Header Ads

test

MARILAH MEMBUAT BIDAAH!!

MusliMultimedia

Persoalan bidaah selalu ditimbulkan oleh kebanyakan orang pada masa kini, namun ramai dikalangan mereka yang tidak mengetahui perihal bidaah itu. Ramai orang suka bercakap berkenaan perkara ini, namun terlalu ramai juga dikalangan mereka yang tidak mempunyai penjelasan terhadap perkara ini lantaran ketegasan mereka mempertahankan perbuatan yang diwarisi oleh nenek moyang mereka tanpa kesedaran memperjuangka Sunnah Rasulullah SAW. Ramai juga dikalangan mereka yang keliru tentang hukum berbuat bidaah, adakah ia dibolehkan mahupun tidak.

Bidaah dari sudut bahas arab bermakna : melakukan sesuatu perkara yang baru , yang belum pernah wujud sebelumnya. , manakala bidaah yang digembar-gemburkan pula sebenarnya bermakan : perbuatan baru dalam agama, yang belum pernah wujud pada zaman Rasulullah SAW, pelakunya membuat perkara itu dengan niat mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ini adalah definasi yang saya berikan atas sedikit sebanyak yang saya baca dan saya fahami dari kitab-kitab ulamak terdahulu seperti kitab Al-i`tisam karya Imam As-Syatibi.

Jika kita dapat memahami dua definasi ini, maka kita akan lebih mudah mengenalpasti perkara bidaah ataupun bukan, kerana persoalan ini bukanlah ditimbulkan oleh mana-mana puak Wahabi, Salafi, mahupun Ahbasyie, namun ia adalah sebuah persoalan yang ditengahkan oleh Rasulullah SAW :

“Jauhilah setiap perkara baru dalam Agama, kerana sesungguhnya Setiap perkara baru dalam agama itu sesat, dan kesesatan itu tempatnya adalah neraka”

Maka, kita dapat memahami bahawa kita LANGSUNG tidak  dibolehkan melakukan bidaah dalam agama kerana agama itu telah lengkap pada zaman Rasulullah SAW dan tidak perlu lagi kepada sebarang tambahan kerana wahyu telahpun terputus.

Namun, saya ingin mengutarakan pandangan Dr Yusuf Al-Qardhawi yang menyatakan : ramai orang pada zaman sekarang ini terlalu sibuk melakukan bidaah dalam agama, sedangkan peluang mereka membuat bidaah dalam perkara dunia terbuka luas.

image

Cuba kita buka mata  hati  kita seluas mungkin, kita lihat pembangunan yang dilakukan oleh kebanyakkan sahabat kita berbangsa cina di Malaysia, teman-teman kita di Amerika dan Jepun, yang membangun dengan pesat sekali lantaran terlalu optimis dengan perkara bidaah!, mereka melakukan perkara baru dalam urusan dunia sehingga mereka dipandang tinggi dan masyhur, ramai orang menjadikan mereka sebagai ikutan dan contoh teladan namun berapa kerat sangatlah dikalangan umat Islam yang optimis dengan bidaah jenis ini?

Masyarakat Islam terdahulu amat mempelopori bidaah jenis ini kerana mereka memahami akan persoalan bidaah dengan jelas, oleh itu , kita masih dapat mendengar orang ramai menyebut nama-nama ulamak Islam yang membuat bidaah dalam perkara dunia seperti Al-Khawarizmy, Ibnu Sina dan selain dari mereka.

bidaah untuk malaysia

Di Malaysia, kita amat berterima kasih kepada Dato` Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato` Seri Najib Tun Razak yang telah memberi peluang masyarakat malaysia membuat bidaah dalam urursan dunia, khususnya dalam projek Angkasawan Negara yang berjaya menghantar Dr Syeikh Muzaffar ke angkasa lepas. Walaupun ada yang mengatakan beliau hanyalah sebagai pelancong sahaja, tetapi saya berpendapat, ia adalah satu perkara bidaah yang membanggakan dan menarik minat masyarakat kepada ketamadunan dan ketinggian ilmu pengetahuan. Oleh itu, saya mencadangkan agar kita tidak melihat projek ini sebagai sebuah projek yang sia-sia hanya kerana kita beraliran bertentangan.

Tuntasnya, saya menegaskan bahawa Bidaah itu ada dua jenis yang berbeza. Pertama, bidaah dalam agama yang dilarang dan dikeji dan akan diazab perlakunya di neraka, dan kedua, bidaah dalam perkara dunia yang amat digalakkan dan amat dipuji dalam Islam. Oleh itu, saya menyeru kepada diri saya dan sidang pembaca, marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk membuat bidaah dalam urusan dunia kita semoga kita akan dipandang tinggi dalam masyarakat dunia seterusnya meninggikan nama Islam dan menggecap Redha Allah SWT di syurganya kelak.

2 comments:

Powered by Blogger.