Dapat berita dukacita hari ini. Ibu tiri saya dalam kritikal akibat jantung. Jantungnya berhenti sekejap, tetapi alhamdulillah kembali normal setelah dibuat CPR dua kali. Sekarang telah dipindahkan ke wad.

Alhamdulillah.

Sahabat,

Saya tidak pernah bercerita tentang ibu tiri saya yang ini, sama ada di blog atau di facebook.

Paling akhir, saya hanya update, "Ayahku kahwin lagi!" Di Facebook. Tapi facebook berkeaan telah dipadam oleh abang Mark.

Tiada sebab lain saya tidak bercerita melainkan kerana sedikitnya pergaulan saya dengannya.

Beliau berkahwin dengan ayah saya ketika saya masih belajar di Mesir.

Bahkan, apabila isteri saya tanya tentang beliau, saya akan jawab, "Pengetahuan kita sama! Tiada beza sikitpun."

Tetapi, apa yang begitu mendamaikan jiwa saya apabila beliaulah yang menjadi penenang hati ayah saya. Seorang lelaki tua yang kehilangan isteri keduanya. Isteri yang begitu beliau cintai.

Apabila sebut nama ibuku, ayah pasti kelihatan sugul dan sedih. Matanya pasti berkaca.

Bahkan... Antara yang paling aku ingat..

Pada 2 Syawal tahun 1436H, ayahku telah meriwayatkan daripada ibuku bahawa beliau berkata: "Aku kerja ni cuma nak bagi anak-anak aku belajar." Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika menunggu kepulangan anak sulungnya pada 19 Sya`ban 1432H setelah berjaya membuktikan ucapannya.

Ayah sangat ingat apa yang disebut oleh ibuku. Demikian kasih yang tidak dapat ditukar.

Setiap hari Jumaat, ayah akan ke kubur ibu dan membersihkan kawasan itu. Itu aktiviti rutinnya sehingga hari ini.

Luluh perasaan kami sekeluarga apabila memikirkan hal ini. Sehingga sampai satu waktu, ayah kelihatan begitu sedih - sangat sedih!

Kemudian, abang saya bertanya, "Jika dapat jodoh lagi, ayah nak kahwin tak?" Ayah kata, Mahu. Maka, abang pun carilah pasangan untuk ayah.

Kami sekeluarga sepakat bahawa, perkahwinan ini adalah bagi membahagian hati dan membantu ayah.

Akhirnya ayah dijodohkan dan berkahwin dengan seorang janda beranak 3. Alhamdulillah, seorang guru sekolah rendah.

Alhamdulillah, itulah yang berlaku.

Mula-mula ayah kerap ke Johor dalam umurnya begitu lanjut. Bertemu dan tinggal bersama isterinya.

Tetapi apabila kudrat lelaki tua yang lebih 80 tahun ini sudah tidak mampu, dia maklumkan, "Aku nak mati di kampung." Lalu ayah terus tinggal di Kampung Pulau Ketam, berhampiran dengan maqam ibuku.

Walaupun, ayah tetap tidak dapat meninggalkan Kampung Pulau Ketam dan berhijrah ke Johor, kasih ayah kepada ibu tiriku, tetap membunga. Demikian juga di sisi beliau.

Ia sangat kelihatan di dalam setiap perbualan mereka.

Setelah ibu tiriku pencen hujung tahun lepas, dia terus menemani ayah di kampung. Walaupun saya tahu, dia lebih suka rumahnya di Johor tetapi seorang isteri adalah seorang isteri.

Sentiasa mahu membahagiakan suaminya. Demikian jugalah yang saya belajar dari isteriku Mimi Zaty.

Begitu gembira ayahku, ada kekasih menemaninya. Alhamdulillah, kami turut bergembira.

Kini, kekasih ayahku itu sedang sakit.

Adikku Huzaifah hantar video... Katanya, ayah okey. Tapi sangat kelihatan, ketidak selesaannya. Baringnya tidak menentu... Mungkin memikirkan kekasih yang sedang diuji.

Ya Allah, permudahkanlah urusan ibu tiriku. Sembuhkanlah dia sehingga terubat lukanya serta luka di hati anak dan suaminya.

AllahummaAmin...

----
Syihabudin Ahmad,
Anak.