Jawapan saya: Tidak boleh (لا يجوز)

Ulasan:

(1) Secara umumnya, hukum solat berjemaah adalah sunat. Manakala hukum solat Jumaat pula adalah wajib.

Tetapi isu COVID19 yang telah menjadi pendemik, menunjukkan para ulama seluruh dunia bersepakat tentang kewajipan meninggalkan solat berjemaah dan Jumaat di Masjid.

(2) Meninggalkan solat berjemaah dan solat Jumaat sekarang ini adalah kerana Keuzuran yang Diterima Syarak.

Imam Al-Nawawī menjelaskan dalam kitab al-Majmū’ bahawa keuzuran menjadi sebab gugurnya solat berjemaah, sama ada solat tersebut solat sunat atau solat yang wajib:

(أما حكم المسألة) فقال أصحابنا : تسقط الجماعة بالأعذار سواء قلنا إنها سنة أم فرض كفاية أم فرض عين

Yang bermaksud: “(Ada pun mengenai hukum masalah ini) Maka sahabat-sahabat kami (iaitu ulama al-Safi’iyah) berkata: Solat berjemaah dikira gugur dengan keuzuran, tidak kira sama ada kita mengatakan itu solat sunat atau pun fardu kifayah atau pun fardu ain…”

(3) Meninggalkan solat jemaah atas sebab keuzuran akan mendapat ganjaran istimewa iaitu: Solatnya yang bersendirian itu akan diberikan pahala yang sama seperti dia solat berjemaah.

Ia bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW:

«إذَا مَرِضَ العَبْدُ، أوْ سَافَرَ، كُتِبَ له مِثْلُ ما كانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا»

Apabila seorang hamba itu sakit atau musafir, akan ditulis untuknya pahala yang sama sepertimana dia lakukan ketika tidak musafir lagi sihat.

Direkodkan oleh al-Bukhari

Muslim yang baik melihat ganjaran di sisi Tuhan, bukan kehendak nafsu dan emosinya.

[[ Imam Bertugas, Bilal dan Siak ]]

(1) Wajib bagi beberapa Imam bertugas, bilal dan siak untuk solat di Masjid atas arahan Raja di negeri masing-masing. Ia berdasarkan kaedah Fiqh:

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

Yang bermaksud: “Tindakan seorang ketua ke atas rakyat, berdasarkan kepada kemaslahatan.”

(2) Wajib bagi Imam, bilal dan siak untuk meninggalkan solat berjemaah di Masjid apabila sakit seperti demam, selsema dan batuk. Demikian juga apabila dia dikategorikan sebagai orang yang perlu dikuarantin.

[[ Solat Berjemaah di Rumah ]]

(1) Sunat meneruskan solat fardhu dan sunat berjemaah bersama ahli keluarga yang tidak ada isu kuarantin COVID19 di rumah.

(2) Sekiranya seseorang itu mempunyai risiko COVID19, maka dia wajib meninggalkan solat berjemaah sekalipun di rumah atau di tempat dia dikuarantinkan.

[[ Adab Solat Berjemaah ]]

(1) Apabila seseorang itu lengkap syarat yang mengharuskan dia solat berjemaah, maka dia wajib untuk mengikuti adab berjemaah.

(2) Apabila seseorang tidak mampu untuk mengikuti adab berjemaah, maka gugur keharusan untuk dia berjemaah.

(3) Adab utama berjemaah ialah merapatkan saf. Saf yang sempurna ialah dengan menempelkan bahu dan kaki sesama jemaah:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ((أَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ فَإِنِّي أَرَاكُمْ مِنْ وَرَاءِ ظَهْرِي)) وَكَانَ أَحَدُنَا يُلْزِقُ مَنْكِبَهُ بِمَنْكِبِ صَاحِبِهِ وَقَدَمَهُ بِقَدَمِهِ

Dari Anas bin Malik, dari Nabi SAW , baginda bersabda, “Luruskan saf-saf kamu, sesungguhnya aku melihat kamu dari belakangku!”. Anas bekata, “Setiap orang dari kami menempelkan bahunya dengan bahu saudaranya, dan menempelkan kakinya dengan kaki saudaranya”. [HR. Al-Bukhâri, no. 725]

Imam al-Bukhâri rahimahullah memasukkan hadits ini ke dalam bab:‘Menempelkan bahu dengan bahu, dan (menempelkan) kaki dengan kaki di dalam saf’.

Al-Hafizh Ibnu Hajar mengomentari bab ini dengan menyatakan.

الْمُرَاد بِذَلِكَ الْمُبَالَغَةُ فِي تَعْدِيلِ الصَّفّ وَسَدِّ خَلَلِهِ ، وَقَدْ وَرَدَ الْأَمْرُ بِسَدِّ خَلَل اَلصَّفّ وَالتَّرْغِيب فِيهِ فِي أَحَادِيثَ كَثِيرَةٍ

Yang dimaksudkan dengan hal itu adalah bersungguh-sungguh dalam melurukan saf dan menutupi celah-celahan. Perintah dan anjuran untuk menutupi celah saf itu ada dalam banyak hadits”. [Fathul Bâri, 3/77]

[[ Jarak 1 Meter? ]]

(1) Wabak berlaku sejak zaman berzaman. Bahkan sebahagian sahabat Nabi yang dijanjikan syurga seperti Abu Ubaidah al-Jarrah juga meninggal dunia kerana wabak (epidemik ).

Tetapi tidak disampaikan kepada kita bahawa para sahabat dan para ulama muktabar yang menyatakan keharusan menjarakkan diri dalam solat berjemaah pada musim wabak.

(2) Tiada dalil khusus ataupun umum yang mengharuskan untuk solat berjemaah dengan menjaga jarak 1 Meter. Maka, tidak boleh dilakukan solat berjemaah dengan cara berkenaan.

(3) Jarak 1 meter adalah lebih besar dari luas seekor kambing. Sedangkan keadaan kambing yang hampir tersepit itu adalah perumpamaan Nabi di dalam menyatakan bentuk syaitan memasuki saf yang tidak rapat.

Dari Anas bahwa Nabi SAW bersabda: “Rapatkanlah saf-saf kamu, dekatkanlah antara saf-saf, sejajarkanlah leher-leher. Demi (Allâh) Yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya aku melihat syaitan-syaitan masuk dari celah-celah saf seolah-olah seekor anak kambing”.

[HR. An-Nasâi, no. 815; Abu Dawud, no. 667. Hadits ini dinilai sahih oleh Al-Albani rahimahullah]

Jika kita ambil perumpamaan sama, maka kita boleh sebutkan:

“Apabila saf yang longgar dianggap seperti syaitan masuk seperti kambing, maka jarak 1 meter adalah seperti– syaitan masuk dengan penuh tenang seumpama lembu masuk kandang”:

WallahuAlam.

--------- Sebarang kritikan ilmiah serta soalan boleh dinyatakan diruangan komen.


Syihabudin Ahmad,
Sungai Buloh, Selangor.