Ketika dilahirkan, saya bertuah kerana memiliki ibu dan ayah yang ikhlas mendidik, memelihara dan mengasuh dengan baik. Kemudian, saya juga bertuah kerana memiliki saudara mara dan para sahabat yang Ikhlas mendampingi saya. Saya memiliki 6 orang abang yang sangat mengambil berat perihal pendidikan dan kebajikan adik-adiknya, saya memiliki 3 orang kakak yang tidak pernah bersungut ketika menjaga adik-adiknya tatkala ayah pergi ke laut membanting tulang dan emak menolak basikal buruknya menjual makanan dan kuih mueh bagi sesuap nasi.

Ocean_Hope_1280x800

Setelah berumur 13 tahun, keikhlasan orang sekeliling semakin dirasai apabila saya dimasukkan ke sebuah sekolah agama terkenal, SMAKJ, Kluang, Johor. Sekolah yang menelan belanjawan diluar kemampuan keluarga kami, tetapi syukur keikhlasan kakak ipar dan abang saya amat membantu semua belanjawan tersebut. Disana, saya memiliki ramai rakan-rakan yang ikhlas menuntut ilmu, ikhlas berganding bahu, dan ikhlas berperanan. Bahkan, sewaktu di tingkatan lima, saya sangat gembira kerana telah mendapat saguhati yang ikhlas secara peribadi dari seorang guru disiplin yang garang dan digeruni.

Saya meneruskan lagi kehidupan, lantas saya berjaya menyertai PLKN. Disana, saya mengenal keikhlasan teman dengan lebih rapat tanpa mengira kaum dan pegangan agama, namun ikhlas masih tetap menjadi tajuk utama. Sehingga kini, keikhlasan itu masih tertaut di laman-laman Facebook.

Setelah 2 bulan 10 hari saya berada di dalam Kem Tasik Meranti, Perlis, saya keluar menjegah alam dakwah dengan diperkenalkan dengan sebuah sekolah yang berjaya mengikat hati saya dengan utuh, MATRI. Guru yang berniat Ikhlas, murid yang teguh perjuangan kerana Allah dan setiap pekerja yang jelas matlamatnya. Saya sangat gembira dikelilingi manusia yang ikhlas. Bahkan, seolahnya saya telah menjumpai matlamat kehidupan yang baru disana… syukur juga kerana saya bertemu dengan rakan-rakan yang sangat membantu, Cikgu Saiful, Syakir, Yat, Anas, Usamah, Azri, Sahil, dan lain-lain.

Setelah tamat STAM, saya berpeluang mengajar di SMIK, sebuah sekolah di Jln Kebun, Seksyen 30, Shah Alam. Disana, saya bertemu tenaga pengajar yang membanting tulang bekerja untuk dakwah dengan segala kemampuan bagi merealisasikan kalimah “Ikhlas”. Saya juga bertemu dengan anak-anak murid yang pelbagai kerenah, namun kesemuanya mempunyai keikhlasan yang masing-masing.

Kini, saya berada dibumi Anbiya`. Di tahun 3 kuliah Syariah Islamiah. Saya menemui lebih ramai orang yang ikhlas, dan hidup dengan Ikhlas...

Pemergian ibu terubat dengan seorang ibu yang lain.. bahkan meragut sejuta keikhlasannya bagi menampung pengajian saya disini… terima kasih umi, abah dan keluarga.

Doakan, semoga saya juga menjadi orang yang Ikhlas… seperti mereka..

Rasulullah bersabda:

Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khottob radiallahuanhu, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah saw bersabda :

“Sesungguhnya setiap  amal perbuatan itu tergantung niat-niatnya.  Dan  sesungguhnya  setiap  orang  (akan dibalas)berdasarkan apa yang dia niatkan. Maka siapa yang hijrahnya karena (ingin mendapatkan keridhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keridhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya karena dunia yang dikehendakinya atau karena wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan.”

[Direkod Oleh Bukhari dan Muslim]

Terima Kasih “rakan FB” kerana mengenangkan kembali dunia ikhlas dalam berjuang ..