Ulasan Saya: 

Isu Bai`ah sepertimana yang disebutkan oleh Dr. Zaharuddin di dalam tulisan beliau: 

Sheikh Abd Qadir Abu Faris menyatakan:-

البيعة اتفاق بين الأمة من جهة وبين رئيس الدولة من جهة أخرى يترتب على هذا الإتفاق واجبات وحقوق لكلا الطرفين

Ertinya: Bai’ah adalah perjanjian di antara umat dari satu sudut dan pemerintah negara di sudut yang lain, tertanggung di atas perjanjian ini kewajiban dan hak-hak bagi kedua-dua pihak. 

[Nizam al-Siyasi, h. 309]

Pun begitu, bai’ah mempunyai pelbagai bentuk, bukan semua bai’ah itu mempunyai kekuatan yang sama. Berikut adalah ringkasan dari intipati penulisan para pemikir dan ulama:-

1.    Bai’ah masuk Islam.

Ia bersumber dari dalil :

جاء الناس الكبار والصغار والرجال والنساء فبايعهم علي الإسلام والشهادة

Ertinya : Telah datang manusia yang tua dan muda dari kalangan lelaki dan wanita lalu berbai’ah mereka semua dengan baginda Nabi saw atas keislaman dan syahadah ( Riwayat Al-Baghawi & Al-Hakim)

Sewaktu wujudnya baginda Nabi, bai’ah ini adalah mulzim ke atas semua namun selepas ketiadaan nabi, semua yang berbai’ah terus dengan Allah swt dengan melafazkan shahadah dengan disaksikan wakil Islam sebagai tanda memasuki Islam. Jika bai’ah dari jenis ini, maka memang benar, sesiapa yang keluar dan melanggarinya lalu akan terpakai padanya hukum murtad atau kafir adalah merungkainya dari diri.

 2.   Bai’ah kepada pemimpin utama Jemaah Islam (Khalifah)

Sewaktu wujud baginda Nabi saw selaku Rasulullah dan pemimpin tertinggi, diikuti setelah kewafatannya dengan kekuasaan khilafah atau Amirul Mukminin, ulama silam dari pelbagai mazhab bersepakat wajib berbai’ah dengan khalifah sama ada pergi bertemu secara fizikal dan berjabat tangan bagi lelaki serta memberi janji taati setia selagi tidak mengajak kepada sesuatu yang bercanggah dengan Islam. Bagi mereka yang jauh, para ulama setuju bai’ah masih boleh dilakukan iaitu dengan memberi ketaatan kepada keputusan khalifah atau Amirul Mukminin.

Maka jelas, ini lah maksud bai’ah dari pelbagai hadis, yang wajib beriltizam dengannya dan wajib pula dilakukan, iaitu ketika wujud seorang khalifah. Pada konteks ini jugalah terjelasnya maksud hadis :-

وَمَنْ مَاتَ وَلَيْسَ فِي عُنُقِهِ بَيْعَةٌ، مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً

Mafhum : “Barangsiapa yang mati, dalam keadaan tiada padanya suatu bai’ah( iqrar janji taat kepada pemimpin Islam tertinggi) maka matinya seumpama dalam keadaan Jahiliyyah” (Riwayat Muslim: 58)

Memang benar, sesiapa yang melanggari bai’ah ini maka akan wujud ancaman buruk dari peruntukan nas hadis, sebagaimana bagi ancaman mereka yang keluar dari Jemaah. Dalam hal ini perlu jelas bahawa bai’ah yang mempunyai kesan kritikal apabila dilanggari hanyalah bai’ah kepada Amirul Mukmin atau Khalifah atau yang setara kedudukannya, ini dijelaskan juga oleh pengkaji Muhammad Zaidan dalam kitabnya “Al-Bai’ah : Syariyyah al-Syura wa tamkin al-Ummat”.

3.   Bai’ah untuk melakukan kerja-kerja Islam

Bai’ah dari jenis ini juga telah wujud sejak zaman baginda Nabi salla Allahu ‘alaihi wasallam, namun lebih popular lagi tatkala tiada wujudnya khilafah Islamiah, ia muncul sebagai pelengkap kepada perjuangan kebenaran dan penasihat. Hasilnya wujudlah jemaah-jemaah kecil yang tidak mewakili kekuasan politik dan kesenjataan namun ia mewakili kumpulan yang mengajak kepada kebaikan (ma’ruf) dan melarang kemungkaran.

Bai’ah diberikan kepada pemimpinan tertinggi Jemaah dan ia adalah bersifat sebuah perjanjian taat setia dan komitmen ahli kepada pemimpinnya. Justeru, hukum Shariah yang terpakai dalam konteks ini hanyalah kewajiban atas dasar janji sahaja dan tiada peruntukan ancaman dari hadis bai’ah dan Jemaah boleh digunakan dalam kes bai’ah Jemaah kecil seperti ini.

Dalil keharusan wujud Jemaah seperti ini Bai’ah al-Ridwan iaitu bai’ah untuk sesuatu tugasan khas. Selain itu, ia juga bergantung kepada dalil umum anjuran untuk bekerjasama bantu-membantu dalam kebaikan dan menolak kemungkaran yang tercacat dalam surah Al-Maidah ayat kedua. Juga hadis-hadis umum antaranya yang menyeru kepada wujudnya sekumpulan yang menyeru kepada kebaikan. Iaitu

«لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ، حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِكَ»، وَلَيْسَ فِي حَدِيثِ قُتَيْبَةَ: وَهُمْ كَذَلِكَ

Ertinya: Akan sentiasa wujud satu kumpulan dari kalangan umatku yang sentiasa zahir atas kebenaran dan tiada dimudaratkan ke atasnya penentangnya sehingga hari kiamat mereka akan sebegitu. (Sahih Riwayat Muslim)

Pelanggaran bai’ah dari jenis ini HANYA membawa kepada hukum melanggar janji iaitu dosa dan bukannya MURTAD, MATI JAHILIYYAH dan KAFIR. Sebarang dakwaan kafir dan murtad adalah penyelewengan nas, maksud serta konteks hadis.

Baiah Nabi dengan para Sahabat

Nabi SAW melakukan beberapa baiah dengan pelbagai tujuan. Diantara tujuan Baiah Nabi ialah untuk menetapkan strategi dakwah dan ia wajib diikuti kerana yang mengarahkannya adalah seorang Nabi. Apabila seseorang anggota baiah melucutkan baiah, maka ia telah melanggar janji dengan Nabi yang membawa kepada hukum dosa. 

Di dalam Baiah Aqabah, tiada pelanggaran janji. Mereka mengikut klausa-klausa Baiah dengan baik.

Syeikh Sofiyurrahman berkata: 

Telah saya sebutkan sebelum ini bahawa enam orang penduduk Yathrib telah memeluk Islam pada musim haji tahun kesebelas kenabian. Mereka berjanji kepada Rasulullah s.a.w. bahawa mereka akan menyampaikan risalah Islam kepada kaum mereka. Hasilnya, pada musim haji berikutnya, iaitu musim haji tahun ke 12 kenabian yang bertepatan dengan bulan Julai tahun 621 M, 12 orang dari Yathrib datang ke Mekah.

Dua Belas Orang yang Berbaiat

Lima orang antara mereka merupakan sebahagian daripada enam orang yang pada tahun sebelum itu telah menjalin hubungan komunikasi dengan Rasulullah s.a.w.. Sedangkan seorang lagi yang tidak ikut hadir pada kesempatan kali ini adalah Jabir bin Abdullah bin Riab. Sementara, tujuh orang lainnya adalah muka-muka baru, iaitu:

(1) Muadz bin Haris bin Afra’daripada Bani Najjar.
 (2) Dzakwan bin Abdul Qais daripada Bani Zuraiq
 (3) Ubadah bin Samit daripada Bani Ghanam.
 (4) Yazid bin Tsa’labah dari sekutu Bani Ghanam.
 (5) Abbas bin Ubadah bin Nadhlah daripada Bani Salim.
 (6) Abu al-Haitsam bin Taihan daripada Bani Abdul Asyhal.
 (7) ʿUwaim bin Saidah daripada Bani Amru bin Auf. 

Dua orang terakhir berasal daripada kabilah Aus, sementara lima orang yang pertama berasal daripada kabilah Khazraj.

12 orang ini berhubungan dengan Rasulullah s.a.w. di Aqabah yang terdapat di Mina. Mereka berbaiat kepada Rasulullah s.a.w. dengan klausul baiat yang sama dengan Baiat Nisa’ (baiat para wanita) yang terjadi pada waktu Fathul Mekah (Pembebasan Mekah).

Ulasan:

Baiah Wanita pada peristiwa Fath akan disebutkan pada tempatnya nanti. Secara umumnya, ia bersandar kepada ayat 12 surah al-Mumtahanah.

12. Wahai Nabi! apabila orang-orang perempuan Yang beriman datang kepadamu untuk memberi pengakuan taat setia, Bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah Dengan sesuatu pun, dan mereka tidak akan mencuri, dan mereka tidak akan berzina, dan mereka tidak akan membunuh anak-anaknya, dan mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara dusta Yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati mereka, dan mereka tidak akan menderhaka kepadamu Dalam sesuatu perkara Yang baik, - maka Terimalah pengakuan taat setia mereka dan pohonkanlah kepada Allah mengampuni dosa mereka; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Syeikh Sofiyurrahman berkata: 

Klausul Baiat

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ubadah bin Samit bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

«تَعَالَوْا بَايِعُونِي عَلَى أَنْ لاَ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ شَيْئًا، وَلاَ تَسْرِقُوا، وَلاَ تَزْنُوا، وَلاَ تَقْتُلُوا أَوْلاَدَكُمْ، وَلاَ تَأْتُوا بِبُهْتَانٍ تَفْتَرُونَهُ بَيْنَ أَيْدِيكُمْ وَأَرْجُلِكُمْ، وَلاَ تَعْصُونِي فِي مَعْرُوفٍ، فَمَنْ وَفَى مِنْكُمْ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ، وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا فَعُوقِبَ بِهِ فِي الدُّنْيَا فَهُوَ لَهُ كَفَّارَةٌ، وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا فَسَتَرَهُ اللَّهُ فَأَمْرُهُ إِلَى اللَّهِ، إِنْ شَاءَ عَاقَبَهُ، وَإِنْ شَاءَ عَفَا عَنْهُ» قَالَ: فَبَايَعْتُهُ عَلَى ذَلِكَ

“Kemarilah! Berbaiatlah kamu kepadaku bahawa kamu tidak akan menyekutukan Allah dengan apa-apa, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anak kamu, tidak akan menyampaikan sesuatu yang bohong yang kamu reka sendiri serta tidak akan menderhakaiku (melawan perintahku) dalam urusan yang baik. Sesiapa yang menepatinya antara kamu, maka merupakan kewajipan bagi Allah untuk memberinya pahala. Sesiapa melanggar salah satunya lalu dia dihukum selagi masih di dunia, maka hukuman itu merupakan penggugur dosanya. Sedangkan sesiapa melanggar salah satunya lalu Allah menutupi pelanggarannya, maka urusannya adalah mutlak ada pada Allah. Jika Allah berkehendak, Allah akan menghukumnya dan jika Allah berkehendak pula Allah akan mengampuninya.” Selepas itu Ubadah bin Samit berkata, “Maka aku berbaiat kepada Rasulullah s.a.w. atas itu.”

(Sahih al-Bukhari)

Dalam riwayat lain, pernyataan Ubadah bin Samit tertulis, “Maka kami berbaiat kepada Rasulullah s.a.w. atas perkara itu.”

Ulasan Saya: 

Mari kita hayati klausa Bai`ah:

Nabi berkata:

 “Kemarilah! Berbaiatlah kamu kepadaku bahawa kamu tidak akan menyekutukan Allah dengan apa-apa, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anak kamu, tidak akan menyampaikan sesuatu yang bohong yang kamu reka sendiri”

Ini adalah isu akhlak yang menjadi intipati utama di dalam setiap agama. Orang yang baik akhlaknya. Dr Muhammad Badi` menulis di dalam Akhbar Huriyyah wa al-Adalah: 

Antara sokongan yang paling penting dalam merealisasikan kebangkitan umat ialah : Nilai dan akhlak yang termaktub di dalam jiwa, lalu ia menggerakkan tubuh badan. Maka nilai dan akhlak itu akan bercakap dengan amal kerja, dan terjadilah cita-cita besar yang diinginkan, yang dahulunya hanya satu angan-angan.

Asas-asas gambaran praktikalnya telah ditunjukkan oleh didikan Rasulullah saw kepada para sahabatnya. Rasulullah menanamkan akhlak dalam jiwa mereka, lalu terbukalah dunia (dibawah pemerintahan Islam). Mereka itu adalah teladan yang terbaik di atas muka bumi ini. Nabi saw mengajar mereka dengan katanya :

“Bahawasanya aku ini diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak”[Hadis sahih direkod oleh Malik]

Begitu juga apa yang kita temui bahawa Al-Quran dan As-Sunnah Nabawiah telah menekankan berulang kali akan kepentingan praktikal amali atas kesinambungan iman da kepercayaan. Iman itu di aplikasi dalam alam realiti manusia. Ini diajar dengan jelas dalam petikan kata-kata sahabat:

“Iman adalah apa yang mendiami dalam hati, dan dibenarkan dengan amalan”

Para ulama telah mendefinasikan akhlak dengan : 

“Kumpulan perkara-perkara mulia dan tingkah laku yang diungkapkan”. 

Dengan itu, pembinaan kebangkitan dalam erti kata sebenar mestilah membangkitkan sokongan akhlak yang sebenar, sepertimana yang diajarkan Islam kepada kita. Pembinaan kebangkitan atas asas kebendaan semata-mata hanya akan merosakkan dan tidak menguatkan. Ia akan membawa faktor-faktor kemusnahan. Tiada bukti dari sejarah silam dan hari ini yang mengatakan pembinaan kebangkitan atas asas kebendaan semata-mata akan menguatkan daya kebangkitan. Tiada bukti dan hujah sejarah.

Apa yang kita lihat berlaku pada hari ini dalam masyarakat kita, masyarakat  arab dan masyarakat Islam. Berlakunya pelbagai cabaran, pertembungan dan permasalahan yang menghendaki kita untuk menimbang semula untuk kembali kepada jalan yang benar. Kembali membina semula apa yang telah dirosakkan oleh sistem zalim yang telah berlarutan dalam beberapa tahun ini. Jalan yang dibina itu hendaklah menepati kaedah nabawi yang mulia.

Kaherah, 22 Muharram 1434H. 
Bersamaan 6 Disember 2012

Nabi berkata lagi: 

“...serta tidak akan menderhakaiku (melawan perintahku) dalam urusan yang baik...”

Beriman dengan Rasulullah S.A.W. sebenarnya menuntut kita supaya menyerahkan hidup kepada arahan Rasulullah S.A.W.. Iaitu mentaati apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarangnya olehnya dengan senang hati.untuk merealisasikan tuntutan ini memerlukan tarbiyyah yang betul dan berterusan. Lebih-labih lagi dalam realiti sekarang di mana Islam tersangat dagang. Islam yang minima pun tidak wujud kadang-kadang tidak lahir dalam masyarakat.menuju kebenaran islam

Di zaman Rasululla h S.A.W. kehebatan Islam kelihatan dengan jelas. Manakala zaman kini, masyarakat mengaku Islam , tetapi kehebatan Islam tidak kelihatan. Justeru itu kita mestilah melaksanakan kembali Islam dan meninggalkan jahiliyyah.

Untuk meredhai perintah Rasulullah S.A.W. dengan senang hati kita perlukan tarbiyyah yang berterusan. Jika tidak, mungkin kita menerima dan melaksanakan amalan Islam tetapi hati tidak senang. Ketaatan kepada Rasulullah S.A.W. sebenarnya adalah untuk kebaikan manusia jua. Firman Allah S.W.T.:

" Hendaklah kamu mentaati Allah dan Rasul-Nya mudah-mudahan kamu mendapat rahmat. "

(Surah ali Imraan : 132)

" Katakanlah: Jika kamu kasihkan Allah ikutlah aku nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu . Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. "

(Surah ali Imran : 31 )

Tanggungjawab kita terhadap Rasulullah S.A.W. ialah membenarkan apa yang disampaikan oleh baginda dan mentaati segala suruhannya dalam semua aspek. Kita hendaklah segerakan mengikuti apa yang Rasulullah S.A.W. redha dan jauhkan apa yang Rasulullah S.A.W. benci.

Sabda Rasulullah S.A.W (Yang bermaksud)

"Bertuahlah orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah melihatku."

Dalam realiti sekarang apabila kita beriman dengan Rasulullah S.A.W. kita tetap bahagia walaupun manusia lain tidak menyukai kita.

Bagi manusia, hanya terdapat dua keadaan samada mentauhidkan Allah S.W.T. atau mensyirikkan-Nya. Samada taat atau ingkar.

Nabi bersabda lagi: 

Sesiapa yang menepatinya antara kamu, maka merupakan kewajipan bagi Allah untuk memberinya pahala. Sesiapa melanggar salah satunya lalu dia dihukum selagi masih di dunia, maka hukuman itu merupakan penggugur dosanya.

Perkataan ini menunjukkan isu Baiah Aqabah adalah isu strategi dakwah. Justeru itu, ia menyatakan pelanggaran baiah ini tidak menyebabkan kafir tetapi menyebabkan seseorang itu telah melanggar perintah dan membawa kepada dosa. Ia seumpama baiah jenis ketiga yang telah dinyatakan. 

Hukuman yang dilaksanakan kepadanya adalah hukuman dunia. 

Nabi bersabda lagi:

Sedangkan sesiapa melanggar salah satunya lalu Allah menutupi pelanggarannya, maka urusannya adalah mutlak ada pada Allah. Jika Allah berkehendak, Allah akan menghukumnya dan jika Allah berkehendak pula Allah akan mengampuninya.”

Perkataan ini menjadi pelengkap kepada kata-kata di atas kerana ia membawa maksud hal dunia dinilai secara zahir oleh manusia, tetapi hal akhirat dinilai secara teliti atas pertimbangan dan rahmat Allah. Kadangkala orang itu jahat di dunia atas hukuman kita. Tetapi di sisi Allah, tiada yang mengetahuinya. 

Mungkin ada orang yang mencuri. Ia perbuatan yang jahat di sisi agama. Tetapi setelah dia bertaubat kepada Allah, kita tidak tahu adakah dia itu buruk atau lebih baik daripada kita di sisi Allah. 

Dalam surah Al-Zilzalah, ayat 7 dan 8, Allah berkata,

Maksudnya, 
  
“Sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”

Dalam 2 ayat ringkas ini, Allah nyatakan bahawa setiap amalan manusia akan dinilai. Baik atau buruk, kecil atau besar.

Apabila kita lihat ayat di atas, kita akan merasa sangat teruja. Begitu hebat alat penimbang Allah. Jika di dunia ini, manusia hanya mampu mencipta penimbang untuk suatu berat sahaja. Tetapi timbangan Allah dapat menimbang suatu nilai yang sangat ringan. Biarpun sekecil zarah.

Zarah ialah satu istilah bagi suatu benda yang sangat kecil. Jika kita samakan zarah dengan semut, maka zarah sekecil itu. Jika ada lagi yang lebih kecil dari semut seperti nukleus atau sebagainya, maka zarah sekecil itu.Setiap amalan manusia akan dinilai. Jika baik, maka baik pula ganjarannya. Jika buruk, buruk pula balasannya. 
  
Imam Al-Bukhari dan Muslim pernah merekodkan sebuah hadis tentang seorang wanita pelacur yang layak masuk Syurga hanya kerana dia memberi minum anjing yang sedang dahaga.