Sebahagian umat Islam di Malaysia menyangka hanya mereka sahaja yang menduduki bumi Malaysia, dan mempunyai hak total yang langsung tidak boleh dikongsikan. Padahal, negara Malaysia terdiri dari kalangan Umat Islam, penganut agama Buddha, Kristien, Sikh, dan sebagainya. Mereka ini juga rakyat Malaysia yang mempunyai hak yang sama-sama perlu dibela.

Sebahagian umat Islam ini menggunakan istilah “kafir zimmi” dan “kafir harbi” untuk kepentingan kumpulan mahupun individu. Mereka tidak menghiraukan langsung tentang perasaan dan emosi orang yang beragama lain, sehingga boleh menimbulkan kekacauan dan perbalahan antara kaum dan agama.

                Penganut agama lain yang tinggal dalam negara umat Islam, perlu digelar sebagai “rakyat” kerana mereka mendapat perlindungan yang sama seperti umat Islam. Maksud “Zimmi” adalah : Mereka di lindungi oleh Allah swt , Rasulullah saw dan umat Islam keseluruhannya. Barangsiapa yang menzalimi mereka akan mendapat laknat Allah swt , para Malaikat dan keseluruhan umat manusia. Mereka bertanggungjawab menjalankan tugas selaku rakyat, mereka perlu menghormati syiar-syiar umat Islam seperti azan, solat jemaah dan sebagainya, sepertimana umat Islam juga perlu menghormati upacara-upacara kerohanian mereka dalam had yang dipersetujui bersama.

malaysian flag

                Zimmi” perlu membayar cukai tahunan sepertimana umat Islam membayar Zakat Fitrah setiap tahun. Maka, sepertimana umat Islam dilindungi dalam negara Islam, begitu juga “Zimmi” dilindungi. Harta mereka dilindungi seperti harta umat Islam, darah mereka dijaga seperti darah umat Islam, “Zimmi” dan umat Islam seumpama ummah yang satu.

Justeru, kita melihat bahawa, Umat Islam dan “Zimmi” yang berada dalam sebuah negara sekarang ini tidak perlulah dibezakan dengan istilah. Tetapi, kita perlu menyamakan mereka dengan kalimah yang disepakati sejak sekian lama, iaitu : “Rakyat”. Masing-masing dilindungi, dan masing-masing mempunyai tanggungjawab terhadap negara.

                Pada zaman Saidina Umar Al-Khattab ra, terdapat sekumpulan kabilah Bani Taghlib yang terdiri dari kalangan orang Kristien sejak zaman Jahiliah lagi. Mereka menuntut dari Umar ra supaya tidak menggunakan istilah “Jizyah/Cukai Tahunan”, dan mereka mahu menggunakan istilah zakat atau sedekah sepertimana umat Islam. Sekalipun jika bayaran itu digandakan dari bayaran zakat umat Islam, mereka sanggup membayarnya, asal saja mereka dapat menggunakan istilah “zakat” menggantikan “Jizyah”. Kata mereka : “Sesungguhnya kami ini bangsa arab, dan kami rasa malu dengan kalimah Jizyah”.

Saidina Umar ra merasa ragu-ragu untuk memberikan jawapan atas permintaan mereka itu. Kemudian, sebahagian dari penasihatnya menyarankan supaya dia menunaikan permintaan Bani Taghlib itu. Kata penasihat-penasihat Umar ra: “Mereka itu adalah kaum yang mempunyai keberanian dan kekuatan, kami bimbang mereka akan bergabung dengan Rom.”

Lalu Saidana Umar ra berfikir panjang atas perkara tersebut. Hasilnya, dia bersetuju untuk menunaikan kehendak mereka. Kata Umar ra: “Namakanlah dengan apa yang kamu sukai.”

Lalu orang disekelilingnya berkata: “Mereka ini kaum yang kurang cerdik, redha atas makna dan mengabaikan nama.”

                Al-Quran menyebutkan kalimah Jizyah di dalam ayat-ayatnya, namun apa yang dimaksudkan bukanlah lafaznya, tetapi yang dimaksudkan adalah makna dari lafaz tersebut: iaitu orang bukan Islam membayar cukai sebagai menunjukkan kepatuhan mereka kepada pemerintah negara islam, dan menerima tuntutan undang-undang negara tersebut.

                Inilah dia Islam, istilah hanyalah istilah, tetapi yang lebih utama adalah makna disebalik istilah tersebut. Dengan itu, tiada menjadi sebarang keburukan pun apabila kita menukar istilah “Zimmi” kepada “Rakyat”. Umat Islam adalah umat contoh yang sentiasa boleh dijadikan rujukan dan panduan, sama ada prinsip agamanya, ibadahnya, akhlaknya, dan segenap kehidupannya.