Soalan: Apa hukum solat tarawih sambil melihat telefon kerana membaca al Quran dari aplikasi?

Jawapan: Harus. Tapi pastikan internet dimatikan.

Ulasan:

(1) Perbuatan yang paling baik ialah seseorang imam hanya membaca ayat al-Quran yang dia hafal tanpa memegang atau melihat mushaf atau aplikasi telefon.

(2) Tiada larangan untuk membaca al-Quran sambil melihat mushaf menurut Mazhab al Syafii dan Hanbali. Pandangan sedikit berbeza dalam mazhab yang lain.

Imam al Nawawi berkata:

لو قَرَأ القرآن من المُصحف لم تبطُل صلاته سواء كان يحفظه أم لا، بل يجب عليه ذلك إذا لم يحفظ الفاتحة كما سبق، ولو قلّب أوراقه أحياناً في صلاته لم تبطل).

Sekiranya ia membaca al Quran daripada mushaf, tidak batal solatnya. Sama ada dia menghafal ayat itu atau tidak. Bahkan menjadi wajib pula untuk melihat mushaf sekiranya dia tidak menghafal al-Fatihah. Sekalipun dia membolak balikkan halaman sekali sekali dalam solatnya, tetap tidak membatalkan solat.

{Rujuk al Nawawi di dalam al Majmu'}

(3) Jari yang bergerak menukar-nukar halaman adalah tidak makruh kerana ia bersifat pergerakan kecil.

(4) Membaca al Quran dari mushaf atau aplikasi telefon sama sahaja hukumnya. Melainkan aplikasi telefon hanya mengambil hukum mushaf apabila diaktifkan.

(5) Matikan internet dan panggilan masuk atau seumpamanya kerana ia akan menghalang khusyuk dalam solat.

(6) Keharusan ini terbuka kepada imam atau makmum.

WallahuAlam.

---
Syihabudin Ahmad,
www.ustazusa.com