Sambutan Aidil Adha 1432H dirasakan meriah dengan pelbagai binatang korban dan masakan lauk pauk yang enak-enak. Diserikan lagi dengan beberapa helai pakaian baru yang menyejukkan mata memandang. Kambing ditumbangkan, lembu direbahkan, begitu juga si unta. Pelbagai situasi dan gambaran direkodkan pada tahun ini. Namun, adakah ia telah berjaya mencapai maksud “Sebuah Episod Pengorbanan”?

Sahabat-sahabat Halaqah Maya yang dirahmati Allah sekelian,

Maklum mengetahui sejarah hebat yang berlaku disebalik peristiwa Aidil Adha, keteguhan dua insan yang bergelar Nabi mempertaruhkan nyawa dan kasih sayang hanya kerana kecintaan kepada Allah yang Esa.

Allah Taala berfirman:

Maksudnya:

Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaa`llah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.

[As-Shoofat: 102]

Demikianlah hebatnya kecintaan Nabi Ibrahim dan Ismail, wahyu Allah mendahului kepentingan masing-masing.

KEMBALI KE TAHUN 2011

Itu adalah peristiwa yang berlaku ribuan tahun yang lepas. Mari kita kembali ke tahun 2011. Pada tahun yang menyaksikan pelbagai pengorbanan jiwa rakyat arab membela nama keadilan. Kerajaan Tunisia yang diktator dan korupsi dijatuhkan oleh rakyat dan tenteranya, kemudian merebak ke negera Mesir dengan kejatuhan si penzalim yang penuh megah, jatuh juga Qazzafi si pemerintah yang membunuh ribuan manusia atas nama “Derhaka”. Inilah yang disifatkan oleh ulama seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi (Ketua kesatuan Ulama Sedunia), Dr. Ali al-Qaradaghi (Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Sedunia), dan Dr. Ahmad Thayyib (Al-Imam al-Akbar Al-Azhar) sebagai “Musim Bunga Tanah Arab”.

clip_image006

Sahabat-sahabat Halaqah Maya yang dirahmati Allah sekelian,

Kejayaan menggulingkan pemerintah zalim bukanlah kejayaan yang mampu dikecapi sekadar dengan tulisan lembaran kertas, ataupun dengan perjanjian-perjanjian.. tetapi ia menagih darah dan pengorbanan yang cukup besar. 1 nyawa dititiskan di Tunisia, beratus-ratusnya ditiskan di Mesir, beratus juga di Libya.. kini.. Syria dan Yaman juga sedang menghadapi situasi yang sama.. mereka sedang berusaha bekorban dan memberi sepenuh tenaga untuk mencapai sebuah rentetan “Episod Pengorbanan”.

Perjuangan jenis itu hanya dikenali oleh para pejuang sejati,dan sering menjadi perkara pelik buat si pengecut dan pengampu!

Hari ini adalah hari raya buat kita.. Hari bergembira buat seluruh umat Islam. Walau apapun yang terjadi pada hari ini, semuanya telah tersurat di Lauh Mahfuz. Hari ini adalah hari kita menilai kembali, apakah prinsip kita sebagai pejuang? Adakah hanya melihat kerosakan? Atau mengampu orang berkepentingan? Atau membulatkan perjuangan kerana Allah?

Pilih dan buatlah keputusan sendiri.

AYUH GERAKAN DAKWAH DI DUNIA MAYA!

Sahabat-sahabat Halaqah Maya yang dirahmati Allah sekelian,

Halaqah Maya ditubuhkan dengan kesedaran bahawa dakwah Islamiah tidak mampu digerakkan berseorangan, ia memerlukan bantuan dari setiap orang Islam, dengan itu Halaqah Maya mencari para pemodal-pemodal dakwah dalam bidang penulisan blog, penyebaran Facebook dan Twitter, Pengiklanan Tv HM, hebahan Radio HM, dan lain-lain lagi bagi merealisasikan tujuan mememartabatkan dakwah.

Tugasan dakwah adalah tugasan yang tersangat mulia, ia menjadi kerja yang utama buat seluruh umat Islam. Allah Taala berfirman:

Maksudnya:

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang salih, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari rang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”

[Fussilat: 33]

Halaqah Maya juga bukanlah milik individu, ia adalah milik kita semua.. kita berhak menentukan arah tuju Halaqah Maya berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Oleh itu, saya merasakan falsafah “Use What You Have” adalah suatu falsafah yang bermakna buat seluruh pemodal-pemodal dakwah Halaqah Maya.

Akhir kata dari saya,teruskanlah berbakti untuk Agama Allah, dan bertukus-lumuslah berjuang kerananNya..Semoga Aidil Adha kali ini memberikan kita jiwa yang penuh pengorbanan.

Salam Aidil Adha 1432H.

 

Syihabudin Ahmad My,

Mas`ul Halaqah Maya,

10 Dzulhijjah 1432H, 8.56 Malam,

Dumyat, Mesir.