Dakwah adalah sebuah gerakan dan tindakan yang wajib dilakukan oleh setiap manusia muslim dan muslimat kearah mendapatkan keredhaan Allah SWT dimuka bumi.

seminar Minda Medik

Sejak zaman berzaman lagi, manusia mukmin telah berkecimpung dalam bidang ini. Namun tidak semua mereka mendapat kejayaan dakwah tersebut. Kerana sebuah kejayaan hanya dinilai melalui keberhasilan pencapaian matlamat. Matlamat dakwah Islamiah adalah mendapat keredhaan Allah SWT didunia mahupun Akhirat.

Fenomena yang berlaku dalam dunia dakwah adalah, tidak ramai para pendakwah yang berjaya mencapai matlamat tersebut. Ini adalah kerana kelalaian terhadap beberapa perkara penting yang sepatutnya diberikan perhatian.

Antara perkara penting yang sering dilupakan oleh para pendakwah adalah diri mereka sendiri. Oleh itu kita sering mendengar ditelinga kita masyarakat mengomel dan merungut bahawa pendakwah itu selalu menyeru kebaikan tetapi diri mereka sendiri pula yang melakukan sebaliknya. Benarlah peringatan Allah SWT dalam Al-Quran :

Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidak dapatkah kamu berfikir?[1]

Mukhayyam Tarbawi 09

Dalam sejarah penurunan Al-Quran, masing-masing kita mengetahui bahawa antara ayat Al-Quran yang terawal diturunkan adalah ayat 1-5 surah Muzammil yang memberi penekanan terhadap hal-ehwal dakwah kepada diri sendiri :

 

1. Wahai orang Yang berselimut!.

2. bangunlah sembahyang tahajjud pada waktu malam, sekejap sahaja

3. Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,

4. ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran Dengan "Tartil".

5. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu Yang berat [2]

Dalam ayat Al-Quran diatas, Allah SWT menyeru para daie untuk mengerjakan Tahajjud dan selalu mendampingi Al-Quran kerana mereka akan diberikan tugas yang terlalu berat iaitu, tugasan mengajak manusia mencari keredhaan Allah kerana Redha Allah itu hanya boleh dimiliki dengan pengorbanan dari segala kesenangan dan kecantikan duniawi.

Seorang guru saya disebuah sekolah di hujung negara selalu mengingatkan kepada saya dan rakan-rakan,katanya :

“sesuatu tugasan yang besar hanya boleh dipikul oleh manusia yang mempunyai jiwa yang besar”

Maka, sebagai para daie kita dapat menyimpulkan kata-kata ini dengan sirah Rasulullah SAW, bagaiman baginda diasuh oleh Allah SWT untuk sentiasa mempunyai jiwa yang besar dengan selalu menunaikan tahajjud bahkan Allah telah mewajibkan Baginda untuk bertahajjud manakala menjadi sunat yang dituntut bagi umatnya.

Tahajjud yang digesa adalah bertujuan membersihkan hati dari segala kekaratan dan keburukan maksiat.bahkan, seorang sahabat saya yang kini berada dalam tahun pertama dibidang perubatan memberikan sebuah kenyataan yang amat menarik. Beliau menyatakan bahawa tahajjud adalah sebuah jangka masa yang terbaik bagi seorang hamba mengadu segala hal-ehwal hidupnya kepada Allah SWT.

Mukhayyam tarbawi 09

Hakikatnya, tahujjud dapat membentuk jiwa para daie supaya lebih kuat menghadapi luka-luka ummah.

Cuba anda bayangkan seandainya para daie dapat membentuk dirinya sendiri, mengajak dirinya untuk mengerjakan tahajjud, membaca satu juzuk Al-quran setiap hari, menundukkan pandangan, menunaikan solat di Masjid dan sebagainya, pastinya beliau mampu mengajak orang lain.

Falsafah “Qudwah qabla Dakwah”[3] yang selalu didendangkan oleh para daie juga pastinya menjadi reliti dan bukan lagi fantasi.

Sebagai sebuah resolusi, saya mencadangkan agar setiap para daie mempunyai sebuah borang muhasabah tersendiri agar dapat kita menilai tahap dakwah kita kepada diri kita sendiri, anda boleh menjadikan contoh borang dibawah ini sebagai borang muhasabah anda:

contoh borang muhasabah

(ini hanyalah cadangan awal, sekiranya telah dapat melakukan perkara-perkara ini hendaklah para daie menambah beberapa amalan soleh yang lain)

Tuntasnya, saya menyeru diri saya sendiri dan para daie sekalian agar kita mempersiapkan diri kita dengan amalan soleh agar kita dapat memberi manfaat kepada orang lain sepertimana air yang berada didalam gelas, hanya akan melimpah setelah ia memenuhi segala ruang didalam gelas tersebut. WallahuAlam.


[1] Al-Baqarah :44

[2] Al-Muzammil : 1-5

[3] Teladan sebelum berdakwah