Imam al-Bukhari mempunyai guru-guru yang hebat belaka. Sejak beliau keluar dari kampungnya pada tahun 210 Hijrah, beliau telah berguru dengan ulama-ulama dunia Islam ketika itu. Ini menyebabkan ilmunya bertambah banyak dan ketaqwaannya juga meningkat.

bukhari

Antara kisah menarik yang berlaku adalah apa yang disampaikan oleh Yusuf bin Musa al-Marwazi:

“Pada ketika itu, aku berada di sebuah masjid di Basrah. Tiba-tiba aku terdengar seseorang berseru: ‘Wahai ahli ilmu sekalian! Muhammad bin Ismail al-Bukhari telah sampai !’ orang pun berpusu-pusu kearahnya, aku juga adalah antara mereka. Aku melihat seorang lelaki muda, tiada lansung keputihan dijanggutnya. Dia bersolat dibelakang al-Asthawanah. Setelah dia selesai bersolat, orang ramai bertemunya. Mereka meminta dia bersetuju untuk menghadiri Majlis Imlak[1]. Dia pun bersetuju.

Lalu bangkitlah penyeru kedua: ‘Wahai ahli ilmu! Muhammad bin Ismail al-Bukhari telah sampai , kami meminta dia bersetuju menghadiri Majlis Imlak, dia pun bersetuju untuk menghadirinya esok ditempat sekian.’

Keesokkan harinya, hadirlah para ulama hadis, hafiz al-Quran, ulama fekah dan para pengkaji –sehingga berkumpullah lebihkurang begini begini seribu orang- .

Abu Abdullah pun duduk untuk memberikan pengajian. Dia pun berkata sebelum memulakan pengajian:

“Wahai rakyat Basrah, aku adalah seorang pemuda. Anda menjemput aku untuk membacakan hadis kepada kamu. Maka, aku akan membacakan hadis dari negeri kamu supaya kamu dapat memanfaatkannya- iaitu hadis yang sebenarnya bukan dari mereka-.”

Orang ramai pun terkejut dan kagum dari kata-kata tersebut.

Lalu al-Bukhari pun memulakan pengajian, dia berkata:

‘Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Uthman bin Jablah bin Abi Rawwad al-Itki dari negeri kamu ini. Dia berkata: Bapaku telah menceritakan kepadaku, dari Syukbah, dari Mansur dan selainnya, dari Salim bin Abi Ja`ad, dari Anas bin Malik (dan dia membacakan hadis, kemudian berkata): Hadis ini sebenarnya bukanlah dari Mansur, bahkan ianya dari orang lain.’

Yusuf bin Musa berkata:

“seisi majlis mula tertarik dengan pendekatan yang digunakan al-Bukhari. Dia berkata dalam semua hadis: diriwayatkan dari kamu hadis yang sebegini, tetapi riwayat yang sebenarnya adalah sebegini”

Benarlah kata-kata Muhammad bin Khumairuwiyah:

“Aku telah mendengar al-Bukhari berkata: Aku telah menghafal 100 ribu hadis sahih dan 200 ribu hadis tidak sahih.”


[1] Majlis pembacaan hadis