Saya diajar supaya tegak di dalam akademik sekalipun saya salah menyebutkan sesuatu. Itu adalah sebahagian prinsip wasatiyyah yang saya belajar di al-Azhar.

Saya pasti bahawa saya akan melakukan banyak kesilapan kerana ilmu saya yang cetek serta umur muda yang bergelora. Namun, saya berusaha untuk mengurangkan kesilapan semaksima yang saya mampu.

Saya ingat mafhum pesan guru saya; Dr. Abdul Rahman di dalam kuliah Usul Fiqh-
"Berkatalah tidak tahu sekiranya kamu tidak tahu. Kebenaran itu boleh berada pada siapa sahaja."

Sehingga hari ini, saya tidak mahu memutuskan diri daripada guru-guru di al-Azhar. Bahkan, saya seringkali mendahulukan pendapat Imam al-Akbar Syeikh Ahmad Tayyib dalam banyak perkara. Beliau adalah guru yang paling saya percaya dengan keadilan dan amanah keilmuan.

Di Al-Azhar, Kami tidak diajar untuk melabel sesuka hati. Memberi gelaran kepada sesuatu kaum di dalam masyarakat Islam adalah tidak patut pada asalnya. Label hanya diberikan apabila ada maslahah.

Label tidak boleh diberikan kepada perkara yang samar-samar kerana bimbang ia membawa fitnah.

Sekiranya seorang Asyaari menyebutkan sesuatu, dan dia salah - maka kami diajar untuk membetulkannya. Sakalipun kita sama-sama Asyaari. Kerana Asyaari juga ada kemungkinan salah.

Sekiranya seorang Wahabi menyebutkan sesuatu yang betul, dan dia benar - maka bersedia menerimanya. Kerana mengikuti kebenaran adalah prinsip asas Wasatiyyah.

Di Malaysia, saya tidak pernah mendengar seorang Ustaz yang digelar Wahabi menyebutkan perkara berikut:

(1) Dakwaan: Allah mempunyai anggota sepertimana manusia. Dan anggota tersebut seperti makhluk. 

Bahkan saya mendengar, mereka menentang pemikiran berkenaan. Mereka berpandangan; Allah mempunyai "Yad" tetapi tidak seperti Makhluk. Mereka tidak berjela-jela membincangkan tentangnya.

Sekalipun pandangan ini berbeza dengan pandangan Asyaairah, tetapi ia masih lagi di dalam kerangka faham ulama-ulama AhlusSunnah. Maka; kami tidak mengkafirkan mereka sekalipun kami berpandangan bahawa "Yad" itu mempunyai maksud yang lain.

(2) Dakwaan: Tawassul adalah Syirik secara Mutlak

Apa yang saya dengar; mereka-mereka yang digelar Wahabi menjelaskan jenis-jenis Tawasul yang dibenarkan dan tidak dibenarkan.

Bahkan, ada orang dakwa bahawa Dr.Maza dan Dr. Ustaz Rozaimi Ramle - Hadith mengkafirkan orang bertawasul. Isk! Jangan fitnah. Mereka tidak berkata seperti itu!

Ada orang kata dua tokoh ini menyesatkan dan mengkafirkan masyarakat. Tetapi apabila saya meminta bukti, tidak ada bukti yang mereka berikan melainkan sangka buruk sesama muslim.

Apa yang saya pasti, dua tokoh di atas ini mengajar masyarakat untuk tidak taksub kepada seseorang - bahkan tidak taksub kepada diri mereka. Mereka juga terus terang menyatakan bahawa jika orang lain mempunyai pandangan berbeza, silakan untuk diikuti.

(3) Dakwaan: Taasub kepada Pendapat Sesat Ibnu Taimiyyah!

Ada dakwaan menyatakan bahawa Wahabi sangat Taksub kepada pendapat-pendapat sesat Ibnu Taimiyyah, Ibn Qayyim, Bin Baaz, AlAlbani dan lain-lain. Sehingga Wahabi-wahabi ini mengambil fatwa-fatwa mereka dan menolak semua fatwa ulama yang berbeza dengan  "Ulama Wahabi".

Apa yang saya nampak pula, pengiktirafan ustaz yang digelar Wahabi itu tidak lebih daripada pengiktirafan ketokohan dan isu-isu akademik. Bahkan, banyak juga pendapat mereka yang tidak bersepakat dengan tokoh-tokoh disebutkan.

(4) Dakwaan: Sengaja Menyesatkan Amalan Turun Menurun Masyarakat Melayu. 

Apa yang saya nampak; Ustaz yang digelar Wahabi itu lebih suka membetulkan kesilapan dalam kacamata mereka. Ada kemungkinan mereka melihat di satu sisi bahawa masyarakat melakukan kesilapan, lalu ditegur. Mungkin pula kita melihat pada sisi yang lain, lalu kita membenarkan amalan masyarakat.

Apa yang penting adalah medan ilmu. Orang yang dikatakan Wahabi itu membentangkan hujah. Lalu hujah mereka boleh diterima dan ditolak apabila kita juga mempunyai hujah.

Sebenarnya; kita hantar anak-anak belajar jauh-jauh sehingga ke Mesir, Jordan, Arab Saudi, Yaman, Syria, Sudan dan lain-lain adalah untuk mereka mahir di dalam memahami agama. Supaya nanti, apabila balik, mereka membetulkan kesilapan kita.

Tetapi yang terjadi, apabila mereka pulang membetulkannya; kita cop mereka dengan gelaran Wahabi.

Janganlah begitu. Tuan Puan, marilah kita bersepakat untuk berlaku adil kepada semua pihak.

Orang yang digelar Wahabi itu menisbahkan diri mereka dengan istilah Salafiyyah; Guru kami, Syeikh Ahmad Tayyib ketika menolak keputusan Muktamar Chechnya berkata: "Al-Salafiyyah termasuk di dalam kumpulan Ahli Sunnah. Manakala kami pula dididik dengan sistem pengajian Al-Asyaari."

Rujuk artikel: https://arabic.cnn.com/middleeast/2016/11/19/azhar-grozny-conference-islam

"Dukacita kerana saya Azhari tetapi mempunyai nafas Wahabi?"

Ya, salam! Saya adalah saudara anda. Jika saya salah, betulkan. Jangan dilabel dengan perkataan yang mengecilkan hati sesama muslim.

Saya Ahli Sunnah dan mahu terus tegak dengan pegangan Ahli Sunnah!

Sekiranya anda mempunyai bukti kesilapan saya di dalam Aqidah Ahli Sunnah, mohon betulkan kerana saya dan ramai lagi penuntut ilmu adalah orang-orang muda yang semangat menerima kebenaran. Kami sentiasa bersedia berubah kepada kebenaran.

Allahumma salli ala Muhammad!

Kita semua akan mati.
Kita semua akan disoal oleh Allah.

_____________
Syihabudin Ahmad,
Sungai Buloh.
12 Safar 1439H