Persoalan: Ulama tiada sebarang perselisihan dalam menyatakan kewajipan menaypu kepala ketika berwudhuk. Ini berdasarkan firman Allah :

Dan sapulah kepala kamu

Tetapi mereka berbeza pendapat dalam kadar wajib sapuan ke kepala.

tempat-wudhu

Pendapat Pertama:

Kadar wajib menyapu kepala ketika wudhuk hanyalah sebahagian sahaja. Inilah pendapat Abu Hanifah, As-Syafii, satu pendapat dari Ahmad dan Daud. Dalam kalangan mereka ini pula berbeza pendapat dalam kadar sebahagian itu. Abu Hanifah sendiri mempunyai tiga riwayat darinya, namun yang paling masyhur adalah : ¼ kepala. Yang masyhur dari sisi As-Syafii pula menyatakan, asalkan ianya dinamakan sapuan sahaja maka ianya telah memadai. Tiga helai rambut adalah amat masyhur dalam mazhab ini. Manakala Imam Ahmad menyatakan : Tidak memadai sapuan selagimana tidak menyapu rambut itu melebihi sebahagian kepala.

Hujah Mereka:

Dalam firman Allah ( وامسحوا برءوسكم ) , huruf Ba` disitu adalah ba` Lil tabidh { الباء للتبعيض } . hujah ini diterima pakai disisi mereka kerana mereka menyatakan, kebanyakan ulama telah bersepakat bahawa meninggalkan sapuan kepala adalah diharuskan. Oleh itu, lafaz ba` disitu menunjukkan sebahagian. Maka tafsir ayat tersebut sebegini: “Dan sapulah sebahagian kepala kamu”.

Mereka juga berhujahkan sebuah hadis dari al-Mughirah bin Syukbah;

Bahawasanya Nabi s.a.w. menyapu ke ubun-ubunnya dan serabnnya.

Pendapat Kedua:

Diriwayatkan dari Malik, satu riwayat dari Ahmad dan Al-Muzani bahawa mereka menyatakan bahawa kadar wajib untuk sapuan air wudhuk ke kepala adalah : keseluruhan kepala. Namun, Imam Ahmad menambah: bagi wanita, sudah mencukupi sekiranya mereka menyapu permulaan kepala.

Hujah Mereka:

Dalam firman Allah ( وامسحوا برءوسكم ) , huruf Ba` disitu adalah ba` Lil ilsaq { الباء للإلصاق }. Mereka berpendapat, kepala adalah hakikat suruhan menyapu keseluruhan kepala dalam ayat Al-Quran.

Pendapat yang terpilih:

Pendapat yang kuat adalah pendapat pertama. Kewajipan menyapu kepala hanyalah sebahagian. Manakala, sapuan keseluruhan kepala adalah disunatkan, kerana Nabi s.a.w. menyapu keseluruhan kepalanya bagi menunjukkan kelebihan perbuataan tersebut, bukanlah kerana kewajipannya. Caranya adalah dengan menyapu air dengan kedua belah tangan, bermula dari hadapan kepala sehingga ke belakang, kemudian memasukkan jari-jari ke dalam kedua telinga, dan mencucinya.