Adakah anda sudah tengok video Ustazah Asma’ Harun berkaitan Kewajipan Solat Taubat apabila tak solat Jumaat? Jika belum, saya cadangkan anda pergi ke link yang ada di bahagian description untuk mendengarnya.

Jika anda sudah dengar, saya ringkaskan:  

Ustazah mendakwa:

(1) Wajib solat taubat apabila meninggalkan kewajipan solat Jumaat 3 kali berturut-turut walaupun kerana keuzuran wabak.

(2) Para ulama berkata: Meninggalkan solat jumaat walaupun kerana SOP dan sebagainya perlu disertai dengan perasaan takut, bimbang, berdosa, rasa sedih.

(3) Norma baru yang telah merosakkan akidah islam. Tidak rasa bersalah meninggalkan solat Jumaat. Wabak ini benar-benar membuatkan kita orang Islam hilang nilai diri kita.

Jadi, kita akan nilaikan sebaiknya. InsyaAllah. 

Isu Pertama: 1- Wajib solat taubat apabila meninggalkan kewajipan solat Jumaat 3 kali berturut-turut walaupun kerana keuzuran wabak.

Solat Jumaat adalah solat wajib bagi setiap lelaki Muslim. Ia dibuat bukan kerana emosi dan keinginan untuk menunjukkan aku lebih soleh daripada oprang lain. Melainkan dibuat kerana ia adalah kewajipan yang telah ditentukan oleh agama. 

S: Apakah hukum meninggalkan solat Jumaat tiga kali ber-turut-turut dalam suasana wabak COVID-19?

Jika diteliti di dalam hadith, sememangnya terdapat ancaman bagi mereka yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut. Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ ثَلَاثَ جُمَعٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan tiga kali solat Jumaat kerana mengambil mudah akannya, nescaya Allah akan mengunci jantung hatinya.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud. 

Manakala dalam sebuah riwayat yang lain daripada Jabir bin Abdillah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ تَرَكَ الْجُمُعَةَ ثَلَاثًا مِنْ غَيْرِ ضَرُورَةٍ طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali tanpa sebarang darurat maka Allah akan mengunci mati jantung hatinya.”

Riwayat al-Nasa’ie (1370)

Ia adalah hadis-hadis sahih yang dinilai oleh para ulama hadis kita antaranya Syaikh Syuaib al-Arnaout dan Al-Albani rahimahullah. 

Al-Syaikh Mulla ‘Ali al-Qari dalam menjelaskan hadith ini menukilkan satu pendapat ulama’ yang menyatakan bahawa; mereka meninggalkannya kerana mengambil mudah. Manakala al-‘Aini pula menyebut: “Perkataan “تَهَاوُنًا بِهَا ” bermaksud meninggalkannya disebabkan sikap malas dan culas dalam melaksanakannya.” 

Anda boleh rujuk kenyataan ini di dalam kitan Mirqat al-Mafatih, jilid 3/ muka surat 1024.

Oleh itu, hadith dalam riwayat-riwayat ini jelas menunjukkan ancaman yang dinyatakan adalah terhadap mereka yang meninggalkan solat Jumaat disebabkan meremehkannya, mengambil mudah pelaksanaannya serta dalam keadaan tidak wujud sebarang darurat.

Adapun jika ada keuzuran dan juga darurat, yang menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan solat Jumaat, maka mereka tidak termasuk dalam ancaman seperti yang dinyatakan di dalam hadith.

Dalam hadith lain menyebut bahawa mereka akan diganjarkan dengan ganjaran pahala yang sama. Nabi SAW bersabda:

‌إِذَا ‌مَرِضَ ‌العَبْدُ، ‌أَوْ ‌سَافَرَ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya: “Apabila seseorang hamba itu sakit atau bermusafir, akan ditulis buat dirinya ganjaran sama seperti yang diamalkannya semasa bermukim atau sihat.”

Riwayat al-Bukhari (2996)

Oleh itu, berdasarkan nas dan kenyataan ini, jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan ini akan dilanjutkan sehingga menyebabkan seseorang terpaksa meninggalkan Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut, maka mereka tidaklah termasuk dalam ancaman hadith sepertimana keterangan yang telah disebutkan.

Demikian juga, dalam keadaan kes yang mencanak tinggi hari ini. 6,806 kes baru, 59 kematian dan kes aktif yang berjaya dikesan ialah 50, 171 – sangat-sangatlah membimbangkan. Bahkan saya sebagai seorang yang berada di negeri selangor sangat bimbang dengan keadaan ini. Selangor menyumbang 2,277 kes.

Semalam pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah selesai mendirikan ’Field ICU’ di perkarangan Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang. Tidak ada lagi negeri di Malaysia yang kosong kes. Tiada zon hijau lagi. Tetapi semua zon semakin parah. 

Kemudian datang pula Ustaz yang merendah-rendahkan SOP dengan dakwaan ini adalah “Norma baru yang telah merosakkan akidah islam.” Ia adalah ucapan yang cukup tidak bertanggungjawab dan menilai umat dengan semborono. 

Tidak tahukah ustazah akan kaedah yang kita perlu pegang iaitu: 
أن الأصل ‌في ‌المسلم ‌السلامة، - bermaksud, asal bagi seorang Muslim itu adalah selamat. 

Kenapa perlu bersangka buruk dalam situasi pandemik ini hanya kerana terdapat orang Islam yang pergi ke Mall ketika waktu solat Jumaat? Bahkan, mereka ke Mall pada ketika itu juga untuk membeli barang keperluan, maka ia bukan satu dosa. 

Jika Ustazah nak ajak orang ramai untuk duduk di rumah. Saya setuju. Bahkan saya akan membela sehabis-habisan. Kerana itulah keutamaan pada hari ini. Tetapi secara zahirnya, ucapan Ustazah berkaitan Norma baru ini sangat membimbangkan saya. 

Dah elok-elok orang Islam kita patuh dengan SOP, kang jadi kita pula bersangka buruk terhadap keputusan-keputusan yang dipersetujui oleh Ulil Amri dan Pakar. 

Kedua: Dalam video live Ustazah Asma, beliau mendakwa : Apabila kita tinggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut, kita wajib solat taubat. Mesti mohon taubat, mohon istighfar, mohon ampun. Kerana telah meninggalkan kewajipan dan kefardhuan solat Jumaat. 

Adakah Benar kena solat taubat?

Kita mesti sepakat bahawa di dalam bab hukum, ia bukan dibuat berdasarkan emosi dan perasaan semata-mata. Titisan air mata yang keluar dan suara serak-serak basah tidak mampu mengubah hukum agama sesuka hati. Ia dinilai dengan hujah-hujahan yang bersesuaian dengan agama. 

Bagi solat Taubat, ia adalah solat sunat. Ia adalah kesepakatan semua ulama. Ijmak. Tidak ada seorang pun ulama yang mengatakan ia adalah solat yang wajib. Bahkan jika orang yang telah melakukan dosa, dia beristigfar, bersedekah dan memperbanyakkan kebaikan tanpa melakukan solat taubat juga tiada masalah. 

Tetapi apabila dia melakukan solat taubat, maka itu adalah lebih baik. 

Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ ، ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ ، ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ إِلَّا غَفَرَ اللَّهُ لَهُ 

Maksudnya: “Mana-mana daripada kalangan hamba (hamba Allah) yang melakukan dosa, maka dia memperelokkan wudhuknya. Kemudian dia menunaikan solat sebanyak dua rakaat, lalu dia beristighfar pasti Allah akan mengampunkan dosanya. [Riwayat Abu Daud (1521)]

Shaykh Abd al-Muhsin al-‘Abbad ketika mensyarahkan hadith ini di dalam salah satu daripada pengajiannya, beliau mengatakan bahawa amalan soleh boleh menghapuskan dosa-dosa kecil. Adapun dosa besar, yang boleh menghapuskannya adalah amalan soleh berserta taubat.

Shaykh Mahmud al-Subki menyatakan hadith ini juga menunjukkan dalil galakan untuk memperelokkan wudhuk dan solat dua rakaat serta istighfar apabila melakukan sesuatu dosa. Sekiranya seseorang itu melakukan sedemikian, maka akan diampunkan dosa tersebut baginya. 

[Lihat: al-Manhal, 8/183]

Mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan agama adalah tanda berlebih-lebihan dalam soal beragama. 

Apatah lagi, meninggalkan solat jumaat dengan keuzuran SOP Pandemik Covid19 bukanlah satu dosa. Bahkan, kita mendapat pahala jika meninggalkannya atas sebab keuzuran – seperti hadis yang saya sudah sebutkan tadi. Jika tidak kerana covid19 ini, pastinya kita semua akan memenuhi masjid dan surau bagi mengerjakan solat Jumaat. 

Jadi, apabila meninggalkan solat jumaat dengan keuzuran adalah sesuatu yang bukan dosa, maka tidak disyariatkan kepada kita untuk solat taubat. Kerana solat taubat itu ada sebab. Sebabnya adalah kerana melakukan dosa. 

Apatah lagi, dengan kes yang banyak ini – kita tak tahu adakah kita positif atau kita membawa virus. Betapa banyak cerita yang kita telah dengar daripada pakar-pakar perubatan dan kesihatan. Bahawa wabak ini tersebar dengan sangat mudah dalam perkumpulan-perkumpulan. Oleh itu, sudah semestinya kita menjauhkan daripada berada dalam perkumpulan. Termasuk solat Jumaat. 

Ketiga: Kata Ustazah: Ini ialah “Norma baru yang telah merosakkan akidah islam. Tidak rasa bersalah meninggalkan solat Jumaat. Wabak ini benar-benar membuatkan kita orang Islam hilang nilai diri kita.”

Saya faham dengan sebaliknyapula. Norma baru inilah menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang sesuai diamalkan dalam setiap masa dan keadaan. Mungkin ada agama yang tak boleh survive dengan pandemik ini, tetapi tidak pada Islam. 

Ia menunjukkan Islam adalah agama yang releven dan logikal. Ia menghormati peranan akal dalam memahami situasi semasa. Ia sentiasa mengalu-alukan pandangan pakar dalam menghadapi kesusahan masyarakat. Para ulama kita tidak mencela norma covid19 ini bahkan mereka mengeluarkan fatwa supaya kita mengikutinya. 

Jika benar wabak ini membuatkan umat Islam hilang jati diri, maka sudah pasti ulama kita adalah yang paling pertama menentangnya. 

Saya menasihati diri saya dan anda semua. Ikutilah norma-norma baru ini.