Jawapan: Tidak tepat.

Ulasan:

(1) Membela hak orang yang dizalimi adalah penting bagi menjaga kestabilan hak dan keadilan undang-undang. Ia bertepatan dengan hukum syarak dan nas-nas agama.

(2) Apabila seorang manusia telah dibunuh, maka tiada lagi perantaraan untuk mengetahui kehendaknya. Maka, kehendak itu diserahkan kepada keluarga si mati.

(3) Harus bagi waris si mati untuk memaafkan pembunuh.

(4) Memaafkan orang bukan membawa maksud membiarkan dia terus berada di dalam jenayah. Ia adalah sifat taqwa yang muncul dari jiwa seorang insan Muslim yang sudah dari asal dididik begitu.

(5) Imam Ibnu al-Qayyim menjelaskan,

فإذا أسلم القاتل نفسه طوعا إلى الولي، وندما وخوفا من الله، وتاب توبة نصوحا، سقط حق الله بالتوبة، وحق الأولياء بالاستيفاء أو الصلح، أو العفو، وبقي حق المقتول، يعوضه الله يوم القيامة، عن عبده التائب، ويصلح بينه وبينه

Apabila pembunuh menyerahkan dirinya kepada wali mangsa, dia menyesal dan takut kepada Allah, betul-betul bertaubat kepada Allah, maka hak Allah menjadi gugur dengan taubat. Hak wali gugur dengan dia menyerahkan diri, berdamai dan memaafkan. Tinggallah hak korban (al-Maqtul). Allah akan memberi ganti haknya pada hari kiamat, dari hamba-Nya yang bertaubat, dan Allah akan memperbaiki hubungan kedua-duanya.

(Dinukil dari Hasyiyah ar-Raudhul Murbi’, Abdurrahman Qosim, 7/165)

(6) Bagaimana pula ayat 45 surah al-Maidah?

Ayat berkenaan menjelaskan hukuman qisas – kemudian ia menjelaskan bahawa sesiapa yang memaafkan itu telah menyebabkan mendapat kaffarah - penebus dosa.

Ulama Tafsir terkemuka, Al-Baghawi menjelaskan tentang maksud ayat: فَمَن تَصَدَّقَ بِهِ فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَّهُ
Kata beliau:

يعني : إذا عفا المجني عليه عن الجاني فعفوه كفارة لذنب الجاني لا يؤاخذ به في الآخرة ، كما أن القصاص كفارة له ، فأما أجر العافي فعلى الله عز وجل ، قال الله تعالى : " فمن عفا وأصلح فأجره على الله " ( الشورى - 40 ) ، روي ذلك عن ابن عباس رضي الله عنهما ، وهو قول إبراهيم ومجاهد وزيد بن أسلم ،

Secara asasnya, dalam hukum, apabila seseorang terbukti membunuh; Waris mangsa akan diberikan 3 pilihan atas pertimbangan di mahkamah:

(1) Qisas - hukuman bunuh.
(2) Diyat - ganti rugi/ denda yang ditentukan mahkamah
(3) Memaafkan tanpa qisas atau diyat

Melepaskan pembunuh dari hukuman Qisas & Diyat adalah menjadi hak waris. Pun begitu, mahkamah tetap boleh mensabitkan hukuman ta`zir yang bersesuaian.

Sekalipun perbicaraan belum dimulakan, waris boleh memaafkan pembunuh secara umum. Tetapi ia tetap tidak melepaskan pembunuh untuk dibuat perbicaraan kemudiannya. Kerana seseorang tidak bersalah melainkan setelah dibuktikan.

WallahuAlam.