Rasulullah berkata: 

Bahawasanya, setiap amalan beserta dengan niat, dan setiap orang (dikira) berdasarkan niatnya.

[Direkod oleh al-Bukhari: 1]

niat-hati

Wahai sahabatku.. Marilah sama-sama kita membuka lembaran baru disisi Allah Taala. Lembaran baru yang dimulakan dengan puasa. Lembaran baru yang disinari dengan cahaya Ramadhan. Lembaran baru ini dimulakan dengan tekad: Puasa kali ini tidak akan sama seperti puasa pada tahun-tahun lalu. Ianya bukan sekadar ibadah tahunan, namun ia ibadah keimanan. Semoga puasa kita terhasil dari curahan hati nurani yang dalam. Semoga hati nurani kita dipenuhi dengan niat dan keinginan yang baik-baik sahaja. Semoga kita dapat menghayati Ramadhan dengan niat ketaqwaan. Semoga kita menghidupkan Ramadhan dengan keinginan dan harapan kepada kelebihan-kelebihan yang Allah tawarkan. Semoga….kita berpuasa kerana cinta kepada Allah Taala.

v  Nasihat Ramadhan

Allah Taala berfirman:

Setiap jiwa bernyawa akan merasai kematian.

[Ali `Imran: 185]

Tiada suatu jasadpun yang akan berbaki, melanikan kesemuanya akan berhadapan dengan kematian. Setiap jasad akan merasai keluarnya roh dari tubuhnya. Oleh itu, apakah bekalan yang kita telah sediakan untuk menghadapi hari tersebut?

Wahai sahabatku… Tiada persediaan yang lebih penting melainkan persediaan taubat dan amalan kebaikan.