الحمد لله، والصَّلاة والسَّلام على سيِّدنا رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، وبعد...

Asalnya, apabila seseorang muslim meninggal dunia – maka jenazahnya akan dimandikan, dikafankan serta disolatkan seperti biasa. Tetapi pada waktu tersebarnya wabak ini, serta wujudnya kebimbangan atas jangkitan,  yang telah dikenalpasti oleh bahagian perubatan pakar bahawa virus ini berpindah juga dari mayat yang telah dijangkiti.

Oleh itu terdapat satu kumpulan khas untuk memandikan, mengkafankan serta menguburkannya. Ia adalah sebagai langkah pencegahan. Khas pada isu ini, mewakilkan mereka untuk melaksanakan pemandian dan pengkafanan adalah lebih baik dan lebih utama. Sekalipun tidak diuruskan serta diserahkan kepada keluraganya untuk dimandikan dan dikafankan.

Ketika itu, cukup menyimbah air ke atas si mati serta mengalirkannya dengan apa sahaja cara yang sesuai tanpa digosok.  Dalam masa yang sama diwajibkan untuk mengambil segala langkah berjaga-jaga supaya penyakit si mati tidak berpindah kepada tukang mandi. Seperti mensterilkan bilik, memakai baju pelindung serta mengikuti semua SOP yang ditentukan pakar sebelum menguruskan pemandian. Ini bertujuan menghalang berpindahnya penyakit kepada sesiapa sahaja yang menyentuhnya.

Sekiranya tidak boleh mengalirkan air kerana bimbang berpindahnya jangkitan dengan jalan air yang disimbah kepada si mati, maka cukup ditayamumkan seperti tayamum untuk solat.
Sekiranya air  tidak boleh disampaikan kepada si mati, atau tidak boleh untuk menyentuhnya dengan tujuan tayamum, bahkan kain penutup tidak dapat menyentuh langsung kepada wajah dan kedua-dua tangan si mati kerana bimbang wabak serta cepatnya jangkitan, atau banyaknya orang yang mati – maka diangkat kesusahan (رفع الحرج) dalam hal ini lalu dikuburkan si mati tanpa perlu dimandikan atau ditayamum. Melindungi kepentingan orang hidup lebih utama daripada si mati.

Pun begitu, keadaan asal tidak berubah kepada keadaan sepertimana yang telah disebutkan melainkan berlakunya darurat dalam melaksanakan yang asal. Setiap perkara diambil atas kadarnya.

Sekiranya dibimbangi keluarnya cecair daripada jasad si mati, maka sangat penting untuk membungkus kafannya dengan penutup khas yang terbukti tidak mengalirkan cecair.
Semua perkara tersebut adalah bertepatan dengan Maqasid al-Syariyyah. Demikian juga, itulah yang ditunjukkan dalam syariat kita yang muktabar. Iaitu;

الضَّرورات تبيح المحظورات، والضَّرورة تُقدَّر بقدرها
Darurat mengharuskan yang terlarang – darurat diambil atas kadarnya sahaja.

Kita memohon supaya Allah mengangkat wabak dan bala daripada diri kita ini dengan kemuliaan-Nya;

{رَّبَّنَا اكْشِفْ عَنَّا الْعَذَابَ إِنَّا مُؤْمِنُونَ}
Tuhan kami menyingkap azab daripada kami. Kami ini orang-orang yang beriman.

Semoga Allah menjadikan setiap yang mati itu dikira sebagai syahid. Dan melindungi kami serta manusia seluruh dunia daripada kemudaratan yang berat ini. Allah-lah Tuhan yang Maha Baik serta Mulia. Yang Pengasih lagi Penyayang,

هذا؛ والله تعالى أعلى وأعلم.
وصلَّى الله وسلَّم على سيِّدنا ومولانا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين.
#Kibarulamaalazhar

Terjemahan oleh: Al-Azhar Al-Syarif Bahasa Malaysia