(Ditulis dengan kebenaran Isteri. Isteri saya GARANG!)

Hari ini, teringat kisah perjalanan saya mahu kahwin. Ia bermula tahun 2009, dan berakhir 2013 ketika berumur 23 tahun.

Saya pernah tulis kisah berkenaan di FB lama.Tetapi FB itu sudah hilang beberapa tahun lepas. Kerja abang Mark.

5 tahun mencari pasangan yang bersedia untuk menikahi diri ini. Ya, bukan mencari "pasangan yang sesuai" kerana dalam tempoh itu, saya menemui ramai yang saya rasa sesuai - tetapi,takdir mendahului.

Kumpul duit LE16,000 (Bersamaan RM 10,000 ketika itu) di bawah tilam kerana tekad nak kahwin. Hasil kerja freelancer editor syariah dan designer ketika sedang menuntut ilmu di Al-Azhar, Mesir.

Saya buat begitu kerana ayah saya selalu kata; "Hang ada duit, hang kawin la."

Saya betul-betul bertekad nak kahwin sebelum tamat belajar.
Tetapi, ceritanya tidaklah riang gembira.

Saya jumpa 7 orang dalam tempoh 5 tahun itu. 6 karakter yang hampir sama tetapi cabaran berbeza.

Menariknya, semua mereka ada kaitan dengan zaman sekolah menengah saya. Mungkin kerana sudah kenal sikit-sikit.

Mulanya, saya cari sendiri. Awal 2009, saya tahu dia suka saya, dan saya pun suka dia. Kakak sulung saya ingat - dia itulah jodoh saya kerana dia ada ketika saya di lapangan terbang sebelum bertolak ke Mesir.

Tetapi, bukan jodoh juga. Tahun 2010, dia berkahwin dengan orang yang lebih baik. Saya gembira kerana dia berkahwin dengan orang yang memang sesuai untuknya.

Saya terus belajar dan berusaha.

Saya mula bertanya khabar seorang sahabat lama yang ketika itu belajar di Mansourah. Seingat saya, hanya sekali bertemunya di Kaherah. Itu pun sebab hantar barang.

Tetapi bukan jodoh juga.

Saya buat proses mencari jodoh melalui laluan persatuan pelajar ketika itu. 2 orang menolak mentah-mentah tapi tak jadi masalah sebab saya hanya melihat profail mereka dan menjenguk sahaja. Tak pernah bertanya khabar. Belum wujud cinta =)

Tetapi, ada 1 orang lagi. Juga melalui jalan yang sama. Saya sudah suka dengannya, dan dia pun sudah suka dengan saya.

Wanita solehah, baik tutur bicara, menjaga pergaulan dan sangat sayang keluarganya. Semua keputusan dia taklukkan kepada bapanya.

Saya istikharah - lebih 3 hari bermimpi tentangnya.

Tetapi saya ingat pesan guru saya, "Mimpi wanita yang dikhitbah, belum tentu adalah tanda itu jodoh kita. Mungkin ia adalah tanda ANGAU."

Saya ikut cara "Taaruf" dengan keluarga yang disusun. Tetapi tidak berhasil. Beberapa kali bertemu dengan ibubapanya, tetapi mereka tak berikan apa-apa respon. Saya siap 'rasuah' dengan buku-buku yang saya tulis. Tapi tak jalan...

Responnya, tangguh dan tangguh. 1 tahun lebih saya menunggu jawapan.

2 kali saya balik ke Malaysia semata-mata mahu berjumpa keluarganya. Mahu mendapatkan kebenaran.

Akhirnya,

Saya fikir dengan hati yang waras dan terbuka sekalipun saya sangat-sangat cinta dengan wanita ini. Mungkin ibubapanya tidak berminat dengan saya. Atau, mereka sudah mempunyai pilihan yang lain, atau mereka belum izin anak perempuan mereka dinikahi dalam tempoh sedang belajar.

Saya fikir, mungkin ini adalah bahasa orang tua. Akhirnya, saya mengalah.

Padahal, wanita ini - saya sangat cinta ketika itu. Saya lakukan istikharah dan lihat pelbagai tanda. Akhirnya, saya matikan niat untuk berkahwin dengannya.

Saya terus mencari pasangan hidup. Saya mahu berkahwin. Betul-betul, mahu.  Saya faham, perkahwinan adalah tanda serius kita mencintai seseorang - hubungan tanpa perkahwinan adalah tidak halal dan menyanggahi agama.

Akhirnya, saya bertemu isteri saya sekarang ini. Ibu kepada 3 orang anak saya. Bukan ketika sedang belajar tetapi betul-betul telah tamat pengajian.

Alhamdulillah, Allah mudahkan perjalanan perkahwinan kami. Hanya 1 bulan mengenali keluarganya secara dekat, kemudian diizinkan untuk kahwin. Bulan 11 bertemu, 6 Disember kahwin!

Perkahwinan ini juga banyak ujiannya.

+ Duit saya habis kerana bisnes saya lingkup dan terpaksa buat bayaran hampir RM100k

+ Mas kahwin RM 300, bagi dekat mertua RM 500, beli baju, tudung dan kasut isteri RM 500. Itu sahaja.

Alhamdulillah! Akhirnya saya berkahwin. Dengan wanita yang solehah, pandai masak, dan melucukan =) Yang saya sangat cinta sebagai seorang isteri dan kekasih hidup.

Alhamdulillah,
Alhamdulillah,
Alhamdulillah!

Sahabat, kita tidak tahu dengan siapa yang kita akan dijodohkan. Tetapi kita perlu berusaha ke arah itu.

Walaupun kita sudah sangka, itu dan ini adalah jodoh kita. Tetapi yang sebenarnya adalah milik Allah.

Bagi yang belum berkahwin, teruskan usaha!

Tidak salah mencintai seseorang.
Tidak salah dicintai.
Tetapi, tindakan kita yang akan menentukan halal dan haram sesuatu percintaan.

Sahabat,

Ini hanyalah perkongsian kisah hidup yang sering saya tulis di blog sejak 2009. Semoga ada pengajaran yang dapat diperolehi.

P/s: Sebenarnya ada 1 lagi kisah - tetapi, yang tu lagi panjang. InsyaAllah sembang kemudian. Kena mintak lesen isteri dulu. Hahaha isteri saya menakutkan!!

----



Syihabudin Ahmad Md Yatim
www.ustazusa.com

#kisahkahwin #covid19 #pkp