بسم الله الرحمان الرحيم

الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام على أشرف الأنبياء و المرسلين و على آله و أصحابه أجمعين ،

أما بعد،

KEBEBASAN DALAM ISLAM

Islam telah membuktikan keagungan dan kehebatan agamanya dengan memberikan empat kebebasan yang sememangnya berhak dimiliki oleh semua manusia. Antaranya adalah :

clip_image002

KEBEBASAN BERAGAMA

                Islam sangat bertolak ansur dalam menganjurkan manusia kearah menganut agamanya, Islam tidak memaksa mana-mana golongan mahupun individu untuk memeluk agama Islam dan meninggalkan agama nenek moyang mereka. Ini bukanlah bererti Islam membiarkan terus mereka dalam kekafiran dan kesesatan tetapi Islam sentiasa menjelaskan kepada mereka jalan yang benar dan mengingatkan kepada mereka balasan yang akan ditimpakan keatas orang-orang yang kufur dan sesat. Tolak ansur ini dibuktikan dengan firman Allah SWT :

1. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir!

2. "Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.

3. "Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.

4. "Dan aku tidak akan beribadat sepertimana kamu beribadat.

5. "Dan kamu pula tidak mahu beribadat sepertimana aku beribadat.

6. "Bagi kamu agama kamu, dan bagiku ugamaku".[1]

8. Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

9. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama kamu, dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu orang lain untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.[2]

Allah SWT telah memberi ketetapan kebebasan beragama secara total dalam ayat berikut :

256. tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana Sesungguhnya telah nyata kebenaran Islam dari kesesatan kufur. [3]

Ketika Saidina Umar Al-Khattab RA membuka kota Baitul Maqdis di Palastin, beliau telah memberi jaminan kebebasan untuk menganut agama Islam bagi Ahli Kitab[4] yang berada di kota tersebut. Saidina Umar RA telah menghantar seorang utusan bagi menyampaikan amanatnya, utusan tersebut berucap dihadapan orang ramai :

“Sesungguhnya Saidina Umar telah memberi jaminan keamanan kepada para Ahli Kitab dan juga tempat ibadat mereka, serta tidak memaksa sesiapun untuk menganut agama Islam walaupun bumi ini telah dimiliki oleh orang Islam, baginda tidak membenci agama kamu dan tidak akan membuat kerosakan kepada penganut agama kamu”

Bukti-bukti yang dikemukakan menunjukkan Islam adalah agama yang amat bertolak ansur dan memberi selapang-lapang kebebasan dalam beragama. Islam juga telah mewajibkan cukai yang mudah kepada penganut agama lain yang dinamakan Jizyah (الجزية) . Jizyah ini bertujuan membuktikan bahawa orang bukan Islam juga mempunyai hak sama rata dengan orang Islam, Nyawa mereka dilindungi dari menjadi mangsa pembunuhan , harta mereka dikawal rapi daripada dicuri dan dirompak dan sebagainya,

Rasulullah SAW bersabda :

لهم ما لنا و عليهم ما علينا

Orang bukan Islam yang membayar cukai kepada orang negara Islam mempunyai hak sama rata dengan orang Islam.

Apabila Islam telah mengiktiraf kebebasan dalam beragama, tidak bererti Islam telah membuka luas pintu kekufuran, akan tetapi, Islam amat bergiat aktif dalam memberi penjelasan dan keterangan yang teliti kepada orang bukan Islam tentang hakikat sebenar Islam itu sendiri. Allah SWT berfirman :

125. serulah ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat serta pengajaran yang baik, [5]

 

64. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak menyekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". kemudian jika mereka itu enggan menerimanya maka Katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu Bahawa Sesungguhnya Kami adalah orang-orang Islam".[6]

 

Islam amat menganjurkan kebebasan namun tidak bererti seseorang itu boleh sewenang-wenangnya masuk kedalam agama Islam dan kemudiannya menukar agama lain, kerana Islam amat prihatin dalam soal menjaga agamanya, barangsiapa yang telah memeluk agama Islam maka beliau telah tetap berada dalam agamanya dan tidak boleh lagi bertukar kepada agama lain.

Ini bolehlah diumpamakan seperti seorang rakyat Malaysia tidak dipaksa oleh kerajaan Singapura untuk memasuki Singapura dan dia tidak berhak pula mengikuti apa-apa jua undang-undang yang diwartakan oleh Singapura, namun, apabila dia telah memasuki Singapura dengan suka rela, maka dia hendaklah mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan Singapura. WaAllahu Alam.

KEBEBASAN BERPOLITIK

Islam memberi kebebasan yang luas kepada semua manusia untuk berpolitik. Politik yang dimaksudkan adalah bersatu padu dalam menjaga kedaulatan, keamanan dan kepentingan rakyat dalam negara Islam.

Antara perkara terawal yang pernah berlaku dalam sejarah politik Islam adalah proses perlantikan Khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW menurusi kaedah perjanjian (المبايعة) .

Kaedah ini adalah kaedah yang mengunakan pendapat umum untuk mendapatkan keputusan, Kaedah ini adalah kaedah yang popular digunakan pada masa kini.

Pada zaman Rasulullah SAW, Baginda menggunakan Sistem Syura bagi memutuskan keputusan sesuatu masalah yang besar sehinggakan Abu Hurairah meriwayatkan :

ما رأيت أحد قط كان أكثر مشاورة لأصحابه من رسول الله صلى الله عليه وسلم

Dalam pandanganku, Rasulullah SAW adalah seorang pemimpin yang paling banyak meminta pendapat para sahabatnya.

Dalam peperangan Badar Al-Kubra, Rasulullah SAW meminta pendapat para sahabat baginda bagi memutuskan keputusan untuk keluar berperang ataupun tidak, apabila baginda berbincang dengan mereka ternyata hasilnya adalah semua para sahabat bersetuju untuk keluar berperang walaupun Rasulullah SAW merasa berat hati membenarkan para sahabatnya keluar berperang. Rasulullah tidak mengunakan pendapatnya sendiri dalam menentukan perkara-perkara besar seperti hal peperangan ini kerana ia melibatkan nyawa yang akan terkorban , harta yang tergadai dan keringat yang akan membanjir.

Dengan Izin Allah SWT, peperangan Badar Al-Kubra telah berjaya dimenangi oleh pihak Islam, dan mereka berjaya menawan ramai tentera Kuffar maka berlakulah pula berberapa pendapat tentang tawanan-tawanan itu, ada yang mengatakan perlu dibebaskan dengan bayaran fidyah[7] dan ada yang berpendapat agar dibunuh kesemua tawanan-tawanan tersebut.

Rasulullah SAW dan sebilangan besar para sahabat berpendapat agar kesemua tawanan tersebut dibebaskan dengan fidyah kerana kondisi umat islam yang amat memerlukan kewangan yang banyak bagi membangunkan kerajaan mereka yang baru setelah menang dalam peperangan. Namun Saidina Umar dan segelintir  para sahabat pula berpendapat agar dibunuh kesemua tawanan tersebut bagi membuktikan kekuatan Agama Allah SWT. Apabila berlaku hal sebegini , maka Rasulullah SAW telah membuat keputusan untuk menerima pendapat pertama, namun Allah SWT menegur perbuatan Rasulullah SAW tersebut dengan membenarkan pendapat Saidina Umar RA, Allah SWT berfirman :

67. tidaklah patut bagi seseorang nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.[8]

Rasulullah SAW memulakan Syura atas perintah dan didikan Allah SWT :

Bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.[9]

Dan suruhlah mereka bermesyuarat sesama mereka[10]

 

Apabila Islam menyuruh untuk bermesyuarat bagi menjalankan sesuatu perkara menunjukkan Islam amat prihatan dalam menjaga Hal ehwal kerajaan dan kebersamaan masyarakat dalam menjaga negara. Ini kerana , seorang pemerintah pastinya tidak akan memahami semua perkara dalam semua aspek, oleh itu , beliau memerlukan orang lain dalam anggota masyarakat yang berilmu bagi membantunya, hal ini amatlah bertepatan dengan kelakuan dan tingkah laku Rasulullah SAW.

Diantara kebebasan politik yang terbesar dalam Islam adalah masyarakat dapat menentukan dan menegur kerajaan dan pemerintah jika berlaku apa-apa masalah dan kecacatan dalam pemerintahan.

Saidina Abu Bakr As-Siddiq RA telah berucap dihadapan orang ramai ketika baginda dipilih dan dilantik sebagai Khalifah :

أيها الناس، إني وليت عليكم ولست بخيركم ،فإن رأيتموني على حق فأعينوني و إن رأيتموني على باطل فقوموني، أطيعوني ما أطعت الله فيكم ،فإن عصيته فلا طاعة لي عليكم

“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik sebagai Khalifah oleh kalian, walaupun begitu, aku bukanlah orang yang terbaik dikalangan kalian, oleh itu, jika kalian melihat aku memerintah kalian dengan kebenaran maka kalian ikutilah dan bantulah aku, namun sebaliknya jika kalian melihat aku memerintah kalian dengan tidak betul, maka kalian pulaukanlah aku. Taatlah segala perintahku apabila aku memerintah dengan kehendak Allah SWT, jika aku memerintah kalian dengan cara yang tidak dekehendaki oleh Allah SWT  maka janganlah sesekali kalian mentaatiku.”

Begitu juga Saidina Umar RA ketika beliau dilantik sebagai Khalifah , Baginda berucap :

إن رأيتم في إعوجاجا فقوموني

Sekiranya kamu melihat aku memerintah kalian dalam kesesatan maka pulaukanlah aku.

Tiba-tiba bangunlah salah seorang dari kalangan orang yang mendengar ucapan tersebut seraya berkata :

إن رأينا فيك إعوجاجا قومناك بحد السيف

Jika kami melihat kamu memerintah kami dalam kesesatan, kami akan memulaukan kamu dengan mengistiharkan perang senjata.

Walaupun ucapan orang itu begitu kasar, namun Saidina Umar tidak marah mahupun membantah sedikitpun, bahkan baginda merasa cukup bersyukur kerana telah ada keberanian yang tinggi dikalangan orang Islam dalam menegakkan Agama Allah dimuka bumi.

Dalam sistem Syura, kita akan dapati beberapa masalah yang akan timbul kerana berbeza pendapat, namun Islam mempunyai perancangannya tersendiri. Apabila berlaku percanggahan pendapat, maka hendaklah kita kembali merujuk kepada dua sumber utama dalam Islam iaitu : Al-Quran dan As-Sunnah :  

Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah ,Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri"[11]dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berselisihan pendapat dalam sesuatu perkara,maka hendaklah kamu kembali merujuk kepada Allah[12] dan RasulNya[13]  jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.[14]

Dalam perlembagaan Syura Islam, Tidaklah sama dengan perlembagaan Sistem Demokrasi yang dijalankan diserata dunia termasuk Malaysia, kerana perlembagaan Syura Islam amat mementingkan hubungan Manusia dengan Allah SWT, sedangkan Sistem Demokrasi pula lansung tidak menghubungkan diri dengan Allah SWT.

Misalan yang boleh saya berikan adalah hal-ehwal rokok, judi dan Arak yang dijalankan diserata dunia termasuk Malaysia, perkara-perkara ini adalah dibolehkan oleh sistem demokrasi kerana majoriti ahli parlimen bersetuju dengan perlaksanaannya tanpa melihat dan menghiraukan tegahan Allah SWT dalam Al-quran dan Sunnah.

Dalam sistem syura Islam, suara majori bukanlah nilaian terbesar, namun, perintah dan larangan Allah SWT merupakan aspek utama yang perlu diambil kira, ini boleh dilihat contohnya dalam peristiwa Badar Al-Kubra yang telah diceritakan sebelum ini.

KEBEBASAN BERFIKIR DAN MEMBERIKAN PANDANGAN

Islam tidak melarang mana-mana individu untuk berfikir dan memberikan pandangan selagi pandangan dan pemikiran itu berlandaskan jalan dan kaedah yang betul serta menghormati pandangan yang dikemukakan oleh orang lain. Bahkan Islam amat menganjurkan semua pihak memberikan tumpuan pemikiran dalam aspek kemanusiaan dan ekosistem. Dalam Al-Quran , Allah SWT berfirman :

 

37. dan bukti yang terang untuk mereka berfikir ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita;

38. dan sebahagian dari bukti yang tersebut ialah matahari; ia beredar ke tempat yang ditetapkan baginya (paksinya) ; itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Kuasa, lagi Maha mengetahui;

39. dan bulan pula Kami takdirkan Dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya - (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.

40. dengan ketentuan yang demikian, matahari tidak boleh mendahului bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.[15]  

12. dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati yang berasal dari tanah;

13. kemudian Kami jadikan "pati" itu setitis air benih pada penetapan yang kukuh;

14. kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.[16]

Sesungguhnya dengan berfikir dan mengkaji itu akan memberikan kebaikan Ilmu kepada manusia, bahkan Allah SWT sendiri membezakan antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu :

"Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang Yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang Yang berakal sempurna.[17]

Bukti yang jelas menunjukkan kebebasan berfikir dan memberi pandangan dalam Syariah Islamiah adalah tersebarnya pemikir pemikir Feqah yang kemudiannya membanjiri dunia Islam dengan wujudnya mazhab-mazhab feqah.

Islam tidak hanya menggesa masyarakat untuk memikir dan memberi pandangan sahaja, bahkan juga menganjurkan masyarakat untuk mengkritik mana-mana pendapat yang dirasakan salah dan menyeleweng. Ini adalah konsep yang terkenal dan popular dalam Islam , iaitu : أمر معروف و نهي عن المنكر   ( menyuruh kepada kebaikan dan menghalang segala keburukan )  

104. dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat kebaikan, serta melarang daripada perkara buruk dan keji. dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.[18]

عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه قال : سمعت رسولالله صلى الله عليه وسلم يقول : من رأى منكم منكرا فليغيره بيده ، فإن لم يستطع فبلسانه ، فإن لم يستطع فبقلبه ، ذلك أضعف الإيمان

Daripada Abi Said Al-Khudri RA berkata : aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : barangsiapa yang melihat kemungkaran , maka cegahlah ia dengan kekuasan yang ada padanya, jika dia tidak mampu maka cegahlah dengan kelantangan suaranya, dan setelah itu jika dia tidak mampu juga, maka hendaklah dia menanamkan benci terhadap kemungkaran tersebut didalam hatinya, dan perkara menanamkan benci didalam hati itu merupakan selemah-lemah iman.[19]

Kebebasan berfikir ini bukan hanya pada urusan agama sahaja, malahan, kebebasan ini juga diberikan pada urusan-urusan keduniaan. Sejarah peradaban Islam telah membuktikan bahawa Islam adalah sebuah agama yang memberi kebebasan luas dalam berfikir dan mengkaji dengan lahirnya individu-individu dan kelompok-kelompok manusia yang memainkan peranan penting dalam ketamadunan dunia seperti perubatan, falsafah, pembinaan, kemasyarakatan, kimia , geografi bumi, dan sebagainya lagi.

KEBEBASAN INDIVIDU

Kebebasan individu yang dimaksudkan dalam Syariah Islamiah ialah, kebebasan seseorang melakukan sesuatu tanpa tegahan dan bangkangan dari kerajaan mahupun orang lain.

Kebebasan ini amatlah diperlukan oleh manusia bagi menjalankan apa yang difikirkan baik dalam kehidupannya, namun Islam tidak membiarkan setiap individu itu berfikir sendiri dan melakukan segalanya sendiri tanpa batasan sepertimana yang telah berlaku dalam dunia hari ini. Hidup dengan falsafah “Buatlah apa yang kita suka, Hidup hanya sekali”, falsafah ini adalah falsafah yang dibawa dari barat, dan falsafah inilah yang telah merosakkan dunia barat dan akan merosakkan juga orang yang mengikutnya. Al-Quran menerangkan perkara ini :

Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan,[20]

Oleh itu, Islam memberi panduan kepada setiap individu dalam melakukan sesuatu perkara dengan dua panduan utama :

clip_image004

KESIMPULAN :

Islam telah memberi kebebasan yang luas kepada masyarakat Islam dan lainnya, namun masih lagi dipertikaikan kerana kejahilan yang tinggi didalam kalangan masyarakat. Masyarakat mencari sistem kehidupan yang lain dari Islam kerana merasakan diri mereka tidak selamat jika berada dalam Sistem Islam oleh itu mereka memfitnah hukum Islam dengan Fitnah Terorist, tidak adil, tidak bebas dan sebagainya.

 

REALITI SEMASA

Ramai orang Islam yang telah lama menganut agama Islam sendiri keliru akan hukum-hukum dan perkara asas yang ada dalam Islam, sehinggakan ada dikalangan mereka yang cuba menyelewengkan fakta atas dasar kepentingan diri masing-masing. Dalam soal agama sebagai contoh, ada dikalangan wanita Islam tidak mahu memakai tdung, atas alasan tiada paksaan dalam Islam kononnya, sedangkan perkara tersebut adalah sebuah peraturan khusus yang dikenakan kepada seluruh wanita muslimah sebagai menjaga maruah dan peribadi Muslimah. Wanita tidak dipaksa berkerja, belajar, memilih calon suami dan sebagainya, mereka bebas melakukan apa sahaja, selagi berpegang teguh dengan dua panduan yang telah dijelaskan.

Kebebasan politik didalam Islam amatlah mengambil berat soal keadilan dan suara rakyat, oleh itu Islam telah menganjurkan Syura, jika sistem ini dijalankan, kita akan dapat melihat sesuatu perkara itu dapat dinilai dengan adil dan saksama, kerana manusia tidak akan lari dari membuat kesilapan tetapi Allah SWT tidak pernah silap dalam perbuatan dan tingkah lakunya. Secara peribadinya saya memuji usaha kerajaan Malaysia mewujudkan sistem Parlimen di dewan rakyat , namun sistem ini ada kekurangan yang perlu ditambah, iaitu kekurangan pergantungan kepada Allah SWT. Sistem yang dipakai di Malaysia, amatlah tidak bersesuaian dengan keadaan rakyatnya yang majoriti orang Islam, kenapakah Sistem ini tidak melihat hukum Allah SWT sebagai salah satu SUARA? Perkara ini perlulah diperkembangan. Namun, perlulah diberikan pemahaman yang jitu terlebih dahulu kepada seluruh pemimpin-pemimpin Islam yang memegang jawatan di Parliman supaya perkara ini tidak menjadi isu yang tidak bermoral.

Semua Orang berhak memberikan pendapat masing-masing, namun pendapat yang terbaik adalah pendapat yang dikuatkan dengan hujjah-hujjah Al-Quran dan Sunnah kerana hujjah-hujjah inilah yang dapat menentukan kebaikan dan ketepatan sesuatu hujjah.

Tuntasnya, saya menyeru kepada seluruh Umat Islam yang memahami akan erti kebebasan yang terdapat dalam Islam ini , memberi kefahaman yang menyeluruh kepada Masyarakat dunia, Khususnya Umat Islam di Malaysia.

Saya mengharapkan, sedikit perkogsian yang saya kutip dan saya tambah dari kitab محاضرات في تاريخ التشريع[21]  yang dikarang dan disyarahkan oleh Dr. Hussain Muhammad Bayumi [22]dapat dimanfaatkan oleh umat islam dalam memahami agama Allah SWT, dan dapat dinilai semula sebagai sebuah bahan Ilmiah.

اللهم أخلص نياتنا وأعمالنا ،و وفقنا لما تحبه و ترضاه ، وانفع المسلمين بما عملنا وهدنا سواء السبيل وصلى الله و سلم و بارك على سيدنا محمد و على آله و صحبه و سلم .

 

 

أبو دجانة محمد شهاب الدين بن محمد يتيم الجزاري

http://aljazary.blogspot.com

AHAD 14/02/2010 [12:18 PAGI ]

 



[1] Al-kafirun : 1-6

[2] Al-mumtahanah : 8-9

[3] Al-Baqarah : 256

[4] Penganut agama Kristien dan Yahudi yang berpegang dengan kitab Taurat dan Injil

[5] An-Nahl : 125

[6] Ali Imran : 64

[7] Gadaian nyawa dengan wang

[8] Al-Anfal : 67

[9] Ali-Imran : 159

[10] Asy-Syura : 38

[11] Para pemimpin

[12] Al-Quran

[13] Sunnah

[14] An-Nisaa :59

[15] Yaa Siin : 37-40

[16] Al-Mukminun :12-14

[17] Az-Zumar : 9

[18] Ali-Imran : 104

[19] HR Muslim : 49 , Hadis Arbain Imam Nawawi : 34

[20] Yusuf : 53

[21] Salah satu kitab pengajian Syariah Islamiah Universiti Al-Azhar, Dumyat 2009/2010

[22]Pensyarah Universiti Al-Azhar, Mesir cawangan Dumyat 2009/2010