Soalan: 1. Mengenai denda atau menghukum  anak  di dalam Islam,bolehkah mereka dipukul atau didenda? Dan sekiranya boleh dilakukan, boleh  terangkan  dengan mendalam tentang pekara ini?

Jawapan: Kita sedang berbincang isu yang berkaitat rapat dengan ayat berikut; 

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

Wahai orang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada pi neraka. 

At-Tahrim: 6

Maka, isu perbincangan kita adalah kebaikan di dunia dan akhirat semata-mata. Oleh itu, jika seseorang menghukum anaknya tanpa panduan agama seperti di dalam keadaan marah atau berlebih-lebihan maka ia tidak termasuk di dalam perbahasan ini. 

Seorang Muslim yang baik ialah seorang yang sentiasa memastikan setiap perbuatannya dilakukan atas landasan agama. Nabi bersabda: 

مَنْ أَحَبَّ لِلَّهِ، وَأَبْغَضَ لِلَّهِ، وَأَعْطَى لِلَّهِ، وَمَنَعَ لِلَّهِ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ الْإِيمَانَ

Sesiapa yang cinta kerana Allah, benci kerana Allah, memberi kerana Allah serta menghalang jua kerana Allah maka sempurnalah keimanannya. 

(HR Abu Daud di dalam Sunan: 4681. Sahih)

Kembali menjawab persoalan: 

Nabi Muhammad SAW bersabda:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ، أَوْ يُنَصِّرَانِهِ، أَوْ يُمَجِّسَانِهِ، كَمَثَلِ البَهِيمَةِ تُنْتَجُ البَهِيمَةَ هَلْ تَرَى فِيهَا جَدْعَاءَ»

Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibu dan bapanyalah yang mencipta bentuk kehidupan anaknya sama ada gaya Yahudi, Nasrani atau Majusi. Sepertimana binatang ternakan yang melahirkan binatang jua, adakah engkau melihat akan cacat telinganya? 

(HR Al-Bukhari di dalam Sahih: 1385)

Oleh itu, ibubapa berperanan membentuk peribadi dan acuan gaya hidup anaknya. Seorang ibu atau bapa yang prihatin pastinya mahu anaknya mentaati perintah Allah oleh itu, dia hendaklah mendidik anaknya mentaati perintah dan larangan Allah. 

Apabila anaknya melanggar perintah Allah, maka hatinya tidak tenteram. Lalu apakah tindakannya? Inilah jiwa sebenar seorang ibubapa yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya. Beberapa perkara hendaklah diketahui:

1- Ibubapa tidak boleh memukul anaknya kerana kebencian kepada anak itu. Kerana ia adalah kawalan hawa nafsu, bukan bentuk pendidikan. 

2- Agama mengajar untuk kita mendidik sebelum menghukum. 

Ayuh kita lihat praktikalnya di dalam situasi berikut: 

▶ "Saya tidak setuju kanak-kanak berusia 10 Tahun dan ke atas dipukul bila tak solat."

Orang bertanya, "Adakah anda mengingkari arahan Nabi saw yang memberi kebenaran untuk memukul anak jika tak solat setelah berumur 10 tahun?"

Kata Nabi saw dalam rekod Abu Daud (495),

مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا، وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ

"Suruhlah anak-anak kamu untuk bersolat ketika mereka berumur 7 tahun, dan pukullah mereka (jika mereka tidak bersolat) ketika berumur 10 tahun serta pisahkanlah tempat tidur mereka."

(HR Abu Daud di dalam Sunan, Hasan Sahih)

Saya jawab, "Bagaimana kamu mahu melangkau perintah Nabi dengan berhujah pada umur 10 tahun, sedangkan Nabi sudah ajarkan untuk didik anak pada umur 7 tahun? 

Setelah anda gagal menyuruh anak-anak bersolat sebanyak 5310 kali."

1 Hari = 5 Waktu 
1 Tahun Hijrah = 354 Hari
3 Tahun = 5310 Waktu

Ibubapa wajib menyuruh anak-anak yang sudah berusia 7 tahun supaya bersolat setiap hari selama 3 tahun. Tidak boleh pukul mereka pada tahap ini. 

▶ Level pendidikan anak-anak 

◆ Sebelum 7 tahun

- Diajar cara berwudhuk, bersuci, membersihkan najis, adab-adab qadha hajat, dan sebagainya yang berkaitan dengan solat. 
- Diajar untuk baca dan hafal al-Fatihah dan ayat pendek-pendek. 
- Diajar cara bersolat.

◆ Ketika 7 Tahun 

- Dididik untuk sentiasa melakukan solat tanpa tinggal. Namun, jika mereka tinggalkan solat, tidak boleh pukul mereka. Hanya boleh beri nasihat yang baik-baik dan membina motivasi. 

◆ Ketika 10 tahun 

- Seandainya anak masih degil untuk solat (sangat jarang berlaku apabila kita sudah menggunakan kaedah yang diajar Nabi), maka dibenarkan untuk pukul dengan syarat, tidak melukakan dan tidak berniat jahat. 

Kesimpulan : Jangan salahkan orang sekiranya kita mahu menutup kesalahan diri. 

▶ Isu : Bagaimana pula jika sudah berumur 15 tahun, sudah baligh tetapi baru mula nak diajar solat? 
Jawapan : Gunakan juga kaedah 3 tahun sebagai waktu pendidikan.

Soalan: 2. Selain denda & memberi hukuman, tugas ibu bapa haruslah mendidik anak dengan cara yang Islam anjurkan. Boleh  kongsikan lebih lanjut?

Jawapan: Para ahli sejarah bersepakat bahawa Nabi Muhammad mempunyai 4 orang anak perempuan yang kesemuanya memeluk agama Islam. Antara hikmahnya ialah: Anak perempuan lebih sukar dijaga berbanding anak lelaki. 

Diantara gaya didikan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad ialah:

Nabi menunjukkan rasa gembira dengan kelahiran anaknya. Sehingga baginda menggelar anak perempuannya dengan Al-Zahra’

Memuliakan anak dan perbaiki akhlak mereka. 

Di dalam hadis Dhoif riwayat Ibn Majah, dikatakan bahawa Rasulullah bersabda: 

أَكْرِمُوا أَوْلَادَكُمْ وَأَحْسِنُوا أَدَبَهُمْ

Muliakanlah anak-anak kamu dan perbaikilah adab mereka.

(HR Ibn Majah di dalam Sunan: 3671)

Kemuliaan di sini maksudnya ialah dorongan kebaikan. Apabila anak melakukan perkara baik, kita katakan seperti berikut; “Bagus! Ayah percaya Dehyah akan boleh buat lebih baik selepas ini.” “Terbaik! Anak abi telah buat amalan orang masuk syurga!” 

Jika mereka buat kesalahan, terus betulkan; “Dehyah, itu adalah perbuatan syaitan. Anak soleh seperti Dehyah tidak melakukannya.”

Menyertakan dan membiarkan anak-anak di dalam ruang suasana kebaikan.

Rasulullah s.a.w mendukung Umamah r.a ketika solat;

‘Amru bin Sulaim ar-Ruzaqi mendengar Abu Qatadah r.a berkata:

” بَيْنَا نَحْنُ فِي الْمَسْجِدِ جُلُوسٌ خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَمْ يَحْمِلُ أُمَامَةَ بِنْتَ أَبِي الْعَاصِ بْنِ الرَّبِيعِ ، وَأُمُّهَا زَيْنَبُ بِنْتُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَهِيَ صَبِيَّةٌ ،

Ketika kami sedang duduk-duduk di masjid, Rasulullah s.a.w keluar menemui kami sambil mendukung Umamah binti Abi Al-As bin Ar-Rabi’, ibunya ialah Zainab binti Rasulullah s.a.w. Ketika itu Umamah masih bayi.

يَحْمِلُهَا عَلَى عَاتِقِهِ ، فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهِيَ عَلَى عَاتِقِهِ

Baginda s.a.w mendukungnya di atas bahu baginda s.a.w, Rasulullah s.a.w pun solat dalam keadaan Umamah r.a berada di atas bahunya.

يَضَعُهَا إِذَا رَكَعَ وَيُعِيدُهَا إِذَا قَامَ ،

Baginda s.a.w akan meletakkannya (di bawah) apabila baginda s.a.w ruku’, dan mengembalikan dia (di atas bahu baginda s.a.w) apabila baginda s.a.w berdiri

حَتَّى قَضَى صَلاتَهُ ، يَفْعَلُ ذَلِكَ بِهَا “

Rasulullah s.a.w melakukan sedemikian rupa sehinggalah baginda s.a.w menyelesaikan solatnya.

[As-Sunan Al-Kubra Lil Baihaqi : 558]

Rasulullah mengajar akhlak:

Rasulullah s.a.w mengajar adab makan kepada kanak-kanak

عُمَرَ بْنَ أَبِي سَلَمَةَ ، يَقُولُ : كُنْتُ غُلَامًا فِي حَجْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَكَانَتْ يَدِي تَطِيشُ فِي الصَّحْفَةِ ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : يَا غُلَامُ ، سَمِّ اللَّهَ وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ ” .

‘Umar bin Abi Salamah r.a berkata: Aku pernah menjadi hamba di rumah Rasulullah s.a.w, satu ketika tangan ku pernah merayap-rayap di sekitar hidangan. Rasulullah s.a.w bersabda kepada ku: Wahai anak,  sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kanan mu, dan makanlah apa yang hampir pada mu.

[Sahih al-Bukhari : 4984]

Merapatkan hubungan dengan bergurau:

عَنْ أَنَسٍ ، قَالَ : ” كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا ،

Anas bin Malik r.a berkata : Nabi s.a.w merupakan manusia yang paling bagus akhlaknya.

وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ : أَبُو عُمَيْرٍ قَالَ : أَحْسِبُهُ فَطِيمًا ،

Aku mempunyai seorang adik yang dipanggil Abu ‘Umair yang baru sahaja tamat tempoh menyusu.

وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ : يَا أَبَا عُمَيْرٍ ، مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ ؟ نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ ،

Apabila baginda s.a.w datang, baginda s.a.w akan bertanya : Wahai Abu Umair, apa yang sedang dilakukan oleh An-Nughair (seekor burung kecil) iaitu burung kecil yang sering dia main dengannya.

فَرُبَّمَا حَضَرَ الصَّلَاةَ وَهُوَ فِي بَيْتِنَا

Apabila masuknya waktu solat dan ketika itu baginda s.a.w berada di rumah kami,

، فَيَأْمُرُ بِالْبِسَاطِ الَّذِي تَحْتَهُ فَيُكْنَسُ وَيُنْضَحُ ،

Baginda s.a.w akan menyuruh agar tikar yang ada dibawahnya di sapu dan dipercikkan air,

 ثُمَّ يَقُومُ وَنَقُومُ خَلْفَهُ ، فَيُصَلِّي بِنَا “

Kemudian baginda s.a.w akan berdiri, dan kami akan berdiri di belakangnya. Kemudian baginda s.a.w akan mendirikan solat bersama kami. 

[Sahih al-Bukhari : 5764]

Semoga kita dapat menghayati akhlak dan petunjuk Nabi Muhammad ini.