Terdapat pelbagai riwayat berkaitan kisah sahabat nabi  al-Ṭufāil bin ʿAmrū al-Dausi. Sebahagiannya sahih manakala sebahagian yang lain adalah Dhoif. Oleh itu, kami kongsikan kedua-dua jalan cerita berkenaan supaya dapat memberikan manfaat bersama. 

 KISAH TIDAK SABIT 


Sebuah rekod Ibn Ishaq menceritakan: 

Thufail bin Amru al-Dausy. Dia seorang lelaki yang terhormat, penyair yang pandai dan ketua kabilah Daus. Kabilah yang dipimpinnya mempunyai sebuah pemerintahan (atau paling tidak seperti pemerintahan) yang menguasai sebahagian wilayah pinggiran Yaman.

Thufail mengunjungi Mekah pada tahun kesebelas (11) kenabian. Sebelum tiba di Mekah, Thufail telah disambut oleh penduduk Mekah. Mereka memberikan salam penghormatan dan pengagungan kepadanya. Selepas itu mereka berkata, 

“Wahai Thufail, tuan mengunjungi negeri kami ketika ada orang sedang menyusahkan kami. Dia mencerai-beraikan persatuan kami dan memporak-perandakan urusan kami. Ucapannya bagaikan sihir yang memisahkan seseorang daripada ayahnya, juga daripada saudaranya, juga daripada isterinya. Kami khuatir tuan dan kaum tuan dan kaum tuan akan terkena hal yang sama seperti yang telah menimpa kami. Saranan kami, janganlah tuan bercakap dengannya dan jangan pula mendengar ucapannya walaupun sedikit.”

Thufail berkata, “Demi Allah, mereka terus menghasutku sehingga aku bertekad untuk tidak mendengarkan apa-apa daripada Nabi Muhammad dan tidak akan bercakap dengannya. Bahkan, aku menyumbat telingaku dengan kapas ketika memasuki masjid dengan tujuan agar aku tidak mendengar sepatah kata pun daripadanya.”

Thufail meneruskan, “Aku masuk masjid dan kudapati Nabi Muhammad sedang berdiri mengerjakan solat berdekatan Kaabah. Aku berdiri berdekatannya. Ternyata Allah menghendaki aku mendengar sedikit ucapannya. Ketika itu, aku mendengar serangkap perkataan yang sangat indah.

“Aku berkata kepada diriku sendiri, ‘Demi kesusahan ibuku ketika melahirkanku! Demi Allah, aku adalah penyair yang pandai, yang sangat mahir membezakan mana ucapan yang indah dan mana yang buruk. Maka, tidak ada salahnya aku mendengar ucapan orang ini. Jika ucapannya indah, kenapa aku tidak menerimanya? Jika ucapannya buruk, aku akan pergi meninggalkannya.’

“Aku diam mendengarnya hingga selesai. Selepas itu, dia pulang ke rumahnya dan aku mengikutinya dari belakang.

“Tatkala dia masuk ke dalam rumah, aku meminta izin untuk turut masuk. Kujelaskan tentang kisah kedatanganku, bermula daripada tindakan orang Mekah yang menakut-nakutkanku, bagaimana aku menyumbat telingaku dengan kapas, hinggalah akhirnya aku mendengar sebahagian daripada ucapannya.

“Aku berkata kepadanya, ‘Jelaskanlah kepadaku tentang urusanmu.’ Baginda menjelaskan tentang Islam kepadaku lalu disambungnya dengan membacakan untukku beberapa ayat al-Quran. Maka demi Allah, belum pernah aku mendengar ucapan yang lebih indah daripada itudan urusan yang lebih adil daripada urusan yang dibawanya. Maka, aku pun memeluk Islam dan bersyahadah secara benar.

“Kepadanya kukatakan, ‘Aku ini pemimpin yang ditaati di tengah kaumku. Aku akan kembali kepada mereka dan menyeru mereka untuk memeluk Islam. Oleh sebab itu, berdoalah kepada Allah agar Dia menjadikan sebuah tanda penguat untukku.’ Rasulullah s.a.w. berdoa seperti yang kuminta.”

Tanda penguat dakwahnya adalah ketika dia telah mendekati kaumnya, Allah menjadikan cahaya yang bersinar di wajahnya bagaikan pelita. Ketika itu dia berdoa, “Ya Allah, pindahkanlah, jangan di wajahku. Aku takut mereka mengatakan aku serupa dengan Nabi Muhammad.”

Maka Allah memindahkan cahaya itu ke tali cemetinya dan dia pun pergi mendakwahi ayah dan isterinya untuk memeluk Islam. Kedua-duanya menerima apa yang didakwahkannya dan mereka pun memeluk Islam. Hanya kaumnya saja yang tidak mahu memeluk Islam. Meskipun begitu, dia tetap setia hidup bersama-sama kaumnya hinggalah dia berhijrah selepas Perang Khandaq , yang ketika itu dia diikuti oleh 70 atau 80 keluarga daripada kaumnya.

Dalam memperjuangkan Islam, dia mendapat ujian keimanan yang baik sehingga dia terbunuh sebagai syahid dalam Perang Yamamah. 

 ULASAN USTAZ USA: 


Kisah ini Dhoif. Ibn Kasir menyebutkan di dalam Al-Bidāyah wa al-Nihāyah “Demikianlah yang disebutkan oleh Ibn Ishāq tentang kisah Tufail bin Amrū secara mursal tanpa disertakan sebarang sanad. Kisah tentangnya terdapat banyak petanda (Syāhid) melalui hadis-hadis sahih.

KISAH YANG SAHIH

Sekurang-kurangnya terdapat dua kisah tentang Al-Tufail yang direkodkan di dalam hadis-hadis yang sahih. Berikut adalah kisah yang diambil daripada rekod Sahih al-Bukhari dan Muslim.

 PELAWAAN AL-ṬUFĀIL 

1. Setelah tekanan yang sangat kuat oleh orang Quraisy kepada Nabi Muhammad SAW, Al-Ṭufāil bin ʿAmrū datang kepada Nabi Muhammad dan mempelawa baginda untuk mendapatkan perlindungan daripada kabilah Daus. Tetapi baginda enggan. 

Imam Muslim dengan sanadnya daripada Jābir bin Abdullah menyebutkan: Al-Ṭufāil bin ʿAmrū al-Dausi  datang bertemu Nabi SAW lantas berkata: 

هَلْ لَكَ فِي حِصْنٍ حَصِينٍ وَمَنْعَةٍ؟

Wahai rasulullah, adakah engkau mahu tinggal di sebuah benteng yang kukuh dan dapat melindungi? 

Perawi berkata: ia adalah benteng daus ketika jahiliyyah. Tetapi Rasulullah SAW tidak bersetuju kerana percaya dengan janji Allah terhadap orang Anṣār. 

Ketika Nabi SAW berhijrah ke Madinah, Al-Ṭufāil bin ʿAmrū turut berhijrah bersama seorang lelaki daripada kaumnya. Keadaan cuaca di Madinah tidak sesuai dengannya lalu lelaki itu jatuh sakit dan tidak dapat menahan kesakitan itu. Dia mengambil mata anak panah lalu memotong tangannya sehingga darah mengalir keluar daripada tangannya hingga dia mati. 

Al-Thufail melihat lelaki itu dalam mimpinya. Lelaki itu berada dalam keadaan baik dan kelihatan tangannya berbalut. Dia bertanya kepada lelaki itu: Apa yang telah tuhan kamu lakukan kepadamu? Lelaki itu menjawab: Tuhan ku telah mengampuni aku kerana hijrahku kepada Nabi s.a.w. 

Al-Thufail bertanya lagi: Kenapa aku lihat tangan kau berbalut? Lelaki itu menjawab: Dikatakan kepada ku: Kami tidak akan mengelokkan apa yang telah engkau rosakkan. At-Thufail menceritakan kepada Nabi s.a.w hal itu. Lalu Rasulullah s.a.w menjawab: 

اللهُمَّ وَلِيَدَيْهِ فَاغْفِرْ

Ya Allah, untuk tangannya itu, kau ampunilah.

[Sahih Muslim, Kitab al-Iman, hadis no: 116].

PENGAJARAN


Hadis ini memberi maklum kepada kita tentang beberapa perkara: 

(1) Al-Ṭufāil bin ʿAmru telah memeluk Islam sebelum berlakunya hijrah ke Madinah. Beliau turut berhijrah ke Madinah apabila Nabi Muhammad berhijrah. 

(2) Tidak semua anggota kabilah Daus yang menolak Islam tetapi ada sebahagian mereka memeluk Islam seperti rakan Al-Tufail di atas. Bahkan dia menjadi salah seorang yang berhijrah ke Madinah. 

(3) Perbuatan membunuh diri adalah dosa besar. Namun ia tidak menghalang pelakunya untuk masuk ke syurga setelah diazab. Azab di akhirat adalah hak mutlak Allah. Allah boleh mengampunkan siapa sahaja yang Dia suka dengan apa sebab sekalipun. 

(4) Mimpi tidak menjadi hujah tetapi apabila ia disahkan oleh Nabi Muhammad, maka ia diterima sebagai mimpi yang baik. 

AL-ṬUFĀIL MEMOHON DOA NABI MUHAMMAD


2. Di dalam hadis yang sahih menunjukkan bahawa setelah Al-Ṭufāil bin ʿAmrū memeluk Islam, dia berdakwah kepada kaumnya untuk memeluk agama Islam. Tetapi kaumnya enggan dan menolak. Lalu Al-Ṭufāil bin ʿAmrū datang mengadu kepada Nabi Muhammad SAW

Imam al-Bukhari dengan sanadnya daripada Abu Hurairah menyatakan: Al-Ṭufāil bin ʿAmrū datang kepada Rasulullah SAW lantas berkata: 

يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ دَوْسًا قَدْ عَصَتْ وَأَبَتْ فَادْعُ اللَّهَ عَلَيْهَا

Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kabilah Daus telah menderhaka dan berpaling. Doalah semoga Allah mencelakakan mereka.

Orang ramai menyangka Nabi Muhammad akan berdoakan kecelakaan kepada kabilah Daus. Tetapi baginda berdoa: 

اللَّهُمَّ اهْدِ دَوْسًا وَأْتِ بِهِمْ

Ya Allah, berilah hidayah kepada kabilah Daus dan datangkanlah mereka.

(HR al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhāri: 6397. Seumpamanya 4392)

PENGAJARAN

(1) Seorang pendakwah hendaklah mempunyai sifat kesabaran dan pengertian yang tinggi. Tidak boleh terus marah dan melenting apabila orang tidak menerima dakwah yang dibawa dan didukungi. 

(2) Pendakwah tidak seharusnya tergesa-gesa di dalam menghukum manusia. Nabi tidak tergesa-gesa mendoakan doa buruk kepada kabilah Daus vahkab dia mendoakan kebaikan. 

Al-ʿAllamah al-ʿAini berkata: 

Orang suka untuk masuk Islam apabila tidak tergesa-gesa berdoa keburukan kepada mereka. – Rujuk ʿUmdah al-Qārī Syarah Sahih al-Bukhāri. 

::: Doa Provokasi – Bukan Gaya Islam :::


Bukan gaya yang hikmah, bukan gaya peringatan yang baik, dan bukan juga gaya perdebatan yang terbaik apabila para penyeru kebaikan menggangkat doa-doa provokasi dalam solat-solat lima waktu, qunut nazilah dan sebagainya.

Sebahagian khatib masjid dan para imam ada yang mendoakan keburukan secara menyeluruh untuk menghancurkan orang Yahudi dan Kristien secara keseluruhannya, anak-anak mereka menjadi yatim, isteri-isteri mereka menjadi janda, dan menjadikan harta dan anak-anak mereka menjadi tawanan buat umat Islam!

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menyebutkan di dalam Khiṭābunā Islāmi:

 “..suatu yang telah dimaklumi : bahawa dalam kebanyakkan negara umat Islam yang mempunyai minoriti penganut Kristien – juga dari penganut Yahudi – mereka ini adalah rakyat yang berkongsi kerakyatan dengan umat Islam. Tidaklah sesuai untuk kita berdoa dengan doa yang menyeliputi mereka dengan kehancuran dan kemusnahan. Apa yang sesuai dan munasabah adalah: Kita berdoa keburukan hanya kepada mereka yang menyerang, kita mendoakan keburukan kepada tentera salib yang jahat dan zalim, bukan kepada keseluruhan Yahudi dan Nasrani.” 

Doa provokasi umum ini tidak pernah ditemukan dalam ayat-ayat Al-Quran, begitu juga dalam mana-mana hadis Nabi dan para sahabat baginda. 

Doa yang kita temukan dalam Al-Quran ialah:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

.. Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, kukuhkanlah langkah kami, dan tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.” 

[Al-Baqarah: 250]

لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (85) وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

 “..Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami (sasaran) fitnah bagi kaum yang zalim, dan selamatkanlah kami dengan rahmat-Mu dari kaum yang zalim.”

[Yunus: 85-86]

Antara doa Rasulullah terhadap orang yang bukan Islam yang menindas adalah :

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الْكِتَابِ وَمُجْرِيَ السَّحَابِ وَهَازِمَ الْأَحْزَابِ اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

“Ya Allah, yang menurunkan Al-Kitab, yang menggerakkan awan, yang mengalahkan Al-Ahzab, tundukkanlah mereka dan bantulah kami mengalahkan mereka.”

[Hadis direkod oleh Al-Bukhari didalam Sahih: 2996]

اللَّهُمَّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِى نُحُورِهِمْ وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ شُرُورِهِمْ

Ya Allah, Engkau jadikanlah kami berada dihadapan mereka, dan kami berlindung denganmu dari kejahatan-kejahatan mereka.”

[Hadis direkod oleh Abu Daud di dalam Sunan: 1537, Sanad yang sahih]

Lebih menyedihkan, ada di antara para khatib dan imam solat yang berdoa dengan doa berikut untuk kebinasaan umum : 

اللَّهُمَّ أَحْصِهِمْ عَدَدًا وَاقْتُلْهُمْ بَدَدًا وَلاَ تُبْقِ مِنْهُمْ أَحَدًا

Ya Allah, hancurkanlah mereka semuanya, bunuhlah mereka satu persatu, dan janganlah tinggalkan seorang pun dari kalangan mereka.”

[Hadis direkod oleh Al-Bukhari di dalam Sahih: 3989]

Doa di atas, merupakan doa Khubaib bin `Adi ra ketika hampir dibunuh oleh kaum musyrikin yang menawannya ketika dia membuat intipan perang. Doa ini Khubaib ra menujukan khusus buat orang musyrikin yang menawannya dan menyeksanya. Justeru, menggunakan doa ini pada umum orang kafir sebenarnya adalah tindakan orang zalim.