Benarkah Produk Non-Muslim itu, Asalnya - Syubhah seperti yang sedang ditularkan kenyataan Mufti Brunei?

Jawapan: Tidak benar. 

Penjelasan: 

(1) Tularan yang mendakwa Mufti Brunei telah mengeluarkan kenyataan bahawa "asal bagi produk non Muslim ialah Syubhah" - adalah PALSU. 

Sila rujuk kenyataan rasmi Kerajaan Brunei di link berikut: http://pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita%202018/NewDisplayForm.aspx?ID=19484

(2) Apabila disebut PRODUK - ia bermaksud, apa sahaja yang diniagakan termasuk barang makanan, minuman, daging, susu, buah, peralatan, pengangkutan, perkhidmatan dan sebagainya. Ia boleh dihasilkan oleh Muslim dan Non Muslim. 

(3) Jika sesuatu produk itu bukan bersifat daging yang perlu disembelih, maka ia kekal harus untuk dimakan atau diminum sekalipun dijual oleh Non-Muslim. Sepertimana harus bagi seorang Muslim meminum Jus Tembikai keluaran syarikat Non-Muslim, bahkan di kedai Non-Muslim seperti yang banyak di R&R. 

Demikian juga harus membeli beras keluaran Non-Muslim, 
Demikian juga harus membeli susu keluaran Non-Muslim,
Demikian juga harus membeli kereta keluaran Non-Muslim,
Demikian juga harus menggunakan khidmat pertukangan Non-Muslim.

(4) Jika sesuatu produk Non-Muslim (Terkecuali Yahudi dan Kristian) itu bersifat daging maka keharusan menggunakannya barulah dianggap Syubhah pada asalnya. Kerana muncul keraguan daripada sudut halal daging berkenaan. 

Umat Islam hanya dibenarkan makan daging yang disembelih dengan dibaca nama Allah, jika penyembelihnya adalah orang Islam. Jika penyembelihnya Non-Muslim (terkecuali Yahudi dan Kristian), maka ia kekal haram sekalipun penyembelihnya membaca nama Allah. 

Umat Islam telah mengetahui syarat berkenaan. Ia disebut, "Perkara maklum yang telah basa diketahui - المعلوم في الدين بالضرورة "Tetapi, syarat ini belum tentu dapat ditunaikan oleh syarikat Non-Muslim. 

Imam Qatadah di dalam Musannaf Abdul Razzaq direkodkan telah menyebutkan: 

لَا بَأْسَ بِأَكْلِ طَعَامٍ الْمَجُوسِ مَا خَلَا ذَبِيحَتَهُ

Tidak mengapa memakan makanan orang Majusi selain dari sembelihan.

(5) Tetapi, keraguan atau Syubhah berkenaan boleh dihilangkan dengan cara, produk berkenaan melalui proses yang telah ditetapkan oleh JAKIM bagi mendapatkan persijilan HALAL. 

Dalam persijilan berkenaan, pihak JAKIM telah menetapkan banyak perkara yang mengikuti etika Agama - sehingga produk daging Non-Muslim itu boleh dijual dan dibeli oleh Muslim di Malaysia. 

Sila rujuk JAKIM untuk makluman lanjut. 

(6) Memakan daging yang disembelih lalu dijual oleh Ahli Kitab dari kalangan Yahudi dan Kristian adalah harus berdasarkan firman Allah di dalam surah Al-Maidah, ayat 5: 

Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka)....(Maidah, 5)

Ayat ini menjelaskan keharusan memakan daging sembelihan Ahli Kitab tanpa ditanya, "Adakah anda menyembelih dengan menyebut nama Allah?" Ini adalah salah satu dari beberapa perbezaan Non-Muslim Ahli Kitab dengan Non-Muslim bukan Ahli Kitab. 

(7) Akhirnya, Pilihan membeli ada pada tangan pembeli. Maka, dia boleh memilih untuk mendahulukan mana-mana kedai, pengusaha atau syarikat. 

Membeli produk Muslim pastinya memberi ketenangan jiwa dan memajukan perniagaan saudara sesama akidah. Demikian juga, ia dapat membantu mengukuhkan ekonomi umat Islam apabila pembayaran Zakat Perniagaan meningkat. 

Pun begitu, jika ada umat Islam yang membeli produk Non-Muslim yang harus, maka kita dapat fahama bahawa dia bukan sedang melakukan perkara cela dan keji. Dia boleh memilih, apatah lagi jika dia hanya mempunyai kemampuan kewangan untuk membeli produk halal Non-Muslim, dan tidak mampu membeli produk Muslim. 

WallahuAlam.
Allah jua lebih tahu.

------
Syihabudin Ahmad,
Seorang penulis yang hanya mahu Redha Allah.
www.ustazusa.com



#BMF #SayangiMalaysiaku #FahamSebelumSebar #SemakSebelumSebar #Agama #Islam