Soalan: Isteri yang tidak menerima nafkah dari suami secara tetap, tidak tinggal serumah dan hanya menghubungi melalui media whatsapp - adakah harus membayar zakat fitrah bagi dirinya sendiri?

Jawapan: Harus. 

Ulasan:

(1) Zakat fitrah tidak sama dengan zakat-zakat yang lain. Ia diwajibkan kepada semua umat Islam.

Abdullah bin Umar berkata:

أنَّ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الفِطْرِ مِن رَمَضَانَ علَى كُلِّ نَفْسٍ مِنَ المُسْلِمِينَ حُرٍّ، أَوْ عَبْدٍ، أَوْ رَجُلٍ، أَوِ امْرَأَةٍ، صَغِيرٍ، أَوْ كَبِيرٍ صَاعًا مِن تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِن شَعِيرٍ.

Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadhan kepada semuat umat Islam. Sama ada merdeka, hamba, lelaki, wanita, kanak-kanak atau dewasa. Kadarnya ialah satu gantang kurma atau satu gantang gandum.

[Direkod oleh Muslim di dalam Sahih]

(2) Seseorang yang menyangka bahawa dia tidak ada makan dan minum pada hari raya Aidilfitri, maka tiada kewajipan zakat fitrah kepadanya. Orang ini adalah kumpulan yang akan diraikan oleh zakat fitrah. Merekalah penerima zakat fitrah.

(3) Dalam mazhab al-Syafii - seorang lelaki mestilah mengeluarkan zakat untuk dirinya sendiri, isterinya, anak-anaknya serta siapa sahaja yang berada di bawah tanggungan nafkahnya.

Bahkan, isteri yang berada dalam tempoh iddah cerai juga wajib ditunaikan zakat fitrah oleh suami.

 Ini adalah berdasarkan kaedah:

كُلُّ مَن تَلْزَمُهُ نَفْقَةُ غَيْرِهِ تَلْزَمُهُ فِطْرَتُهُ

“Setiap yang diwajibkan kepadanya untuk diberikan nafkah, diwajibkan kepadanya untuk membayar zakat fitrah bagi mereka” Rujuk Taqrirat al-Sadidah - Qism Ibadah (Hal. 419).

(4) Sekiranya isteri mendapati suaminya berkemungkinan tidak akan membayar zakat fitrah untuknya sepertimana dia dapati suaminya tidak memberikan nafkah untuk dirinya - maka harus bagi wanita berkenaan membayar zakat fitrah untuk dirinya sendiri dan anak-anaknya.

Dia melakukannya atas isu sedekah sahaja.

Sepertimana kebanyakkan isteri yang ke pasar membeli barang keperluan dapur tanpa memberatkan suami dengan hal itu. Padahal, kewajipan barang dapur adalah pada suami. Tetapi isteri bersedekah dalam hal berkenaan.

Demikianlah kompromi dalam perkahwinan.

Dalilnya adalah kisah di bawah.

(5) Satu hari, Rasulullah bersabda: "Wahai kaum wanita, banyakkanlah bersedekah sekalipun dengan perhiasankalian." Lalu beberapa waktu, dua orang wanita pergi ke rumah Rasulullah untuk bertanya tentang hukum mereka bersedekah untuk suami mereka. Lalu rasulullah menjawab:

لهما أجْرانِ: أجْرُ القَرابَةِ، وأَجْرُ الصَّدَقَةِ

Mereka berdua akan mendapat dua pahala. Pertama, pahala membantu kerabat, dan kedua pahala sedekah.

(Ini adalah ringkasan hadis yang panjang di dalam Sahih Muslim. Ia adalah hadis sahih)

Info: Al-Sadaqah di dalam bahasa arab boleh membawa maksud sedekah sunat dan sedekah wajib (zakat).

WallahuA`lam.

---------- Perbincangan dan teguran ilmiah boleh dinyatakan di ruang komen di bawah.

-----------
Syihabudin Ahmad,
www.ustazusa.com