Sejak akhir-akhir ini kita dihidangkan dengan pelbagai cerita-cerita karut tentang Nabi Khidhir. Sehingga ada ustaz seperti Ustaz Muhaizad yang mendakwa Khadhir masih hidup kerana minum air kekal abadi. Ustaz Zainul Asri pula mendakwa boleh menyeru Balya ibn Mulkan – iaitu nama sebenar Nabi Khadhir ketika kesusahan. Beliau juga mendakwa Khadhir bertemu dengan budak yang lebih tinggi kewalian daripadanya. Bahkan Ustaz Zainul Asri mengajar cara selawat Nabi Khidhir yang palsu dan tidak ada sandaran dalam nas-nas agama.  

Dakwaan-dakwaan ini timbul akibat rasa taksub dan percaya bahawa Khadhir masih hidup dan terus kekal hidup sehingga hari kiamat. 

Saya sebenarnya, jika sekadar mengambil pendapat bahawa beliau masih hidup atas alasan ada ulama yang mengatakan ia masih hidup, saya masih tiada sebarang masalah. 

Memang benar ada ulama yang mengatakan begitu. Terutamanya mereka yang bertarikat dengan tarikat-tarikat Sufi. Anda boleh dengar pendapat ini daripada Syaikh Ali Jumuah al-Syazili, Dr. Yusri al-Syazili dan sebagainya. 

Tetapi malangnya, dakwaan Khadhir masih hidup ini disertai dengan pelbagai dakwaan-dakwaan khurafat yang pelik-pelik. Bahkan para Sufi mendakwa Khadhir yang merupakan seorang wali adalah lebih baik daripada Nabi Musa sepertimana kenyataan daripada Ibn Arabi. Kemudian mereka mendakwa Khadhir mengajarkan kepada mereka amalan yang bercanggah dengan agama, bahkan mengamalkan ajaran itu melebihi ajaran Nabi Muhammad SAW. 

Dalam video hari ini, insyaAllah kita akan kupas tentang isu – benarkah Nabi Khadhir masih hidup? 

Jika anda pandai bahasa Arab, saya cadangkan sangat-sangat anda baca buku tulisan Al-Imam Ibn Hajar Al-`Asqalany berjudul: Az-Zahru Nadhir fi Halil Khadhir. Ia mengupas pelbagai sanad, matan dan pandangan para ulama berkaitan isu ini. Ditulis oleh ulama besar yang tidak dipertikaian kredibialitinya. 

Tak tau nak beli kat mana, download saja. Kalau nak saya cetakkan, whatsapp tim saya – Si Tukang Cetak. InsyaAllah kami boleh bantu tukar PDF kepada buku bercetak. 

Tapi jika anda tak pandai bahasa Arab, atau masih lagi beginner, saya cadangkan buku Terjemahan Al-Manar al-Munif fi Sahih wal-Dhaif tulisan Imam Ibn Qayyim. Buku dalam bahasa Melayu Malaysia. Anda klik description, link ada di situ. Beli di Shopee terus. Dengan pelaburan RM 35 sahaja, anda dapat manfaat ilmu yang sangat berganda dalam isu ini.  

Jom sama-sama kita kutip manfaat ilmu. 

Sebelum masuk kepada hujah. Saya nak jelaskan tentang hadis. 

Daripada sudut HADIS. Semua hadis yang menyebutkan al-Khadhir masih hidup adalah hadis-hadis tidak sahih, munkar, batil bahkan palsu. 

Antaranya: 

إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ فِي الْمَسْجِدِ فَسَمِعَ كَلامًالامًا مِنْ وَرَائِهِ فَذَهَبُوا ينظرون فإذا هو الخضر 

“Rasulullah berada di dalam Masjid Nabawi, kemudian baginda mendengar suara daripada belakangnya. Lalu para sahabat menghampiri suara tersebut dan melihat orang yang mengucapkannya. Rupa-rupanya ia adalah suara Khadhir.”

Imam Ibn Hajar di dalam Fathul Bari dan Al-Baihaqi di dalam Dalail al-Nubuwah mengatakan Dhaif. Manakala Ibn Jauzi di dalam al-Maudhua`t mengkhususkan kedhaifan itu dengan mengatakan ia adalah hadis yang Batil/Palsu. Demikian juga Ibn Qayyim di dalam al-Manarul Munif menyatakan ia adalah pembohongan. 

Hadis lain:

يَلْتَقِي الْخَضِرُ وَإِلْيَاسُ كُلَّ عام 

“Khadhir dan Ilyas bertemu pada setiap tahun.”

Imam Ibn Hajar di dalam al-Isabah dan Al-Zuhrun Nadhar mengatakan: Isnadnya sangat wahin, maksudnya tidak sahih.  Ibn `Adi di dalam al-Kamil, Ibn al-Qaisarani di dalam Zakhiratul Huffaz, Al-Sakhawi di dalam Al-Maqasidul Hasanah, dan Al-Zahabi di dalam Mizan al-`Itidal bersepakat bahawa ia adalah hadis yang Munkar. Mulla Alli al-Qari mengatakan: Tidak ada sumber asal padanya atau sumber asalnya adalah palsu. 

Hadis lain:

يَجْتَمِعُ بِعَرَفَةَ جِبْرِيلُ وَمِيكَائِيلُ والخضر 

“Jibril, Mikail dan al-Khadhir berkumpul di Arafah...”

Imam Al-Zahabi di dalam Tartib al-Maudhu`at mengatakan: Pada sanadnya ramai perawi yang tidak dikenali. Terdapat juga perawi yang munkar. Ibn Jauzi di dalam al-Maudhu`at mengatakan: Hadis ini Batil. Ibn Kathir di dalam Bidayah wa Nihayah mengatakan: Palsu.

Jadi, kesimpulannya: Semua hadis-hadis yang menyebut Khadhir masih hidup adalah tidak sahih, munkar, batil bahkan palsu.

Abu al-Farj Ibnu al-Jauzi berkata: Dalil yang menunjukkan al-Khadhir tidak kekal di dunia ini ialah al-Quran, as-Sunnah, ijmak daripada para ulama muktabar dan akal yang waras.

Oleh itu, mari kita semak keempat-empat penghujahan ini. 

Pertama: Dalil Al-Quran Di dalam ayat 34, Surah al-Anbiya’ Allah berfirman: 

وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍ مِنْ قَبْلِكَ الْخُلْدَ أَفَإِنْ مِتَّ فَهُمُ الْخَالِدُونَ

“Kami tidak menjadikan seorangpun manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya?”

(Al-Anbiya’: 34)

Jelas daripada dalil al-Quran ini menunjukkan jika al-Khadhir masih hidup bererti dia kekal. Sedangkan ayat itu mengatakan, yang paling utama untuk hidup ialah Nabi Muhammad SAW. Tetapi Nabi Muhammad pun meninggal dunia. Baginda juga wafat. Bagaimana orang yang lebih rendah martabatnya daripada Nabi Muhammad akan terus kekal hidup? 

Dalam ayat itu juga, sudah dijelaskan bahawa Allah tidak menciptakan manusia yang dapat hidup kekal. Nabi Isa sendiri tidak hidup kekal. Bahkan umurnya disekat oleh Allah Azza Wajalla dengan diangkat ke langit. Baginda hidup sehingga hari ini dengan cara dan keadaan yang hanya Allah Taala yang mengetahuinya. 

Tetapi sudah pasti cara hidupnya tidak seperti manusia biasa melainkan setelah dia diturunkan semula ke bumi. 

Apabila baginda telah berada di bumi, baginda akan meneruskan umurnya serta menjalani kehidupan. Sehinggalah pada akhirnya baginda akan membunuh Dajal dan meninggal dunia tak berapa setelah itu. Ya, seperti manusia biasa. 

Kedua: Daripada sudut hadis pula, Nabi Muhammad SAW bersabda pada tahun-tahun akhir hidup baginda, 

مَا ‌مِنْ ‌نَفْسٍ ‌مَنْفُوسَةٍ الْيَوْمَ، تَأْتِي عَلَيْهَا مِائَةُ سَنَةٍ، وَهِيَ حَيَّةٌ يَوْمَئِذٍ

“Tidak ada satu jiwapun yang akan masih bernafas pada hari ini, iaitu yang datang kepadanya 100 tahun dan dia masih hidup ketika itu.”

Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim. 

Daripada hadis ini juga jelas bahawa tidak ada yang masih hidup selama 100 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW. Maka, Khadhir juga tidak mungkin boleh hidup lagi. 

Ketiga: Daripada Sudut Ijmak pula:  

Imam Ahmad bin Hanbal pernah ditanya: 

Adakah al-Khadhir dan Ilyas dipanjangkan umur dan masih hidup? Lalu dia menjawab: “Sesiapa yang dibuka padanya akan hal-hal ghaib tetapi tidak berlaku adil padanya, maka dia tidak menemui isu ini daripada kalangan manusia melainkan didapati daripada syaitan.”

Imam Bukhari, Abu Hussain al-Munadi, Syarafuddin Abu Abdullah al-Mursi, Abu Tahir al-`Abadi, Abu Ya`la al-Hanbali, Abu Fasal bin Nasir, Abu Bakar bin Al-Arabi, Abu Bakar al-Naqassy dan selain mereka mengatakan bahawa Al-Khadir telah wafat. Beliau telah meninggal dunia. Bahkan Ibnu al-Munadi mencela sesiapa yang mengatakan al-Khadhir masih hidup.

Imam al-Bukhari ditanya adakah al-Khadir dan Ilyas masih hidup? Maka beliau menjawab, 

“Bagaimana mereka masih hidup sedangkan Nabi ﷺ bersabda, 

لا يَبْقَى عَلَى رَأْسِ مئة سَنَةٍ مِمَّنْ هُوَ الْيَوْمِ عَلَى ظَهْرِ الأَرْضِ أَحَدٌ

“Orang-orang yang hidup di atas muka bumi pada hari ini tidak akan (mampu) hidup lagi sehingga 100 tahun akan datang.”

Hadis ini Sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim di dalam kitab Sahih mereka berdua. 

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah apabila ditanya mengenai hal ini, beliau menjawab: 

“Jika al-Khadhir masih hidup, wajib ke atasnya berjumpa Nabi ﷺ, berjihad bersama baginda ﷺ dan menuntut ilmu daripada baginda ﷺ. Nabi Muhammad ﷺ bersabda pada hari Perang Badar:

اللَّهُمَّ إِنْ تُهْلَكْ هَذِهِ الْعِصَابَةُ لا تُعْبَدْ فِي الأَرْضِ

“Ya Allah, jika Engkau musnahkan kumpulan ini, Engkau tidak akan disembah lagi di muka bumi ini”.

Kata Ibn Taimiyyah: Ketika itu terdapat 313 lelaki yang dikenali nama mereka, nama bapa mereka, dan nama kabilah-kabilah mereka. Oleh itu, di mana al-Khadhir ketika itu?”

Dimana nama Balya ibn Mulkan? 

Al-Qadhi Abu Ya’la mengambil riwayat daripada para pendokong (asbab) mazhab Ahmad yang menceritakan bahawa al-Khadhir telah mati. Sebahagian ahli ilmu menyatakan, Imam Ahmad berhujah jika al-Khadhir masih hidup, wajib ke atasnya datang kepada Nabi.

Imam Ahmad berkata dengan sanadnya daripada Jabir bin ‘Abdullah, Rasulullah ﷺ bersabda,

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ أَنَّ مُوسَى كَانَ حَيًّا مَا وَسِعَهُ إِلا أَنْ يَتْبَعَننِي

“Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya. Jika sesungguhnya Musa masih hidup, tidak ada pilihan baginya melainkan menjadi pengikutku.”

Bagaimana al-Khadhir masih hidup sedangkan dia tidak pernah solat Jumaat bersama Rasulullah ﷺ, solat jemaah dan berjihad bersama baginda ﷺ? Tahukah kamu bahawa Nabi Isa apabila turun ke bumi akan solat di belakang imam umat ini? Nabi Isa tidak akan ke hadapan menjadi imam kerana tidak mahu kecelaruan dalam kenabian nabi kita Muhammad ﷺ.

Abu al-Farj Ibn Jauzi berkata: “Orang yang tetap menyatakan bahawa al-Khadhir masih hidup ialah orang yang jauh kefahamannya dan berpaling daripada syariat.”

Demikianlah pandangan para ulama berkaitan hal ini. Sehingga Ibn Jauzi mengatakan bahawa ia Ijma`. 

Kemudian, hujah yang terakhir. Iaitu hujah Akal. 

Terdapat lapan dalil dari aspek logik akal sepertimana yang disebutkan oleh Ibn Qayyim di dalam kitabnya al-Manarul Munif. Saya akan sebutkan satu persatu. 

(1) Orang yang berpendapat bahawa al-Khadhir masih hidup mengatakan bahawa al-Khadhir ialah anak kandung Nabi Adam. Pendapat ini tidak benar atas dua sebab:

Pertama: Umur al-Khadhir kini telah lebih 7,000 tahun. Umur sebanyak ini menjangkaui daripada adat manusia.

Kedua: Jika benar al-Khadhir ialah anak Nabi Adam a.s. atau anak keempat daripada anak-anak Adam (menurut sangkaan mereka), dan dia adalah salah seorang menteri Zulqarnain. Sudah tentu al-Khadhir tidak memiliki susuk tubuh seperti kita malah memiliki tubuh badan yang tinggi dan lebar sepertimana layaknya orang ketika itu.

Ini jelas daripada hadis Nabi Muhammad SAW:

خَلَقَ اللَّهُ آدَمَ طُولُهُ سُتُونَ ذِرَاعًا فَلَمْ يَزَلُ الْخَلْقُ يَنْقُصُ بَعْدُ

“Allah menciptakan Adam setinggi 60 hasta. Kemudian, setelah Adam, tubuh manusia semakin menyusut.”

Hadis ini Sahih diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Kitab Sahihnya. 

Jom kita kira: 1 hasta = 45.72 cm. Darab dengan 60 maka: 2743.2 cm atau 27.432 meter. Hampir mencapai 30 meter.

Dalam Guinness World Records manusia tertinggi ialah Robert Wadlow dari US. Tinggi dia ialah 272cm. Lebih kurang 3 pembaris sekolah warna kuning. Tapi yang tidak direkod oleh Guinness World Records ialah ada manusia yang 10 kali ganda lebih tinggi daripada Robert Wadlow iaitu Nabi Adam dan orang yang berada pada zamannya.

Jadi, jika tinggi Nabi Adam ialah 30 hasta, maka orang pada zamannya juga pasti berada pada ketinggian yang sama atau hampir sama. 

Pun begitu, Tidak ada seorang pun yang pernah menceritakan bahawa mereka telah melihat al-Khadhir memiliki tubuh yang besar sedangkan dia adalah umat manusia yang awal. 

(2) Jika al-Khadhir masih hidup sebelum Nabi Nuh sudah tentu al-Khadhir akan turut serta menaiki bahteranya. Namun, tiada seorang pun yang menceritakan akan hal ini.

(3) Para ulama bersepakat bahawa setelah kaum Nabi Nuh turun dari bahtera setelah berlabuh, mereka mendapati kesemua yang bersama mereka dan keturunan mereka telah mati malah tidak tinggal walau satupun kecuali keturunan Nabi Nuh. Kata-kata ini berasaskan firman Allah SWT, 

وَجَعَلْنَا ذُرِّيَّتَهُ هُمُ الْبَاقِينَ

“Dan Kami jadikan zuriat keturunannya sahaja yang tinggal hidup (setelah Kami binasakan kaumnya yang ingkar).”

(As-Saffat: 77)

Dalil ini jelas menolak pendapat yang mengatakan al-Khadhir hidup sebelum Nabi Nuh a.s..

(4) Jika benar terdapat keturunan Nabi Adam yang masih hidup sejak lahir hingga akhir zaman, malah lahir sebelum zaman Nabi Nuh, sudah tentu ini bukti keajaiban dan bukti agung akan sifat rububiyyah (ketuhanan) Allah dan disebut di dalam al-Quran. 

Allah telah menyebut kisah orang yang diberi umur 950 tahun di dalam surah al-`Ankabut ayat 14. Ia menjadi bukti kebesaran Allah. Oleh itu, bagaimana orang yang hidup sepanjang zaman tidak disebut di dalam al-Quran? 

Sebab itulah ahli ilmu seperti Imam Ahmad menyimpulkan bahawa tidak ada sesiapa yang menceritakan kisah ini melainkan datang daripada syaitan.

(5) Cerita daripada orang yang masih beranggapan al-Khadhir masih hidup dan melihat al-Khadhir adalah dongeng semata-mata. 

Demi Allah, sungguh pelik! Adakah al-Khadhir memiliki ciri-ciri tertentu yang boleh diketahui oleh orang yang melihatnya? 

Kebanyakan orang tertipu dengan kata-kata: ‘Aku ialah al-Khadhir.’ 

Hakikatnya, kita tidak boleh memperakui kata-kata sedemikian tanpa sebarang penjelasan daripada Allah. Adakah orang yang mendakwa mereka melihat al-Khadhir mengetahui al-Khadhir yang diakuinya itu jujur dan tidak berdusta?

(6) Ingatkah kita pada kisah yang sahih - Al-Khadhir berpisah daripada Musa bin ‘Imran atau digelar sebagai Kalimur Rahman (nabi yang pernah bercakap dengan Allah). Al-Khadhir mengatakan di dalam Surah Kahfi, 78,

هَذَا فِرَاقُ بَيْنِي وَبَيْنِكَ 

‘Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu.’

Adakah benar al-Khadhir sanggup meninggalkan Musa sendirian dan lebih suka bersama para ahli ibadah yang jahil iaitu yang melepaskan diri daripada syariat Allah, tidak mendirikan solat Jumaat, tidak solat berjemaah, tidak menghadiri majlis ilmu dan tidak sedikit pun mengetahui akan syariat Allah. Malah ahli ibadah ini mengatakan: “Khadhir telah  berkata kepadaku, al-Khadhir telah datang menemuiku, al-Khadhir telah memberiku wasiat!”

Sungguh pelik al-Khadhir sanggup meninggalkan Kalimur Rahman dan menjalin persahabatan dengan orang-orang yang jahil serta tidak tahu bagaimana berwuduk dan solat.

(7) Umat Islam telah bersepakat bahawa orang yang mengakui dia ialah al-Khadhir kemudian berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda ‘demikian dan demikian’, tidak perlu dilayan kata-katanya apatahlagi menjadikannya sebagai hujah. 

(8) Sekiranya al-Khadhir masih hidup, sudah tentu dia akan berjihad menentang orang kafir, berjuang di jalan Allah, berada dalam saf pejuang-pejuang Islam walau sebentar, menghadiri solat Jumaat dan solat jemaah serta mengajar ilmu agama. 

Kesemua ini lebih baik baginya daripada mengembara di gurun atau hutan belantara seorang diri dan terdedah kepada binatang buas. Jelas, celaan dan aib yang besar baginya.

Kelapan-lapan perkara yang telah saya sebutkan ini menjadi bukti bahawa – daripada sudut akal yang waras, Khadhir sudah meninggal dunia. Baginda sudah wafat sepertimana kebiasaan para nabi dan manusia biasa. 

Alhamdulillah saya sudah bentangkan dalil daripada al-Quran, Hadis, Ijmak dan Akal yang waras. Semoga ia menjadi panduan kepada anda dan menjadi kebaikan buat diri saya di dunia dan akhirat. 

WallahuAlam.