Cemburu benar hati ini apabila melihat sebahagian besar sahabat-sahabat menyambung pengajian di peringkat Master dan PhD.

Beberapa tahun dahulu, saya juga pernah menyambung pengajian di peringkat Master Syariah di UM. Tetapi disebabkan bebanan kewangan, saya terpaksa berhenti separuh jalan.

Kemudian, beberapa bulan lepas, saya cuba sekali lagi memohon untuk mendapatkan tempat di peringkat Master Hadis. Juga di UM. Alhamdulillah, permohonan diterima. Menurut surat tawaran, saya perlu mendaftar pada 4 Sept 2017 ini.

Tetapi, pelbagai kekangan memaksa saya untuk menolak hajat itu untuk diteruskan. 99%, saya tidak akan meneruskannya buat masa ini.

Sebab apa?

Ya, isu kewangan sudah tentu. Tetapi bebanan kerja dan tanggungjawab penerbitan buku juga adalah perkara utama yang saya nilaikan.

Di Santai Ilmu Publication, kami terpaksa mengurangkan bilangan pekerja, dalam masa yang sama memaksimakan penerbitan buku terjemahan dan kualiti cetakan.

Oleh itu, saya mengambil banyak tugas. Saya adalah penulis, penterjemah, penilai penterjemahan, editor, designer, tukang cetak, dan pekerja stor. Demikian juga, 2 orang staf (Admin dan Marketing) yang baru diambil bekerja adalah di bawah pantauan saya.

Kesibukan itu memungkinkan 99% sekali lagi, saya akan menolak tawaran pengajian. Rasa sedih, cemburu dan iri hati tetapi tanggungjawab adalah yang paling utama.

Tiada sesalan.

Teringat dahulu, ketika pertama kali berhenti sambung belajar disebabkan isu kewangan, isteri saya tidak bersetuju. Benar-benar tidak bersetuju! Dia menegaskan untuk membantu sehabis mampu. Tetapi saya memaklumkan kepadanya:

"Ya, sambung belajar itu penting. Itu impian saya. Tetapi awak dan anak-anak adalah lebih penting. Kerana saya adalah suami, ayah dan seorang LELAKI."

Saya menyatakan tujuan sambung belajar dengan jelas:

"Saya sambung belajar adalah untuk menambahkan ilmu pengetahuan dan kemahiran di dalam profesionalisma ilmu. Bukan untuk menjadi pensyarah atau mengambil pengaruh.Jika tidak dapat sambung buat masa ini, insya-Allah akan ada masa lain. Jika tidak boleh di universiti itu, banyak lagi universiti yang lain."

Oleh itu, apabila impian itu bertembung dengan tanggungjawab utama, maka tanggungjawab perlu didahulukan.

"Takkanlah orang lelaki mahu biarkan anak isteri, lalu menggapai cita-citanya seorang diri! Malulah!! Malulah!! Malulah!!"

=) Ini coretan dan perkongsian peribadi. Tiada tujuan minta bantuan kewangan, ya! Sembang pagi merdeka hari arafah sahaja.

JANGAN PM untuk bagi bantuan sambung belajar pula =) Tetapi kalau PM nak bagi mesin cetak, silakan! Minima RM 3,600 untuk beli mesin Hard Cover tau! Sebaiknya RM 25,000 Hahahaha!! (ketawa jahat).

=) InsyaAllah sekiranya masa sudah lapang, kewangan sudah okey, saya bertekad meneruskan pengajian sehingga PhD! =) Bagi setaraf dengan zaman dan keperluan zaman ini.