Alhamdulillah, seorang demi seorang ustaz-ustaz sunnah memberikan kepercayaan kepada Santai Ilmu Publication bagi menerbitkan karya mereka. Pasti akan lebih rancak penerbitan kami selepas ini.

Semoga Allah mudahkan urusan kami.

Dahulu, saya mendaftar syarikat ini atas nama isteri saya Puan Mimi Zaty dengan tujuan menerbitkan karya-karya saya sahaja. Saya cetak buku pertama dengan modal RM 5000. Tetapi tiada sambutan.

1 tahun kemudian, saya merancang untuk menyiapkan terjemahan kemudian jual kepada penerbit-penerbit besar. Tetap gagal. Mereka tidak bersedia menerima terma bayaran lump sum kerana masalah ekonomi yang kritikal.

Suatu hari, timbul idea 'gila' ketika meeting dengan staf. Puan Mimi Zaty kata "Penerbit 'itu' mahu ambil murah sangat. Lebih baik terbit sendiri kalau begitu!" - Saya terus menyatakan: "Baik! Kita terbitkan sendiri!"

Lalu saya balik ke rumah dan menggoogle; "How to Create DIY Book". Pelbagai video saya tonton dengan teliti. Saya baca pelbagai artikel. Saya cuba hampir semua tips yang dicadangkan.

Saya hanya bermimpi untuk terbitkan 5 naskah 1 hari sahaja. Lagipun, orang tak kenal siapa saya lagi. Tempahan mungkin sedikit sahaja. Apatah lagi pengalaman penerbitan buku pertama banyak mengajar saya.

Saya buat betul-betul DIY. Guna printer kat rumah untuk print cover dan halaman dalam. Stapler bahagian tengah dengan DIY Stappler. Pinjam (Baca: buat harta) pemotong kertas Ayah Hasnol Yadi Husain dan Mak Noriza Ishak. Si isteri yang menjadi Menteri Kewangan ikut saja keluarkan duit untuk beli barang-barang itu semua.

Bahkan, saya pernah cari kayu, papan, skru dan gam untuk buat mesin perfect binding sendiri. Saya tengok mesin perfect binding dan cuba fahamkan cara ia beroperasi. Kemudian cipta alat berdasarkan kaedah operasi berkenaan.

Banyak betul duit dilaburkan - sehingga sampai satu-satu masa, duit simpanan keluarga kami tiada baki = 0.

Alhamdulillah hari ini, production saya sudah tidak menang tangan. Kami kesuntukan mencetak 100-500 naskah sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan serta stok simpanan tetap.

Masalah baru hari ini ialah kekurangan tenaga buruh, modal dan kepakaran menguruskan perniagaan. Semoga Allah mudahkan urusan kami.

Ramai juga datang ikhlas membantu seperti Najwan Afiq dan rakan-rakan beliau. Tim pemuda yang baik budi dan calon suami mithali!

Bahkan ketekunan lepasan Sarjana UIA iaitu Siti Zulaikha juga sangat membantu di dalam bahagian editorial syariah. Beliau meninggalkan kami pada Jun lalu dengan duka dan kesedihan Puan Mimi Zaty.

Awal September lalu, seorang staf berpengalaman masuk bekerja dengan kami. Alhamdulillah, bahagian editorial lebih tersusun. Pun begitu, beliau agak terkejut kerana kami menerbitkan 4 buah buku 1 bulan! Syarikat besar pun tidak melakukannya dalam situasi ekonomi seperti hari ini!

Saya lebih terkejut apabila beliau boleh menyesuaikan diri dengan cara pentadbiran penerbitan kami! Kemungkinan, bulan ini kami akan terbitkan 6 atau 7 judul!

Demikianlah Allah menguruskan manusia. Dia berikan mimpi untuk dikejar, dikenang dan dihayati. Dalam mengejar mimpi itu, ia diselangi dengan pelbagai cerita suka dan duka.

Pun begitu, kita teruskan hidup bagi membaja keredhaan Tuhan Yang Maha Esa.

Firman Allah:

وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Boleh jadi yang kamu sangka ia buruk buat kamu itu sebenarnya ia baik buat kamu. Demikian juga, boleh jadi kesukaan kamu terhadap sesuatu itu sebenarnya ia buruk untuk kamu. Allahlah yang mengetahui sedangkan kamu tidak tahu.

(Al-Baqarah: 216)

__________
Syihabudin Ahmad,
Sungai Buloh.
20 Sept 2018 | Asyura 1440H
bukusantai.com