Melayani ibubapa dengan kelakuan yang baik merupakan satu bentuk akhlak yang diajar di dalam agama Islam. Akhlak ini dikempen dengan bersungguh-sungguh di dalam al-Quran dan al-Hadis. Sehingga ia telah menjadi sebahagian daripada agama Islam.

Seseorang yang mendakwa diri sebagai beriman tetapi tidak berbuat baik kepada ibubapa dianggap sebagai seorang Muslim yang tidak patuh terhadap agamanya.

Allah berfirman:

وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Tuhan kamu telah menetapkan bahawa tidak boleh melutut sembah selain kepada diri-Nya sahaja, demikian juga Dia menetapkan kamu untuk berbuat baik terhadap ibubapa.

(Al-Isrā’: 23)


وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ (13) وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”. Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun . Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.”

(Luqman: 13-14)

Nabi Muhammad SAW pula menyebutkan di dalam sebuah hadis yang direkodkan oleh Imam al-Bukhāri di dalam kitab al-Adab al-Mufrad:

رِضَا الرَّبِّ فِي رِضَا الْوَالِدِ، وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ

Redha Tuhan adalah pada redha ibubapa, demikian juga kemurkaan Tuhan adalah pada kemurkaan ibubapa.

(HR al-Bukhari di dalam Adab al-Mufrad: 2)

Imam al-Zahabi menyatakan bahawa hadis ini sahih. Sebahagian ulama pula seperti al-Albani menyatakan ia adalah Hasan.

Kita telah diajar bahawa kumpulan yang paling baik untuk diteladani ialah kumpulan daripada ganerasi salaf. Nabi Muhammad bersabda:

خَيْرُكُمْ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

Sebaik-baik kamu ialah yang berada pada kurunku, kemudian orang yang selepas mereka, kemudian yang selepas mereka.

(HR al-Bukhāri di dalam Sahih: 2651)

Di sini, saya ingin berkongsi kisah-kisah daripada hadis yang sahih menunjukkan perilaku berbuat baik kepada ibubapa:

(1) Kisah Abdullah bin Umar

Abdullah bin Dinar bercerita:

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عُمَرَ، أَنَّ رَجُلًا مِنَ الْأَعْرَابِ لَقِيَهُ بِطَرِيقِ مَكَّةَ، فَسَلَّمَ عَلَيْهِ عَبْدُ اللهِ، وَحَمَلَهُ عَلَى حِمَارٍ كَانَ يَرْكَبُهُ. وَأَعْطَاهُ عِمَامَةً، كَانَتْ عَلَى رَأْسِهِ فَقَالَ ابْنُ دِينَارٍ: فَقُلْنَا لَهُ: أَصْلَحَكَ اللهُ إِنَّهُمُ الْأَعْرَابُ وَإِنَّهُمْ يَرْضَوْنَ بِالْيَسِيرِ، فَقَالَ عَبْدُ اللهِ: إِنَّ أَبَا هَذَا كَانَ وُدًّا لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «إِنَّ أَبَرَّ الْبِرِّ صِلَةُ الْوَلَدِ أَهْلَ وُدِّ أَبِيهِ»


Suatu hari, seorang Arab Badawi bertemu dengan Abdullah bin Umar di tengah perjalanan Mekah. Lalu Abdullah memberi salam dan menjemputnya menaiki himar yang dia tunggangi. Setelah itu, Abdullah memberikan serban yang dia pakai kepada lelaki berkenaan.

Abdullah bin Dinar berkata: Setelah itu, kami bertanya: Semoga Allah meluruskan urusanmu. Bukankah mereka itu adalah orang Badawi yang telah merasa senang dengan pemberian yang sedikit.

Lalu Abdullah menjawab: Sesungguhnya bapa orang ini sangat mencintai Umar al-Khattab, sedangkan aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Perkara baik yang sangat baik ialah seorang anak yang menghubungkan silaturahim terhadap keluarga orang yang menyintai bapanya.

(HR Muslim di dalam Sahih: 11/2552)

Pengajaran:

(1) Tabiin bersedia bertanya apabila mereka musykil terhadap sesuatu perkara sekalipun orang yang melakukan itu adalah orang yang lebih tinggi ilmunya. Hal ini menunjukkan bahawa ilmu diambil dengan jalan interaksi dua pihak. Ia tidak sekadar terima semata-mata tanpa membenarkan sebarang persoalan.

(2) Ibn Umar adalah seorang sahabat Nabi yang diiktiraf sebagai orang yang berada dalam lingkungan manusia terbaik. Beliau dididik oleh Rasulullah SAW untuk menghormati dan mengasihi orang yang dikasihi oleh ibubapanya.

(3) Sebagai umat Islam yang mengikuti jalan Salaf, kita hendaklah menjadikan kisah ini sebagai teladan.

Kisah 2: Amal Soleh Yang Bermanfaat

Abdullah bin Umar berkata: “Aku telah mendengar Rasulullah bercerita :

Tiga orang daripada kalangan orang dahulu telah memulakan perjalanan dan berhenti berlindung untuk bermalam di sebuah gua, lalu mereka masuk ke dalamnya. Tiba-tiba terjatuhlah seketul batu dari atas bukit dan memerangkap mereka di dalam gua tersebut.

Lalu mereka berpendapat:

إِنَّهُ لاَ يُنْجِيكُمْ مِنْ هَذِهِ الصَّخْرَةِ إِلاَّ أَنْ تَدْعُوا اللَّهَ بِصَالِحِ أَعْمَالِكُمْ

“Tidak ada yang dapat menyelamatkan kalian dari batu ini melainkan kamu berdoa kepada Allah dengan perantaraan amal soleh kamu”.

Seorang lelaki daripada kalangan mereka telah berdoa:

Wahai Tuhanku! Aku mempunyai dua orang ibubapa yang telah tua dan berusia. Aku tidak akan makan malam sebelum mereka berdua makan. Begitu juga, aku tidak akan mendahulukan keluarga dan hartaku setelah mereka berdua.

Satu hari, aku telah terlambat melayani mereka kerana menyelesaikan satu urusan. Aku tidak balik sehinggalah kedua ibubapaku telah tertidur. Lalu aku sediakan susu untuk mereka berdua, namun mereka telah tidur. Aku tidak suka minum sebelum mereka berdua. Aku tidak suka mendahulukan keluargaku atau hartaku sebelum mereka. Aku tertidur dalam keadaan tanganku memegang cawan, menanti mereka berdua sehinggalah siang. Lalu mereka berdua mengejutkan aku lantas aku memberi mereka minum.

اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتُ فَعَلْتُ ذَلِكَ ابْتِغَاءَ وَجْهِكَ فَفَرِّجْ عَنَّا مَا نَحْنُ فِيهِ مِنْ هَذِهِ الصَّخْرَةِ

Wahai Tuhanku! Seandainya aku melakukan perkara tersebut sebagai mengharapkan restu dariMu, maka bebaskanlah kami dari batu ini”.

Lalu batu itu terbuka sedikit, namun mereka masih tidak mampu keluar dari gua tersebut”.

(HR Al-Bukhari di dalam Sahih: 2272)

Pengajaran:

(1) Kesungguhan dan keikhlasan seorang anak di dalam memastikan kebajikan ibubapanya terjaga telah dinilai oleh Allah sebagai satu ketinggian dalam amal. Lelaki ini telah menepati ayat 23-24 Surah al-Israk yang telah kita bincangkan dahulu.

(2) Harus berdoa dengan bertawasul dengan amal soleh.

Kisah 3: Uwais al-Qarni

Daripada Usair bin Jabir, beliau berkata; apabila pasukan bantuan daripada Yaman tiba untuk membantu, Umar al-Khattab bertanya kepada mereka: Adakah di kalangan kalian yang bernama Uwais bin ‘Amir sehingga dia menemui Uwais bin ‘Amir. Beliau bertanya: Adakah engkau Uwais bin ‘Amir? Uwais menjawab: Ya. Umar bertanya: Engkau dari Murad dan Qaran? Uwais menjawab: Ya. Umar bertanya lagi: Adakah engkau baru sembuh daripada penyakit kulit tetapi ada tinggal parut sebesar dirham? Uwais menjawab: Ya. Umar bertanya: Adakah engkau memiliki ibu? Uwais menjawab: Ya.

Umar berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Akan datang kepada kalian Uwais bin Amir bersama bantuan dari Yaman dari Murad dan Qaran. Pada tubuh Uwais ada kesan penyakit kulit yang sudah sembuh sebesar dirham. Dia memiliki seorang ibu yang dia melayaninya dengan baik. Jika dia bersumpah dengan Allah, dia akan menepatinya. Jika engkau dapat memohon agar dia memohon keampunan untuk kalian, lakukanlah. Umar berkata: Mohonlah keampunan untuk ku. Lalu Uwais memohon keampunan untuknya.

[HR Muslim di dalam Sahih: 2542]

Pengajaran:

(1) Nabi menyatakan bahawa Uwais adalah seorang lelaki soleh yang doanya makbul. Di antara sifat uwais yang patut diteladani oleh kita ialah: dia melayani ibunya dengan sangat baik.

Kisah 4: Jangan Namakan Dengan Namanya

Abu Hurairah pernah melihat dua orang lelaki. Lalu beliau berkata kepada salah seorang daripada mereka,

مَا هَذَا مِنْكَ ؟ فَقَالَ: أَبِي. فَقالَ: ” لاَ تُسَمِّهِ بِاسْمِهِ، وَلاَ تَمْشِ أَمَامَهُ، وَلاَ تَجْلِسْ قَبْلَهُ

“Apa hubungan dia denganmu?” Orang itu menjawab, ”Dia ayahku.” Abu Hurairah lalu berkata, “Janganlah engkau memanggil ayahmu dengan namanya saja, janganlah berjalan di hadapannya dan janganlah duduk sebelum ia duduk.”

(HR al-Bukhari di dalam Adabul Mufrod: 44.)

Al-Albani menyatakan hadis ini sahih daripada sudut sanad.

Pengajaran:

(1) Orang Melayu kita terdidik dengan akhlak yang di ajarkan di dalam hadis ini sejak kurun berkurun. Tetapi apabila orang ramai banyak terdedah kepada budaya barat, mereka telah meninggalkan amalan seperti ini.

(2) Pembudayaan semula budaya ini merupakan sunnah.