قَرِيبٍ مَلَّكْتَهُ أَمْرِي، إِنْ لَمْ تَكُنْ غَضْبَانًا عَلَيَّ، فَلَا أُبَالِي، إِنَّ عَافِيَتَكَ أَوْسَعُ لِي، أَعُوذُ بِنُورِ وَجْهِكَ الَّذِي أَشْرَقَتْ لَهُ الظُّلُمَاتُ، وَصَلَحَ عَلَيْهِ أَمَرُ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ أَنْ تُنْزِلَ بِي غَضَبَكَ، أَوْ تُحِلَّ عَلَيَّ سَخَطَكَ، لَكَ الْعُتْبَى حَتَّى تَرْضَى، لَا قُوَّةَ إِلَّا بِكَ»

“Ya Allah, kepada-Mu aku mengeluhkan kelemahan diriku, sedikitnya kecerdikanku dan rendahnya aku di hadapan manusia. Wahai Zat yang paling pemurah, Engkaulah Tuhan kaum yang lemah, juga Tuhanku. Kepada siapakah Kau menghantarku? Kepada orang jauh yang bermuka masam kepadaku ataukah kepada musuh yang dapat menguasai urusanku? Sesungguhnya aku tidak peduli asalkan Engkau tidak marah kepadaku. Ini kerana kurnia kesihatan yang Kau limpahkan kepadaku sungguh luas. Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang mengalahkan semua kegelapan dan dengannya urusan dunia dan akhirat menjadi baik, supaya Kau tidak menurunkan kemarahan-Mu kepadaku atau menghalalkan kemurkaan-Mu kepadaku. Hanya Kau-lah yang berhak menegur hingga Kau redha. Sesungguhnya, tidak ada usaha dan kekuatan melainkan atas izin-Mu.”

Tatkala dua orang anak Rabiah tadi melihat Rasulullah s.a.w., muncul rasa hiba di hati mereka. Mereka memanggil pembantu mereka yang beragama Nasrani, iaitu Addas. Mereka berdua memberi perintah kepada Addas, “Ambillah setandan anggur dari pohon itu dan berikanlah kepada lelaki itu.”

Addas segera melaksanakan perintah yang diberikan kepadanya, lalu meletakkan setandan anggur di hadapan Rasulullah s.a.w.. Rasulullah s.a.w. menadahkan tangannya di hadapan anggur itu sambil mengucap, “Bismillah,” kemudian memakannya.

Mendengar ucapan tersebut, Addas berkata, “Sesungguhnya ucapan ini tidak pernah diucapkan oleh orang di negeri ini.” Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya, “Dari Negeri mana kamu berasal dan apakah agamamu?” Addas menjawab, “Aku beragama Nasrani. Aku berasal dari Niniveh.”

“Ternyata dari Negeri seorang lelaki soleh yang bernama Yunus bin Matta,” jawab Rasulullah s.a.w. Addas bertanya, “Apa yang tuan ketahui tentang Yunus bin Matta?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Dia itu saudaraku. Dia seorang nabi dan aku juga seorang nabi.” Secara tiba-tiba Addas memegang erat kepala Rasulullah s.a.w. dan menciumnya, begitu juga terhadap tangan dan kaki baginda.

Menyaksikan hal itu, salah seorang anak Rabiah berkata kepada saudaranya, “Lihatlah itu! Dia merosakkan pembantumu di hadapan matamu.”

Setelah Addas kembali, Utbah dan Syaibah bertanya, “Celaka kamu! Apa yang telah kamu lakukan?” Addas pun berkata, “Tuan, di bumi ini tidak ada sesuatu yang lebih baik daripada lelaki itu. Dia telah memberitahuku suatu urusan yang tidak diketahui manusia kecuali nabi.” Utbah dan Syaibah lantas berkata, “Betul-betul celaka kamu, Addas! Dengar, jangan sampai orang itu memalingkanmu daripada agamamu kerana sesungguhnya agamamu lebih baik daripada agamanya.”[1][2]

Setelah meninggalkan perkarangan rumah Utbah dan Syaibah, Rasulullah s.a.w. pulang menyusuri jalan menuju ke Mekah dengan perasaan muram dan sedih. Tatkala baginda sampai di Qarnul Manazil, Allah mengutus Malaikat Jibril kepada baginda dan disertai malaikat penjaga gunung yang meminta pendapat baginda untuk meratakan Akhsyabain (dua bukit) kepada penduduk Mekah.

Tawaran Malaikat Penjaga Gunung

Imam al-Bukhari meriwayatkan kisah ini dengan sanad daripada Urwah bin Zubair bahawa Aisyah menyampaikan hadis kepadanya. Aisyah pernah bertanya kepada Nabi Muhammad,

هَلْ أَتَى عَلَيْكَ يَوْمٌ كَانَ أَشَدَّ مِنْ يَوْمِ أُحُدٍ

“Pernahkah engkau mengalami hari yang lebih berat dibandingkan dengan Hari Uhud?”

Rasulullah s.a.w. menjawab,

لَقَدْ لَقِيتُ مِنْ قَوْمِكِ مَا لَقِيتُ، وَكَانَ أَشَدَّ مَا لَقِيتُ مِنْهُمْ يَوْمَ العَقَبَةِ، إِذْ عَرَضْتُ نَفْسِي عَلَى ابْنِ عَبْدِ يَالِيلَ بْنِ عَبْدِ كُلاَلٍ، فَلَمْ يُجِبْنِي إِلَى مَا أَرَدْتُ، فَانْطَلَقْتُ وَأَنَا مَهْمُومٌ عَلَى وَجْهِي،

“Aku telah mendapatkan apa yang pernah kudapatkan daripada kaummu. Waktu yang paling berat bersama mereka adalah di Aqabah. Ketika itu aku menyeru Ibnu Abdul Yalail bin Abd Kilal, namun jawapannya tidak seperti yang kuharapkan. Maka aku pergi dengan muka yang muram.

فَلَمْ أَسْتَفِقْ إِلَّا وَأَنَا بِقَرْنِ الثَّعَالِبِ فَرَفَعْتُ رَأْسِي، فَإِذَا أَنَا بِسَحَابَةٍ قَدْ أَظَلَّتْنِي، فَنَظَرْتُ فَإِذَا فِيهَا جِبْرِيلُ، فَنَادَانِي فَقَالَ: إِنَّ اللَّهَ قَدْ سَمِعَ قَوْلَ قَوْمِكَ لَكَ، وَمَا رَدُّوا عَلَيْكَ، وَقَدْ بَعَثَ إِلَيْكَ مَلَكَ الجِبَالِ لِتَأْمُرَهُ بِمَا شِئْتَ فِيهِمْ،

“Rasa sakitku belum juga sembuh hingga aku sampai di Qarnuts Tsa`ālib (Qarnul Manazil). Kudongakkan kepalaku tatkala gumpalan awan sedang meneduhiku. Kulihat Jibril berada di gumpalan awan tersebut.

“Jibril memanggil dan berkata kepadaku, ‘Allah telah mendengar ucapan kaummu kepadamu dan apa yang mereka lakukan terhadapmu. Allah mengutus malaikat penjaga gunung kepadamu. Kau boleh memerintahkannya untuk membinasakan mereka dengan apa-apa cara yang kau mahu.’

فَنَادَانِي مَلَكُ الجِبَالِ فَسَلَّمَ عَلَيَّ، ثُمَّ قَالَ: يَا مُحَمَّدُ، فَقَالَ، ذَلِكَ فِيمَا شِئْتَ، إِنْ شِئْتَ أَنْ أُطْبِقَ عَلَيْهِمُ الأَخْشَبَيْنِ؟ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: بَلْ أَرْجُو أَنْ يُخْرِجَ اللَّهُ مِنْ أَصْلاَبِهِمْ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ وَحْدَهُ، لاَ يُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا "

Sejurus kemudian, malaikat penjaga gunung memanggil dan memberi salam kepadaku. Dia lalu berkata, ‘Hai Muhammad, itu terserah kepadamu. Jika kau mengkehendaki agar kuratakan Akhsyabain kepada mereka, pasti aku lakukan’.”- Akhsyabain adalah dua gunung di Mekah, iaitu Gunung Abu Qubais dan yang berseberangan dengannya, iaitu Gunung Quʿaiqiʿān - Atas tawaran tersebut, Rasulullah s.a.w. mengatakan, “Tidak. Bahkan, aku berharap Allah ‘Azza wa Jalla akan mengeluarkan daripada tulang sulbi mereka keturunan yang menyembah Allah ‘Azza wa Jalla semata-mata dan tidak menyekutukan-Nya dengan apa-apa pun.”[3]

Jawapan yang Rasulullah s.a.w. lontarkan ini menampakkan kekuatan karakter baginda. Sekali lagi ia menegaskan bahawa baginda adalah makhluk yang paling mulia yang tidak dapat disaingi oleh makhluk-makhluk yang lain.

Kehadiran Sekawanan Jin untuk Mendengar Ayat al-Quran

Ketika itu Rasulullah s.a.w. tersedar. Hatinya menjadi tenang lantaran mendapat pertolongan ghaib yang dilimpahkan oleh Allah kepada baginda dari atas langit ketujuh. Baginda meneruskan perjalanan menuju ke Mekah hingga sampai di Lembah Nikhlah dan baginda pun bermukim di sana untuk beberapa hari. Di Lembah Nikhlah ini memang ada dua tempat yang layak untuk bermukim, iaitu di sekitar mata air besar dan berdekatan empangan kerana di dua tempat ini terdapat air dan tumbuhan. Sayangnya, sampai sekarang saya tidak mendapat rujukan yang menyatakan dengan pasti manakah tempat yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. untuk bermukim itu.

Ketika Rasulullah s.a.w. sedang bermukim di Lembah Nikhlah, Allah mengutus serombongan jin untuk menemui baginda. Allah menyebut tentang mereka pada dua tempat dalam al-Quran:

1. Terdapat dalam Surah al-Ahqaf,

“Dan ingatlah ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan al-Quran; tatkala mereka menghadirinya, mereka berkata, ‘Diamlah kamu!’ Dan ketika telah selesai mereka kembali kepada kaum mereka dengan memberikan peringatan. Mereka berkata, ‘Hai kaum kami, sesungguhnya kami telah mendengar sebuah kitab yang diturunkan setelah Musa sebagai pembenar bagi kitab-kitab sebelumnya, lagi memberi petunjuk kepada kebenaran dan kepada jalan yang lurus. Hai kaum kami, sambutlah penyeru Allah itu dan berimanlah kamu kepada-Nya, pasti Dia akan mengampuni dosa-dosa kamu dan melepaskan kamu daripada azab yang pedih’.”

(Al-Ahqaf: 29-31)

2. Terdapat dalam Surah al-Jin,

“Katakanlah, ‘Telah diwahyukan kepadaku bahawa serombongan jin mendengarkan bacaan al-Quran lalu mereka berkata, ‘Sesungguhnya kami telah mendengarkan bacaan yang menakjubkan! Yang menuntun kepada jalan yang benar sehingga kami pun mengimaninya. Dan kami tidak akan pernah menyekutukan Tuhan kami dengan suatu apa pun’.” (Al-Jin: 1-2) Hinggalah pada ayat ke-15.

Daripada konteks ayat-ayat ini dan konteks riwayat-riwayat yang berkenaan dengan penafsiran peristiwa ini, kelihatan jelas bahawa Nabi Muhammad tidak mengetahui kedatangan serombongan jin tersebut. Baginda mengetahuinya setelah Allah memberitahu peristiwa ini kepada baginda melalui rangkaian ayat-ayat di atas. Peristiwa ini merupakan kedatangan mereka kali pertama. Ini kerana dalam pelbagai riwayat yang ada, konteksnya menerangkan bahawa kedatangan jin ini terjadi beberapa kali.[4]

Sebenarnya peristiwa ini merupakan pertolongan lain yang dihulurkan oleh Allah daripada himpunan perbendaharaan ghaib-Nya yang tersembunyi, dengan mengutus askar-askar-Nya yang tidak diketahui sesiapa pun kecuali Dia.

Ayat-ayat yang diturunkan berkenaan dengan peristiwa tadi secara tersirat juga mengisyaratkan kemenangan dakwah Nabi Muhammad. Apa-apa kekuatan yang ada di alam ini tidak akan mampu membendung kemenangan dakwah tersebut.

“Dan orang yang tidak menyambut seruan daripada orang yang menyeru kepada Allah, maka dia itu tidak akan mampu membendung dakwah di muka bumi dan tidak ada baginya pelindung selain Allah. Mereka itulah orang yang berada dalam kesesatan yang nyata.” (Al-Ahqaf: 32)

Juga ada ayat yang menyatakan pengakuan orang yang menolak dakwah,
  
“Dan sesungguhnya kami mengetahui bahawa kami tidak akan mampu melemahkan Allah dan kami tidak akan boleh menghindar seksaan-Nya walaupun dengan berlari.” (Al-Jin: 12)

Semangat Dakwah Yang Pulih

Berkat pertolongan Ilahiah dan janji kemenangan dalam ayat-ayat tadi, maka mendung, kesedihan dan putus asa beranjak pergi daripada benak Rasulullah s.a.w.. Mendung yang menaunginya sejak baginda keluar dari Taif dalam keadaan diburu itu betul-betul pergi, sehingga baginda membulatkan tekad untuk kembali ke Mekah. Baginda kembali semula ke tapak awal untuk menyampaikan Islam dan menyampaikan risalah Allah yang abadi tersebut dengan semangat yang baru.

Ketika itu, Zaid bin Harisah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.,

“Bagaimana tuan boleh masuk kembali ke negeri mereka padahal mereka telah mengusir tuan?” Maksud perkataan “mereka” pada ucapan Zaid ini adalah orang Quraisy. Rasulullah s.a.w. menjawab, “Hai Zaid, sesungguhnya Allah pasti menjadikan kelonggaran dan jalan keluar atas masalah yang kau lihat itu. Sesungguhnya Allah akan menolong agama-Nya dan memenangkan nabi-Nya.”

Rasulullah s.a.w. meneruskan perjalanan. Ketika mendekati Mekah, baginda tinggal beberapa ketika di Gua Hira. Dari sana, baginda mengutus seseorang daripada Bani Khuzaah untuk menemui Akhnas bin Syuraiq untuk meminta jaminan keselamatan daripadanya. Namun  begitu, Akhnas berkata, “Aku terikat dengan perjanjian orang Quraisy sehingga tidak dapat memberi jaminan keselamatan.” Kemudian baginda mengutus orang lain kepada Suhail bin Amru. Jawapan Suhail, “Bani Amir tidak dapat memberi jaminan keselamatan kepada Bani Kaab.”

Kemudian Rasulullah s.a.w. mengutus orang untuk menemui Muth’im bin Ady. Muth‘im menjawab, “Ya. Sedia.” Muth’im mengambil senjatanya lalu mengumpulkan kaumnya seraya berkata, “Ambillah senjata kamu dan bersiap sedialah di setiap sudut Masjidil Haram kerana aku telah memberi jaminan keselamatan kepada Muhammad.”

Selepas itu Muth‘im mengutus orang untuk menemui Rasulullah s.a.w. dan mempersilakan baginda untuk masuk ke Mekah. Maka Rasulullah s.a.w. bersama Zaid bin Harisah masuk ke kota Mekah hingga sampai di Masjidil Haram.

Sambil berada di atas tunggangannya, Muth‘im berseru, “Hai orang Quraisy! Aku telah memberi jaminan keselamatan kepada Muhammad. Maka, tiada seorang pun antara kamu boleh berbuat sesuatu mengikut kemahuan sendiri kepadanya.”

Akhirnya Rasulullah s.a.w. berhenti di rukun Hajar Aswad lalu baginda menciumnya. Seterusnya baginda mengerjakan solat dua rakaat. Selepas itu, barulah baginda pulang ke rumah. Sementara itu, Muth‘im bin Ady dan kaumnya tetap mengawal Rasulullah s.a.w. dengan senjata mereka hingga baginda masuk ke dalam rumah.



Dalam suatu riwayat disebutkan bahawa Abu Jahal bertanya kepada Muth‘im, “Kau memberi jaminan keselamatan atau menyerahkannya?” Muth‘im menjawab, “Aku memberinya jaminan keselamatan.” Maka Abu Jahal berkata, “Jika begitu kami jamin keselamatan orang yang kau jamin keselamatannya.”[5]

Rasulullah s.a.w. sentiasa mengingati perlindungan yang diberikan oleh Muth‘im. Oleh kerana itu baginda berkata tentang para tawanan Perang Badar,

لَوْ كَانَ المُطْعِمُ بْنُ عَدِيٍّ حَيًّا، ثُمَّ كَلَّمَنِي فِي هَؤُلاَءِ النَّتْنَى لَتَرَكْتُهُمْ لَهُ

“Andai kata Muth‘im bin Ady masih hidup lalu dia mengatakan kepadaku agar para tawanan itu dikasihani, pasti aku serahkan urusan mereka kepadanya.”[6]



[1] Ringkasand daripada Ibn Hiṣyām, jilid 1 halaman 419 -421.
[2] Ulasan 1: Riwayat ini lemah (Dhoif). Dinilai lemah oleh para ulama hadis seperti Al-Albani, Syuaib al-Arnaut, Al-ʿUmari, Abdul Qadir al-Arnaut. Sanad hadis ini berlegar di atas riwayat Ibn Ishaq, selain daripada beliau perawinya sahih. Ibn Ishaq ialah perawi kontroversi yang terkenal sebagai perawi Mudallas. Rujuk buku saya berkaitan Ibn Ishaq dan juga Hadis Mudallas.
Ulasan 2: Pertemuan dengan Adas diriwayatkan oleh Ibn Ishaq tanpa mendatangkan apa-apa sanad. Bahkan ia tidak mempunyai sanad yang sabit – Mahmūd bin Muhammad al-Malah, Al-Ta`liq ʿAla al-Rahīq al-Makhtūm.
[3]Sahih al-Bukhari, kitab “Bad’ al-Khalq”, jil I, hlm. 458 dan Sahih Muslim, bab tentang gangguan orang Musyrik dan Munafik terhadap Nabi Muhammad, jil II, hlm. 109.
[4] Peristiwa Jin mendengar ayat al-Quran ini mempunyai beberapa pandangan ulama. Tetapi saya membiarkan tanpa sebarang ulasan kerana hujah-hujah para ulama yang menkritiknya masih tidak kukuh pada penilaian saya. Allah lebih tahu.
[5] Terperinci Peristiwa Taif ini saya ambil daripada Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 419-422; Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Zad al-Ma’ad, jil II, hlm. 46-47; Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hlm. 141-143; Muhammad Sulaiman Salman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-‘Alamin, jil I, hlm. 71-74 dan Syah Akbar Khan Najib Abady, Tarikh Islam, jil I, hlm. 123-124.
[6]Sahih al-Bukhari, jil II, hlm. 573.

No comments

Powered by Blogger.