Header Ads

Book an appointment with SetMore

Penjelasan Hadis 45: Pernikahan - Kitab Sabab Wurud Hadis

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda:

تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ: لِمَالِهَا، وَلِحَسَبِهَا، وَلِجَمَالِهَا، وَلِدِينِهَا، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Wanita dinikahi kerana empat perkara: Iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Oleh itu, pilihlah yang beragama, berdebulah kedua-dua tanganmu.

Sebab hadis Ini Dilafazkan

Diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim  daripada Jabir bin Abdullah, ia berkata: Aku telah menikahi seorang wanita pada zaman Rasulullah SAW. Lantas Rasulullah SAW bertanya kepadaku: “Wahai Jabir, engkau telah bernikah?”. Lalu aku menjawab: “Benar.” Baginda bertanya: “Anak dara atau janda?” Aku menjawab: “Janda”. Nabi berkata: “Bukankah jika dengan anak dara, kamu dapat bermain-main dengannya?”. Aku menjawab: “Aku mempunyai beberapa orang saudara perempuan, aku bimbang dia masuk di antara aku dan mereka.” Sejurus itu, Nabi bersabda: “Sesungguhnya wanita-wanita dinikahi kerana agamanya dan kecantikannya . Nikahilah dirinya atas sebab agamanya, berdebulah tanganmu”.

Ulasan:

Hadis ini sering difahami dengan silap oleh ramai orang. Kesilapan mereka ialah dengan memahami hadis ini dengan makna berikut: “Nikahilah wanita kerana empat perkara...”

Mereka bersangka bahawa hadis ini menggalakkan umat Islam untuk mencari wanita yang mempunyai empat ciri tersebut. Sedangkan makna yang lebih tepat yang dipilih oleh para ulama termasuk Imam al-Nawawi ialah “Perempuan itu dinikahi kerana empat perkara...”

Imam al-Nawawi memberi ulasan di dalam Syarah Sahih Muslim:

“Makna yang sepatutnya bagi hadis ini ialah Nabi SAW memberitahu berkenaan perbuatan orang ramai yang menjadi adat mereka ketika memilih pasangan. Mereka mahukan empat perkara dan menjadikan pilihan berkaitan agama yang terakhir sekali. Lalu wahai orang yang mencari, ambillah sisi agama. Bukan bererti diperintahkan untuk perkara-perkara itu... hadis ini memberi galakkan untuk bersahabat dengan ahli agama dalam semua perkara kerana dengan persahabatan (muṣāhabah) itu akan mendapat manfaat akhlak mereka serta cara hidup yang baik. Demikian juga akan amanlah keburukan daripada mereka.”

Rumusan kesan mendahulukan agama yang dinyatakan oleh Imam al-Nawai seperti berikut:  

1- Dapat mengambil manfaat akhlak mereka
2- Dapat tenang dengan cara kehidupan beragama
3- Tiada kerisauan daripada kezaliman daripada pihak mereka.

Tiada menjadi kesalahan kepada seorang Muslim yang berkeinginan ntuk mendapatkan pasangan yang cantik, kaya dan berketurunan baik. Bahkan harus untuk mendapatkan pasangan atas faktor dunia dan akhirat. Menjadi satu kesalahan di dalam pemilihan apabila faktor kecantikan dan keduniaan menjadi faktor utama sehingga dapat memberi kesan apabila ia semakin hilang.

Firman Allah:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Dan diantara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

(Ar-Ra`d, ayat 38)

Perbahasan hadis ini ialah mendahulukan faktor agama adalah lebih utama.

Ramai orang yang cantik, tetapi tidak soleh lalu dia boleh menggunakan kecantikannya untuk menggoda orang lain sekalipun telah berkahwin. Orang juga sentiasa akan suka menggangunya kerana kecantikannya.

Namun, cantik itu subjektif. Cantik daripada sudut kita belum tentu cantik pada mata orang lain. Pasangan hendaklah mempunyai kecantikan seperti ini. Kecantikan yang membuatkan hati menjadi tenang dan jiwa menjadi tenteram.

Nabi SAW bersabda:

إِذَا خَطَبَ أَحَدُكُمُ الْمَرْأَةَ، فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ يَنْظُرَ إِلَى مَا يَدْعُوهُ إِلَى نِكَاحِهَا فَلْيَفْعَلْ

Apabila kamu bertunang dengan seseorang, sekiranya kamu mampu untuk melihat kepadanya yang membawa kepada kehendak nikah, lakukanlah!

Jabir bin Abdullah (perawi hadis ini) berkata: Setelah itu aku pun bertunang dengan seorang Jariah. Aku sembunyi-sembunyi melihatnya sehingga aku terlihat sesuatu yang menyebabkan aku teringin menikahinya, lalu aku pun menikahinya.

(HR Abu Daud: 2082, Hasan)

Hadis ini menunjukkan keharusan untuk kita melihat wanita iaitu kecantikannya yang membuatkan bertambah keinginan untuk berkahwin.

Demikian juga, pasangan yang banyak harta semata-mata tetapi tidak kuat beragama. Jika dia wanita, dia boleh melengah-lengahkan dan memperkecilkan suaminya kerana dia menganggap bahawa tidak perlu lagi bergantung kepada suami. Lalu dia meninggalkan ketaatan kepada suaminya. Sedangkan Nabi SAW telah memberi peringatan:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ

Apabila seorang wanita solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya serta mentaati suaminya, dia akan masuk syurga melalui mana-mana pintu yang dia suka.

(HR Ibn Hibban di dalam Sahih: 4163. Syeikh Syuaib menyatakan hadis ini Sahih. I dalam riwayat Ahmad dinyatakan perkataan “Wa Ṭāʿat Zaujahā” tetapi riwayat itu dhoif kerana kedhaifan Ibn Lahiʿah, manakala perawi lain adalh siqah – ia dinamakan Hasan lighairihi.)

Ada juga wanita yang mempunyai keturunan yang baik bahkan daripada keluarga anak cucu Nabi Muhamad SAW. Mereka digelar dengan gelaran Syed dan Syarifah. Tetapi malangnya, sekadar keturunan yang baik sahaja tidak memadai kerana iman dan akhlak itu tidak diwarisi. Ramai orang yang baik tetapi keturunanya terpedaya dengan mainan dunia.

Nabi SAW bersabda:

لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى عَجَمِيٍّ ، وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ، وَلَا أَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ، وَلَا أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ، إِلَّا بِالتَّقْوَى

Tiada lebihnya orang Arab berbanding bukan Arab, demikian juga orang bukan Arab terhadap orang Arab, serta orang berkulit merah terhadap orang berkulit hitam demikian juga orang berkulit hitam terhadap berkulit merah melainkan atas taqwa.

(HR Ahmad: 23489. Syeikh Syuaib menyatakan sanad hadis ini Sahih.)

Benarlah sebuah hadis berikut, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا تَزَوَّجُوا النِّسَاءَ لِحُسْنِهِنَّ، فَعَسَى حُسْنُهُنَّ أَنْ يُرْدِيَهُنَّ ، وَلَا تَزَوَّجُوهُنَّ لِأَمْوَالِهِنَّ، فَعَسَى أَمْوَالُهُنَّ أَنْ تُطْغِيَهُنَّ، وَلَكِنْ تَزَوَّجُوهُنَّ عَلَى الدِّينِ، وَلَأَمَةٌ خَرْمَاءُ سَوْدَاءُ ذَاتُ دِينٍ أَفْضَلُ

Janganlah kalian mengahwini wanita itu semata-mata kerana kecantikannya, kelak mungkin kecantikannya itu memusnahkannya, dan jangan juga mengahwini mereka kerana hartanya, kelak mungkin hartanya itu akan mengaburinya, tetapi kahwinilah mereka kerana agamanya dan seorang hamba sahaya yang hitam itu lebih afdhal sekiranya beragama.

(HR Abu Daud: 1859. Di dalamnya terdapat perawi bernama Al-Afrīqī iaitu Abdul Rahman bin Ziyād bin Anʿum. Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan dia adalah perawi Dhoif. Manakala Syeikh Ahmad Syakir di dalam `Umdatul Tafsir menyatakan Sanad hadis ini sahih. Saya beranggapan bahawa hadis ini boleh dirujuk kepada hadis Fadhail Amal sahaja. Ia ditegakkan dan difahami sepertimana hadis utama dalam isu ini.)

Pada akhir hadis ini dinyatakan bahawa sesiapa yang memilih faktor agama, maka akan berdebulah tangannya. Berdebu tangan ini disandarkan kepada orang faqir. Tetapi bentuj ayat ini digunakan oleh orang Arab bagi menyatakan sesuatu yang istimewa. Ia bertujuan memberi galakkan.

Sebab Hadis

Daripada sudut sebab hadis, dnyatakan hadis ini timbul apabila berlaku dialog di antara Jabir dan Rasulullah SAW. Jabir memaklumkan bahawa dia telah mengahwini seorang janda. Tunjuannya kerana dia mempunyai adik-adik perempuan. Dia mengharapkan isterinya dapat membantu untuk menguruskan urusan adik-adik perempuannya itu. Dia tidak mahu adik-adik perempuannya menjadikan isterinya seperti kawan pula jika dipilih daripada kalangan anak dara. Apatah lagi, pada ketika itu orang berkahwin pada umur yang muda.

Demikian juga, pada sebab hadis berkenaan dinyatakan bahawa Nabi menggalakkan kahwin dengan anak dara supaya dapat mengambil kesenangan terhadapnya. Ini menunjukkan tidak salah untuk berkahwin di atas tujuan duniawi. Tetapi tujuan duniawi itu tidak boleh dijadikan sebab yang semata-mata.

Allah lebih tahu. 


No comments

Powered by Blogger.