بسم الله الرحمان الرحيم

الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام على أشرف الأنبياء و المرسلين و على آله و أصحابه أجمعين ،

أما بعد،

TUJUAN HUKUMAN-HUKUMAN SYARIAH ISLAMIAH

Syariah Islamiah mempunyai 5 tujuan asas .

Kelima-lima pemeliharaan ini amat penting dalam kehidupan manusia bagi memastikan kelansungan hidup yang harmoni. Oleh itu, Syariah Islamiah telah menetapkan beberapa hukuman atas beberapa tujuan bagi memastikan kelansungan itu menjadi lancar.

1)MEMELIHARA AGAMA

Syariah Islamiah tidak memaksa mana-mana pihak untuk berpegang dengan pegangan islam , malahan Syariah Islamiah menjamin kebebasan berpegang dengan mana-mana agama. Oleh yang demikian, Syariah Islamiah telah menetapkan hukum bunuh bagi mereka yang melanggar pegangan kerana orang yang melanggar pegangannya merupakan orang yang telah melanggar kemuliaan dan kelebihan diri sendiri.

Sesungguhnya hukuman yang telah Allah SWT tetapkan merupakan sebuah tegahan dari bentuk-bentuk tegahan bagi menjaga kelansungan Syariah Islamiah. Maka , Allah SWT telah menetapkan hukuman yang reliven bagi tiap-tiap tegahan sehinggakan para penjenayah tidak akan sesekali mengulangi kesilapan melanggar tegahan dan larangan syara`. Bagi orang yang berdusta dan berbohong, syara` tidak menetapkan hukuman potong lidah dan tidak juga hukuman bunuh yang tak masuk akal bagi jenayah tersebut. Penzina dan pencuri tidak dihukung gantung,akan tetapi Syariah Islamiah telah menetapkan hukuman yang sebaiknya yang sesuai dengan sifat bagi setiap kesalahan setelah ditimbang baik, buruk ,ihsan dan keadilan setiap hukuman.

Syariah Islamiah telah mengistihar perang pada musuhnya dengan fiman Allah SWT :

Dan perangilah mereka sehingga tidak terjadinya lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. kemudian jika mereka berhenti (dari kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik) kerana Sesungguhnya Allah Maha melihat setiap perlakuan mereka.[1]

 

Begitu juga disyariatkan hukuman bunuh bagi penganut agama islam yang Murtad[2] dari agama Islam. Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa yang menukar agamanya maka bunuhlah dia”

Diriwayatkan dari Abdullah Bin Mas`ud RA, Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidaklah Halal darah orang muslim yang telah mengucap bahawa tiada tuhan selain Allah  dan aku adalah Rasulullah (utusan Allah) kecuali setelah ia termasuk dalam 3 golongan : 1) janda yang berzina 2) orang yang saling berbunuhan dan 3) orang yang meninggalkan agamanya dan memecah belahkan jemaah  (المفارق للجماعة) .”[3]

Dan diriwayatkan juga dari Abu Daud dengan sanad dari Jarir berkata: aku telah mendengar Rasulullah SAW berkata “sekiranya seorang hamba Allah itu lari dari agamanya maka halallah darahnya untuk dibunuh”

Pembuktian juga telah berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakr As-Siddiq RA ketika sekelompok umat Islam telah murtad secara beramai-ramai maka Khalifah Abu Bakr telah menghantar armada perang bagi memerangi golongan ini sehingga berlakunya Syahid (insya Allah, Amin) secara beramai ramai. Dijangkakan 70 orang penghafal Al-Quran juga telah Syahid pada ketika itu. Ini menunjukkan betapa komitednya Syariah Islamiah menjaga kesinambungan dan kesucian agama Islam itu sendiri. Wallahu `alam.

2)MEMELIHARA JIWA

Allah SWT telah mencipta manusia dan telah melantik manusia sebagai khalifah di muka bumi ini . Allah SWT berfirman :

"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi".[4]

Dalam usaha memelihara jiwa manusia dan memelihara kesinambungan kehidupan manusia bagi menjalankan perintah Allah SWT sebagai khalifah, Allah SWT telah mengharamkan penganiayaan kepada diri sendiri secara umum. Dan masing-masing kita mengetahui bahawa perkataan “Haram” itu membawa maksud “Bahaya!” (الخطر)  . Diharamkan penganiayaan kepada diri sendiri bahkan juga kepada Al-Musta`min[5] dan Kafir Zimmi[6] , dan pengharaman ini mengandungi pengharaman penganiayaan melalui perbuatan dan juga perkataan.

Oleh itu, Syariah Islamiah telah mengharamkan pembunuhan sesama sendiri . Allah SWT berfirman :

Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar.[7]

 

Bahkan diharamkan juga dari menjurumuskan diri kedalam bahaya . Allah SWT berfirman :

 

Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu kedalam bahaya kebinasaan[8]

Begitu juga diharamkan dari membunuh diri sendiri : Allah SWT berfirman :

Janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri[9]

Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa menolong penjenayah itu juga dinamakan sebagai membunuh dan sesungguhnya darah adalah perkara utama yang akan ditanya oleh Allah SWT dalam kalangan hambanya di Hari Kiamat kelak. Rasulullah SAW bersabda : “ Perkara pertama yang akan menjadi perhitungan dikalangan manusia dihari kiamat adalah darah”

Syariah Islamiah tidak hanya menjaga dan memelihara satu jiwa sahaja malahan ia juga memelihara jiwa para Al-Musta`min dan Zimmi juga. Nabi SAW telah bersabda : “barangsiapa yang sengaja membunuh orang yang telah berjanji taat setia dengan kerajaan Islam maka dia tidak akan dapat membau wangian syurga”

Syariah Islamiah tidak mengharamkan pembunuhan sahaja malahan menolong kearah pembunuhan juga diharamkan walaupun dengan beberapa patah perkataan sekalipun jika ia mengakibatkan pembunuhan jiwa maka ia juga diharamkan. Diriwayatkan dari Abi Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : “Barangsiapa yang menolong dalam pembunuhan orang mukmin walaupun dengan hanya sepatah perkataan sekalipun maka dia akan bertemu Allah SWT dalam keadaan ditulis diantara kedua matanya ‘putus harapan dari rahmat Allah SWT’ ”

Syariah Islamiah telah menjanjikan siksaan yang berat kepada setiap pelaku kezaliman tersebut.

Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka Kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya).[10]

Begitu juga hadis Nabi SAW yang berbunyi : “Orang yang membunuh orang muslim akan keluar dari dunia ini dalam keadaan yang paling hina”

Syariah Islamiah tidak hanya memberi balasan di akhirat sahaja , malahan balasan itu juga diberikan didunia sehingga membuatkan setiap orang yang ingin melakukan pembunuhan dan penganiayaan pada jiwa manusia berfikir 1000 kali sebelum melakukannya. Dalam pada itu, Syariah Islamiah telah mensyariatkan Qisas[11] sebagai satu hukuman yang adil bagi memastikan jiwa manusia itu terperlihara bukan hanya fantasi tetapi rialiti.

 

Kami telah tetapkan atas mereka, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). [12]

3)MEMELIHARA KETURUNAN

Syariah Islamiah memelihara kemuliaan keturunan dengan mengharamkan penganiaan kepada kehormatan . Maka diharamkan zina kerana ia merosakkan keturunan dan menggalakkan pencampuran keturunan yang tidak sihat sehinggakan penzina dan keluarganya akan mendapat malu yang besar disamping mencemarkan kehormatan keluarga dan masyarakat. Kadang-kala, bahkan telah menjadi kebiasaan masyarakat Malaysia khususnya, akan membuang dan membunuh bayi hasil zina mereka bagi menutup malu. Perbuatan zina ini pula menjadi faktor terbesar penyebaran penyakit yang merosakkan (HIV-AIDS) dalam masyarakat. Penyesalan yang besar juga pastinya kepada para penzina kerana pada awalnya mereka berzina dengan penuh keseronokkan kemudian sengsara dengan penyakit yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain.

Maka Syariah Islamiah telah menetapkan hukuman sebat kepada para penzina yang belum berkahwin dan direjam sekiranya telah mendirikan rumahtangga:

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.[13]

 

Telah diriwayatkan oleh Imam Muslim RahimahuAllahu Taala di dalam kitab Sahih nya, dari Ibnu Abbas RHM (رضي الله عنهما)  berkata: telah berkatalah Umar bin Al-Khattab yang pada ketika itu beliau berada diatas mimbar Rasulullah SAW: “Sessungguhnya Allah SWT telah membangkitkan Muhammad SAW dengan kebenaran , dan diturunkan padanya sebuah Kitab (Al-Quran) yang mengandungi perintah rejam. Maka Baginda membacakannya kepada kami dan menyedarkan kami malah membuka fikiran kami. Setelah itu, Baginda merejam dan kami juga merejam selepasnya . Aku takut akan tersebar dalam kalangan manusia pada satu masa nanti ada orang yang mengatakan bahawa tidak ada hukum rejam didalam Al-Quran dan mereka akan menjadi sesat dengan meninggalkan kewajipan yang telah Allah Wajibkan. Maka sesungguhnya hukuman rejam itu termaktub dalam Al-Quran bagi penzina yang telah berkahwin sama ada lelaki mahupun perempuan dengan cara mengetahuinya dari pengakuan penzina itu ataupun ada ikatan ( kaitan ) ataupun secara pengakuan (iktiraf ).”

Diriwayatkan juga dari Imam Muslim , Dari Abi Hurairah RA telah berkata : seorang lelaki muslim telah datang berjumpa Rasulullah SAW yang pada ketika itu sedang berada di Masjid dan dia memanggil Rasulullah SAW seraya berkata : “Wahai Rasulullah.. sesungguhnya aku telah melakukan zina.” Dan dia mengulangi kata-kata itu sebanyak 4 kali. Kemudian dia membawa 4 orang saksi . Rasulullah SAW bertanya : Adakah engkau hilang akal ketika engkau berzina? Dijawab : Tidak. Rasulullah SAW bertanya lagi: Adakah engkau telah berkahwin? Lelaki itu pun menjawab :Ya. Maka Rasulullah SAW mengarahkan kepada sahabat-sahabat yang ada pada ketika itu: bawalah dia dan rejamlah dia.”

Selain mengharamkan penzinaan, Syariah Islamiah juga telah mengharamkan Qazaf[14] bagi menutup keburukan keturunan dan malu dikalangan manusia. Sesungguhnya aib yang didedahkan kepada umum sedangkan wanita itu tidak melakukannya merupakan sebuah tuduhan yang terlalu menyakitkan. Luka akibat kata-kata lebih menyakitkan dari luka yang ada ditubuh badan. Jika luka dibadan, esok lusa insyaAllah sembuh , tapi luka dari kata-kata mengambil masa yang begitu panjang untuk sembuh. Oleh itu, Islam telah menetapkan hukuman bagi orang yang melakukan Qazaf dengan hukuman 80 kali sebatan , diiktiraf diri pelaku itu sebagai fasik yang tidak diterima penyaksiannya selama-lamanya . Allah SWT bersabda :

Sesungguhnya orang-orang Yang suka terhebah tuduhan-tuduhan Yang buruk Dalam kalangan orang-orang Yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa Yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).[15]

 

Rasulullah SAW sendiri telah menjalankan hukuman Qazaf terhadap pendusta dalam peristiwa Hadis Ifki[16] yang menerima ibu kita semua Sayyidah Aisyah RA.

 

 

 

4)MEMELIHARA HARTA BENDA

Telah menjadi tabiat bagi Syariah Islamiah sebagai sebuah perundangan yang menjaga harta benda manusia dari di zalimi dan dirampas oleh orang lain. Oleh itu, Syariah Islamiah mempunyai sebuah perundangan yang mengharamkan rampasan harta milik orang lain yang bukan haknya. Dalam hal ini, Allah SWT telah berfirman :

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).[17]

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali Dengan jalan perniagaan Yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.[18]

Syariah Islamiah telah menggunakan sebuah jalan halangan dan tegahan yang keras bagi para pencuri dan perompak bagi memastikan hal-ehwal harta benda manusia terpelihara dan terjaga. Bagi para pencuri , Syariah Islamiah telah menetapkan hukuman potong tangan kepada mereka  sepertimana yang telah diketahui ramai untuk menjadikan orang yang melakukan pekerjaan mencuri itu takut dan gementar terhadap hukum Allah SWT. Hukuman yang dikenakan ini amatlah setimpal jika dibandingkan dengan pekerjaan yang mereka lakukan. Mengambil harta benda orang lain secara zalim, menghilangkan kebahgiaan orang lain.

Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Pada zaman Nabi SAW telah terjadi sebuah peristiwa kecurian dan Rasulullah SAW telah mengarahkan agar dipotong tangan mereka. Antara lelaki yang pertama sekali dipotong tanganya adalah Al-Khayyar bin Adiy bin Naufal dan dari kalangan wanita pula ialah Marrah binti Sufyan bin Abdul Aswad dari bani Makhzum.

Rasul SAW amat teliti dan tegas dalam perkara hudud ini sehinggakan Baginda menggingatkan pada Usamah ketika mengarahkan hukuman potong tangan kepada Marrah binti Sufyan Al-Makhzumiyyah :

"يا أسامة ! لا أراك تشفع في حد من حدود الله عز و جل ثم قام النبي صلى الله عليه وسلم خطيبا فقال : إنما أهلك من كان قبلكم بأنه إذا سرق فيهم الشريف تركوه و إذا سرق فيهم الضعيف قطعوه ، و الذي نفسي بيده لو كانت فاطمة بنت محمد لقطعت يدها ، فقطع يد المخزومية "

“Wahai Usamah! Tidakkah kau lihat kelebihan hukum hudud Allah? Kemudian Rasulullah berucap : sesungguhnya kerosakan umat sebelum kamu kerana mereka membiarkan pencuri yang ada kedudukan dan memotong tangan pencuri yang berada dalam kesempitan. Sesungguhnya! Jika anakku sendiri Fatimah mencuri, maka akanku suruh dipotong tangannya. Maka potonglah tangan perempuan bani Makhzum ini.”[19]

Hukuman potong tangan ini hanyalah bagi pencuri yang mencuri secara senyap dan tidak mengakibatkan apa-apa pertumpahan darah, namun jika berlaku kecurian yang menggunakan kekerasan secara jelas maka hukumannya lebih dahsyat dan menggerunkan!

Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja Dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). [20]

Setelah jelas kepada kita mengapa disyariatkan hukuman potong tangan ini maka diharapkan tidak lagi timbul isu-isu yang menunjukkan kejahilan terhadap hukum Allah SWT. Tidak ada satu pun dari hukum Allah SWT yang memudaratkan manusia, malahan hukuman itu didatangkan bagi memelihara kehidupan manusia.

5)MEMELIHARA AKAL FIKIRAN

Akal merupakan salah satu nikmat teragung yang Allah SWT kurniakan hanya pada manusia. Oleh itu, Syariah Islamiah amat mementingkan pemeliharaan akal ini.

Syariah Islamiah telah mengharamkan arak bagi menjaga kestabilan dan kecerdasan akal, kerana arak boleh memudaratkan akal fikiran, mengakibatkan pelbagai kemusnahan dan ibu bagi segala kemaksiatan dan kebahayaan.

Wahai orang-orang yang beriman! sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah antara amalan syaitan yang keji. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu tergolong dalam golongan orang yang berjaya.[21]

Sepertimana yang telah kita ketahui, orang arab jahiliyyah merupakan golongan penggemar arak yang keterlaluan sehinggakan mereka terlalu payah untuk meninggalkan balang-balang arak mereka kerana ketagihan dan kebiasaan yang melampau. Oleh itu, apabila Islam mahu menghalang sesuatu perbuatan itu, Islam halang dengan bijaksana, maka terjadilah peristiwa pengharaman arak sebanyak 4 kali secara berperingkat-peringkat sehinggalah para sahabat Nabi SAW mampu meninggalkan arak.

Peringkat pertama :

Dan dari buah tamar (kurma) dan anggur kamu jadikan daripadanya arak dan rezeki yang halal[22]

Peringkat kedua :

mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya [23]

Peringkat ketiga :

 

Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu mengerjakan sembahyang sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan.[24]

Dan peringkat terakhir, iaitu peringkat pengharaman secara total :

Wahai orang-orang yang beriman! bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.[25]

Dalam kitab Feqah Manhaji menjelaskan bahawa, had hukuman peminum arak adalah 40 kali sebatan maka hukuman ini dinamakan hudud, namun pemerintah islam pada ketika itu boleh menambah sebatan sehingga 80 kali sebatan, namun perbuatan ini tidaklah dinamakan sebagai hudud tetapi dinamakan sebagai Ta`zir (تعزير). WaAllahu Alam.

KESIMPULAN

Sepertimana yang telah diketahui, perbezaan hukuman hudud adalah disebabkan berbezanya bentuk-bentuk jenayah, seperti hukuman bunuh yang dikenakan kepada mereka yang menentang agama ataupun murtad kerana jenayah ini adalah jenayah yang paling bahaya dan memudaratkan. Begitu juga hukuman yang dikenakan kepada para penzina yang telah berumah tangga, beliau dibunuh dengan direjam sehingga mati kerana beliau telah mengkhianati suaminya yang telah diamanahkan oleh Allah untuk dia taati, malahan ia juga memberi akibat yang buruk kepada imej keturunan dan memberi kesan buruk kepada masyarakat dengan menyebarkan pelbagai bentuk penyakit yang memudaratkan seperti AIDS dan sebagainya, sehinggakan orang yang tidak bersalah juga menjadi mangsa.

Umat Islam mestilah mengetahui mengetahui bahawa, keadaan jenayah itu memberi kesan kepada hukuman yang dikenakan seperti soal jenayah Khalwat dan sebagainya, ia berbalik kepada kepandaian dan kecerdikan para pemerintah. Ini bukanlah sesuatu yang menjanggalkan tetapi perbuatan ini adalah untuk menjaga keperluan masyarakat dari dizalimi melalui prinsip keadilan yang ada pada Islam.

 Berubahnya suatu hukuman adalah berdasarkan perubahan masa, tempat dan keadaan sepertimana yang telah dilakukan oleh Saidina Umar RA, baginda telah mengarahkan sebat sebanyak 80kali sebagai tambahan dari 40 kali yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Bukanlah Umar RA ingin membuat perkara baru ataupun bidaah tetapi kerana beliau faham maksud dan kaedah yang betul dalam berhukum. Perbuatan umar tersebut dinamakan ta`zir yang akan dijelaskan dalam kesempatan yang lain.

Oleh itu, hukuman yang diletakkan oleh Syariah Islamiah bukanlah sebuah hukuman yang semborono, tetapi sebuah hukuman yang rasional bagi menjaga dan memelihara kepentingan-kepeningan manusia sejagat. WaAllahu Alam.

MASALAH DAN REALITI

Masalah yang berlaku dalam dunia islam pada zaman sekarang ini adalah kejumutan yang berleluasa atas alasan “keterbukaan pemikiran”, sehinggakan wujud individu dan kumpulan-kumpulan tertentu yang menentang Syariah Islamiah ini walaupun mereka menggelar diri mereka sebagai Islam.

Islam bukanlah sebuah agama yang menolak keterbukaan, bahkan Islam adalah penganjur kepada program keterbukaan minda ini. Allah SWT berfirman :

Sesungguhnya Allah telah menjelaskan kepada manusia keterangan dan bukti, supaya kamu memahaminya.[26]

Mereka yang menentang hukum Allah ini mempunyai 2 jenis golongan. Golongan pertama adalah golongan yang tidak tahu hukum Allah atas kejahilan diri sendiri dan pengaruh orang ramai, golongan ini adalah golongan yang sangat kasihan dan perlu dididik dan diasuh dengan akidah yang kuat.

Pada pendapat saya , aqidah dan keimanan merupakan sebuah aspek penting dalam mentaati hukum Allah dan Sunnah Rasulullah. Ini dapat dibuktikan dengan dua keadaan. Keadaan pertama : pada zaman Rasulullah SAW, kebanyakan sahabat bukanlah orang yang berilmu dan terpelajar, bahkan ada juga dikalangan sahabat Rasulullah SAW adalah orang a`rabie (أعربي). Orang `arabie ini jika di Malaysia dipanggil orang asli. Tidak tinggi ilmu pelajaran, namun , mereka sangat patuh dengan perintah Allah dan Rasul-Nya atas didikan Aqidah dan Asuhan keimanan oleh Rasulullah SAW. Keadaan kedua: masyarakat zaman sekarang yang tidak mengambi peduli soal Aqidah dan keimanan yang total. Bagi orang yang berada dalam keadaan ini, dunia adalah segala-galanya, Aqidah dan keimanan di anak tirikan. Fenomena ini amatlah merunsingkan seluruh umat Islam .

Golongan yang kedua pula merupakan golongan yang tahu akan hukum Allah SWT, tetapi mereka menolak hukuman itu atas kepentingan peribadi. Umat Islam mempunyai begitu banyak pusat pengajian Islam di seluruh dunia, Di Malaysia, yang terkenal adalah UIA, UM, USIM, UKM dan sebagainya, Di luar negara pula Universiti Al-Azhar , Universiti of Jordon dan sebagainya, namun ada dikalangan penuntut institusi pengajian Islam ini menyeleweng dari hukum Allah, mengatakan hudud tidak sesuai dilakukan pada masa ini, hukuman Allah kejam dan tidak ada tujuan dan sebagainya. Mereka melakukan perkara ini adalah disebabkan pangkat yang tinggi, gaji yang melambung, pujian yang melangit dan sebagainya. Kami mohon kepada Allah SWT agar kita tidak tergolong dalam golongan ini ( Amin ).

Realiti yang berlaku ini amat menyedihkan, umat hanyut dengan kesenangan dunia dan merasa tidak perlu berhukum dengan hukum Allah SWT. Merasa bahagia dan terpelihara dengan hukuman ciptaan sendiri. Allah SWT telah menyeru kepada kita yang lalai dan lupa ini supaya berhukum dengan hukuman Allah SWT . Jika sekarang kita tidak mampu kerana Islam belum menguasai(10/02/2010), maka kita bertanggungjawab mencari jalan menguasai bumi milik Allah SWT ini.

 

Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) Dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa Yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.[27]

 

Saya mengharapkan, sedikit perkogsian yang saya kutip dan saya tambah dari kitab محاضرات في تاريخ التشريع[28] yang dikarang dan disyarahkan oleh Dr. Hussain Muhammad Bayumi [29]dapat dimanfaatkan oleh umat islam dalam memahami agama Allah SWT, dan dapat dinilai semula sebagai sebuah bahan Ilmiah.

اللهم أخلص نياتنا وأعمالنا ،و وفقنا لما تحبه و ترضاه ، وانفع المسلمين بما عملنا وهدنا سواء السبيل وصلى الله و سلم و بارك على سيدنا محمد و على آله و صحبه و سلم .

 

 

أبو دجانة محمد شهاب الدين بن محمد يتيم الجزاري

http://aljazary.blogspot.com

RABU 10/02/2010 [12:20 tengahari ]

 

DOWNLOAD BAHAS ILMI INI DI SINI



[1] Al-Anfal :39

[2] Menukar agama dari agama Islam kepada agama yang lain ataupun tidak berpegang dengan mana-mana pegangan agama ( Atheis )

[3] Riwayat oleh Bukhari dan Muslim (متفق عليه)  ,Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan lain-lain

[4] Al-Baqarah :30

[5] Orang yang bukan islam yang telah menjadi penduduk tetap di Negara Islam (دار الإسلام)

[6] Orang kafir yang berada di Negara islam dan membayar cukai kepada Negara Islam (دار الإسلام)

[7] Al-Israa :33

[8] Al-Baqarah: 195

[9] An-Nisaa: 29

[10] An-Nisaa: 30

[11] Seseorang dibalas dengan perbuatan yang sama dengan apa yang telah dia lakukan kepada orang lain dari bentuk-bentuk menyakiti tubuh badan, samada pembunuhan mahupun pencelakaan tubuh badan- fiqh manhaji

[12] Al-Maidah :45

[13] An-Nur :2

[14] Menuduh perempuan muslimah yang solehah sebagai penzina

[15] An-Nur :19

[16] Sayyidah Aisyah RA telah dituduh berzina dengan seorang sahabat Rasulullah SAW

[17] Al-Baqarah : 188

[18] An-Nisaa : 29

[19] Jami` Ahkamul Quran – Al-Qurtubi

[20] Al-Maidah : 33

[21] Al-maidah : 90

[22] Al-Maidah : 67

[23] Al-Baqarah : 219

[24] An-Nisa` : 43

[25] Al-Maidah : 90

[26] Al-Hadid : 17

[27] An-Nisaa: 105

[28] Salah satu kitab pengajian Syariah Islamiah Universiti Al-Azhar, Dumyat 2009/2010

[29]Pensyarah Universiti Al-Azhar, Mesir cawangan Dumyat 2009/2010