Seringkali saya ditanya tentang manhaj ilmu. Adakah saya seorang Azhari? Salafi? Asyari? Syafii atau sebagainya? Atau.. Wahabi?

Pada saya, perkataan dan label itu hanyalah satu label sahaja. Apa yang lebih utama adalah kefahaman terhadap sesuatu isu.

Saya menyatakan; Seorang yang mempunyai kecenderungan Salafiyyah, boleh jadi dia juga adalah seorang Al-Azhariyah, Al-Asy`ariyah dan Al-Syafiiyah. Kerana pemikiran seorang Salafiyyah mengiktiraf kesarjanaan kelompok-kelompok akademik.

Saya belajar di Universiti Al-Azhar (Bukan Masjid Al-Azhar@Ruwaq). Saya belajar dan berjaya menghabiskan pengajian mengikut masa yang ditetapkan. Alhamdulillah, saya tidak mengulang tahun.

Oleh itu, sistem pengajian saya membawa kecenderungan kepada fikah dengan telunjuk mazhab, akidah dengan panduan Asyairah. Demikian pengajian lain merujuk kepada pelbagai ulama bidang. Mereka-mereka ini adalah tokoh umat Islam yang mempunyai jasa dan kelebihan berbanding diri kita.

Pun begitu, para guru kami tidak suka kami taksub dengan satu pandangan. Oleh itu, di dalam pengajian, kami diajar untuk memilih pandangan yang Rajih.

Di dalam Fiqh, banyak isu yang guru merajihkan pendapat selain Syafiiyah - terutama di dalam isu di luar perkara ibadat khusus seperti perbankan, bon, saham, perniagaan, dan sebagainya.

Di dalam Aqidah, beberapa isu furu`, guru menyatakan pandangan selain Asyairah adalah lebih tepat. Bahkan, kadangkala berlaku percanggahan diantara metodologi Asyairah dan Maturidiyyah.

Guru-guru kami menyuruh untuk mengikuti kebenaran, walau di mana ia berada. Kami tidak disuruh untuk bermusuhan dengan siapa sahaja. Tidak boleh mengkafirkan dan menyesatkan orang sesuka hati. Tetapi, terus tegak di atas disiplin ilmu.

Demikianlah kami diajar di al-Azhar.

Saya juga bertalaqqi dengan guru-guru di luar pengajian. Sebahagian besar mereka adalah daripada gerakan Ansarul Sunnah yang berada di sekitar Negeri Dumyat dan Mansurah.

Saya belajar dengan mereka kitab-kitab Aqidah, Hadis, Sirah, Tafsir, Usul Fiqh dan sebagainya. Saya tidak nampak sebarang percanggahan mereka dengan guru-guru di Al-Azhar melainkan beberapa isu kecil sahaja.

Bahkan, mereka terkenal sebagai kumpulan yang sangat membudayakan lenggok "Fushah". Sehingga membuatkan saya dan rakan-rakan menjadi tertarik.

Tidak pernah saya mendengar guru-guru saya itu mengkafirkan sesiapa, menyesatkan individu atau kelompok tertentu melainkan yang nyata sesat seperti Syiah. Tidak pernah mendengar mereka menjisimkan Allah dengan menyatakan Ia mempunyai hidung, mata dan telinga seperti bentuk hidung, mata dan telingan kita.

Tidak pernah juga saya mendengar tentang Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab daripada guru-guru ini melainkan sekali-sekala dengan pujian dan kritikan. Mereka mengiktiraf ketokohan Syeikh Muhammad sepertimana Dr. Wahbah al-Zuhaili (Al-Azhari) dan al-Qaradhawi (Al-Azhari) mengiktirafnya.

Mereka terus mengajar dengan panduan kitab dan ilmu yang melimpah ruah.

Demikianlah saya belajar daripada tokoh-tokoh itu.

Saya suka label Salafiyyah al-Azhariyyah kerana dua kelompok itu sangat memberi kesan kepada saya di dalam menuju jalan yang benar kepada agama Allah.