Di Mesir, saya sering tonton YouTube video Dr Maza. Saya peminat tegar penulisan beliau di mediatajdid - saya koleksi semua video dan mp3 beliau. Saya sangat berharap, tidak tertinggal walaupun satu. 

Saya pernah transkrip video beliau menjadi penulisan artikel. Saya susun setiap siri soal jawab dalam hard disk walaupun berat dan penuh. Saya tak delete walaupun satu.

Apa yang menarik, sepanjang itu jugalah saya mengikuti perjalanan hidup beliau. Suka duka dan rintihan dakwah beliau. 

Mula dikritik, dikeji - kemudian dipuji. Kemudian kembali dikritik dan dipuji. Dihina dan disaman. Difitnah dan dijaja keburukannya. 

Saya sering bermimpi bertemu beliau KERANA sering mendengar kuliahnya sebelum tidur (ini bukan keramat, memang adat tidur begitu.) Bermimpi berada dalam kuliah beliau dan menulis butir-butir ilmu. Ia adalah kebahgiaan saya.

Dalam perjalanan itu juga, saya dapati perkara yang menarik. Permulaan dakwahnya, beliau mendapat sokongan semua orang yang disebut salafy. Tetapi kemudiannya, beliau dimusuhi sebahagian daripada mereka. Mereka menggelarnya muzabzib. Manhaj tak jelas. Akidah tak kukuh.

Hari ini. 
Saya melalui perkara yang sama. 

Pun begitu, sangat-sangat jarang Dr Maza membalas serangan daripada kumpulan berkenaan. Saya tak tahu mengapa, tetapi saya fikir - mungkin itu adalah serangan yang tidak bermanfaat. Mereka itu bukan musuhnya.

Boleh jadi, begitu.

Adakah saya pentaksub DrMaza? Pasti tidak. Kerana, itulah manhaj yang beliau sering tekankan - tiada taksub, terus maju dengan bahtera pembaharuan. Boleh sokong, boleh kritik. Walaupun diri kita sendiri. 

Hari demi hari, saya melihat semakin banyak pandangan saya yang berbeza dengan DrMaza. Mungkin kerana telah semakin banyak isu yang digali. 

Boleh jadi juga kerana DrMaza telah menanam tanda aras keilmuan dalam diri saya. Banyakkan membaca, menilai lebih banyak pandangan, dan buat kajian sebelum percaya walaupun daripada guru sendiri.

Alhamdulillah, itu tidak menjadikan saya sedikitpun mahu meninggalkan kuliah beliau. Kerana setiap kuliah beliau (sehingga hari ini), mengaspirasikan keilmuan dan kemajuan dalam pemikiran. 

Ya, saya masih penonton kuliah beliau di YouTube sehingga hari ini. Hanya beberapa kali hadir ‘bertemu lutut’.

Semoga Allah terus muliakan beliau dengan ilmu, iman dan taqwa.
——-
Syihabudin Ahmad. 
YouTuber.