1- Fadhilat ialah istilah bahasa arab bermaksud, kelebihan. Juga bermaksud: nikmat yang besar. [Mausuah Fiqhiyyah,150, jil 32]

2- Fadhilat yang berupa nikmat, jauh dari azab, kelapangan rezeki, diampunkan dosa dan sebagainya ialah milik mutlak Allah.

Tiada sesiapapun yang boleh memberikan fadhilat sesuatu melainkan ia benar-benar dari Allah.

Selepas salam, Nabi ajarkan kita untuk berzikir:

 لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ ، وَلَا نَعْبُدُ إِلَّا إِيَّاهُ ، لَهُ النِّعْمَةُ وَلَهُ الْفَضْلُ ، وَلَهُ الثَّنَاءُ الْحَسَنُ ،

Tiada tuhan yang layak disembah selain Allah, demikian pula kami tidak beribadat melainkan hanya kepada Allah. Milik Allah-lah segala nikmat, milik Allah-lah segala fadhilat (kelebihan), milik Allah-lah segala puji-pujian yang baik...

(Direkod oleh Muslim di dalam Sahih)

3- Rasulullah TIADA KELAYAKAN memberikan fadilat tentang sesuatu perbuatan. Kerana BELIAU BUKAN PEMILIK fadhilat-fadhilat itu.

4- Rasulullah hanya berperanan MENYAMPAIKAN fadhilat tentang sesuatu perkara kerana beliau menerima wahyu Allah yang menyatakan hal itu. Oleh itu, beliau disebut sebagai RASUL (UTUSAN).

5- Tiada satu amalanpun yang Nabi Muhammad ciptakan sendiri kemudian beliau berkata bahawa sesiapa melakukan ini maka dia akan mendapat ini. Melainkan amalan berkenaan adalah benar-benar diambil daripada perintah Allah.

Sehingga, kita dapati sebahagian amalan diisebutkan keagungan fadilatnya, sebahagian yang lain tidak.

6- Anak murid Nabi iaitu para sahabat baginda JUGA tiada kelayakan menyampaikan fadhilat melainkan apa yang mereka dengar daripada Nabi Muhammad SAW.

7- Anak murid sahabah iaitu Tabiin  JUGA tiada kelayakan menyampaikan fadhilat melainkan apa yang mereka dengar daripada sahabat Nabi, dan sahabat itu dengar daripada Nabi Muhammad SAW.

8- Anak murid Tabiin iaitu Tabi` Tabiin JUGA tiada kelayakan menyampaikan fadhilat melainkan apa yang mereka dengar daripada Tabiin, dan tabiin itu dengar daripada sahabat Nabi, dan sahabat itu dengar daripada Nabi Muhammad SAW.

9- Anak murid kepada anak murid kepada anak murid kepada anak murid kepada anak murid... yang kita gelarkan ulama itu  JUGA tiada kelayakan menyampaikan fadhilat melainkan apa yang mereka dengar daripada Tabiin, Tabi` Tabiin dan sahabat
 Nabi, dan sahabat itu dengar daripada Nabi Muhammad SAW.

10- Fungsi utusan sangat pengting kerana hanya dia diberi kelayakan oleh Allah untuk menyampaikan tentang kelebihan sesuatu amalan.

11- Oleh itu, setiap fadhilat yang disebutkan oleh ulama hendaklah dirujuk rangkaian sanadnya. Adakah ia sampai kepada Rasulullah? Jika tidak, maka fadhilat itu tidak terpakai.

12- Sebahagian amalan itu adalah baik kerana mengajar untuk berzikir dan berdoa. Bahkan, sebahagiannya telah diajarkan dan disebutkan dalam hadis-hadis yang sahih. Tetapi, kelebihan amalan yang tidak disandar kepada Rasulullah SAW itu telah merosakkannya.

WallahuAlam.

Syihabudin Ahmad,
Sungai Buloh.
8 April 2020, 14 Sya`ban 1441H