Ketika mengajar di sebuah masjid, saya telah menyebutkan kenyataan di atas. Apabila salah seorang daripada rakan Facebook saya melihat rakaman kuliah berkenaan, beliau menyampaikan hadis berikut: Aisyah, isteri Rasulullah SAW berkata: 

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  يُحِبُّ الحَلْوَاءُ وَالعَسَلُ
Nabi SAW merasa teruja dengan manisan dan madu.

(HR al-Bukhari: 5431)

Saya doakan semoga Allah memberikan keberkatan kepada beliau dan meninggikan martabat beliau di sisi Allah. Allahumma Amin!

Maka tersilaplah pandangan saya, dan benarlah hadis Nabi Muhammad SAW. Ia termasuk di dalam kelemahan ilmu dan kurangnya pengamatan saya.

:: Helah ::

Saya boleh saja menyatakan bahawa tiada perkataan “أكل النبي – Nabi pernah makan” di dalam hadis. Tetapi itu hanyalah memanjangkan perbahasan yang hanya mahu menaikkan nama dan menutup kesalahan sahaja. Maka ia sia-sia.

:: Makan Madu Bukan Sunnah al-Tasyriiyyah ::

Pun, begitu - saya masih menyatakan bahawa makan madu bukanlah Sunnah al-Tasyriiyyah. Ia termasuk di dalam Sunnah al-Jibiliyyah - iaitu, tidak mendapat pahala khusus apabila memakan madu ataupun manisan. Nabi melakukannya kerana beliau adalah seorang manusia.

Bagaimana penjelasannya? Sila rujuk kitab Fathul Bari di dalam hal ini: 

Ketika menjelaskan berkaitan hadis ini, Imam Ibn Hajar al-Asqolani mengatakan: 

Ibn Baṭṭal menyatakan: “Manisan dan madu ialah sebahagian daripada makanan yang baik-baik sepertimana yang Allah sebutkan: 

كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ
Makanlah makanan yang baik-baik

(Al-Mukminun: 51)

Demikian juga ia menunjukkan kepada keharusan untuk berlazatan pada perkara harus. 

Ibn Hajar menyatakan lagi: Termasuk di dalam makna hadis ini juga ialah semua makanan yang lazat-lazat yang menyerupai manisan dan madu. 

Ibn Tin menyatakan: Bukan maksudnya apabila Nabi SAW disebutkan menyukainya maka Nabi banyak mengharap kepadanya atau bersungguh-sungguh untuk mendapatkanya. Tetapi yang sebenarnya ialah apabila diberikan pelbagai hidangan yang baik-baik kepada baginda, termasuklah makanan berkenaan maka nabi memakannya. Maka diketahui daripada perkara berkenaan menunjukkan bahawa nabi menyukainya (teruja dengannya).

(Rujuk Fath al-Bari, Jilid 9, halaman 557.)

Perbuatan makan madu ini menunjukkan Nabi SAW memakan makanan lazat yang harus dimakan. Bahkan di dalam riwayat yang lain menunjukkan Nabi Muhammad SAW memakan makanan yang lain seperti labu, minyak zaitun dan daging. Hadis-hadis yang disampaikan bertujuan menunjukkan jenis makanan yang dimakan oleh Nabi. Bahkan, kita percaya bahawa banyak lagi makanan yang wujud di tanah arab pada zaman itu yang dimakan oleh Nabi SAW tetapi tidak disampaikan kepada kita.

Pun begitu, ada makanan yang Nabi tidak makan seperti daging biawak padang pasir - Dhab. Sekalipun Khalid memakannya, tetapi Nabi tidak memakannya.

Nabi makan sesuatu, menyukai sesuatu makanan, dan tidak menyukai sesuatu makanan kerana sifat beliau selaku seorang manusia. Ini dijelaskan  oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam kitab beliau Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh:

“Al-Af`āl al-Jibilliyyah  iaitu sesuatu perbuatan yang dilakukan Nabi SaW sebagai sebagai menunjukkan bahawa baginda seorang manusia biasa. Seperti berdiri, duduk, makan, tidur, dan berjalan. Ia adalah sesuatu yangb harus dilakukan yang disandarkan kepadanya dan umatnya. Tidak wajib untuk kita mengikuti serta menirunya dalam bab itu. Sekiranya ada dalil yang menunjukkan kesunahannya seperti makan dengan tangan kanan, maka ia menjadi syariat.

Antaranya ialah sesuatu yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada isu pengalaman hidup seperti di dalam perniagaan, pertanian, pengurusan ketenteraan, menyifatkan ubat bagi sesuatu penyakit dan sebagainya, ia tidak menjadi syariat. Kerana baginda melakukannya atas usaha ijtihad dan pengalaman individu. Bukan daripada wahyu illahi. 

Justeru itu kita mendapati kisah pada peperangan Badar, Nabi memberi pendapat untuk berhenti di suatu lokasi. Lalu al-Hubāb bin al-Munzir bertanya: Adakah ini lokasi yang diwahyukan Allah kepadamu atau ia hanyalah satu pendapat, strategi perang dan taktik? Nabi bersabda: Bahkan ia adalah pandangan, strategi perang dan taktik. Lantas al-Hubāb berkata: Ini bukanlah lokasi yang baik. Lalu beliau menunjukkan tempat lain yang berdekatan dengan air. Lalu para tentera berhenti di lokasi berkenaan. 

Demikian juga apabila Nabi SAW melihat rakyat Madinah mengahwinkan kurma, Nabi mengisyaratkan untuk tidak dikahwinkan. Lalu mereka tinggalkan dan hasil kurma tidak elok pada tahun berkenaan. Lantas Nabi SAW berkata kepada mereka: Kamu lebih mengetahui tentang urusan dunia kamu.”

(Halaman 44)

:: Fatwa Doktor Didahulukan ::

Apabila seseorang sakit dan pergi merawat. Doktor yang pakar dan baik berkata kepadanya bahawa dia dilarang daripada makan madu ataupun manisan, maka fatwa doktor berkenaan terpakai untuk dirinya. 

Orang sakit itu tidak boleh makan madu, manisan dan seumpamanya - bahkan tidak boleh juga menyatakan bahawa ia sunnah perubatan Nabi SAW. 

Penutup 

Semoga penjelasan ini menambahkan ilmu pengetahuan kita. WallahuAlam.

__________
Syihabudin Ahmad, 
Sungai Buloh, Selangor.