Soalan 1: Tanah air kita beberapa hari ini terjebak dengan isu peralihan kuasa pemerintahan yang belum ada jawapan muktamad. Pernahkah situasi seperti ini berlaku pada zaman Rasulullah dan para sahabat? Bagaimanakah sikap mereka dalam menghadapinya?

Kita putarkan tarikh hari ini kepada 1400 tahun yang lalu. Bahkan, sebelum Nabi Muhammad dilantik sebagai rasul. Ketika itu, sistem jahiliyyah mendahului. Undang-undang dalam masyarakat Jahiliyah dibangunkan atas asas fanatisme perkauman dan pertalian kekeluargaan. Masyarakat jahiliah menjalani hidup dengan berpandukan pada pepatah mereka yang terkenal,

انصر أخاك ظالما أو مظلوما

(Tolonglah saudaramu yang zalim ataupun yang dizalimi)

dengan makna zahir. Makna tersebut berbeza dengan apa yang difahami dalam Islam, Islam memahami maksud menolong orang yang melakukan kezaliman adalah dengan mencegahnya daripada melakukan kezaliman.

Sekuat manapun pengaruh pepatah tersebut, persaingan dalam merebut pemerintahan dan tempat yang terpandang seringkali mengakibatkan terjadi perang antara kabilah-kabilah yang berasal daripada seorang ayah. Perkara ini dapat kita lihat pada pertikaian panjang antara Aus dan Khazraj (Ayah mereka ialah Harisah bin Sa`labah al-Ghassani), Abs dan Dzibyan  (Ayah mereka adalah Bughaith bin Rais al-Ghatfani), Bakar dan Taghlib (Ayah mereka ialah Wail bin Qasit Al-Rabiiyyah) dan lain-lain.

Sehingga mereka hanya berehat pada 4 bulan sahaja.

Bulan-bulan haram adalah rahmat bagi bangsa Arab kerana hidup mereka lebih tenang dan rezeki mereka bertambah. Mereka hidup dalam keadaan aman serta sangat menekankan kehormatan mereka.
Abu Raja’ Al-‘Utoridi berkata:

فإذا دخل شهر رجب قلنا مُنصّل الأسنة فلا ندع رمحا فيه حديدة ولا سهما فيه حديدة إلا نزعناه وألقيناه في شهر رجب

Apabila bulan Rejab telah tiba, kami berkata: Munassil al-Asinnah. Kami tidak akan biarkan lembing mahupun panah berada dalam besi melainkan kami keluarkannya. Itulah kami lakukan apabila bertemu bulan Rejab[1]. Seperti itu juga pada selebihan baki bulan Haram[2].

Matlamat terbesar pemerintah adalah menimbun kekayaan dengan cara merampas harta rakyat serta berperang dengan orang yang menentangnya.

Inilah kekacauan yang berlaku di dalam dunia Tanah Arab ketika itu. Maka, apabila Nabi Muhammad SAW mahu merubahnya, atau mengambil sikap terhadapnya, maka ia perlu diambil dengan jiwa yang besar.

Peralihan yang akan dibuat bukan sekadar peralihan kuasa politik dan kepimpinan tetapi peralihan dunia secara total. Fasa-fasa perubahan itu bukanlah suatu yang indah.

Berjiwa Besar

Kadang-kala jiwa Nabi SAW tercabar sehingga Nabi merintah kepada Allah atas kelukaan yang dilakukan oleh orang mekah dan Taif. Nabi merintih,

اللَّهُمَّ إلَيْكَ أَشْكُو ضَعْفَ قُوَّتِي وَقِلَّةَ حِيلَتِي وَهَوَانِي عَلَى النَّاسِ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ أَنْتَ رَبُّ الْمُسْتَضْعَفِينَ وَأَنْتَ رَبِّي إلَى مَنْ تَكِلُني إلَى بَعِيدٍ يتجَهَّمني أَمْ إلَى عَدُوٍّ مَلَّكْتَهُ أَمْرِي إنْ لَمْ يَكُنْ بِكَ عليَّ غَضَبٌ فَلَا أُبَالِي وَلَكِنَّ عَافِيَتَكَ هِيَ أَوْسَعُ لِي أَعُوذُ بِنُورِ وَجْهِكَ الَّذِي أَشْرَقَتْ لَهُ الظلماتُ وَصَلُحَ عَلَيْهِ أمرُ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ مِنْ أَنْ تُنزل بِي غَضَبَكَ أَوْ يَحِلَّ عليَّ سُخْطُك لَكَ العُتْبَى حَتَّى ترضَى وَلَا حولَ وَلَا قوةَ إلَّا بك

“Ya Allah, kepada-Mu aku mengeluhkan kelemahan diriku, sedikitnya kecerdikanku dan rendahnya aku di hadapan manusia. Wahai Zat yang paling pemurah, Engkaulah Tuhan kaum yang lemah, juga Tuhanku. Kepada siapakah Kau menghantarku? Kepada orang jauh yang bermuka masam kepadaku ataukah kepada musuh yang dapat menguasai urusanku? Sesungguhnya aku tidak peduli asalkan Engkau tidak marah kepadaku. Ini kerana kurnia kesihatan yang Kau limpahkan kepadaku sungguh luas. Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang mengalahkan semua kegelapan dan dengannya urusan dunia dan akhirat menjadi baik, supaya Kau tidak menurunkan kemarahan-Mu kepadaku atau menghalalkan kemurkaan-Mu kepadaku. Hanya Kau-lah yang berhak menegur hingga Kau redha. Sesungguhnya, tidak ada usaha dan kekuatan melainkan atas izin-Mu.”

Setiap yang berlaku, Nabi hubungkan dengan Allah – supaya baginda tidak salah di dalam mengambil langkah. Oleh itu, ketika Nabi Muhammad telah mendapat pelan hijrah ke Madinah, baginda membina umat yang berjiwa besar.

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ubadah bin Samit bahawa Rasulullah  bersabda,

بَايِعُونِي عَلَى أَنْ لاَ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ شَيْئًا وَلاَ تَسْرِقُوا وَلاَ تَزْنُوا وَلاَ تَقْتُلُوا أَوْلاَدَكُمْ وَلاَ تَأْتُوا بِبُهْتَانٍ تَفْتَرُونَهُ بَيْنَ أَيْدِيكُمْ وَأَرْجُلِكُمْ وَلاَ تَعْصُونِي فِي مَعْرُوفٍ فَمَنْ وَفَى مِنْكُمْ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا فَعُوقِبَ بِهِ فِي الدُّنْيَا فَهُوَ لَهُ كَفَّارَةٌ وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا فَسَتَرَهُ اللَّهُ فَأَمْرُهُ إِلَى اللَّهِ إِنْ شَاءَ عَاقَبَهُ وَإِنْ شَاءَ عَفَا عَنْهُ

“Kemarilah! Berbaiatlah kamu kepadaku bahawa kamu tidak akan menyekutukan Allah dengan apa-apa, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anak kamu, tidak akan menyampaikan sesuatu yang bohong yang kamu reka sendiri serta tidak akan menderhakaiku (melawan perintahku) dalam urusan yang baik. Sesiapa yang menepatinya antara kamu, maka merupakan kewajipan bagi Allah untuk memberinya pahala. Sesiapa melanggar salah satunya lalu dia dihukum selagi masih di dunia, maka hukuman itu merupakan penggugur dosanya. Sedangkan sesiapa melanggar salah satunya lalu Allah menutupi pelanggarannya, maka urusannya adalah mutlak ada pada Allah. Jika Allah berkehendak, Allah akan menghukumnya dan jika Allah berkehendak pula Allah akan mengampuninya.”

KEADAAN DI MADINAH YANG TIDAK STABIL

Makna hijrah bukan hanya menyelamatkan diri daripada fitnah dan cemuhan tetapi hijrah juga bererti suatu usaha untuk saling menolong dalam menegakkan sebuah masyarakat baru di negeri yang selamat. Maka, menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam yang berkemampuan untuk turut serta dalam membangunkan tanah air yang baru ini, sekaligus mengerahkan seluruh kesungguhannya dalam membentengi dan mengangkat kebesarannya.

Tidak diragukan bahawa Rasulullah  adalah imam, komandan, sekaligus pengarah dalam pembangunan masyarakat ini. Oleh itu, segala urusan yang kritikal diserahkan kepada baginda tanpa sebarang penentangan.

Apa yang Nabi Buat? Nabi bina masyarakat baru dengan acuan:

1-      Menyatukan umat Islam dengan masjid Nabawi
2-      Mempersaudarakan umat Islam sehingga berlaku kisah Abdul Rahman dan Saad binRabi`
Saad berkata kepada Abdurrahman,
“Aku adalah orang Ansar yang mempunyai harta paling banyak. Maka bahagilah hartaku menjadi dua. Aku memiliki dua isteri. Maka lihatlah salah seorang, mana satu yang kamu sukai, lalu sebutkanlah namanya kepadaku. Aku akan menceraikannya. Sehinggalah apabila masa iddahnya habis nanti, engkau boleh menikahinya.”
Abdurrahman bin Auf memberikan tanggapan menarik, “Semoga Allah melimpahkan berkat kepadamu disebabkan keluarga dan hartamu. Di manakah pasar kamu?”
Orang Ansar menerangkan di mana pasar Bani Qainuqa’ kepada Abdurrahman. Maka tidaklah dia kembali melainkan telah membawa hasil berupa keju dan minyak. Seterusnya, dia sering berangkat awal pagi. Sampai pada suatu hari, dia datang dengan memakai baju yang terkena titik berwarna kuning. Nabi Muhammad bertanya kehairanan, “Apakah ini? Apa?” Abdurrahman menjawab, “Aku baru saja menikah.” Baginda bertanya lagi, “Berapakah mahar yang kau berikan padanya?” Abdurrahman menjawab, “Sebiji emas.”[3]
3-      Perjanjian Pakatan Islami bersama umat Islam
·         Bahawa mereka adalah satu umat.
·         Para Muhajirin daripada Quraisy perlu saling membantu membayar diyat atas kaum mereka. Mereka perlu menebus tawanan daripada golongan mereka secara baik dan adil menurut piawai orang Mukmin. Sedangkan, semua kabilah daripada Ansar perlu bersama-sama membayar diyat atas kaum mereka sesuai dengan tradisi mereka sebelum ini. Kelompok Ansar menebus tawanan daripada golongan mereka secara baik dan adil antara orang Mukmin.

  • ·         Orang Mukmin tidak boleh membiarkan seorang pun fakir antara mereka, melainkan perlu memberinya dengan cara yang baik melalui sistem tebusan atau pembayaran diyat.
  • ·         Orang Mukmin mesti memerangi orang yang melakukan kezaliman antara mereka atau orang yang merentas jalan kepada suatu kezaliman, tindakan dosa, permusuhan atau kerosakan yang terjadi di tengah-tengah mereka.
  • ·         Semua antara mereka perlu memeranginya, walaupun dia adalah anak daripada salah seorang antara mereka.
  • ·         Seorang Mukmin tidak boleh membunuh Mukmin yang lain kerana membela orang kafir.
  • ·         Tidak boleh menolong seorang kafir untuk melawan seorang Mukmin.
  • ·         Perlindungan Allah itu satu. Mereka semua berhak mendapatkannya sekalipun orang yang paling rendah antara mereka.
  • ·         Orang Yahudi yang mengikuti kita berhak mendapatkan pertolongan dan tidak boleh dizalimi.
  • ·         Perdamaian yang dilakukan oleh orang Mukmin perlu satu. Tidak boleh seorang Mukmin mengadakan perdamaian tanpa melibatkan Mukmin yang lain dalam sebuah perang di jalan Allah, kecuali apabila perdamaian tersebut berlaku secara adil bagi mereka semua.
  • ·         Setiap Mukmin perlu membela orang Mukmin yang lain, jika darah mereka tumpah di jalan Allah.
  • ·         Musyrikin Yathrib tidak boleh melindungi harta atau jiwa kafir Quraisy dan tidak boleh menghalangi seorang Mukmin yang hendak mengambilnya.
  • ·         Sesiapa pun yang membunuh seorang Mukmin yang tidak melakukan tindakan kejam, maka dia perlu mendapat hukuman setimpal, kecuali apabila wali orang yang terbunuh merelakannya.
  • ·         Semua orang Mukmin perlu memerangi orang itu dan tidak halal bagi mereka hanya berdiam saja.
  • ·         Seorang Mukmin tidak boleh menolong atau menyokong seseorang yang melakukan kejahatan. Sesiapa menolong atau menyokong orang yang seperti itu, maka dia mendapat laknat dan kemurkaan Allah pada hari kiamat dan tidak akan diterima tebusan daripadanya.
  • ·          Apabila ada suatu hal yang masih mereka perselisihkan, maka tempat kembalinya adalah kepada Allah dan Muhammad.[4]
Kesan Kejiwaan Di Dalam Masyarakat
Melalui keputusan yang bijak dan kecerdasan yang memukau ini, Rasulullah menancapkan asas bagi sebuah masyarakat yang baru dengan jiwa yang sihat. Dengan jiwa yang sihat itu, mereka dapat menyelami nikmatnya bersahabat dengan Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad sentiasa menjaga mereka dengan pengajaran, pendidikan, pembersihan jiwa dan motivasi untuk berbudi pekerti luhur. Baginda mengajarkan kepada mereka adab-adab yang berkaitan dengan kasih sayang, persaudaraan, kewibawaan dan kemuliaan, juga adab dalam beribadah dan melakukan ketaatan pada Allah.

Seseorang pernah bertanya kepada baginda, “Bagaimanakah orang Islam yang paling baik itu?”
Maka baginda menjawab, “Engkau memberi makan dan mengucapkan salam kepada sesiapa pun yang kau kenal mahupun yang tidak kau kenal.”[5]

Abdullah bin Salam mengatakan, “Ketika Nabi Muhammad datang ke Madinah, aku turut menghampirinya. Tatkala wajahnya telah kelihatan jelas, aku tahu wajahnya bukanlah wajah pendusta. Ucapan yang pertama kali baginda katakan adalah, ‘Wahai semua manusia! Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah tali kekeluargaan dan solatlah pada malam hari ketika orang sedang tidur! Maka kamu akan masuk syurga dengan selamat’.”[6]

Rasulullah juga bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang yang jirannya tidak selamat daripada gangguannya.”[7]

Demikian juga, “Orang Islam itu adalah orang yang sejahtera orang lain daripada perbuatan lidah dan tangannya.”[8]

Demikian juga: “Seseorang antara kamu tidak dikatakan beriman sehingga dia mencintai saudaranya seperti mencintai dirinya sendiri.”[9]
Boleh ustaz terangkan sedikit berkenaan kisah perletakan hajar aswad dan juga ketika pembentukan piagam madinah, penuh hikmah cara dan ajaran.
35 tahun setelah Rasulullah  lahir ke dunia, orang Quraisy membongkar dan membangunkan semula Kaabah kerana Kaabah ketika itu hanya berupa susunan batu-batu yang sedikit lebih tinggi daripada tubuh manusia. Tingginya sembilan hasta sejak dibangunkan kali pertama oleh Nabi Ismail. Kaabah tidak beratap sehingga menyebabkan para pencuri sering memasukinya dengan memanjat dan melompat dari atas untuk mencuri barang-barang berharga yang ada di dalamnya. Akibatnya, - bangunan yang telah tua itu semakin rapuh - dan dindingnya pecah-pecah.

Lima tahun sebelum Rasulullah  diangkat menjadi nabi dan rasul, Mekah dilanda banjir besar yang luapan airnya sampai ke Kaabah sehingga bila-bila masa saja Kaabah boleh roboh. Pada mulanya, pemulihan Kaabah tidak terlaksana kerana kaum Quraisy lebih suka untuk membiarkan bangunan asal Kaabah seperti seadanya.

Hingga akhirnya, diputuskan juga untuk memperbaiki Kaabah, tetapi dengan kesepakatan bahawa mereka tidak akan memasukkan apa-apa ke dalamnya kecuali perkara yang baik. Maka hasil pelacuran, hasil riba serta barang rampasan tidak diterima.

Namun begitu, mereka masih juga berasa takut untuk merobohkannya. Walid bin Mughirah al-Makhzumy mula bercadang melakukan demikian seraya dan berkata:

Demi Allah kami tidak menginginkan selain hanya kebaikan.

Setelah itu dia menghancurkan dinding Kaabah. Melihat Walid tidak mengalami apa-apa, mereka semua mengikutinya. Mereka terus merobohkan Kaabah hingga tiba bahagian dasar yang dulu dipasang oleh Nabi Ibrahim.

Selepas itu mereka mula membangunkannya kembali. Mereka membahagikan Kaabah menjadi beberapa bahagian. Setiap bahagian dikhususkan pembangunannya kepada satu kabilah. Setiap kabilah mula mengumpulkan batu-batu lalu membangunkan bahagian yang menjadi bahagian masing-masing. Orang yang merancang rancangan bangunan adalah arkitek berbangsa Rom bernama Baqum.

Ketika pembangunan telah sampai pada tahap perletakan kembali Hajar Aswad pada tempatnya semula, orang Quraisy berselisih tentang siapa yang layak mendapat penghormatan meletakkan Hajar Aswad di tempatnya. Perselisihan berlanjutan selama empat atau lima hari. Situasi terus panas sehingga nyaris-nyaris menjadi pertumpahan darah di Tanah Haram.

Mujurlah Abu Umayyah bin Mughirah al-Makhzumy meredakan suasana dengan menawarkan cadangan agar keputusan atas perselisihan mereka diserahkan kepada orang yang pertama masuk menemui mereka melalui pintu masjid. Mereka semua menerima cadangan tersebut. Rupa-rupanya Allah menghendaki bahawa orang yang pertama masuk adalah Rasulullah  

Tatkala mereka melihat baginda datang, mereka berseru,

هذا الأمين، رضيناه، هذا محمد

“Ini dia al-Amin. Kami redha terhadapnya. Inilah Muhammad.”

Tatkala baginda sampai di hadapan mereka, mereka terus menyatakan permasalahan mereka kepada baginda. Baginda lantas meminta sehelai kain yang panjang dan lebar, lalu meletakkan Hajar Aswad di tengah-tengahnya.

Seterusnya baginda meminta semua pembesar daripada setiap kabilah untuk memegang hujung kain. Lalu, baginda menyuruh mereka untuk bersama-sama mengangkatnya. Setelah mereka telah sampai di tempat perletakan Hajar Aswad, Rasulullah  mengambilnya dan meletakkannya di tempatnya semula. Inilah penyelesaian bijak yang diredhai oleh semua orang.
Sebahagian orang memberikan ramalan-ramalan terhadap apa yang berlaku akan datang, adakah perkara ini salah menurut agama?
Ramalan yang bersifat memberikan buah fikiran yang sesuai adalah sesuai jika diberikan oleh orang yang berpengalaman. Tetapi ia akan menjadi pincang apabila bertujuan ‘membawang’ sahaja.

Rasulullah  bergerak pantas bersama pasukannya untuk mendahului orang-orang Musyrik menuju ke sumber bekalan air di Badar, sekaligus menghalang mereka daripada menguasai sumber bekalan air. Pada sebelah petang, baginda sampai berdekatan dengan beberapa mata air Badar. Kemudian Hubab bin Mundzir berdiri, lalu bertanya, “Wahai Rasulullah , apa yang anda fikirkan tentang tempat ini, apakah ini merupakan wahyu yang diturunkan kepadamu sehingga kami tidak ada pilihan untuk ke hadapan atau ke belakang atau semata-mata adalah idea dan strategi peperangan?”

Rasulullah  menjawab,

بَلْ هُوَ الرَّأْيُ وَالْحَرْبُ وَالْمَكِيدَةُ

“Ini adalah idea, strategi dan muslihat peperangan.”

Kemudian Hubab berkata, “Wahai Rasulullah , sesungguhnya ini bukan tempat yang paling sesuai untuk dijadikan markas. Bawalah orang ramai berjalan sehingga kita sampai di mata air yang paling dekat dengan kawasan lawan. Kita dirikan markas di sana dan kita timbuskan mata air-mata air lain yang ada di belakangnya. Kemudian kita bina sebuah kolam di markas kita dan penuhkan kolam itu dengan air. Selepas itu kita perangi mereka. Kita boleh minum air daripada kolam yang ada, sedangkan mereka tidak dapat minum kerana tidak ada bekalan air.” Rasulullah  berkata, “Engkau telah menyumbangkan idea yang bagus.”

Rasulullah  segera membawa pasukannya berjalan, sehingga sampai di satu mata air yang berdekatan dengan kedudukan lawan. Baginda membina markas di situ pada sebahagian malam, kemudian membina kolam dan menimbus mata air-mata air yang lain.
Hari ini, semua orang mahu bercakap dan memberikan pandangan. Sebahagiannya memperlekehkan sesama Muslim atas ijtihad sebelum ini. Apakah nasihat ustaz terhadap hal ini?
Ijtihad adalah satu usaha yang dibuat atas penilaian berdasarkan kemampuan. Ijthad dilakukan kerana kita tidak tahu masa hadapan. Oleh itu, orang yang melakukan ijtihad akan mendapat pahala. Kesilapan di dalam melakukan ijtihad boleh berlaku, bahkan dalam beberapa isu – Nabi juga tersilap di dalam ijtihad. WallahuAlam.

Mencaci dan memaki serta memperlekehkan umat Islam bukanlah sifat seorang Muslim sebenar.



[1]   Sahih Bukhari (4376)
[2]   Fath al-bari (8/91)
[3]   Sahih al-Bukhari, bab tentang Nabi Muhammad mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar, jil I, hlm. 553.
[4]   Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 502-503.
[5]   Sahih al-Bukhari, jil I, hlm. 6, 9.
[6]   Diriwayatkan oleh Tirmizi, Ibnu Majah dan Darimy. Lihat Muhammad bin Abdullah al-Tabrizy, Misykah al-Mashabih, jil I, hlm. 168.
[7]   Diriwayatkan oleh Imam Muslim. Lihat Muhammad bin Abdullah al-Tabrizy, Misykah al-Mashabih, jil II, hlm. 422.
[8]   Sahih al-Bukhari, jil I, hlm. 61.
[9]   Sahih al-Bukhari, jil I, hlm. 61.