Dalam era globalisasi ini, umat Islam tidak hanya hidup dan bergaul dengan orang Islam sahaja, bahkan mereka bergaul dan berkomunikasi dengan yang bukan Islam dari pelbagai bangsa, agama, dan budaya.

[www.win-7themes.blogspot.com] (8)

Antara mereka, ada yang mempunyai persamaan bangsa, budaya, rupa kulit, dan cara komunikasi yang berkongsi dengan umat Islam. Mereka ini adalah saling bersaudara atas nama “Manusia”. Semua manusia perlu beribadah kepada Allah Taala, semua manusia berasal dari Nabi Adam as, inilah apa yang disebutkan oleh Nabi saw ketika baginda berkhutbah dalam Haji Perpisahan.

“..Wahai umat Manusia, sesungguhnya Tuhan kalian adalah satu, dan bapa kamu juga satu. Ketahuilah, tidak ada kelebihan bagi orang arab atas orang yang bukan arab, dan orang yang bukan arab atas orang arab, tidak juga bagi orang (berkulit) hitam atas orang yang (berkulit) merah, dan tidak juga orang (berkulit) merah atas orang (berkulit) hitam melainkan ketaqwaan kepada Allah swt...”

[Hadis Riwayat Ahmad]

Sekalipun orang yang mendengar ucapan Rasulullah saw di atas kesemuanya adalah orang Islam, tetapi ia ditujukan kepada seluruh manusia sama ada Islam mahupun kafir. Manusia keseluruhannya bertuihankan Allah yang satu, berasal dari ayah yang sama, dan tiada kelebihan bagi mana-mana manusia pun melainkan hanya atas ketaqwaan. Hadis ini bertepatan dengan Firman Allah swt yang sering disebut-sebutkan oleh para ustaz dan ustazah disekolah, universiti, Tv, Radio dan sebagainya. Ia juga menjadi nukilan dan buah modal buat para daie sepanjang zaman. Firman Allah Taala:

“Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih berketurunan atau bangsanya)..”

[Al-Hujuraat: 13]

Begitu juga, ucapan Nabi saw pada hari tersebut dikuatkan lagi dengan ayat Al-Quran berikut, yang menghubungkan ikatan manusia antara satu sama lain. Firman Allah Taala:

“Wahai sekelian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripadanya (Adam) itu pasangannya (isterinya- Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya –zuriat keturunan- lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan rahim kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.

[An-Nisaa`: 1]

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berkomentar tentang ayat ini :

“...adalah lebih layak kalimah (الأرحام) dalam ayat ini adalah : ia meliputi –pada apa yang sesuai- hubungan rahim antara sesama manusia yang terikat antara sesama manusia..”

Dalam dunia ini, bukan hanya wujud ikatan persaudaraan antara sesama agama sahaja, tetapi terdapat juga ikatan ukhuwah antara sesama bangsa, kaum dan puak yang tidak pernah ditegah oleh Islam. Bahkan Islam mengiktirafnya berdasarkan ayat-ayat al-Quran yang telah lalu. Namun demikian, tidak dinafikan bahawa ikatan persaudaraan atas nama agama itu adalah lebih mendalam dan lebih kuat.

Jika kita menghayati ayat-ayat al-Quran, kita akan dapati begitu banyak petunjuk wahyu menunjukkan pengiktiran Islam terhadap persaudaraan kaum dan bangsa.

1-       Persaudaraan Nabi Nuh as dan kaumnya, sekalipun mereka tidak Islam.

“Kaum Nabi Nuh telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka). Tatkala saudara mereka – Nabi Nuh, berkata kepada mereka : “Hendaklah kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya. Sesungguhnya aku ini ialah Rasul yang amanah, (yang diutuskan oleh Allah) kepada kamu.”

[Asy-Syu`araa`: 105-107]

Kaum Nabi Nuh as mereka tidak Islam, bahkan mereka tidak mengiktiraf Nabi Nuh as, namun Al-Quran tetap menyatakan bahawa mereka adalah saudara Nabi Nuh as. Tidak syak lagi, ia adalah persaudaraan antara kaum. Nabi Nuh as sebahagian dari mereka, dan mereka sebahagian dari Nabi Nuh as.

2-       Persaudaraan Nabi Hud as dan Kaum `Aad.

“Kaum `Aad telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutuskan kepada mereka). Tatkala saudara mereka – Nabi Hud, berkata kepada mereka: “Hendaklah kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.”

[Asy-Syu`araa`: 123-124]

3-      Persaudaraan Nabi Salih as dan Kaum Thamud.

“Kaum Thamud telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutuskan kepada mereka). Tatkala saudara mereka – Nabi Salih, berkata kepada mereka: “Hendaklah kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.”

[Asy-Syu`araa`: 141-142]

4-      Persaudaraan Nabi Lut as dan kaumnya.

“Kaum Nabi Lut telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutuskan kepada mereka). Tatkala saudara mereka – Nabi Lut, berkata kepada mereka: “Hendaklah kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.”

[Asy-Syu`araa`: 160-161]

5-      Persaudaraan Nabi Syu`aib as dan Penduduk Negeri Madyan.

“Dan kepada penduduk Madyan (Kamu utuskan) saudara mereka Nabi Syu`aib. Ia berkata: “Wahai kaumku, Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya..”

[Al-A`raaf: 85]

Justeru, setelah kita memahami akan wujudnya persaudaraan lain selain persaudaraan agama, maka hendaklah kita saling berdekatan antara satu sama lain, dan menghilangkan jurang antara umat Islam dan bukan Islam sehingga ia tidak menjadi modal buat orang yang berhati jahat untuk menyebarkan fitnah permusuhan.

Setiap kita (sama ada Islam atau bukan Islam) hendaklah saling bantu membantu antara satu sama lain sebagai rakyat dalam negara, pekerja dalam syarikat, dan anggota dalam organisasi.

Para daie hendaklah menjadi tokoh dan teladan dalam perkara ini. Hendaklah para daie menghilangkan bau-bauan perkauman yang membangkitkan permusuhan, pertelingkahan antara agama yang merosakkan, kerana semua itu hanyalah kerugian pada Ummah.

Realiti sekarang, Umat Islam memasuki dunia berpolitik. Maka akan wujud individu dan kumpulan yang mempunyai persamaan politik dan pemikiran. Namun semua itu perlulah dikawal dan dijaga sehingga ia tidak melampaui had batasan kasih sayang sesama manusia.