Soalan sebegini sebenarnya tidak perlu lagi dipanjang-panjangkan kerana telah jelas kepada kita akan munculnya tiga pihak setelah ia disebar-sebarkan:

1-      Kumpulan Menyatakan Ibubapa Nabi saw ke Syurga

2-      Kumpulan Menyatakan Ibubapa Nabi saw ke Neraka

3-      Kumpulan Yang Berseronok Untuk Mengkafirkan Sesama Umat Islam.

Sebelum kita memulakan perbahasan ini, suka dijelaskan bahawa: Isu ini tidaklah melintasi garisan kafir mengkafir antara sesama umat Islam. Kerana ia bukanlah termasuk dari salah satu dari rukun-rukun Islam mahupun hujah Ijmak yang disepakati oleh para cendekiawan Islam. Malahan, ulamak yang berbeza dalam hal ini tersangatlah ramai sekali.

Jika ada yang mahu mengkafirkan orang dalam pandangan ke dua: ingatlah, bahawa Imam Mazhab kita, Imam Nawawi RH juga termasuk dalam kumpulan ini.

Jika ada yang mahu membangkitkan permusuhan terhadap kumpulan pertama: Sedarlah bahawa Imam As-Sayuti & Imam Ar-Razi RH juga termasuk dalam kumpulan ini.

Justeru, ayuhlah kita sama-sama membuka minda untuk saling berlapang dada dalam masalah khilaf ini dan kita jadikan ia sebagai penambah amalan dan jalan menguatkan ikatan silatur rahim antara kita.

Islamic

Pandangan Pertama: Ibu Bapa Nabi saw ke Syurga

Hujah 1 : Antara sengkang waktu Nabi Isa as dan Nabi Muhammad saw, tidak ada seorang nabi pun. Oleh itu, manusia yang berada pada waktu itu tidak dikenakan sebarang azab kerana tergolong dalam kumpulan yang dikecualikan kerana tidak sampai dakwah kepada mereka. Kumpulan ini dinamakan (Ashabul Fatrah). Pandangan ini dipegang oleh Mufti Mesir, Syeikh Ali Gom`ah.

Hujah 2 : Ibu dan Bapa Nabi saw beriman dengan agama Al-Hanif (Agama Nabi Ibrahim as). Imam Fakhruddin Ar-Razi antara yang memegang pendapat ini.

Firman Allah Taala :

“Sesungguhnya orang Musyrik itu adalah najis”

[At-Taubah : 28]

Kata Imam Ar-Razi : Maka wajiblah tidak ada seorang pon dari datuk-datuk (dan bapa) nabi saw itu Musyrik.

Hujah 3 : Kedua ibubapa Nabi saw dibangkitkan semula setelah mereka mati, lalu mereka beriman setelah itu. Namun pendapat ini ternyata jauh menyimpang dari sudut ilmiah dan logik akal manusia. Maka, pendapat ini tidak sesuai digunakan.

Pandangan Kedua: Ibu Bapa Nabi saw ke Neraka

Hujah : Jelas dari hadis yang sahih riwayat Imam Muslim mengatakan mereka ke neraka. Pandangan ini dipegang oleh Imam Nawawi RH.

Penguat Hujah :

Hadis 1 :

Daripada Anas r.a. bahawa seorang lelaki bertanya, "Wahai Rasulullah, di manakah ayahku?" Jawab Nabi, "Di dalam neraka." Apabila lelaki itu berpusing untuk pergi, Baginda memanggilnya lalu berkata, "Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di dalam neraka."

[Hadis Riwayat Muslim]

Berkata al-Imam al-Nawawi r.a. dalam Syarah Sahih Muslim :

"Petunjuk dalam hadith ini: bahawa sesiapa yang mati dalam keadaan kafir maka dia di dalam neraka dan dia tidak dapat disyafaatkan oleh hubungan kekeluargaan ahli keluarganya yang dekat. Petunjuk lain: bahawa sesiapa yang mati dalam tempoh 'fatrah' berdasarkan amalan masyarakat Arab yang menyembah berhala maka dia adalah di kalangan ahli neraka; ini bukan merupakan hukuman sebelum tibanya dakwah kerana sesungguhnya mereka itu telahpun sampai dakwah Nabi Ibrahim dan nabi-nabi lain kepada mereka "

Perbincangan : Sebahagian ulama yang tidak bersetuju dengan pandangan ini menjelaskan bahawa, walaupun hadis ini sahih tetapi ia tidak sarih/jelas kerana mereka menafsirkan “Bapa” sebagai Datuk atau Bapa Saudara iaitu Abu Talib  dan Abdul Mutalib yang nyata termasuk dalam golongan ahli neraka.

Firman Allah;

قَالُوا نَعْبُدُ إِلَهَكَ وَإِلَهَ آَبَائِكَ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِلَهًا وَاحِدًا وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

Maksudnya;

            “Mereka menjawab: "Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan BAPA-BAPA KAMU, Ibrahim, Ismail dan Ishaq, (yaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya" (Surah al-Baqarah, ayat 133)

Hadis 2 :

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Aku telah meminta izin Tuhanku agar aku boleh meminta ampun untuk ibuku tetapi Dia tidak mengizinkan untukku. Aku juga telah meminta izinNya agar aku dapat menziarahi kuburnya lalu Dia mengizinkan untukku."

[Hadis Riwayat Muslim]

Berkata Pengarang 'Awn al-Ma'bud Syarah Sunan Abu Daud:

"tetapi Dia tidak mengizinkan untukku" kerana ibunya adalah kafir dan meminta ampun untuk orang kafir adalah dilarang."

Berkata al-Imam al-Nawawi dalam Sahih Muslim:

"Petunjuk dalam hadith ini: larangan meminta ampun untuk orang-orang kafir."

Kesimpulan

Setelah kita mengetahui hujah dan bukti yang duguna pakai oleh para ulamak, maka kita dapati bahawa ia masih perkara khilaf yang beredar sekitar perbahasan ilmiah. Ia tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadap amalan kita, dan tidak pula mengurangkan cinta kita kepada Nabi saw.

Lihat saja berapa banyak Nabi dan keturunannya yang telah Musyrik, tetapi kita masih boleh bertenang.

(1)    Nabi Ibrahim, seorang manusia, rasul, dan nabi yang sangat mulia.. termasuk salah seorang dari nabi Ulul Azmi... bahkan baginda digelar "Khalilullah" kekasih Allah... tetapi, bapanya bukan seorang Islam (rujuk : At-Taubah: 114),

(2)    Nabi Luth as, seorang nabi yang ulung, menentang arus keseluruhan kaum zamannya,, tetapi, isterinya seorang kafir. (Rujuk: Al-Hijr: 58-60)

(3)    Nabi Nuh as, seorang yang sangat mulia dan sangat agung.. tetapi anaknya seorang kafir. anak yang lahir dari tulang sulbinya sendiri.. (Rujuk: Hud: 45-46)

Syed Qutb menyebut dalam kitabnya Az-Zilal m/s:2202 :

                “Perdebatan dengan gaya yang terbaik itu : adalah tanpa membawa kesalingan berbeza, tidak menolak, dan memburuk-burukkan. Sehingga membawa ketenangan pada diri daie, dan dia merasai bahawa tujuannya bukanlah untuk menang dalam perdebatan, tetapi untuk meyakinkan dan membawa kepada kebenaran. Jiwa manusia ini mempunyai keangkuhan dan kedegilannya, dan ia tidak boleh dihilangkan dari pendapat yang mempertahankannya melainkan dengan kelembutan, sehingga ia tidak merasai kekalahan. Nilai pandangan  itu sangat cepat bercampur dengan jiwa  dan nilainya ada pada sisi manusia, merendahkan pandangan merupakan perendahan terhadap kebolehannya, kemuliaannya, serta keberadaannya. Perdebatan dengan gaya terbaik adalah yang mampu menundukkan keangkuhan emosi ini. Kedua pendebat perlu merasai dirinya terkawal, nilai dirinya mulia. Daie itu tidak bermaksud melainkan menyingkap kebenaran dalam zatnya, dan menenangkan kebenaran tersebut, pada jalan Allah, bukan pada jalan dirinya sendiri , bukan mahu  memenangkan pandangannya, dan bukan mahu mengalahkan pandangan pihak lain.”

_________________
Rujukan :
1) Syarah Sahih Muslim, Imam An-Nawawi.
2) `Aunil Ma`bud Syarah Sunan Abi Daud
3) Fi Zilalil Quran, Sayyid Qutb
4) Kenyataan Akhbar Mufti Mesir : (Klik)
5) Islamqa (Klik)
6) Laman Rasmi Ustaz Wan-Ji Al-Bakistani (Klik)
7) Laman Rasmi Dr. Fadhlan Mohd Othman (Klik)