Perkara khurafat mengandungi unsur syirik, kerana mengiktiraf suatu makhluk atau objek mempunyai kuasa tertentu, atau kerana mengambil berkat (tabarruk) bagi hajat tertentu.

Bidaah pula ialah melakukan sesuatu amalan yang baru dalam ibadat, yang tidak disunahkan oleh Rasulallah s.a.w.

PUNCA AMALAN-AMALAN TERCELA DAN TERPAUTNYA SESEORANG KEPADA AMALAN KHURAFAT

Di antara punca-puncanya adalah seperti berikut:


  • Tidak mempunyai asas yang kukuh di dalam pengetahuan agama di mana mudah menerima perkara-perkara yang dianggap menarik baginya.
  • Mempelajari dari guru-guru atau ketua-ketua yang tidak bertanggungjawab.
  • Terikut-ikut dengan amalan jemaah haji lain kerana menyangka amalan itu adalah amalan yang betul.
  • Sudah terbiasa melayani nafsu ammarah.


Jauhkanlah daripada melakukan perkara-perkara khurafat dan bidaah, terutamanya semasa melaksanakan fardu haji dan umrah. Berikut disenaraikan beberapa contoh amalan khurafat dan bidaah yang kerap dilakukan oleh sebahagian jemaah semasa di Tanah Suci. Jauhilah daripada melakukan perkara-perkara berikut :-

KHURAFAT DI TANAH AIR SENDIRI SEBELUM TIBA DI TANAH SUCI

1. Menulis ayat-ayat dua kalimah syahadah pada kertas atau kain, iaitu :اَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَـهَ إِلَّا اللهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدً رَسُوْلَ اللهُ. Bahagian syahadah pertama اَشْهَدُأَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ dipotong dan di bawa bersama ke Makkah. Syahadah kedua وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدً رَسُوْلَ اللهُ ditinggalkan di rumah dipercayai boleh memperkuatkan iman dan tidak akan meninggal dunia di Tanah Suci.

Sedangkan, mati di tanah suci mempunyai kelebihannya seperti Sabda Nabi SAW:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ اسْتَطَاعَ أَنْ يَمُوتَ بِالْمَدِينَةِ فَلْيَمُتْ بِهَا فَإِنِّي أَشْفَعُ لِمَنْ يَمُوتُ بِهَا

Daripada Ibnu Umar berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mampu untuk mati di Madinah, maka matilah (di Madinah). Sesungguhnya aku akan memberi syafaat untuk mereka yang mati (di Madinah).”

(Riwayat Tirmizi. Kata Sheikh Albani: hadis ini sahih)

2. Tidak boleh memijak bendul rumah. Kalau dipijak alamat tidak akan balik semula.

3. Sesudah bertolak dari rumah, tidak boleh memandang ke belakang melihat rumah. Kalau dipandang, pekerjaan hajinya tidak sempurna kerana hatinya teringat-ingat ke rumah

4. Membawa uri, rambut dan kuku bayi untuk ditanam di Tanah Haram supaya anak tersebut menjadi orang ternama dan disukai ramai.

5. Setelah balik nanti mesti berkurung diri di rumah selama 40 hari yang disebut idah haji. Barulah haji itu berkat dan melekat di hati, kalau melanggar, sia-sialah haji.

KHURAFAT DI TANAH SUCI

1. Ada yang semasa tawaf cuba mengoyak kelambu (Kiswah) Kaabah kononnya untuk disimpan kerana ada keajaibannya. Mereka lupa kelambu tersebut adalah tenunan zaman sekarang yang selalu ditukar ganti. Kilangnya di Makkah dengan pelbagai peralatan canggih. Mengoyak kelambu bererti memusnah harta awam dan mencuri. Apakah jenis keberkatan yang mereka harapkan dari barangan curi dan khianat? Ada juga yang membelinya di kilang membuat kiswah semasa menziarahi tempat tersebut. Para jemaah sanggup membeli cebisan kain tersebut dengan harga yang mahal kerana semata-mata menganggap ianya pembawa tuah. Ini semua kepercayaan yang karut dan khurafat. Juga dikaitkan berkat kerana kiswah itu menutupi Kaabah. Perlu diketahui, bahawasanya sejak pembinaan pertama Kaabah oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, Kaabah telah pun mengalami beberapa kali runtuhan dan dibina semula disebabkan banjir. Oleh itu, batu binaan Kaabah pada masa kini bukan lagi batu binaan yang asal untuk diharapkan berkat darinya. Ianya tidak lain hanya akan membawa kepada kesyirikan.

2. Mempercayai sesungguhnya Hajar Aswad mampu memberikan manfaat dan mempunyai barakah.

Perlu diingati bahawa manfaat dan mudarat hanya dari Allah subhanahu wa taala. Umar bin Khatab radiallahu anhu berkata:

إِنِّي أَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ لا تَضُرُّ وَلا تَنْفَعُ وَلَوْلا أَنِّي رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَبِّلُكَ مَا قَبَّلْتُكَ

Maksud: “Sesungguhnya aku pasti bahawa kamu hanya sekadar batu biasa yang tidak mendatangkan mudarat dan manfaat. Seandainya aku tidak melihat Nabi sallallahu alaih wasallam menciummu, tentu aku tidak akan menciummu.”

(Riwayat Bukhari)

3. Jemaah haji berebut-rebut untuk mendaki Bukit Rahmah (bukit Arafah) dan ingin sampai ke puncaknya sehingga boleh mendatangkan kemudaratan kepada dirinya dan juga kepada para jemaah yang lain. Sedangkan hal ini tidak disyariatkan kerana seluruh padang Arafah adalah tempat berwuquf. Begitu juga tidak digalakkan kepada jemaah wanita kerana dibimbangi akan bersentuhan dan bergeseran dengan jemaah lelaki.

Kebanyakan jemaah menganggap bahawa Bukit Rahmah adalah tempat untuk mendapatkan jodoh atau mengeratkan hubungan suami dan isteri. Mereka akan berdoa dan menulis di tembok nama pasangan masing-masing. Ini semua adalah kepercayaan yang karut dan tiada sumber atau dalil dari al-Quran mahupun hadis.

4. Mesti mencari tiang Jin di dalam Masjidil Haram. Peluk kuat-kuat boleh memanjangkan umur.

5. Boleh mendapat toyol dengan bersembahyang sunat sebanyak-banyaknya secara mengadap tiang tersebut untuk dibawa balik toyol itu sebagai khadam.

6. Jin yang dibawa balik dari Mekah adalah Jin yang baik kerana mereka adalah Islam.

7. Menampal duit syiling yang siap bergam di bawah pintu Baitullah dan dibawa balik untuk dibuat ibu duit bagi tujuan melariskan perniagaan, mendapat jodoh dan memurahkan rezeki.

8. Memungut anak-anak batu di Arafah untuk dibawa balik bagi tujuan tertentu, jika dicampak di dalam perigi ikan, maka ikan akan menjadi banyak. Jika ditabur di kebun tanaman, maka buah-buahan akan menjadi. Jika diletak di dalam kedai, maka akan laris.

9. Mencuri tali-tali khemah di Padang Arafah dan Mina untuk dijadikan tangkal bagi tujuan pelarisan untuk jualan dan memperbanyakkan tangkapan ikan.

10. Membawa balik Tanah Arafah untuk upacara “Memijak Tanah” buat pertama kali bayi untuk menghindarkannya dari sebarang penyakit dan gagah berani.

11. Tidak boleh melihat cermin semasa di dalam Ihram. Jika dilihat muka akan menjadi hodoh dan orang tidak suka melihatnya.

12. Menyapu-nyapu tiang masjid dan diusap ke muka untuk menambah seri wajah.

13. Mengetuk-ngetuk pintu dan gelang kuncinya di kawasan Saei sebagai simbolik kepada mengetuk pintu rezeki. Jika tidak membuatnya, rezeki akan tertutup selama-lamanya.

14. Bersetubuh dengan isteri di dalam Masjid al-Haram boleh mendapat anak yang mudah masuk syurga.

15. Orang yang mandul boleh segera mendapat anak jika bersetubuh dengan suaminya di dalam Masjid dua kali dari arah pancur emas sekali kerana kepercayaan pancur emas itu melambangkan kemaluan Nabi Adam dan sekali lagi dari arah yang menghala ke Hajar Aswad kerana Hajar al-Aswad melambangkan kemaluan Siti Hawa.

16. Kain ihram perlu dibawa balik dan diwasiatkan bila mati nanti hendaklah dikafan dengan kain itu bagi menghindar diri dari siksa kubur.

17. Beli khusus kain putih yang hendak dijadikan kafan dan basuh dahulu dengan air zam-zam di Mekah, disimpan dan diwasiatkan untuk dijadikan kain kafan. Dengannya Munkar dan Nakir tidak berani memukul badan yang dibalut dengan kain tersebut.

18. Kalau berlaku hujan, maka mandilah di bawah curahan air dari pancur emas agar sembuh segala penyakit dan tidak akan terkena penyakit hawar.

19. Tiang-tiang masjid boleh dibeli untuk diwakafkan. Sekiranya ada orang yang menawarkannya, maka jangan disoal banyak, beli sahaja akan menjaminkan masuk syurga.

20. Mandi bertelanjang di telaga Ja’aranah boleh memikat suami dan cepat mendapat jodoh bagi yang belum bersuami.

21. Ketika melontar jamrah, kebanyakan jemaah mengganggap mereka sedang melontar pada syaitan. Oleh itu, mereka melontarnya dengan penuh kemarahan disertai dengan caci maki terhadapnya. Padahal melontar jamrah itu telah disyariatkan oleh Allah s.w.t tanpa kita ketahui sebab dan mengapa ia dilakukan, sama seperti solat subuh dua rakaat dan zohor empat rakaat. Hal ini kerana ianya telah pun disyariatkan tanpa perlu kita mengetahui sebabnya sebagai tanda kita beriman dengan apa yang telah dibawakan oleh Rasulullah s.a.w.

Ada juga sebilangan mereka yang melontar jamrah menggunakan batu yang besar, kasut atau dengan kayu. Perbuatan ini termasuklah dalam berlebih-lebihan dalam agama yang dilarang Nabi s.a.w.

22. Dan berbagai-bagai khurafat lagi yang masih diamalkan oleh masyarakat Islam Asia Tenggara.

AMALAN KHURAFAT DAN KAITANNYA DENGAN HUKUM SYARAK

Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut adalah ditegah oleh syarak kerana di samping ketiadaan manfaatnya ia boleh merosakkan akidah seseorang dan ia juga menambahkan amalan-amalan bid’ah yang buruk sepertimana tersebut dalam hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:“…………Setiap yang bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat akan ditempatkan di dalam neraka”.Mengamalkan amalan khurafat dengan tidak disedari boleh menjauhkan diri daripada Allah SWT, walhal kedatangan jemaah haji ke Tanah Suci ialah untuk menghampirkan diri kepada Allah serta menyuci diri dari segala dosa dengan tujuan mandapat haji mabrur.