Ini pengalaman saya. Mungkin juga dikongsi bersama. Atau, saya sahaja yang melaluinya. 

Setiap hari guru, saya pasti bercita-cita nak bagi hadiah kepada cikgu. Sangat tinggi cita-cita saya itu. Dari darjah 1 hingga tingkatan 5. 

Tapi saya ada 1 masalah besar dalam diri saya. Iaitu, saya malu. Sangat malu. 

Ya, dari kecil, saya memang suka volunteer diri, masuk debat, public speaking, perkhemahan dan sebagainya. 

Tapi, apabila sampai bab nak berurusan terus dengan seseorang, saya malu. Bahkan urusan pembelian barang di kedai pun saya malu. Isteri saya yang banyak membantu. 

Orang kata, "Malu tak bertempat". 

Itulah sikap saya. Ada tempat yang macam tak malu langsung, ada yang malu entah apa-apa.

Dari sekolah rendah, saya tak pernah beli hadiah hari guru. Ya, jujur - saya tak mampu membeli. 

Tapi saya gunakan apa yang ada sahaja untuk dibalut dengan kertas surat khabar. 

Setiap tahun, saya akan ambil sabun, pen, buku, pemadam, buku tulis dan sebagainya untuk dibalut. 

Saya balut dan berniat untuk hadiahkan pada hari guru esoknya. Saya sudah ada list setiap guru yang mengajar saya.

Tapi... Tak pernah sekalipun saya serahkan... Sebab... Saya lihat kawan-kawan saya berikan hadiah hebat-hebat... Ada jam tangan, frame besar, pen mahal exclusive, tie dan lain-lain. 

Hadiah saya pula... Yang first hand hanya Sabun atu syampoo SunSilk paket. Yang lain, semuanya second hand. Telah digunakan. 

Perlahan-lahan, saya sembunyikan hadiah yang mahu diberi... Saya betul-betul ikhlas nak bagi... Tapi, saya malu dengan nilai barang yang mahu diberikan... Apatah lagi, bungkusan hanya kertas surat khabar. 

Luar low class,
Dalam juga low class.

Ada kawan saya yang paling tak pandai pun, bagi hadiah kat cikgu dengan kertas warna warni....

Saya nak beli kertas warna pun tak ada duit...

Saya malu... Jadi, saya tak serahkan.

Masa Tingkatan 1 di Johor, kami belajar Antologi Cerpen dari buku Sehijau Warna Daun. Ada kisah "Hadiah Hari Guru" antara Ramli, pelajar miskin dan cikgu Fatimah. 

Ramli berikan hadiah pucuk paku kepada cikgunya, kerana itu sahaja yang dia ada. Maknya ibu tunggal hidup dalam keadaan yang sangat sederhana. Tak mampu berikan apa-apa. 

Sebenarnya, ia bukan kisah yang sengaja dibuat-buat. 

Ia berlaku dalam kehidupan sebenar. 

Cuma, tak semua menghadapinya. 
Tetapi kami merasainya. 

Para guru.
Terima kasih kerana dengan penuh ikhlas mendidik kami! 

Walaupun, saya tak pernah berikan apa-apa hadiah hari guru. Tetapi saya berharap, khidmat pada agama dengan ilmu yang saya buat hari ini akan memberikan manfaat besar kepada guru-guru saya di dunia dan akhirat. 

Saya tak mungkin dapat mengira, menulis, dan membaca jika tidak dengan bantuan mereka.

Terima kasih cikgu...

#hariguru

----
Syihabudin Ahmad,
Si Tukang Cetak Buku.