Pada bulan Zulkaedah tahun kesepuluh kenabian (bertepatan dengan akhir Jun atau awal Julai tahun 619 M), Rasulullah s.a.w. pulang ke Mekah untuk menawarkan Islam kepada kabilah dan perseorangan. Ketika itu, memang mendekati musim haji, di mana manusia akan berbondong-bondong datang ke Mekah. Mereka datang dari segala penjuru untuk menunaikan kewajipan haji, mencari kemanfaatan bagi diri mereka serta mengingati Allah pada hari-hari yang telah dikenali.

Rasulullah s.a.w. tidak mensia-siakan kesempatan ini. Baginda menghampiri kabilah demi kabilah lalu menawarkan dan mendakwahkan Islam kepada mereka sama seperti dakwah yang baginda lakukan sejak tahun keempat kenabian.

Nabi Muhammad meminta kepada mereka pada tahun kesepuluh ini untuk membantunya, melindunginya sehinggalah Allah sampai apa yang telah sampai kepadanya.

Kabilah-kabilah Yang Didakwah

Imam al-Zuhri mengatakan, “Kabilah-kabilah yang disebutkan kepada kami bahawa Rasulullah s.a.w. mendatangi dan mendakwahi mereka serta menawarkan diri baginda (untuk minta perlindungan) kepada mereka adalah Bani Amir bin Ṣa’aah, Muharib bin Khaafah, Fuzarah, Ghassan, Murrah, Hanifah, Salim, Abs, Bani Nashr, Bani al-Bakka’, Kindah, Kalb, al-Haris bin Kaab, Udzrah dan Hudharimah. Tidak ada seorang pun daripada mereka menyambut seruan Rasulullah s.a.w..”[1][2]

Penawaran Islam kepada kabilah-kabilah yang disebutkan oleh al-Zuhri ini tidak terjadi pada satu tahun dan tidak pula pada satu musim haji saja. Namun begitu, penawaran tersebut berlaku dari tahun keempat kenabian sampai musim haji terakhir sebelum Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Yathrib.

Tidak mungkin Islam hanya ditawarkan mengikut tahun-tahun tertentu. Tetapi Nabi Muhammad banyak melakukan dakwah pada tahun kesepuluh.

Bagaimana cara Nabi Muhammad membentangkan dakwah kepada kabilah-kabilah itu serta cara mereka menolaknya, ia disebutkan oleh Ibn Ishāq. Kami ringkaskan seperti berikut:

  1. Bani Kalb. Nabi Muhammad mendatangi salah satu sukunya yang dikenali dengan nama Bani Abdullah. Baginda mendakwahi mereka untuk beriman kepada Allah, sekaligus menawarkan diri baginda (untuk meminta perlindungan) kepada mereka. Baginda berkata, “Hai Bani Abdullah, sesungguhnya Allah telah menjadikan indah nama ayah kamu.” Namun begitu, mereka tidak menerima apa yang baginda tawarkan kepada mereka.
  2. Bani Hanifah. Rasulullah s.a.w. mendatangi mereka di rumah-rumah mereka. Baginda mendakwahi mereka untuk beriman kepada Allah dan menawarkan diri baginda (untuk minta perlindungan) kepada mereka. Namun begitu, tidak ada bangsa Arab yang melebihi keburukan mereka dalam menolak tawaran Rasulullah s.a.w.
  3. Bani Amir bin Sa’saah. Rasulullah s.a.w. mendakwahi mereka untuk beriman kepada Allah dan menawarkan diri baginda (untuk minta perlindungan) kepada mereka.

Berkatalah Baiharah bin Firas (salah seorang daripada mereka) kepada kaumnya, “Demi Allah, jika aku mengambil alih anak muda ini daripada tangan orang Quraisy, disebabkannya pasti aku akan menguasai bangsa Arab.”

Kemudian Baiharah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., “Bagaimana pendapatmu jika kami berbaiat kepadamu dalam urusanmu ini, kemudian Allah memenangkanmu atas mereka yang menyelisihimu, adakah kami dapat mempunyai pemerintahan sepeninggalanmu?”
Rasulullah s.a.w. menjawab, “Urusan pemerintahan adalah hak Allah. Dia menempatkannya menurut kehendak-Nya.”

Menerima jawapan seperti itu, Baiharah berkata, “Kenapa kami perlu menyerahkan batang leher kami kepada bangsa Arab untuk membelamu, jika ternyata nanti Allah memenangkanmu, pemerintahan bukan menjadi milik kami? Kami tidak perlu terhadap urusanmu itu!”

Akhirnya, Bani Amir enggan menerima tawaran Rasulullah s.a.w.

Selepas pulang dari Mekah, Bani Amir melaporkan apa yang mereka alami kepada seorang tua yang tidak dapat melaksanakan haji tahun itu disebabkan usianya yang sudah tua. Mereka berkata kepadanya, “Di sana kami didatangi oleh seorang pemuda Quraisy daripada Bani Abdul Muthalib. Dia mengaku diri sebagai nabi. Dia meminta kami untuk melindungi dan membelanya serta membawanya keluar ke negeri kita.”

Orang tua tersebut meletakkan kedua-dua tangannya di kepala lalu berkata, “Hai Bani Amir, tidakkah ada orang yang cuba berfikir baik-baik tentangnya? Tidak adakah yang sudi mendengarnya dengan baik? Demi Zat yang jiwa anak itu berada di tangan-Nya, anak-anak keturunan Ismail tidak pernah mencipta ajaran agama. Sesungguhnya, apa yang dikatakan oleh anak itu adalah benar. Ke manakah hilangnya pendirian yang dahulu ada pada kamu?”[3]

Penduduk Luar Mekah Yang Menyatakan Diri Beriman

Sebagaimana Rasulullah s.a.w. menawarkan Islam kepada kabilah-kabilah dan para pengunjung Mekah, baginda juga menawarkannya kepada individu. Baginda mendapat penolakan yang baik daripada sebahagian mereka. Sementara itu, beberapa orang yang lain memilih untuk beriman kepada baginda beberapa ketika selepas musim haji. Berikut adalah penjelasan tentang mereka.

  1. Suwaid bin al-Ṣāmit. Dia penduduk Yathrib yang pandai bersyair. Dia digelar “al-Kamil” (yang sempurna) lantaran kulit dan rambutnya bagus serta nasab dan kedudukannya terhormat. Dia datang ke Mekah untuk menunaikan haji atau umrah, lantas Rasulullah s.a.w. mendakwahinya untuk memeluk Islam.

Suwaid berkata kepada Rasulullah s.a.w dengan kehairanan, “Apa yang kau sampaikan ini sama dengan yang kuyakini selama ini.” Maka Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya, “Apa yang kau yakini?” Suwaid menjawab, “Hikmah (kebijaksanaan) Luqman.” Rasulullah s.a.w. kemudian meminta kepadanya, “Ceritakanlah hikmah itu kepadaku.” Suwaid menceritakan hikmah tersebut kepada Rasulullah s.a.w..

Selepas itu, Rasulullah s.a.w. berkata kepada Suwaid, “Sesungguhnya ucapan yang kau sampaikan betul-betul bagus. Namun begitu, apa yang ada padaku masih lebih utama daripada itu, iaitu sebuah bacaan yang Allah Taala turunkan kepadaku yang merupakan petunjuk dan cahaya.”

Selepas itu Rasulullah s.a.w. membacakan beberapa ayat al-Quran kepada Suwaid dan mengajaknya untuk memeluk Islam. Tanpa mengambil masa yang panjang, Suwaid pun menyatakan keislamannya. Selepas itu Suwaid berkata, “Bacaan tadi benar-benar ucapan yang bagus.”

Tidak lama setelah pulang ke Madinah, Suwaid terbunuh dalam Perang Buats.[4] Sedangkan keislamannya terjadi pada awal tahun kesebelas kenabian.[5]

  1. Iyās bin Muʿaz. Dia seorang remaja Yathrib yang usianya masih muda. Dia datang ke Mekah bersama rombongan Aus yang datang untuk menjalin persepakatan dengan orang Quraisy untuk menghadapi kaum Khazraj. Ia terjadi sebelum Perang Buaʿts pada awal tahun kesebelas kenabian. Ketika itu, api permusuhan antara dua kabilah di Yathrib ini telah menyala sejak lama. Kaum Aus mempunyai jumlah yang lebih sedikit dibandingkan dengan kaum Khazraj, sehingga mereka mencari bantuan kepada orang Quraisy.

Mengetahui kedatangan rombongan Aus, Rasulullah s.a.w.menemui mereka dan duduk bersama mereka. Baginda bertanya kepada mereka,

هَلْ لَكُمْ إِلَى خَيْرٍ مِمَّا جِئْتُمْ لَهُ؟

“Adakah kamu ingin mendapatkan sesuatu yang lebih baik daripada kepentingan yang mendorong kamu datang kemari?”

Tanpa menjawab, mereka terus bertanya, “Apakah itu?” Rasulullah s.a.w. menjawab,

أَنَا رَسُولُ اللَّهِ، بَعَثَنِي إِلَى الْعِبَادِ أَدْعُوهُمْ إِلَى أَنْ يَعْبُدُوا اللَّهَ لَا يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا، وَأُنْزِلَ عَلَيَّ كِتَابٌ

“Aku adalah rasul Allah. Dia mengutusku kepada semua hamba. Maka aku mendakwahi mereka untuk menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan apa-apa. Dia juga menurunkan kitab (Al-Quran) kepadaku.”

Selepas itu Rasulullah s.a.w. menjelaskan tentang ajaran Islam dan membacakan beberapa ayat al-Quran kepada mereka. Maka Iyas bin Muadz berkata,

أَيْ قَوْمِ، هَذَا وَاللَّهِ خَيْرٌ مِمَّا جِئْتُمْ لَهُ

“Hai kaumku, demi Allah, ini lebih baik dibandingkan kepentingan yang mendorong kamu datang ke sini.”

Kemudian Abu Haisar Anas bin Rafi’ (salah seorang yang ada dalam rombongan) mengambil dua genggam debu tanah berpasir lalu disebarkannya ke wajah Iyas. Selepas itu dia berkata,

“Menjauhlah daripada kami! Demi umurku, sesungguhnya kita datang bukan untuk urusan ini (mendengar dakwah).”

Iyas hanya diam, sementara Rasulullah s.a.w. bangkit dari tempat duduknya. Akhirnya rombongan Aus itu  beranjak pulang ke Madinah tanpa berjaya mengikat persepakatan dengan puak Quraisy.

Tidak berapa lama setelah rombongan Aus kembali ke Yathrib, Iyas meninggal dunia. Menjelang kematiannya, Iyas sentiasa bertahlil, bertakbir, bertahmid dan bertasbih sehingga tidak ada seorang pun meragui bahawa dia mati sebagai orang Islam.[6][7]

  1. Abu Dzar al-Ghiffary. Dia penduduk di sebuah daerah pinggiran Yathrib. Tatkala khabar tentang diutusnya Nabi Muhammad sebagai rasul sampai di Yathrib yang dibawa oleh Suwaid bin Shamit dan Iyas bin Muadz, khabar tersebut sampai juga ke telinga Abu Dzar. Mereka menjadi sebab keislamannya.

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas yang menyatakan bahawa Abu Dzar berkata,

كُنْتُ رَجُلًا مِنْ غِفَارٍ، فَبَلَغَنَا أَنَّ رَجُلًا قَدْ خَرَجَ بِمَكَّةَ يَزْعُمُ أَنَّهُ نَبِيٌّ، فَقُلْتُ لِأَخِي: انْطَلِقْ إِلَى هَذَا الرَّجُلِ كَلِّمْهُ وَأْتِنِي بِخَبَرِهِ

“Aku adalah orang Ghiffar. Ketika sampai kepada kami berita tentang seseorang yang muncul di Mekah dengan mendakwa dirinya sebagai nabi, maka aku meminta tolong kepada saudaraku, ‘Temuilah orang itu dan bercakaplah dengannya. Selepas itu bawakanlah kepadaku khabar tentang dirinya.’

فَانْطَلَقَ فَلَقِيَهُ، ثُمَّ رَجَعَ، فَقُلْتُ مَا عِنْدَكَ؟ فَقَالَ: وَاللَّهِ لَقَدْ رَأَيْتُ رَجُلًا يَأْمُرُ بِالخَيْرِ وَيَنْهَى عَنِ الشَّرِّ، فَقُلْتُ لَهُ: لَمْ تَشْفِنِي مِنَ الخَبَرِ

“Saudaraku kemudian pergi ke Mekah dan bertemu dengannya. Ketika saudaraku pulang, aku bertanya kepadanya, ‘Berita apa yang kau bawa?’ Saudaraku itu menjawab, ‘Demi Allah, aku telah bertemu dengan seseorang yang menyuruh melakukan kebaikan dan melarang keburukan.’ Aku berkata kepadanya, ‘Khabar yang kau bawa ini masih belum cukup memuaskanku.’

فَأَخَذْتُ جِرَابًا وَعَصًا، ثُمَّ أَقْبَلْتُ إِلَى مَكَّةَ، فَجَعَلْتُ لاَ أَعْرِفُهُ، وَأَكْرَهُ أَنْ أَسْأَلَ عَنْهُ، وَأَشْرَبُ مِنْ مَاءِ زَمْزَمَ وَأَكُونُ فِي المَسْجِدِ

“Segera kuambil kantung bekalan dan tongkat lalu aku berjalan menuju ke Mekah. Aku tidak mengenali orang itu (Muhammad) tetapi aku juga tidak mahu menanyakannya kepada orang. Aku minum air zamzam dan tidur di masjid.”

فَمَرَّ بِي عَلِيٌّ فَقَالَ: كَأَنَّ الرَّجُلَ غَرِيبٌ؟ قَالَ: قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: فَانْطَلِقْ إِلَى المَنْزِلِ، قَالَ: فَانْطَلَقْتُ مَعَهُ، لاَ يَسْأَلُنِي عَنْ شَيْءٍ وَلاَ أُخْبِرُهُ

Abu Dzar meneruskan, “Sehinggalah Ali melintas di hadapanku. Dia berkata, ‘Kelihatannya kamu orang asing.’ Aku menjawab, ‘Ya.’ Ali berkata, ‘Jika begitu, mari ke tempat penginapan.’ Aku pun pergi bersamanya. Ali tidak bertanya sedikit pun dan aku tidak bertanya apa-apa kepadanya serta tidak memberitahu apa-apa kepadanya.”

فَلَمَّا أَصْبَحْتُ غَدَوْتُ إِلَى المَسْجِدِ لِأَسْأَلَ عَنْهُ، وَلَيْسَ أَحَدٌ يُخْبِرُنِي عَنْهُ بِشَيْءٍ، قَالَ: فَمَرَّ بِي عَلِيٌّ، فَقَالَ: أَمَا نَالَ لِلرَّجُلِ يَعْرِفُ مَنْزِلَهُ بَعْدُ؟ قَالَ: قُلْتُ: لاَ، قَالَ: انْطَلِقْ مَعِي

Abu Dzar meneruskan, “Pada keesokan hari, aku pergi ke masjid. Aku berharap ada orang yang boleh kutanya tentang lelaki itu. Namun begitu, ternyata tidak ada seorang pun yang boleh kutanya tentang lelaki itu. Hinggalah Ali melintas di hadapanku untuk kali keduanya. Ali bergumam, ‘Adakah lelaki ini masih tidak tahu jalan untuk ke tempat penginapan?’ Aku menjawab, ‘Ya.’ Ali berkata, ‘Jika begitu marilah berjalan bersamaku’.”

قَالَ: فَقَالَ مَا أَمْرُكَ، وَمَا أَقْدَمَكَ هَذِهِ البَلْدَةَ؟ قَالَ: قُلْتُ لَهُ: إِنْ كَتَمْتَ عَلَيَّ أَخْبَرْتُكَ، قَالَ: فَإِنِّي أَفْعَلُ،

Abu Dzar meneruskan, “Akhirnya Ali bertanya kepadaku, ‘Apakah urusan kamu dan apakah yang mendorongmu datang ke negeri ini?’ Aku memastikan terlebih dahulu, ‘Jika kau mahu merahsiakan urusanku, aku akan memberitahu.’ Ali berkata, ‘Ya. Aku akan merahsiakannya.’

قَالَ: قُلْتُ لَهُ: بَلَغَنَا أَنَّهُ قَدْ خَرَجَ هَا هُنَا رَجُلٌ يَزْعُمُ أَنَّهُ نَبِيٌّ، فَأَرْسَلْتُ أَخِي لِيُكَلِّمَهُ، فَرَجَعَ وَلَمْ يَشْفِنِي مِنَ الخَبَرِ، فَأَرَدْتُ أَنْ أَلْقَاهُ،

“Maka kujelaskan kepadanya, ‘Telah sampai berita kepada kami bahawa seorang lelaki muncul di negeri ini dengan mendakwa dirinya sebagai nabi. Aku telah mengutus saudaraku untuk bercakap dengannya tetapi khabar yang dibawanya tidak memuaskanku. Maka, aku kemari untuk menemui lelaki itu sendiri.’

فَقَالَ لَهُ: أَمَا إِنَّكَ قَدْ رَشَدْتَ، هَذَا وَجْهِي إِلَيْهِ فَاتَّبِعْنِي، ادْخُلْ حَيْثُ أَدْخُلُ، فَإِنِّي إِنْ رَأَيْتُ أَحَدًا أَخَافُهُ عَلَيْكَ، قُمْتُ إِلَى الحَائِطِ كَأَنِّي أُصْلِحُ نَعْلِي وَامْضِ أَنْتَ،

“Ali berkata, ‘Sesungguhnya kamu memberitahu pada orang yang tepat. Ikutlah aku. Apabila aku masuk, maka kamu pun masuk. Jika aku melihat seseorang yang kukhuatirkan akan membahayakan keselamatanmu, aku akan berdiri mendekati tembok untuk berpura-pura membetulkan seliparku. Maka, kamu teruslah berjalan seolah-olah tidak mengenaliku.’

فَمَضَى وَمَضَيْتُ مَعَهُ، حَتَّى دَخَلَ وَدَخَلْتُ مَعَهُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقُلْتُ لَهُ: اعْرِضْ عَلَيَّ الإِسْلاَمَ، فَعَرَضَهُ فَأَسْلَمْتُ مَكَانِي

“Ali mula melangkahkan kakinya dan aku mengikutinya dari belakang. Kemudian, dia masuk dan aku turut masuk menemui Nabi Muhammad. Aku meminta kepada baginda, ‘Ceritakanlah kepadaku tentang Islam.’ Baginda pun menerangkan tentang Islam kepadaku. Maka, aku menyatakan diri untuk memeluk Islam di tempat itu juga.”

فَقَالَ لِي: «يَا أَبَا ذَرٍّ، اكْتُمْ هَذَا الأَمْرَ، وَارْجِعْ إِلَى بَلَدِكَ، فَإِذَا بَلَغَكَ ظُهُورُنَا فَأَقْبِلْ»

Abu Dzar meneruskan, “Selepas itu Rasulullah s.a.w. berkata kepadaku, ‘Rahsiakanlah keislamanmu ini, wahai Abu Dzar. Pulanglah ke negerimu. Jika berita tentang kemenangan kami telah sampai padamu, datanglah lagi kemari.’

فَقُلْتُ: وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالحَقِّ، لَأَصْرُخَنَّ بِهَا بَيْنَ أَظْهُرِهِمْ

“Aku membalas, ‘Demi Zat yang telah mengutusmu dengan membawa kebenaran, aku akan menyatakan keislamanku ini dengan lantang di hadapan mereka.’

فَجَاءَ إِلَى المَسْجِدِ وَقُرَيْشٌ فِيهِ، فَقَالَ: يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ، إِنِّي أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ،

“Kemudian, aku pergi ke masjid dan kebetulan orang Quraisy sedang berada di sana. Aku terus berkata dengan lantang, ‘Hai orang Quraisy! Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya.’

فَقَالُوا: قُومُوا إِلَى هَذَا الصَّابِئِ، فَقَامُوا فَضُرِبْتُ لِأَمُوتَ

“Mendengar perkataan itu, mereka saling berkata, ‘Hampirilah orang murtad ini!’ Mereka semua datang menghampiriku. Aku dipukul sehingga hampir mati.’

فَأَدْرَكَنِي العَبَّاسُ فَأَكَبَّ عَلَيَّ، ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَيْهِمْ، فَقَالَ: وَيْلَكُمْ، تَقْتُلُونَ رَجُلًا مِنْ غِفَارَ، وَمَتْجَرُكُمْ وَمَمَرُّكُمْ عَلَى غِفَارَ، فَأَقْلَعُوا عَنِّي،

“Mujurlah Abbas menemuiku. Dia datang menghampiriku. Dia menatap wajah orang Quraisy dan berkata kepada mereka, ‘Sungguh celaka kamu! Kamu hendak membunuh seseorang daripada Ghiffar? Bukankah antara kamu ada yang berdagang dan sering mendatangi negeri Ghiffar?’ Mereka semua segera menjauhiku.

فَلَمَّا أَنْ أَصْبَحْتُ الغَدَ رَجَعْتُ، فَقُلْتُ مِثْلَ مَا قُلْتُ بِالأَمْسِ، فَقَالُوا: قُومُوا إِلَى هَذَا الصَّابِئِ فَصُنِعَ بِي مِثْلَ مَا صُنِعَ بِالأَمْسِ، وَأَدْرَكَنِي العَبَّاسُ فَأَكَبَّ عَلَيَّ، وَقَالَ مِثْلَ مَقَالَتِهِ بِالأَمْسِ

“Keesokan harinya aku mendatangi lagi tempat itu. Aku kembali mengatakan seperti yang kukatakan kelmarin. Mereka kembali berkata, ‘Hampirilah orang murtad ini!’ Mereka memukulku lagi seperti yang mereka lakukan kelmarin. Kali ini Abbas kembali mendapatkanku. Dia menghampiriku lalu mengatakan kepada orang Quraisy sama seperti yang dikatakannya kelmarin.”[8]


[1]Ibn Sa`ad: 1/216
[2] Ulasan USA: Syeikh Syu`aib al-Arnaouṭ menyebutkan ketika memberi ulasan terhadap kitab Zād al-Maʿād (3/43): “Ia direkodkan oleh Ibn Saʿad di dalam al-Ṭabaqāt daripada jalan al-Wāqidī – beliau telah disepakati kedhaifannya.” – Justeru, riwayat ini Dhoif.
[3]Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 424-425.
[4]Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 425-427 dan Muhammad Sulaiman Salman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-‘Alamin, jil I, hlm. 74.
[5] Ulasan USA: Riwayat ini dipertikaikan seiring dipertikaikan keislaman Suwaid. Ibn Hajar menyebutkan di dalam al-Iṣābah fi Tamyīz al-Ṣahābah (3/305), cetakan Dār al-Jail, Beirut: “Suwaid bin al-Ṣāmit bin Khālid bin ʿUqbah al-Ausi disebutkan oleh Ibn Shāḥāin, katanya: Syak pada keislamannya. Abu Umar pula berkata: Aku meraguinya sepertimana diragui oleh orang lain. Orang lain yang menyatakan keislamanya berpegang terhadap riwayat Ibn Ishāq... aku menyatakan: Sekiranya sahih keislamannya nescaya mereka itu tidak akan menyatakan keraguan pada persahabatan Suwaid; kerana beliau tidak pernah bertemu Nabi Muhammad SAW dalam keadaan beriman.”
[6]Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 427-428 dan Musanad Ahmad 427/5
[7] Ulasan USA: Hadis ini Sahih. Disahihkan oleh ramai ulama hadis termasuk Ibn Hajar di dalam Al-Iṣābah.
[8]Sahih al-Bukhari, bab tentang kisah zamzam, jil I, hlm. 499-500 dan bab tentang keislaman Abu Dzar, jil I, hlm. 544-545.