Pertanyaan :

Apakah yang dimaksudkan dengan kaedah yang disebutkan oleh Imam Hasan al-Banna : “Kita saling bantu-membantu pada perkara yang kita sepakati, dan kita memberi kelonggaran (excuse) pada perkara yang kita perselisihi”?

KBE

Jawapan:

Kaedah ini disebutkan oleh ramai orang sebagai “Kaedah Bersalut  Emas” (القاعدة الذهبية). Pada asalnya kaedah ini dibawakan oleh as-Syeikh Rasyid Ridha yang menguruskan surat khabar/risalah al-Mannar, kemudian konsep ini dibawakan semula oleh Imam al-Banna di dalam surat-surat dan ceramah-ceramahnya sehinggakan ramai orang menyangka bahawa ia adalah kata-kata al-Imam al-Banna.

Penjelasan: Konsep ini mempunyai 2 fasa, fasa pertama adalah Kita saling bantu-membantu pada perkara yang kita sepakati”.

Fasa ini membawa maksud kesatuan umat Islam pada kerja-kerja baik bagi membangunkan agama yang mulia ini. Ini adalah kerjasama wajib selagimana ia diiktiraf oleh syarak. Ia terbuka kepada seluruh umat Islam dalam apa jua lapangan pemikiran, politik, mahupun mazhab. Allah Taala berfirman:

Maksudnya:

Saling bantu-membantulah kalian dalam perkara yang membawa ketaqwaan dan janganlah kalian saling bantu-membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.

[Al-Maidah:2]

Fasa ini tidak membawa maksud umat Islam akan bekerjasama dalam segala hal yang mereka sepakati walaupun dalam perkara salah-ini adalah suatu yang mustahil! kerana umat Islam tidak akan berkumpul untuk mengerjakan kesesatan. Rasulullah saw bersabda:

Sesungguhnya Allah tidak akan mengggumpulkan umatku dalam (melakukan/membincangkan) perkara sesat.

[Diriwayatkan oleh Tirmizi - Sahih menurut al-Albani].

Manakala dalam fasa kedua konsep ini pula menyebut: “kita saling memberi kelonggaran (excuse) pada perkara yang kita perselisihi”

Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan bahawa fasa kedua ini mempunyai pelbagai tafsiran sehinggakan ia diperbaharui semula oleh Syeikh Abdul Halim Muhammad Abu Syaqqah rh yang menyebutkan kaedahnya:

“Kita saling bantu-membantu pada perkara yang kita sepakati dan kita saling berbincang pada perkara yang kita perselisihi”.

Mengapa kaedah baru itu muncul? Kerana dalam fasa kedua kaedah pertama terlalu umum sehinggakan mungkin berlaku kekeliruan. Tidak semua perselisihan / perkara yang kita tidak bersepakat itu boleh diberikan kelonggaran (excuse)seperti bidaah dalam akidah, kesesatan pemikiran dan sebagainya. Namun pada sebahagian perkara ia boleh dilonggarkan seperti perbahasan cabang fekah dan sebagainya.

Oleh itu, ketika Dr Yusuf al-Qaradhawi membuka lapangan penyatuan antara Syiah-Sunnah, beliau telah meletakkan perkara asas yang perlu disepakati oleh kedua puak ini, bahkan beliau turut membuka pintu perbincangan dengan Syiah dalam perkara-perkara yang jelas-jelas membawa kemungkaran dan bertentangan dari asas utama Islam.

Jelas disini, setelah wujud persamaan-persamaan, konsep baru ini membuka minda umat Islam untuk menilai pula pada perkara yang saling mereka perselisihkan , adakah ia boleh diterima atau ditolak atau berlapang dada.

Kaedah Bersalut Emas ini boleh digunakan oleh umat Islam dalam pelbagai sektor kehidupan dengan diberi kata kunci kaedah:

“Kita saling bantu-membantu pada perkara yang kita sepakati, dan kita saling berbincang pada perkara yang kita perselisihi”

Tuntasnya, Umat Islam boleh bersatu kerana banyak faktor, antaranya adalah:

1)      Kita saling bersepakat dengan keteguhan iman kepada Allah, Hari Akhirat dan kenabian Muhammad saw. Ia adalah asas agama yang utama.

2)      Kita saling bersepakat bahawa al-Quran adalah buku panduan yang terbaik yang dianugerahkan kepada manusia.

3)      Kita saling faham akan kewajipan syahadah, kewajipan solat, puasa, zakat, dan haji di bumi Makkah.

4)      Kita saling bersepakat bahawa melakukan perkara baik itu adalah tuntutan agama.

5)      Kita saling bersepakat bahawa perpecahan sesama umat Islam itu hanya membawa keburukan dan keseronokan musuh-musuh Islam.

Semoga jawapan ringkas ini dapat merungkai kesulitan  soalan yang diberikan. Wallahualam.

__________________________

Penulis: Syihabudin Ahmad MY

Posisi: Mas`ul Halaqah Maya