Puasa

Para ulama telah bersepakat bahawa puasa Asyura dan Tasu`a adalah puasa sunat. Puasa Asyura adalah puasa pada 10 Muharam, manakala puasa Tasu`a pula adalah pada 9 Muharam.

Nabi saw pernah bercakap tentang kelebihan puasa Asyura:

Allah menghitung (ganjaran pahala puasa tersebut) dengan dibersihkan dosa (orang yang berpuasa pada hari tersebut) selama setahun sebelumnya.

[Diriwayatkan oleh Muslim]

Begitu juga Nabi saw pernah berkata:

Hari ini adalah hari Asyura, tidak diwajibkan kepada kamu semua untuk berpuasa, maka siapa yang mahu maka berpuasalah, siapa yang mahu (tidak berpuasa) maka tidak berpuasalah.

[Diriwayatkan oleh Al-Bukhari]

Sesungguhnya puasa Hari Asyura pernah diwajibkan pada permulaan Islam, kemudian hukum tersebut telah dimansuhkan dengan kewajipan Puasa Ramadhan. Nabi saw memberi pilihan kepada umat islam untuk berpuasa pada hari tersebut.

KELEBIHAN PUASA ASYURA

Sepertimana yang telah disebutkan dalam hadis di atas, puasa Hari Asyura dapat menghapuskan dosa-dosa kecil setahun yang lalu.

Imam ad-Dasuqi berkata: Seandainya dosa-dosa kecil itu tidak ada, maka ia digantikan dengan penghapusan dosa-dosa besar pula selama setahun.. sekiranya dosa-dosa besar pun tidak ada, maka darjatnya (disisi Allah) akan diangkat.

GALAKAN PUASA 9 MUHARAM

Para ulama Hanafiah telah menyatakan kemakruhan berpuasa hari Asyura tanpa berpuasa pada hari sebelumnya (Hari Tasu`a) atau selepasnya.

Mazhab Hanafi dan Maliki pula tidak memakruhkan puasa tunggal sedemikian.

Sebahagian ulama yang menggalakkan puasa hari ke 9 bulan Muharam berdasarkan hujah berikut:

1-      Bagi membezakan ibadah umat Islam dan orang Yahudi.

Rasulullah pernah bersabda:

Berpuasalah pada hari Asyura, dan berbezalah dengan orang Yahudi dengan berpuasa sebelumnya selama sehari, atau selepasnya selama sehari.

[Diriwayatkan oleh Ahmad]

2-      Untuk menyambung puasa hari Asyura dengan ibadah puasa juga, sepertimana tegahan berpuasa tunggal hari Jumaat.

3-      Berjaga-jaga dengan kesalahan hari. Boleh jadi hari kesembilan tersebut adalah hari kesepuluh, jika berlaku kesalahan dalam mengira anak bulan.

Ulama dalam Mazhab Syafiie dan Hanafi pula menggalakkan puasa pada hari ke 11 Muharam sekiranya tidak sempat berpuasa pada hari ke 9. Bahkan, Asy-Syarbini menyatakan bahawa: Terdapat bukti dari Imam Asy-Syafiie yang menyatakan galakan berpuasa selama tiga hari (9, 10, 11 Muharam) di dalam kitab al-Uum dan al-Imla`.

RUJUKAN

Al-Mausu`ah Al-Fiqhiyyah, Kementerian Waqaf dan Hal-Ehwal IslamKuwait, Jilid 29, ms 89-90, Kuwait, 1993.