Ada dikalangan umat Islam mendefinasikan jihad sebagai (Peperangan:القتال ) sedangkan makna jihad lebih luas berbanding makna peperangan.

jihad

Jihad menurut bahasa Arab membawa maksud: Mencurahkan kesungguhan dalam melakukan sesuatu.

Allah Taala berfirman:

وَأَقْسَمُوا بِاللَّهِ جَهْدَ أَيْمَانِهِمْ

Mereka itu bersumpah dengan nama Allah, dengan keimanan yang bersungguh-sungguh.

[al-An`am: 109]

Dr. Muhammad Naim Yasin telah membahagikan Jihad dari segi Syarak kepada dua bahagian, beliau berkata:

Dalil yang tersangat banyak dari al-Kitab (al-Quran) dan sunnah telah menjelaskan penggunaan syarak terhadap jihad kepada dua makna: Salah satunya (1) Umum, dan selebihnya (2) Khusus.”

Makna Jihad dari segi keumumannya mencakupi segala perkara yang dilakukan bagi meninggikan agama Allah. Seperti: Berniaga untuk mengangkat ekonomi umat Islam, memajukan bidang astronomi bagi menjadikan keilmuan Islam mendahalui ilmu-ilmu yang lain.

Allah Taala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ (10) تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Wahai orang beriman! Mahukah kamu semua seandainya aku tunjukkan kepada kamu semua tentang satu perniagaan, yang akan dapat menyelamatkan kamu dari siksaan pedih (Api Neraka)? (Ianya adalah) : Kamu beriman dengan Allah, dan RasulNya, serta kamu berjihad di jalan Allah dengan harta, dan diri-diri kamu. Ianya amat baik buat kamu, seandainya kamu mengetahui.

[as-Shoff: 10-11]

Manakala, Jihad yang khusus adalah jihad di medan perang. Memerah keringat dan menggunakan senjata bagi menumpahkan darah orang yang menentang agama Allah dan membuat kekacauan di muka bumi.

Jihad dalam makna khusus lebih berat perlaksaannya. Ia memerlukan pengorbanan yang tinggi. Oleh itu, Allah Taala berfirman:

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Apakah kamu semua menyangka bahawa dengan memberi minum kepada jemaah haji dan menguruskan Masjidil Haram, kamu akan dapat sama seperti orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, serta berjihad di jalan Allah? ianya tidak akan sama disisi Allah. Dan Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada kaum yang zalim.

[at-Taubah: 19]

Dr Yusuf al-Qaradhawi pula membahagikan Jihad kepada tiga bahagian:

(1)            Jihad menentang musuh yang kelihatan jelas

(2)            Jihad menentang syaitan

(3)            Jihad menentang hawa nafsu

Ketiga bahagian ini terkandung dalam ayat berikut:

وَجَاهِدُوا فِي اللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِ

Dan berjihadlah kerana Allah dengan sebenar-benar jihad.

[al-Hajj: 78]

وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Berjihadlah dengan harta dan diri-diri kamu di jalan Allah.

[at-Taubah: 41]

Rasulullah berkata:

جَاهِدُوا الْمُشْرِكِينَ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ وَأَلْسِنَتِكُمْ

Berjihadlah terhadap orang yang menyekutukan Allah dengan harta-harta kamu, dan diri-diri kamu, serta lidah-lidah kamu.

[Direkod oleh Abu Daud: 2506]

Setelah memberi pembahagian jihad, Dr Yusuf al-Qaradhawi telah memberi definasi jihad yang amat sempurna:

Mengorbankan kesungguhan dan tenaga dalam peperangan di jalan Allah dengan diri sendiri, atau membantu jihad dengan harta, pendapat, lidah (ucapan), atau memperbanyakkan kelompok (orang berjihad), atau selainnya.

Bercakap soal jihad sememangnya mudah, namun untuk mencurahkannya tidaklah semudah yang disangka. Orang yang berjihad mengorbankan sesuatu yang berharga dalam diri mereka.

Cinta mampu menjadikan jihad itu mudah!

Cinta kepada Allah dan RasulNya sahaja yang dapat melonjakkan semangat muslim untuk berjihad.