Saya lebih suka jika perpaduan tidak melalui jalan politik kepartian - kerana sifat politik kepartian ini sangat berbahaya.

Ada seorang guru berkata, "Persaudaraan politik adalah sangat jijik! Hari ini dia peluk cium kita, esok dia ludah kita."

Mungkin anda kenal siapakah guru ini.

Pun begitu, jika benar - perpaduan itu mampu muncul dengan perpaduan politik kepartian, maka saya menyokong usaha berkenaan tanpa sebarang harapan besar.

Setiap usaha kebaikan - saya akan sokong walaupun ia datang dari seorang Kafir yang kuat menghina Rasulullah.

Saya juga tidak gemar apabila ada yang mencemuh perpaduan atas nama parti sebagai tidak ikhlas, berkepentingan dan sebagainya- kerana, parti ialah wasilah. Boleh diambil, ditolak, disokong atau dibangkang.

Bahkan, boleh lompat-lompat.

Parti sememangnya tidak memerlukan keikhlasan. Ia hanya perlukan kebijaksanaan dan amanah. Tetapi keikhlasan dapat menyempurnakannya.

Demikian juga, perpaduan rentas parti atas isu-isu yang mampu disepakati perlu ada. Bahkan, antara parti pemerintah dan parti pembangkang juga.

Dahulu ketika tahun akhir di Al-Azhar, saya menganjurkan beberapa program dialog terbuka anak muda dengan kerjasama pelbagai persatuan Mahasiswa. Kempen saya ketika itu ialah HIKMAH. Dialog dengan sikap Wasatiyyah sepertimana anjuran Al-Azhar.

Kami panggil wakil mahasiswa PAS, UMNO, IKRAM, ISMA, ABIM untuk berdialog. Berbicara atas isu semasa. Alhamdulillah, wakil daripada pelbagai parti dan NGO berkerjasama - (Cuma wakil satu parti tu sahaja yang selalu culas - hihi).

Ada orang tanya, "Ustaz pergi PWTC tak?". Saya jawab, "Itu himpunan parti politik yang bersatu. Siap penuh dengan LOGO PARTI. Mungkin ahli-ahli parti itu patut hadir. Saya?

Saya tak pernah menjadi ahli bagi mana-mana parti."

Saya sokong perpaduan mereka - bahkan sokongan saya sejak di Mesir lagi. Sokong jika mereka bersama-sama berbincang perkara yang mereka boleh manfaatkan bersama.

Bagusnya, dahulu ahli PAS atau UMNO - saling bersangka buruk sesama mereka. Tetapi kini, mereka sahabat! Alhamdulillah.

Saya juga menyokong jika parti-parti Melayu, Cina, India dan lain-lain bersatu. Kita bina negara ini dengan lebih baik.

------
Syihabudin Ahmad.
Tidak minat parti.
Tapi suka rakyat Malaysia bersatu.

#bersatu #sayangimalaysiaku #nonpartisan